06 Mac 2014

[Video] Peraga 51 GRO atas pentas

WANITA warga asing yang ditahan di pusat hiburan.

Kuala Lumpur: Seramai 51 pelayan wanita (GRO) warga asing dan tiga anggota geng kongsi gelap ‘08’ serta seorang suspek dikehendaki sejak 10 tahun lalu ditahan dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Jalan Kuchai Lama, semalam.
Dalam Op Cantas Khas bermula jam 11.45 malam itu, sepasukan polis daripada Bahagian Kongsi Gelap, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Bukit Aman menyerbu bekas dewan gelanggang badminton yang diubah suai menjadi kelab malam itu.
Ketika diserbu, kebanyakan pelanggan tidak menyedari kehadiran polis selepas khayal melihat puluhan wanita yang diperagakan ala ‘cat walk’ di pentas disediakan.

Ketua Penolong Pengarah D7 Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Roslee Chik berkata, wanita itu dipercayai diperagakan di atas pentas sebelum dipilih pelanggan dengan memberikan kalungan bunga dengan harga RM50.

Katanya, sebaik dipilih, wanita terbabit akan turun dari pentas untuk melayan pelanggan mereka di samping pelanggan itu juga perlu membelinya minuman dengan harga RM50.
“Semua 51 GRO warga asing berusia 20 hingga 30 tahun itu terdiri daripada 43 warga Thailand selain enam warga China dan dua warga Vietnam. 

“Mereka ditahan selepas didapati menyalahgunakan pas lawatan dan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Imigresen 1959,” katanya ketika ditemui selepas tamat operasi, semalam.

Menurutnya, tiga anggota geng 08 berusia lewat 30-an yang ditahan pula dipercayai menerima bayaran daripada pengusaha pusat hiburan itu sebagai pengawal pintu masuk dan dikenal pasti sebagai anggota kongsi gelap melalui tatu pada badan mereka.

“Buat masa ini, kita sedang menyiasat lebih lanjut mengenai pembabitan mereka dalam kegiatan kongsi gelap selain menyemak rekod sekiranya ada terbabit dalam sebarang kegiatan jenayah.

“Selain itu, kita turut menahan seorang lelaki berusia 44 tahun yang dikenal pasti sebagai suspek dikehendaki berhubung kes jenayah yang disiasat mengikut Seksyen 324 dan 326 Kanun Keseksaan iaitu menyerang dan mendatangkan kecederaan menggunakan senjata,” katanya.

Sementara itu, Roslee berkata, serbuan itu yang kedua membabitkan kelab hiburan sama. Sebelum ini, kelab berkenaan pernah diserbu pada 17 Januari lalu.

Katanya, operasi ini akan diteruskan dari semasa ke semasa dalam usaha membanteras dan mencegah jenayah.
myMetro

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Port Mak Ngah Skodeng !