Memaparkan catatan dengan label Artis. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Artis. Papar semua catatan

09 Mac 2015

Tampil berhijab, Hanis lunas impian orang tua


SETIAP insan di dunia ini pasti melalui perjalanan yang berliku dan seterusnya di angkat sebagai suatu pengalaman hidup.

Perjalanan yang kita lalui membawa kita bertemu dengan pelbagai orang, pelbagai ragam yang akhirnya memberi kita suatu sesi pembelajaran tentang kehidupan.

Bahkan dalam kita melalui perjalanan itu, ada ketikanya kita akan melalui perjalanan yang mudah dan ada ketikanya perjalanan begitu sukar untuk ditempuhi.

Begitulah yang dapat diibaratkan mengenai perjalanan gadis bakal menginjak ke usia 25 tahun tidak lama lagi.

Biarpun masih muda, sudah banyak yang ditempuhi oleh pemilik nama sebenar Hanis Zalikha Zainal Rashid ini.

Dari dunia maya ke dunia seni, dari seorang blogger biasa kepada seorang selebriti, Hanis bertuah kerana sudah menempuh perjalanan yang penuh warna-warni.

Namun dalam melalui semua perjalanan itu, ada sesuatu yang kurang dan ada ketikanya sukar untuk diturutkan. Bagaimana itu bukan bermakna dia seorang yang cekal hati.

Malah sebagai anak kedua dari tujuh orang adik-beradik, dia bukanlah seorang yang sering ingkar akan arahan kedua ibu dan bapanya.

Justeru dia mula memujuk dan memupuk diri untuk menuruti permintaan yang sudah lama disuakan oleh ibu bapanya.

"Kalau ikutkan, mama dan daddy Hanis sudah lama memberi hint supaya Hanis berhijab. Kalau ikutkan Hanis tak pernah gagal mengikuti permintaan keluarga, tapi entah kenapa permintaan yang satu ini sukar untuk Hanis turutkan.

"Tapi itu bukan alasan untuk Hanis melanggar perintah Allah SWT. Alhamdulillah, hari demi hari yang berlalu, hati Hanis mula rasa tenang setiap kali bertudung, sehinggalah Hanis tekad untuk bertudung sepenuhnya pada 1 Mac lalu," ujarnya membuka bicara mengenai imej barunya yang kini sudah berhijab.

Bercerita dengan lebih lanjut, Hanis berkata, dia sudah mula memakai tudung sejak tahun lalu lagi. Bahkan ada ketikanya keluar bersama keluarga dan rakan, dia selesa mengenakan tudung.

"Akhir tahun lepas Hanis memang sibuk dengan penggambaran dan selepas Hairul melamar dan membuatkan keputusan untuk berkahwin, Hanis mula ambil keputusan untuk bercuti.

"Jadi apabila ada banyak masa dan tiada tawaran lakonan, Hanis kira ini adalah masa yang sesuai untuk Hanis bertudung. Kebetulan pada 1 Mac lalu, Hanis keluar bersama ibu dan Hairul.

"Hairul ketika itu teruja dengan imej Hanis dan tanya sama ada Hanis benar-benar sudah berhijab. Jadi bila Hanis kata ya, dia terus kongsikan dan tak sangka ramai yang memberi maklum balas yang baik mengenai perkara itu.

"Paling penting, saya sudah melunaskan impian mereka sebelum menjadi isteri dan perubahan ini adalah berkat doa dari mereka," katanya.


Hanis Zalikha dan ibu Hairul

Perubahan drastik?

Menganggap perubahan yang dilakukan bukan secara drastik, Hanis berkata, masih banyak perkara yang perlu dipelajari untuk menjadi Muslimah yang baik.

"Hanis masih diri saya seperti dulu. Cuma sekarang Hanis bertudung untuk menyempurnakan aurat. Lain-lain aspek itu Hanis akan belajar sedikit demi sedikit,” jelasnya.

Meskipun sudah bertudung, Hanis berkata, dia tetap akan aktif di dalam bidang lakonan selepas ini, namun masih belum memikirkan mengenai karier lakonannya buat masa ini.

"Memandangkan Hanis sibuk sedikit sekarang, Hanis memang tak ambil apa-apa tawaran lakonan, walaupun ada tawaran yang datang.

"Cuma kerja mengacara sahaja yang Hanis masih terima, apatah lagi rakaman Raikan Cinta masih berlangsung. Cuma beza sekarang ini, kami mencari pereka fesyen yang turut mereka tudung agar sesuai dengan imej Hanis," katanya.

Justeru apabila sudah bertudung, penulis sengaja mengusiknya adakah dia juga akan mengeluarkan tudung atau busana Muslimah seperti yang dilakukan kebanyakan selebriti pada hari ini?

Bagaimana jawab Hanis, dia masih belum terfikir ke arah itu dan dia sendiri masih memakai pakaian yang sedia ada, cuma bezanya di tambah dengan tudung.

"Mama memang pesan, berubah perlahan-lahan supaya orang lain tak terkejut dan Hanis sendiri tidak terkejut.

"Jadi kalau ikutkan Hanis pakai apa yang ada dalam almari, cuma Hanis pelbagaikan agar pakaian itu menutup aurat dan yang penting bertudung," ujarnya.

Bakal bertunang

Dalam pada itu, di tebak mengenai persiapan perkahwinannya yang kini sedang rancak dilakukan, Hanis mengakui, dia dan Hairul Azreen akan bertunang dalam masa terdekat.

Bagaimanapun ujar pelakon yang kini terkenal menerusi drama Suami Encik Sotong ini, majlis hanya akan diadakan secara tertutup dan dihadiri oleh keluarga kedua-dua belah pihak sahaja.

"Hanis minta maaf kerana tak dapat kongsikan tarikh pertunangan tapi boleh dikatakan kami akan bertunang dalam masa terdekat.

"Mengenai tarikh perkahwinan pula, hanya akan dibincangkan pada majlis pertunangan kelak dan ia akan diputuskan oleh keluarga. Jadi selepas ia diputuskan baru Hanis akan maklumkan bila kami akan berkahwin.

"Sekarang pun, Hanis agak sibuk dengan persiapan, sebab itu terpaksa tolak tawaran yang datang. Apa pun doa yang terbaik untuk kami," ujarnya mengakhiri perbualan.

Sumber Sinar Harian

03 Februari 2015

Pelakon tambahan terkilan dapat RM50

KHAI dakwa pihak produksi beri pelbagai alasan ketika bayaran diminta

Kuala Lumpur: Hanya RM50 bayaran diterima. Itu nasib malang menimpa seorang pelakon tambahan selepas menjalani penggambaran sebuah filem di Sabak Bernam, Selangor, sejak November tahun lalu.
Lelaki terbabit yang hanya mahu dikenali sebagai Khai, 20, mendakwa ditawar watak pelakon tambahan oleh sebuah syarikat perfileman selepas mengadakan rundingan di Bandar Baru Sentul pada 10 November tahun lalu.

Menurutnya, dia bersetuju untuk berlakon selama 11 hari dengan bayaran RM100 sehari berdasarkan perjanjian.

“Tambahan pula tempat tinggal dan duit petrol kenderaan disediakan syarikat itu menyebabkan saya tertarik.

“Bagaimanapun sebaik tiba sampai di lokasi penggambaran, pihak produksi memberitahu jadual perlu dirombak menyebabkan saya dan seorang lagi rakan yang turut ditawarkan berlakon hanya memulakan penggambaran pada hari kelapan,” katanya yang sudah lima tahun menjadi pelakon tambahan.

Khai berkata, pihak syarikat berjanji akan membayar mereka walaupun jadual penggambaran dirombak.

“Bagaimanapun saya terkejut apabila hanya menerima RM50 selepas selesai penggambaran. Sepatutnya saya menerima bayaran RM800, namun pihak agensi memberitahu baki bayaran akan dijelaskan kelak.

“Namun sehingga kini, baki bayaran masih belum dijelaskan dan pelbagai alasan diberikan pihak terbabit,” katanya yang pernah membintangi filem Abang Long Fadil dan Homestay Berhantu.

Dia kemudian tampil membuat laporan di Balai Polis Bukit Jalil di sini, sebelum kes itu dirujuk semula ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD)Sentul.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Senior Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

myMetro

22 Januari 2015

Tanggung derita, peha bekas ratu cantik reput

Andressa Urach

Bekas ratu cantik dari Brazil terpaksa bertarung nyawa dan menanggung derita sepanjang hayat hanya kerana untuk kelihatan cantik.

Andressa Urach, 27, mengakui apa yang berlaku telah mengubah hidupnya, sekaligus memberikan pengajaran paling pahit untuk dikenang sepanjang masa.

“Saya ketagihan pembedahan plastik.

Pada masa itu, saya hanya mahu orang lain memandang saya dengan penuh rasa cemburu,” katanya seperti yang dipetik menerusi Mail.Online.

Menurut Urach, keinginan yang begitu tinggi untuk mencantikkan lagi pehanya membuatkan dia mengambil keputusan untuk menjalankan rawatan kaedah menyuntik pehanya dengan (filler) bahan kimia, hidrogel dan polymethylmetacrylate (PMMA).

Namun bentuk peha yang diidamkan tidak kesampaian apabila doktor mengesahkan bahan kimia yang disuntik ke dalam paha mula mereputkan tisu kulitnya. “Rawatan kecantikan yang dijalankan mula mereput dan memakan tisu peha saya.


SH

23 November 2014

Wanita Tunisia Dinobat Ratu Cantik Muslimah Sedunia

Keanggunan dan keikhlasan Fatma Ben menyuarakan mengenai penderitaan rakyat Palestin menarik perhatian juri.
YOGYAKARTA: Mesej pembebasan Palestin yang disuarakan peserta Tunisia membawa tuah apabila berjaya menewaskan 17 wakil negara lain, sekali gus memenangi pertandingan ratu cantik khusus untuk wanita Muslimah di Indonesia, Sabtu.
Berbeza dengan pertandingan ratu cantik barat, semua peserta pertandingan itu wajib memakai tudung dan mereka bukan sahaja dinilai berdasarkan penampilan, malah pengadil menilai kebolehan mereka membaca al-Quran dan pandangan mengenai Islam dalam dunia moden.
Penyertaan 18 finalis, termasuk yang bekerjaya sebagai doktor dan saintis komputer itu menampilkan gaya sopan dan sedap mata memandang.
Kali ini, Fatma Ben Guefrache yang juga saintis komputer diumumkan sebagai pemenang dan berjaya membawa pulang hadiah seperti jam tangan emas, dinar emas dan pakej umrah.
"Semoga Allah membantu saya dalam misi ini dan membebaskan Palestin. Tolonglah untuk sama-sama membebaskan rakyat Palestin dan Syria," kata wanita berusia 25 tahun itu dalam nada sebak.

Acara peringkat akhir ratu cantik Muslimah itu diadakan dengan latar belakang tapak Warisan Dunia UNESCO iaitu Kuil Prambanan di sini, bagi menandakan bahawa umat Islam menghormati penganut agama lain.
Pada awal pertandingan ini, beberapa cabaran dilalui termasuk membabitkan peserta Singapura yang terpaksa berhenti kerja kerana majikan tidak membenarkan dia menyertai pertandingan tersebut serta masalah visa yang menyebabkan tujuh finalis terpaksa membatalkan penyertaan.
"Kami mahu mereka memahami segalanya mengenai cara hidup Islam, termasuk pemakanan, pakaian dan cara menjalani kehidupan," kata seorang penganjur, Jameyah Sheriff.
Anugerah Muslimah Sedunia kali pertama dijayakan padda 2013 apabila penganjurannya bagi membantah acara Ratu Cantik Dunia yang berlangsung pada masa sama di Bali.
mStar Online

28 Oktober 2014

'Saya sedia dipanggil sotong' - Sharnaaz Ahmad

Sharnaaz Ahmad

PELAKON kacak, Sharnaaz Ahmad, meminta agar peminat melupakan 'Jebat' seketika untuk memberi peluang kepada Farish menerusi drama terbaharunya, Suamiku Encik Sotong yang mula bersiaran sejak semalam.

Mengakui bukan mudah membawa watak lelaki lembut, Sharnaaz menganggap ia adalah pengorbanan dalam karier lakonan demi tuntutan watak.

"Ini adalah kali pertama saya mencabar diri untuk membawa watak seumpama ini. Malah saya mengambil masa sehingga dua bulan untuk menerima tawaran ini memandangkan watak ini jauh berbeza dengan diri saya. Namun, jalan cerita sangat menarik!

"Menerusi drama ini, saya turut mengorbankan imej dengan membiarkan perut sedikit buncit walaupun mempunyai pusat gimnasium sendiri. Terlebih dahulu, saya ingin meminta maaf kepada penonton sekiranya lakonan kali ini tidak menjadi.

"Sehingga kini, saya tidak berani  menonton 'playback' takut timbul rasa tidak puas hati. Sejujurnya saya sudah mencuba sebaik mungkin. Kalau dulu orang panggil saya Jebat, sekarang saya bersedia dipanggil 'sotong'," katanya sambil ketawa.

Jelas Sharnaaz, drama ini bukanlah bertujuan mengeksploitasi golongan lelaki lembut, namun lebih kepada situasi di mana golongan ini sering dipergunakan orang lain.

"Dalam drama ini, saya sering menjadi mangsa Erica lakonan Amyra Rosli yang juga isteri saya sendiri. Namun, saya berkawan baik dengan Dhia (Hanis Zalikha) namun saya merahsiakan status saya daripadanya.

"Untuk mendalami watak ini, saya banyak melihat golongan ini bercakap termasuk kawan-kawan mekap artis dan memerhatikan cara berbual serta sikap mereka. Walaupun ia drama komedi, namun saya tetap memastikan hasil kerja saya terbaik dan buat betul-betul," katanya yang turut tampil bersama Nelydia menerusi drama, Setitis Kasih Darmia di TV9.

Drama arahan Eoon Shuhaini ini disiarkan setiap Isnin, 10 malam, di saluran Astro Ria dan Maya HD.

Selain kerjaya, Sharnaaz turut diheret dalam kancah kontroversi apabila dia menempelak wartawan akhbar (bukan Sinar Harian) berhubung artikel yang dikaitkan dengan kemalangan ngeri motosikal berkuasa tinggi di Lebuhraya Karak hingga menyebabkan dua penunggang maut.

Tegas Sharnaaz, dia menyifatkan  penulis itu tidak menghormati keluarga si mati dan tidak berfikir panjang sebelum menulis.

"Arwah Zali (Hazalli Khalid, 32,) adalah sahabat saya dan saya juga dari golongan 'rider'. Jangan sesekali menulis tanpa asas yang kukuh sekiranya anda bukan dari golongan ini kerana anda tidak akan faham.

"Cuba anda berada di tempat itu, bagaimana rasanya? Jangan sesekali cuba guna bahasa 'double standard' yang boleh membawa kepada pemahaman negatif!," katanya lagi.


Sinar Harian

08 Oktober 2014

Hidup bermadu ujian hebat saya dan Aida - Erma Fatima

ERMA bersama madunya, Aida Abdul ketika beraya di rumah mentua mereka. - Foto ihsan Erma Fatima
KUALA LUMPUR: Tindakan Erma Fatima memuat naik gambar beliau beraya bersama madunya, Aida Abdul di kediaman keluarga mentuanya membuktikan bahawa sutradara itu menerima dengan hati terbuka suratan suaminya, Bade Azmi berkahwin lain.
Sebelum ini, timbul pelbagai spekulasi kononnya Erma tidak merestui perkahwinan kedua suaminya, sekali gus tidak rela bermadu.
Malah lebih buruk lagi apabila bertebaran cerita bahawa rumah tangga Erma dan Bade ibarat telur di hujung tanduk.
Bagaimanapun, semua spekulasi itu lenyap apabila gambar yang dimuat naik Erma di laman Instagram itu turut dipuji ramai pengikutnya.
Ramai yang menyifatkan Erma sebagai wanita yang cekal kerana perlu menjalani hidup bermadu.
"Tiada sebab untuk saya bermusuh dengan dia (Aida). Hidup di dunia ini pun sementara saja. Saya berkahwin dengan suami sudah 24 tahun. Andai dia pilih untuk kahwin lain, maknanya dia inginkan kebahagiaan. Saya pun nak tengok dia bahagia.
"Kalau cara itu (berkahwin lain) yang mampu saya buat untuk membahagiakan dia, saya reda. Poligami ini mungkin juga satu tugasan dari Tuhan untuk ajar saya jadi ikhlas. Dan ternyata saya sedang melalui ujian itu," kata Erma.
Menurut Erma, beliau enggan mengambil pusing apa persepsi orang di luar mengenainya.
"Saya tak peduli. Tiada cinta yang kekal pun di dunia ini. Kenapa saya perlu berperang dan bermusuh hanya untuk berebut cinta.
"Bagi saya, cinta yang agung ialah cinta yang tak kesampaian. Namun kita tetap bertahan meneruskan kehidupan.
"Lihat saja contoh, cerita Romeo dan Juliet, Laila Majnun atau Uda dan Dara. Semua cinta yang dipapar hancur di tengah jalan. Tapi itu juga cerita cinta agung yang dibanggakan seluruh pelusuk dunia.
"Mungkin saya boleh dapat apa saja yang dimahukan di dunia ini tapi bukan cinta," katanya.
Mengenai Aida, Erma menyifatkan madunya itu seorang yang baik.
"Kami berdua dalam proses kenal mengenal. Dia cuba menyesuaikan diri dengan keluarga yang baru. Ia bukan perkara mudah dan dia sanggup lakukannya. Itu juga bererti dia benar-benar cintakan suami saya.
"Dalam erti kata lain, hidup bermadu ini ujian hebat buat saya dan dia. Saya sendiri tidak kejar bahagia tapi nak sangat mencari erti sebenar keikhlasan.
"Saya mahu ikhlas menerima dia sebagai adik demi kebahagiaan mereka," katanya. 
- Oleh Zaidi Mohamad (BH)

03 September 2014

Ratu cantik enggan pulangkan mahkota

RATU Cantik Myanmar, May Myat Noe. - Foto EPA
YANGON: Ratu Cantik Myanmar yang ditarik balik gelarannya berkata, beliau tidak akan memulangkan mahkota bernilai $100,000 (RM316,000) sehingga penganjur pertandingan itu meminta maaf kerana menggelar beliau penipu dan pencuri.
Pemenang Ratu Asia Pasifik Dunia 2014, May Myat Noe, menegaskan dalam sidang akhbar hari ini beliau tidak melakukan sebarang kesalahan.
Beliau menafikan melakukan pembedahan membesarkan payu dara, seperti didakwa pengarah media bagi pertandingan di Korea Selatan itu, David Kim.
Katanya, pembedahan disediakan secara percuma untuk membantu meningkatkan kemasyhuran Noe.
Kim berkata, gelaran remaja berkenaan ditarik balik kerana beliau tidak jujur dan tidak berterima kasih dan melarikan diri dengan mahkota itu.
Noe berkata, beliau menaiki pesawat kembali ke Myanmar tanpa menyedari gelarannya sudah ditarik balik. 
- AP[Bh]

05 Julai 2014

Biduanita negara,Datuk Sharifah Aini Meninggal Dunia

 Sharifah Aini

PETALING JAYA: Biduanita negara, Datuk Sharifah Aini Syed Jaafar meninggal dunia pada pukul 1.26 pagi Sabtu di Pusat Perubatan Pakar Damansara di sini.

Sharifah Aini, 61, meninggal dunia akibat fibrosis paru-paru atau 'paru-paru berparut'.

Berita kematian penyanyi lagu Seri Dewi Malam itu disahkan oleh rakan baik Allahyarham iaitu Aishah Ali.

Sharifah Aini dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) pusat perubatan itu pada Selasa lalu selepas mengalami kesukaran bernafas namun keadaan penyanyi itu dilaporkan stabil.

Biduanita itu dikesan menghidap fibrosis paru-paru dua tahun lalu.

Allahyarham meninggalkan seorang anak lelaki iaitu Aliff Omar Ali.

Dalam pada itu, jenazah Allahyarham dijangka dibawa ke Masjid Al Taqwa Taman Tun Dr Ismail Kuala Lumpur selepas solat Subuh sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, dekat sini pada Sabtu.

Terdahulu, Allahyarham menerusi status Facebook miliknya sebelum ini pernah meminta peminat-peminatnya mendoakan kesejahteraan beliau selain meminta mereka menghadiahkan Al-Fatihah sekiranya beliau meninggal dunia.

Tulisan di FB itu menggambarkan seolah-olah beliau sudah merasakan bakal pergi buat selama-lamanya.

Sumber

02 Julai 2014

Felixia Yeap nafi umum nama Islam


MODEL dan personaliti media, Felixia Yeap menafikan dakwaan bahawa dia telah mengumumkan nama Islamnya.

Menurutnya, dia hanya mendedahkan nama akhir yang bakal dipilihnya iaitu “Rania” melalui sebuah program televisyen tempatan baru-baru ini.

“Saya tahu kalian semua tidak sabar menunggu nama Islam saya diumumkan.

“Sepertimana yang dijanjikan, saya sendiri akan mengumumkan nama Islam saya selepas saya mengucap syahadah nanti dan bila waktunya telah tiba, iaitu pada atau selepas 3 Julai (5 Ramadan),” jelasnya

Dalam pada itu, Felixia juga sempat membidas khabar angin yang menyebarkan spekulasi berkenaan dengan pemilihan nama Islamnya.

“Buat masa sekarang, saya menyeru agar anda semua jangan percaya pada mana-mana sumber media yang sengaja membuat cerita tentang nama saya bagi melariskan atau mempopularkan berita mereka.

 “Bulan Ramadan ni, nak mengaut untung dan jual berita pun buatlah dengan halal,” katanya lagi.

Sinar Harian

28 Jun 2014

Felixia Yeap peluk Islam 5 Ramadan

Felixia Yeap

"SAYA akan mengucap pada 5 Ramadan ini, iaitu pada 3 Julai ini (Khamis)," kata model pakaian Muslimah, Felixia Yeap, ketika menjadi panel  jemputan di Program Semarak Ramadan anjuran kerajaan Negeri Selangor di Dataran Shah Alam malam ini.

Felixia berkata, tarikh 5 Ramadan dipilih kerana ianya jatuh pada hari ulang tahun kelahirannya.

"...5 Ramadan iaitu jatuh pada  3 Julai ini iaitu pada hari 'birthday' saya, hari itu juga merupakan hari kegemaran Nabi Muhammad," katanya.

Ketika berbicara mengenai puasa, Felixia berpesan supaya umat Islam Malaysia tidak meninggalkan puasa.

Sementara bercakap mengenai ciri-ciri suami idamannya, Felixia berharap lelaki itu seorang yang mampu membawanya ke jalan syurga.

"Biarlah beliau seorang yang mampu membimbing saya ke jalan jannah," katanya.


Sinar Harian

12 Jun 2014

Abby sangkal dakwaan cederakan bekas suami

Abby (kiri) ketika hadir ke mahkamah untuk kes perceraiannya dengan Muhammad Noor Farhan.

ABBY Abadi, dalam laman Twitternya semalam, menafikan dia mencederakan bekas suaminya itu dengan menggunakan kunci motosikal.

"Pegang kunci motosikal pun tidak pernah...kenapa macam tu?," katanya.

Abby berkata luka di muka Farhan sengaja dilakukan menggunakan pisau cukur.

"Nampak sangat menipunya...Dalam gambar misai berdarah-darah, tapi dalam gambar pegang report ada pulak misai," katanya.

Terdahulu, ketika ditemui di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur semalam, Abby, 37, berkata, dia reda.

“Saya tidak trauma. Bukan saya minta penceraian ini. Saya kuat hadapi ujian ini kerana yakin ALLAH bersama saya,” katanya.

Abby memberitahu, dia telah berusaha dan berdoa, namun tidak nampak jalan untuk menyelamatkan perkahwinan keduanya itu.

Katanya, dia tidak serik untuk kahwin demi anak-anak.

"Saya mahu hidup ada lelaki kerana tidak semua benda boleh buat sendiri,” katanya.

Sinar Harian

10 Jun 2014

Ajak Shiro kejar pencuri periuk belanga

Ajak Shiro

PELAKON dan pelawak popular Ajak Shiro berjaya mematahkan tindakan seorang lelaki mencuri perkakas dapur dan rumah dari kediaman keluarganya di Jalan Denai Kecil, Taman Purnama, Kempas, Johor Bahru, kelmarin.

Sebahagian besar barangan yang dicuri itu merupakan perkakas memasak yang digunakan untuk majlis kenduri pertunangan adik Ajak Shiro sehari sebelum itu, lapor Kosmo!

Ajak Shiro atau nama sebenarnya Mohd Hanaffi Razak, 28, berada di rumah ketika insiden jam 9 pagi itu.

Dia kemudian bertindak mengejar lori yang membawa barang curi dari rumahnya itu.

Lelaki India yang menyedari dirinya dikejar meninggalkan kenderaan itu di tepi jalan di kawasan ladang kelapa sawit sebelum melarikan diri.

"Saya mengejar lori satu tan itu seorang diri sehingga memasuki kawasan ladang kelapa sawit.

"Di ladang kelapa sawit, suspek meninggalkan lori bersama muatan yang dicuri dari rumah keluarga saya," katanya kepada akhbar terbabit.

Ajak kemudian menghubungi rakannya, Jepp Sepah untuk membantunya.


Sinar Harian

06 Jun 2014

Penuntut kolej kena sebat lapan kali di mahkamah

Ampang: Seorang penuntut kolej mendapat pembalasan dan pengajaran apabila disebat lapan kali menggunakan rotan halus di hadapan ahli keluarga dan orang awam di Mahkamah Sesyen Ampang di sini, selepas mengaku salah terhadap dua pertuduhan merogol seorang gadis bawah umur, tahun lalu.
Ainur Asyriq Aizamuddin, 19, disebat oleh pegawai dari Penjara Kajang di hadapan Hakim Manira Mohd Nor sambil disaksikan ibu bapa remaja itu, wartawan dan orang awam yang berada di galeri awam mahkamah.
Bagaimanapun hukuman sebatan ringan yang dikenakan ke atas tertuduh adalah bagi pertuduhan kedua. 

Pada 14 Mei lalu, bagi pertuduhan pertama, mahkamah menjatuhkan hukuman perintah kehadiran wajib dalam tempoh tiga bulan, setiap hari selama empat jam ke atas tertuduh mengikut Seksyen 5(1) Akta Kehadiran Wajib 1954 dan bon jaminan bercagaran RM6,000 dengan seorang penjamin.
Sementara itu, pada prosiding hari ini, tertuduh yang bertubuh kurus kelihatan tenang ketika diperintahkan membongkok di bahagian meja hadapan galeri mahkamah untuk disebat menggunakan rotan sepanjang anggaran satu meter.
Sesekali, tertuduh mengaduh kesakitan ketika disebat. 

Terdahulu, mahkamah memerintahkan doktor yang hadir memeriksa tahap kesihatan pesalah muda berkenaan sebelum sebatan dijalankan.

Selepas dia disahkan sihat, proses sebatan dimulakan terhadap tertuduh. 

Pada 13 Disember 2013, tertuduh mengaku salah terhadap dua tuduhan merogol mangsa yang juga teman wanitanya yang ketika itu berusia 15 tahun 11 bulan masing-masing pada 29 November 2013 jam 9 pagi dan 7 Disember 2013 jam 4 petang di sebuah rumah, dekat sini. 

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.
myMetro

05 Jun 2014

Fara Fauzana bercinta Dengan pemain Bolasepak Hairuddin Omar

Fara Fauzana dipilih menjadi duta produk Yakult.
PETALING JAYA:  Penyampai radio dan pengacara Fara Fauzana menepis gosip yang mengaitkan dia kononnya bercinta dengan bekas pemain bola sepak kebangsaan iaitu Hairuddin Omar, 35, atau Hai-O.

Fara, 34, berkata, dia sendiri terkejut dengan gosip berkenaan kerana secara jujurnya dia tidak pernah mengenali pemain bola sepak tersebut secara peribadi.

"Saya hanya kenal dia sebagai pemain bola sepak kerana saya memang minat sukan itu dan gosip berkenaan sama sekali tidar benar," jelasnya kepada mStar Online.
Fara ditemui pada majlis pelantikannya sebagai duta produk Yakult di Sri Pentas di sini pada Rabu.

Selain Fara, penyanyi Atai turut dipilih untuk menjadi jurucakap produk berkenaan.

Dalam pada itu, Fara berkata, dia tidak berkecil hati apabila ada pihak cuba mengaitkannya dengan pemain pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu kerana ia adalah lumrah kehidupan bagi seseorang selebriti.
Fara Fauzana terkejut dikaitkan dengan Hairuddin Omar.
Bagaimanapun Fara mengakui dia agak sedih apabila ada pihak yang menyebarkan cerita kononnya dia mengambil keputusan untuk berselendang disebabkan bintang sukan itu. "Saya mula memakai selendang bukan kerana sesiapa tetapi atas kehendak diri sendiri.

"Gosip mengatakan saya berbuat demikian kerana orang lain yang saya sendiri tidak kenal memang membuatkan saya sedih," jelasnya.

Sementara itu, Fara berkata, dia tidak terlalu terganggu apabila peminat mengkritik keputusannya mengenakan tudung dengan cara berselendang terlebih dahulu.


Selain Farah Fauzana, Atai turut dilantik sebagai jurucakap produk Yakult.
Fara berkata, dia tidak terlalu memikirkan apa yang dikatakan oleh orang lain mengenai hal itu  kerana dia lebih mengetahui niat sebenar untuk berbuat demikian.

"Saya seorang yang ‘hati kering’ dan tidak begitu peduli apa juga kritikan yang dilemparkan kepada saya.

"Paling penting saya tahu niat sebenar saya dan berharap semua pihak dapat mendoakan perkara yang baik-baik tentang saya," pintanya.

Bagaimanapun kata Fara, itu bukan bererti dia seorang yang degil atau tidak boleh menerima kritikan sebaliknya dia turut mengambil kira semua pandangan untuk kebaikan dirinya.

"Saya selalunya akan baca apa juga pandangan sama ada positif atau pun negatif tentang saya di internet dan cuba memperbaiki diri untuk kebaikan," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Fara berkata, dia bersetuju untuk menjadi jurucakap produk Yakult selepas melihat ibunya pulih daripada mengalami masalah ulser pada bahagian perut selepas mengamalkan minuman berkenaan selama tiga bulan.

Keberkesanan minuman berkenaan membuatkannya yakin ia adalah produk yang bagus untuk diamalkan dan mahu berkongsi dengan orang lain.

"Saya tidak akan terima tawaran jika tidak melihat sendiri kebaikkannya dan Alhamdulillah saya yakin selepas melihat ibu kembali pulih daripada masalah ulser di perut selepas tiga bulan mengamalkan meminum Yakult," katanya.
mStar Online

29 Mei 2014

Ada lelaki sanggup tunggu saya 3 hingga 5 tahun - Maya Karin

Maya Karin 

KUALA LUMPUR: Aktres cantik, Maya Karin mengakui dia lebih selesa membiarkan identiti kekasihnya menjadi tanda tanya pelbagai pihak.

“Saya memang macam ini, tidak mahu berkongsi hal peribadi saya melainkan benda itu adalah penting.

“Malah kawan-kawan saya pun kadang-kadang tidak tahu siapa saya tengah berpacaran kerana saya senyap sahaja. Apatah lagi berkongsi secara umum di media sosial,” ujar penyanyi berusia 35 tahun itu.

Malah jelas pelakon kelahiran Bavaria, German itu mendedahkan ada lelaki yang sanggup menunggu dia untuk menerima cintanya.

“Ya, ada lelaki yang sanggup tunggu saya sehingga mungkin 3 hingga 5 tahun,” ujar Maya lagi.

Maya atau nama sebenarnya, Maya Karin Roelcke, 35 tahun sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga dengan jejaka Inggeris, Muhammad Ali atau Steven David Shorthose pada 2008 sebelum berpisah pada 2010. 


- Astro Gempak


25 Mei 2014

OKU jadi jutawan sekelip mata

VINOD bersama bintang terkenal Bollywood, Salman Khan dalam program India’s Got Talent, musim kedua pada 2010.

New Delhi: Vinod Thakur, jejaka kelainan upaya (OKU) yang masyhur dan menjadi jutawan sekelip mata selepas menyertai program realiti televisyen India, berkata tarian membantunya bertemu cinta, kekayaan dan kebahagiaan. 

Pertama kali kelibatnya di pentas, dia dilihat duduk bersilang kaki di atas lantai, beberapa saat kemudian, dengan menggunakan dua lengannya yang kuat dia berdiri di atas tangannya. Baharulah penonton menyedari, penari berusia 23 tahun ini rupanya tidak mempunyai kaki. “Saya masih tak percaya kehidupan saya kini,” kata warga Delhi itu selepas persembahan mengagumkan di ibu negara India. 


“Memang gila. Tak lama dulu, nak simpan Rs1,000 (RM18) pun susah. Sekarang saya seorang jutawan.” katanya yang kini memiliki rumah dua tingkat, berkahwin dengan cinta sejati, Raksha Rathore, 19, dan merantau ke seluruh dunia. 

BH

14 Mei 2014

Nadiya Nisaa 'lega' tiada lagi isu suami bertatu

Nadiya Nisaa

SELEPAS popular dengan drama bersiri Adam & Hawa, nama aktres Nadiya Nisaa dihimpit pula dengan kontroversi apabila suaminya, Saiful Razman Mohd Kassim, didakwa bertatu di kedua-dua lengan tangannya.

Begitu pun, bintang filem Cun ini enggan mengulas lanjut mengenai perkara berkenaan demi mahu menjaga hati banyak pihak terutama keluarganya.

Bukan itu saja, pemilik nama Nadiyatul Nisaa’ Kamaruddin ini turut meminta semua peminat dan media agar lebih memberi perhatian terhadap perjalanan kariernya berbanding isu peribadi dan keluarga.

"Isu itu kini semakin kurang diperkatakan.

"Saya lihat mereka begitu menghormati permintaan saya.

"Saya pun menghormati mereka kerana tidak pernah bertanya secara peribadi kepada saya akan hal ini," katanya kepada media ketika di temui selepas pelancaran sitkom popular Oh My English (OME), baru-baru ini.

Malah, ibu beranak satu itu juga kini semakin lega dan senang akan situasi berkenaan yang kini semakin kurang diperkatakan.

Jadi diri sendiri

Dalam pada itu, penerima Anugerah Pelakon Harapan Terbaik menerusi Festival Filem Malaysia ke-24 ini akan muncul dalam sitkom popular OME yang akan bersiaran secara serentak di Astro TVIQ (saluran 610) dan Astro MAYA HD (saluran 135) mulai 18 Mei ini, jam 9 malam.

Dia akan memegang watak sebagai Jojie, iaitu seorang pelajar tomboi yang aktif dalam bidang sukan.

Berkongsi pengalamannya, katanya, biarpun dia adalah pelakon yang paling tua dan memegang watak pelajar sekolah menengah, namun itu tidak menghalangnya untuk membawakan karakter tersebut.

"Watak Jojie boleh diibaratkan seperti saya dulu iaitu seorang yang ceria, nakal, lasak dan aktif bersukan.

"Semua pelakon bersikap mesra di antara satu sama lain. Mereka kelakar dan bersikap gila-gila.

"Saya tiada masalah berlakon dengan mereka semua," kongsinya.

Selain Nadia, artis lain yang memegang watak baharu dalam OME adalah seperti Fauziah Ahmad Daud, Sherry Al-Hadad, Carmen Soo dan Amyra Rosly.


Sinar Harian

Port Mak Ngah Skodeng !