03 Februari 2015

Pelakon tambahan terkilan dapat RM50

KHAI dakwa pihak produksi beri pelbagai alasan ketika bayaran diminta

Kuala Lumpur: Hanya RM50 bayaran diterima. Itu nasib malang menimpa seorang pelakon tambahan selepas menjalani penggambaran sebuah filem di Sabak Bernam, Selangor, sejak November tahun lalu.
Lelaki terbabit yang hanya mahu dikenali sebagai Khai, 20, mendakwa ditawar watak pelakon tambahan oleh sebuah syarikat perfileman selepas mengadakan rundingan di Bandar Baru Sentul pada 10 November tahun lalu.

Menurutnya, dia bersetuju untuk berlakon selama 11 hari dengan bayaran RM100 sehari berdasarkan perjanjian.

“Tambahan pula tempat tinggal dan duit petrol kenderaan disediakan syarikat itu menyebabkan saya tertarik.

“Bagaimanapun sebaik tiba sampai di lokasi penggambaran, pihak produksi memberitahu jadual perlu dirombak menyebabkan saya dan seorang lagi rakan yang turut ditawarkan berlakon hanya memulakan penggambaran pada hari kelapan,” katanya yang sudah lima tahun menjadi pelakon tambahan.

Khai berkata, pihak syarikat berjanji akan membayar mereka walaupun jadual penggambaran dirombak.

“Bagaimanapun saya terkejut apabila hanya menerima RM50 selepas selesai penggambaran. Sepatutnya saya menerima bayaran RM800, namun pihak agensi memberitahu baki bayaran akan dijelaskan kelak.

“Namun sehingga kini, baki bayaran masih belum dijelaskan dan pelbagai alasan diberikan pihak terbabit,” katanya yang pernah membintangi filem Abang Long Fadil dan Homestay Berhantu.

Dia kemudian tampil membuat laporan di Balai Polis Bukit Jalil di sini, sebelum kes itu dirujuk semula ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD)Sentul.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Senior Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

myMetro

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Port Mak Ngah Skodeng !