31 Ogos 2014

Video buli, 7 lagi ditahan


PETIKAN diambil dari video menunjukkan sekumpulan pelajar membuli seorang budak lelaki yang tersebar luas di laman sosial.


MUAR 30 Ogos - Tujuh lagi pelajar sekolah menengah ditahan bagi membantu siasatan berhubung penyebaran klip video 'Bu­dak Kena Pukul di Muar' di Air Hitam, dekat sini semalam.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Azman Ayob berkata, kesemua mereka berusia antara 13 dan 16 tahun ditahan susulan penahanan empat pelajar pada 27 Ogos lalu.

"Kami berjaya mengenal pasti beberapa remaja yang berada di lokasi ketika kejadian pukul berlaku di tepi kebun kelapa sawit di Air Hitam, 14 Ogos lalu. Mereka ditahan di rumah dan kawasan sekitar Air Hitam bermula 1 petang semalam. Kini jumlah keseluruhan yang ditahan bagi membantu kes tersebut menjadi 11 orang.

"Selain itu, kami berjaya merampas semua barang kes iaitu sebatang kayu panjang yang dipercayai digunakan dalam kejadian pukul berkenaan selain beberapa telefon bimbit yang digunakan untuk merakamkan kejadian," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas per­kembangan siasatan kes klip video tersebut yang tersebar di media sosial ketika ini selepas kejadian pada 5 petang, 14 Ogos lalu itu dimuat naik salah seorang suspek yang menyaksikan kejadian itu.

Kemudian klip video berdurasi 2:19 mula tersebar di laman sosial yang menyaksikan lebih enam remaja menjerit ke arah mangsa yang hanya terduduk dengan seorang daripada mereka menendang tangan dan kepala mangsa.

Utusan


29 Ogos 2014

Tipu suami untuk jumpa kekasih


NILAI - Seorang isteri empat anak sanggup meninggalkan suaminya di Filipina semata-mata kerana mahu bertemu kekasihnya, seorang warga Nigeria di Taman Desa Melati, dekat sini.

Malah, wanita warga Filipina berusia 36 tahun itu turut mengakui menjalinkan hubungan seks dengan lelaki yang baru dikenalinya beberapa bulan lalu menerusi laman sosial.

Bagaimanapun, tindakan wanita itu terbongkar apabila dia ditahan ketika sedang berasmara di dalam sebuah bilik rumah dua tingkat yang disewa kekasihnya bersama rakan-rakannya itu.}

Menurut wanita yang dikenali sebagai Gende itu, dia tiba di negara ini pada 24 Ogos lalu setelah kos perjalanan termasuk tiket penerbangan ditaja kekasihnya yang merupakan seorang pelajar sebuah kolej swasta di Nilai.

“Saya kenal dia (kekasih) beberapa bulan lalu dan datang ke sini mahu bertemu dengannya. Saya menipu suami dengan memberitahu saya ke Malaysia mahu bertemu kawan.

“Kami sekadar bertemu untuk melepaskan rindu,” katanya selepas ditahan dalam satu operasi Jabatan Imigresen negeri di Taman Desa Melati, di sini, awal pagi semalam.

Serbuan kira-kira jam 3 pagi itu turut menemui bungkusan kondom yang telah dan belum digunakan termasuk minuman beralkohol di dalam bilik mereka.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Imigresen Negeri, Faizal Fazri Othman berkata, wanita itu ditahan kerana disyaki memiliki pas palsu.

“Kita juga menahan kekasihnya berusia 26 tahun dan dua rakan senegaranya kerana memiliki dadah jenis ganja.

“Semua mereka akan diserahkan kepada Balai Polis Nilai untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Menurutnya, operasi bermula kira-kira jam 12 tengah malam itu dilakukan di dua lokasi iaitu Taman Desa Melati dan Apartment Nilai 3 selepas menerima maklumat awam dan hasil risikan pihaknya.

“Pemeriksaan seramai 250 warga asing di flat terbabit membawa kepada penahanan 27 lelaki dan enam perempuan.

“Mereka semua terdiri daripada 10 lelaki Bangladesh, satu lelaki India, enam perempuan Indonesia , empat lelaki Pakistan, enam lelaki Sri Lanka, satu lelaki Myanmar dan lima lelaki Nepal,” katanya.

Faizal berkata, serbuan di Taman Desa Melati pula, pihaknya menahan tujuh warga asing termasuk pasangan kekasih itu dan seorang wanita warga tempatan.

“Salah seorang lelaki warga Nigeria mengalami luka di kepala dan muka selepas cuba melarikan diri dengan terjun dari rumah dua tingkat,” katanya.

Menurut Faizal, tangkapan seramai 41 orang itu akan disiasat mengikut  Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tiada dokumen perjalanan sah, Seksyen 15 (1)(c) akta sama tinggal lebih masa, Seksyen 56 (1)(l) akta sama kerana memiliki pas palsu dan Seksyen 56(1)(d) akta sama kerana memberi perlindungan kepada warga asing.

Semua mereka dibawa ke Depoh Tahanan Imigresen Lenggeng di sini untuk tindakan selanjutnya.


Sinar Harian

28 Ogos 2014

Lelaki masih hidup selepas kepala tertusuk pancang besi

KEADAAN Ho ketika dirawat di sebuah hospital di wilayah Guangxi selepas kepalanya ditembusi besi baru-baru ini.

BEIJING - Seorang lelaki masih hidup walaupun kepalanya ditembusi pancang besi yang terjatuh ketika dia mengubah suai rumahnya di wilayah Guangxi baru-baru ini, lapor MailOnline kelmarin.

Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Ho, 50, tertusuk besi sepanjang lebih setengah meter di bahagian kanan dahi dan menembusi rahang kirinya baru-baru ini.
Ketika kejadian, Ho sedang mengubah suai rumahnya apabila tertusuk pancang besi tersebut.
Beberapa doktor yang merawat lelaki itu berkata, mereka terkejut melihat mangsa bukan sahaja masih hidup tetapi berada dalam keadaan sedar ketika di bawa ke sebuah hospital di wilayah ini.
Doktor-doktor terpaksa memanggil pasukan bomba untuk memotong sebahagian besi itu sebelum membuat satu pembedahan rumit bagi mengeluarkan objek daripada kepala mangsa.
Seorang doktor berkata, Ho bernasib baik kerana besi itu tidak mengenai otak atau organ penting lain yang mungkin boleh menyebabkan mangsa mati.
"Keadaan pesakit kini semakin baik dan dia mungkin dibenarkan keluar dari hospital tidak lama lagi," katanya. - Agensi(KOSMO)


26 Ogos 2014

Wanita lelong rambut untuk menderma

XIOA menunjukkan rambutnya di kediamannya, semalam.
Selepas menyimpan rambutnya selama 15 tahun, seorang wanita di sini kini mencari pembeli untuk membeli rambutnya yang sepanjang dua meter dengan niat untuk mendermakan wang berkenaan kepada sebuah sekolah menengah di Ningxia.
Wanita berkenaan yang hanya dikenali sebagai Xiao, berkata dia mengambil keputusan menjual rambutnya menerusi Internet selepas mengetahu mengenai keadaan persekitaran persekolahan yang teruk di Ningxia. 
Tarikh untuk membidanya berakhir hari ini dan sehingga semalam bidaan tertinggi mencecah 10,000 yuan (RM5,100). 

Menurut Xiao, dia menerima tawaran sebanyak RM10,300 untuk rambutnya sembilan tahun lalu.
Ketika itu, rambutnya hanya panjang hingga ke betis.
“Saya mula memelihara rambut ketika belajar di universiti,” katanya.
 - Agensi 

Gempar lihat 'pengantin' separuh bogel

Orang awam mengambil gambar pasangan pengantin separuh bogel di Jalan Sultan Yussuf. Foto ini diambil daripada pengguna Facebook, Huang Xiao Lung.

IPOH: Gambar separuh bogel pasangan pengantin yang dikatakan bergambar di hadapan sebuah bank Jalan Sultan Yussuf kini mula tersebar dan menjadi tarikan di laman sosial.

Gambar tersebut menunjukkan pengantin wanita itu hanya memakai pakaian dalam dan vel pengantin, manakala pasangan lelaki tidak berbaju dan  hanya memakai 'bow tie' serta seluar panjang bewarna hitam.

Tidak dijelaskan bila penggambaran itu dibuat, namun gambar tersebut berada di laman sosial sejak Isnin.

Pasangan pengantin itu kelihatan tidak segan walaupun ada pengguna jalan itu mengambil gambar mereka.

Bagaimana pun, pengurus besar galeri perkahwinan yang hanya mahu dikenali sebagai Koo berkata, pasangan tersebut merupakan model dan hanya menjalankan penggambaran, bukan untuk berkahwin.

Koo yang menguruskan penggambaran itu berkata, jurugambar biasanya lebih 'kreatif' dan amat terkejut dengan maklum balas di laman sosial.

Katanya, dia sudah mengambil kira dari segi aspek undang-undang dan yakin ia bukan satu kesalahan.

"Orang ramai terlalu 'berlebih-lebih' kerana mereka tidak pernah melihat wanita yang memakai bikini berjalan di tengah jalan sebelum ini.

"Mereka ada hak untuk mengadu," jelas Koo sambil memberitahu sudah menjadi jurugambar profesional lebih 20 tahun.

"Saya memilih lokasi ini kerana amat bersesuaian dengan tema dan konsep," tambahnya.

Sementara itu, Ketua Polis Perak,  Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata, pihak belum menerima sebarang laporan, namun akan menyiasat perkara tersebut.

Sumber 


25 Ogos 2014

Kopi najis gajah bernilai RM221 secawan

BIJI kopi dikutip daripada najis gajah di sebuah pusat pemuliharaan haiwan itu di wilayah Chiang Rai, utara Thailand.

BANGKOK - Orang ramai yang ingin menikmati keenakan kopi yang menggunakan biji-biji kopi daripada najis gajah perlu membayar pada harga AS$70 (RM221) secawan.


Pengasas kopi jenama Black Ivory itu, Blake Dinkin, 44, berkata, dia telah menemui kaedah terbaik untuk menghasilkan kopi paling enak secara semula jadi menggunakan gajah-gajah yang dipelihara di kawasan Tiga Segi Emas Thailand di Chiang Rai.
"Kaedah ini dapat mengurangkan manis kopi selain mengekalkan rasanya. Saya inginkan pengguna menikmati rasa kopi yang sebenar, tidak pahit serta ada aroma bunga dan coklat.
"Gajah itu membantu membuangkan rasa manis dalam biji kopi secara semula jadi," kata Dinkin sambil memberitahu, biji kopi berkenaan hanya boleh didapati di hotel-hotel mewah di seluruh Asia dan negara timur tengah.
Kopi tersebut bagaimanapun tidak dapat menandingi kopi luwak yang dihasilkan menerusi najis musang di Indonesia kerana berharga AS$100 (RM316) secawan. - Agensi(KOSMO!)


21 Ogos 2014

2 Gambar,Budak lapan tahun miliki tangan 'gergasi'

GAMBAR menunjukkan Kaleem memiliki tangan 'gergasi' di India.- YOUTUBE

NEW DELHI - Pakar-pakar perubatan di India bingung dengan keadaan tangan seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun yang membengkak dan membesar beberapa kali ganda, lapor akhbar MailOnline semalam.

Kanak-kanak tersebut, Kaleem, memiliki saiz tangan sebesar 33 sentimeter yang diukur dari pergelangan tangan hingga jari tengahnya dengan berat mencecah sehingga 12 kilogram
Keadaan itu menyebabkan Kaleem sukar untuk melakukan beberapa perkara mudah seperti mengikat tali kasut, menyuap makanan dan memegang sesuatu objek.

Ibunya, Haleema, 27, berkata, dia menyedari Kaleem memiliki saiz tangan dua kali ganda lebih besar dari saiz seorang bayi normal sejak dia dilahirkan.
"Saya tidak ke sekolah kerana guru memberitahu murid-murid lain takut dengan tangan saya," kata Kaleem yang meminati sukan kriket.
Menurutnya lagi, dia turut menjadi mangsa buli rakan-rakannya kerana saiz tangannya yang besar.
Dalam pada itu, seorang doktor dari Institut Penyelidikan Memorial Fortis di Gurgaon dekat New Delhi, Dr. Krishan Chugh juga terkejut selepas melihat beberapa keping gambar kanak-kanak berkenaan.
Katanya, keadaan seperti itu sangat jarang terjadi dan ia mungkin berpunca daripada sejenis penyakit yang dikenali sebagai lymphangioma atau hamartoma yang menyebabkan berlaku keradangan teruk pada bahagian-bahagian tertentu dalam sistem badan. - Agensi


20 Ogos 2014

Tinggalkan suami kerana tandas


Golongan wanita sering mempunyai masalah untuk membuang air secara terbuka di India dan terpaksa menunggu waktu malam untuk melepaskan hajat. - AGENSI

Enam orang wanita yang baru setahun berkahwin, meninggalkan suami masing-masing dan pulang ke rumah ibu bapa mereka disebabkan kediaman suami tidak mempunyai kemudahan tandas.

Agensi berita, BBC melaporkan, kesemua wanita dari perkampungan Khesiya di daerah Kushinagar itu kembali ke rumah ibu bapa selepas suami mereka tidak menyediakan tandas di kediaman masing-masing.

Hampir separuh daripada 1.2 bilion rakyat India tidak mempunyai tandas di rumah dan golongan wanita sering menderita disebabkan masalah itu.

Keadaan itu juga menyebabkan kaum wanita terdedah kepada jenayah rogol yang berleluasa di India.
Seorang daripada pengantin baharu, Gudiya berkata, dia berasa sukar untuk melepaskan hajat di kawasan terbuka disebabkan rumah suaminya tidak mempunyai tandas.

"Ibu bapa saya mempunyai tandas di rumah, tetapi rumah suami saya, Ramesh Sharma tidak mempunyai kemudahan itu.

"Saya tidak suka keluar rumah untuk membuang air. Ini menyebabkan saya bergaduh dengan suami dan kembali ke rumah ibu bapa saya," katanya.

Selain Gudiya, Neelam Sharma, Sakina, Seeta, Nazrum Nisa dan Kalavati turut meninggalkan suami atas alasan sama.

Menurut Ashima Parveen yang tinggal di Khesiya, kesemua enam wanita itu berkahwin pada tahun lalu.
"Di kampung, mereka sukar untuk keluar ke kawasan terbuka untuk membuang air kerana musim hujan yang menyebabkan tanah lecak," katanya.

Dalam ucapan Hari Kemerdekaan India Jumaat lalu, Perdana Menteri, Narendra Modi berjanji untuk menyelesaikan masalah pembuangan air secara terbuka dalam kalangan rakyat negara ini.

"Kita kini berada dalam abad ke-21, tetapi golongan wanita masih terpaksa keluar ke tempat terbuka untuk membuang air dan terpaksa menunggu waktu malam untuk melepaskan hajat," kata beliau.

UTUSAN

19 Ogos 2014

AWAS ! Bakteria Dalam Minuman Anda


PETALING JAYA: Air yang anda beli dari mesin layan diri mungkin tidak sebersih yang anda fikirkan.

Sebanyak 29 sampel air telah diambil dari mesin tersebut di seluruh Lembah Klang dan hampir semuanya telah dicemari.

Terdapat beberapa jenis bakteria berbahaya seperti E. coli, Koliform dan bakteria bertoksin Clostridium perfringens - jenis bakteria yang sama terdapat di dalam air kumbahan yang tidak dirawat.

Koliform dan Clostridium perfringens juga merupakan bakteria yang sama terdapat dalam najis manusia dan haiwan.


Bakteria ini boleh menyebabkan kekejangan, cirit-birit dan masalah pencernaan yang lain.

The Star menjalankan beberapa ujian bersama dengan Forum Air Malaysia, sebuah organisasi yang ditubuhkan untuk membantu Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara.

Forum Air Malaysia membuat ujian terhadap 14 sampel pada April manakala The Starmenjalankan ujian terhadap 15 sampel.

Sampel-sampel air diambil dari mesin layan diri di sini dan di Subang Jaya, Cheras, Klang dan Kuala Lumpur.

Di bawah Akta Air Minum Selamat Malaysia, sepatutnya tidak ada sebarang kesan Koliform atau E. coli dalam air minuman.

Eksekutif Dasar dan Penyelidikan Forum Air Jesslyn Pek berkata adalah membimbangkan apabila kebanyakan sampel tidak menunjukkan kesan klorin atau fluorida bebas, yang merupakan bahan kimia yang diperlukan untuk membunuh bakteria di dalam air.

"Daripada ujian ke atas 14 sampel air, enam daripadanya didapati mempunyai sama ada Koliform atau E. coli dan tidak mengandungi klorin atau klorida bebas," katanya. 

"Klorin bebas mesti ada, kerana ia adalah pembasmi kuman," kata Pek.

"Terdapat piawaian untuk menentukan berapa banyak klorin bebas diperlukan untuk digunakan dalam air terawat, tetapi kerana ia tidak dapat dikesan di dalam semua sampel ini, ia menunjukkan bahawa jumlah yang tidak mencukupi telah digunakan."

Dalam ujian yang dijalankan oleh The Star dengan makmal bertauliah, semua 15 sampel didapati positif Koliform dan Clostridium perfringens.

Mesin menjual air banyak terdapat di bangunan pejabat, kediaman dan universiti atau kolej.

Orang ramai lebih suka membeli air ini kerana kosnya hanya kira-kira 20 sen seliter berbanding air botol, yang kosnya boleh mencecah lebih dari RM2 untuk jumlah yang sama.

Menurut sumber industri, pada tahun lepas Kementerian Kesihatan memulakan usaha di seluruh negara untuk memberikan lesen kepada pemilik mesin menjual air.

Walau bagaimanapun, sehingga kini, banyak yang tidak memberi respons.

Untuk mendapatkan lesen, pengendali perlu mengeluarkan sejumlah RM450 untuk setiap mesin dan menghantar air dari mesin untuk ujian kualiti di Jabatan Kimia.

Mereka juga perlu membayar yuran pemprosesan lesen RM130. 

Kos lesen selama dua tahun adalah RM150.


mStar Online

17 Ogos 2014

Wanita Rugi Lebih RM300,000 Ditipu Rakan Facebook


MIRI: Seorang kerani pentadbiran mendakwa kerugian RM348,050 akibat diperdaya seorang rakan lelaki yang dikenali melalui Facebook sejak Januari 2014.

Wanita berumur 52 tahun itu membuat laporan polis pada pukul 4.08 petang semalam mendakwa telah membuat 13 transaksi di pelbagai bank secara beransur-ansur, kata Ketua Polis Miri ACP Gan Tian Kee.

Beliau berkata polis akan mendapatkan penyata bank milik mangsa dan meminta bantuan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur untuk menyiasat kes itu.

"Jangan mudah percaya kenalan melalui Facebook, lebih-lebih lagi yang menjanjikan memberi pulangan keuntungan tinggi serta lumayan, ini modus operandi menipu," katanya kepada Bernama pada Sabtu.

Gan berkata, wanita itu berkata rakan lelaki yang mendakwa warga Britain memaklumkan akan menghantar 120,000 pound (RM632,400) yang diwarisi daripada bapanya, secara pos ke Malaysia dan wang itu kononnya untuk menjalani kehidupan bersama-sama dengan mangsa.

Katanya pada 10 Julai lepas seorang wanita yang mendakwa warga Britain menghubungi mangsa dan memberitahu wang itu telah sampai di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA).

Gan berkata, wanita tersebut meminta mangsa membayar yuran pos sebanyak RM6,450 dan mangsa telah mendeposit wang tersebut dalam akaun bank yang diberikan wanita itu.

Beliau berkata, mangsa sekali lagi dihubungi wanita berkenaan untuk menambah bayaran dengan mendakwa untuk tujuan bayaran yuran peguam bagi mendapatkan sijil untuk membolehkan mendapatkan wang berjumlah RM632,400 itu.

"Mangsa dihubungi lelaki tersebut pada 18 Julai lepas dan mendakwa telah tiba di Kuala Lumpur serta meminta mangsa membuat pembayaran cukai (bagi mendapatkan wang itu)," katanya.

Wanita itu membuat laporan polis selepas menyedari dirinya telah ditipu, katanya.

Gan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

mStar Online

15 Ogos 2014

Sos cili PERISA cicak, lipas

MAWAR menunjukkan cicak (bulatan atas) dan lipas (bulatan bawah) di dalam plastik selepas mendakwa menjumpai bangkai serangga dan reptilia itu di dalam botol sos cili di Seremban semalam.

SEREMBAN - Seorang ibu dari Taman Jasmin Indah, Senawang dekat sini terkejut apabila sos cili jenama terkenal yang dibelinya baru-baru ini di sebuah kedai runcit di sini rupa-rupanya bercampur bangkai cicak dan lipas.

Bangkai cicak dan lipas dalam sos cili yang mempunyai tanda sijil halal itu disedarinya ketika ingin memasak ayam paprik sekitar pukul 6.30 petang Selasa lalu.
Mawar Malinda Zakaria, 33, mendakwa bangkai cicak sepanjang dua sentimeter dan lipas itu keluar selepas menuang sos itu ke dalam sebuah bekas.
"Saya terkejut apabila mendapati ada cicak dan lipas berbau busuk keluar dari botol sos," dakwanya lagi ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.
KOSMO!

14 Ogos 2014

Neelofa segan angkara gosip panas

  • Neelofa berbual dengan Nik Abdul Aziz ketika mengadakan kunjungan di kediaman pemimpin itu di Pulau Melaka baru-baru ini.

KOTA BHARU - Desas-desus yang mengatakan pelakon dan pengacara televisyen popular, Neelofa akan berkahwin dengan kerabat di raja terus menjadi teka-teki semua pihak.

Apatah lagi apabila pengacara sensasi itu sendiri enggan memberikan sebarang komen berkaitan gosip panas itu dan memohon maaf supaya tidak diganggu media.

Bagaimanapun sumber terdekat artis cantik dari Pasir Mas, itu juga memberitahu cerita hangat di media sosial itu tidak betul.

Berikutan berita yang belum sahih itu, sumber berkenaan berkata, Neelofa mula berasa tidak selesa dan agak malu dengan gosip tersebut.

“Saya mendapat tahu sejak berita tersebut tersebar, dia (Neelofa) rasa janggal dan malu dengan gosip yang mengatakan akan menamatkan zaman bujangnya dengan kerabat Diraja.

“Siapa yang kata dia akan kahwin dengan kerabat Diraja sedangkan dia sendiri tidak pernah jumpa dengan kerabat tersebut,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

Dalam masa sama, sumber terbabit menafikan pertemuan bekas Dewi Remaja bersama bekas Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini menjadi punca kepada khabar angin berkenaan.

“Lagipun pertemuan bersama pemimpin itu adalah untuk dapatkan nasihat daripada beliau bukannya berbincang pasal jodoh,” katanya.


Sinar Harian

MH17: Pembantu juruterbang antara 16 mayat dikenal pasti


KUALA LUMPUR: Jenazah pembantu juruterbang Muhammad Firdaus Abdul Rahim adalah antara 16 mayat warga Malaysia dalam nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 yang telah dikenal pasti dan akan dibawa pulang seawal-awalnya minggu depan.

Bapa saudara Muhammad Firdaus, Azman Ibrahim berkata pihak MAS memaklumkan perkembangan itu kepada ibu dan kakak mangsa yang menetap di Shah Alam semalam, namun masih belum diberikan tarikh sebenar jenazah akan tiba di Malaysia.

"Kami diberitahu jenazah mangsa dikenal pasti menerusi padanan DNA. Kami juga diberitahu keluarga akan dibawa ke Amsterdam untuk mengiringi jenazah balik ke Malaysia," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, pada Rabu.

Tambahnya walaupun keluarga masih bersedih dan tidak tahu keadaan jenazah mangsa, mereka lega kerana sekurang-kurangnya dapat menyempurnakan jenazah selain menunaikan hasratnya untuk disemadikan di sebelah kubur arwah ayahnya di Teluk Intan, Perak.

Sebaliknya keluarga enam beranak Tambi Jiee tetap redha walaupun tidak mendapat sebarang perkhabaran daripada MAS berhubung nasib Tambi, isterinya Ariza Gazalee serta empat anak pasangan itu.

Sepupu Ariza, Zurusdi Mohamad Hol berkata keluarga masih menyimpan harapan untuk membawa pulang keenam-enam jenazah ke Semariang, Sarawak.

Turut sama menyimpan hasrat itu isteri pramugara Shaikh Mohd Noor Mahmood, Madiani Mahdi.

Madiani berkata pihak MAS menyuruh beliau bersedia namun masih belum menerima sebarang maklumat jika jenazah suaminya antara 16 yang akan dibawa pulang.

Tambahnya, pihak keluarga telah sepakat untuk mengebumikan arwah di kampungnya, di Klang jika jenazah mangsa berjaya dibawa pulang ke tanah air.

Penerbangan MH17 yang membawa 283 penumpang dan 15 anak kapal terhempas dipercayai ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai ketika dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur.

Selain 43 warga Malaysia, penumpang pesawat Boeing 777-200 itu turut terdiri daripada warga Belanda, Australia, Indonesia, United Kingdom, Jerman, Belgium, Filipina, Kanada dan New Zealand.


Astro Awani

13 Ogos 2014

Pelanggan Restoran Pizza Diusir Keluar, Tukar Lampin Anak Di Meja Makan

SEORANG ibu diusir keluar dari sebuah restoran pizza kerana menukar lampin kotor anak perempuannya di meja makan.
Miranda Sowers dan tiga anaknya diusir keluar dari Brother's Pizza Express di Spring, Texas, selepas dia bertindak menukar lampin anak perempuannya yang berusia empat bulan di meja makan.
Ketika kejadian, Sowers sedang menjamu selera bersama anak-anaknya di restoran berkenaan.
Bercakap kepada stesen berita Texas, KHOU, dia pada awalnya membawa anaknya ke tandas di restoran berkenaan tetapi mendapati ia tiada ruang penukaran lampin.
"Saya mempunyai pelapik saya sendiri, dia (anak) kecil, muat di atas kerusi. Jadi, saya cepat baringkan dia dan menukarkan lampin secara diam-diam," katanya.
Pengurus restoran, Donny Lala berkata, pekerjanya membuat keputusan tepat mengusir wanita itu.
"Sebaik sahaja anda membuka lampin itu, pelanggan-pelanggan mula mengadu mengenai bau busuk. Pelanggan muntah (kerana bau busuk) adalah perkara terakhir yang saya mahu dengar," katanya kepada Sowers.
Sowers bagaimanapun tidak membiarkan insiden diusir dari restoran tersebut begitu sahaja, sebaliknya dia memfailkan aduan dengan Biro Perniagaan Lebih Baik. - mirror.co.uk

12 Ogos 2014

Gadis hilang selepas keluar raya keempat

Gambar berkaitan kehilangan Nuratikah (kiri) dalam media sosial.

SIK - Seorang gadis berusia 23 tahun dipercayai hilang selepas keluar bersama rakan sejak 31 Julai lalu.

Nuratikah Ishak dari Kampung Cherok Damar, Sik dipercayai keluar ke Sungai Petani pada hari raya keempat dan tidak pulang ke rumahnya selepas itu.

Bimbang keadaan dan keselamatannya, keluarga gadis itu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sik keesokan harinya.

Ketua Polis Daerah Sik, Deputi Superintendan Ismail Ibrahim, mengesahkan menerima laporan daripada keluarga mangsa mengenai kehilangan Nuratikah.

“Kita ada menerima laporan daripada ibu bapa mangsa mengenai kehilangan anak perempuan mereka. Kita masih menyiasat punca sebenar kejadian,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, maklumat yang disebarkan dalam media sosial terutama Facebook yang mengatakan gadis itu dirogol 30 mat rempit dan dijual kepada tokan dadah tidak dapat dipastikan kesahihannya.

“Kemungkinan penyebaran maklumat itu adalah palsu. Ia mungkin berpunca dari perasaan dendam atau tidak puas hati rakan gadis yang menolak cintanya atau sebagainya,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Penyebaran maklumat melalui media sosial yang luas tersebar, Nuratikah dikatakan tidak pulang ke rumah dan didakwa dirogol oleh sekumpulan mat rempit sebelum dijual kepada tokan dadah.

Berita itu juga dikatakan disebarkan oleh abang mangsa, Shukri Ishak yang turut meminta kerjasama semua pihak menghubunginya jika menemui Nuratikah.


Sinar Harian

11 Ogos 2014

Pemuda Terkejut, Gigi Tumbuh Dalam Hidung

MISTERI pendarahan hidung yang dialami seorang pemuda Arab Saudi sejak tiga tahun lalu berakhir dengan penemuan mengejutkan dirinya, pasukan perubatan dan ahli sains perubatan.
Mana tidaknya, apabila pemeriksaan dilakukan terhadap hidung lelaki berusia 22 tahun itu, doktor menemui sebatang gigi yang tumbuh dengan sempurna.
Menurut laporan Live Science,  pemuda terbabit mengalami pendarahan hidung sejak tiga tahun lalu, namun tidak melakukan pemeriksaan kerana menganggap ia perkara biasa.
(Picture: American Journal of Case Reports)
Imbsan x berhubung kedudukan gigi pemuda terbabit.
Bagaimanapun apabila bosan dengan pendarahan tanpa kesakitan itu, dia telah membuat pemeriksaan di Kompleks Perubatan Tentera Raja Fadh di Dhahran.
Doktor yang memeriksanya terkejut dengan penemuan itu dan menjadikannya sebagai satu penemuan baharu dalam sains perubatan.
Bagaimanapun hasil usaha kumpulan doktor pakar, gigi berkenaan berjaya dicabut bagi memberikan keselesaan kepada pemuda terbabit.
mStar Online

10 Ogos 2014

INFO KESIHATAN,Bantal perlu diganti setiap 2 tahun


Hampir 70 peratus bersetuju bantal yang selesa amat penting untuk tidur malam yang lena tetapi ramai antara kita melakukan kesilapan apabila memilih bantal kegemaran masing-masing. Kita akan menggunakannya terlalu lama.

Pengarah Institut Tidur untuk Hidup, Robert Oexman berkata, sebenarnya, bantal patut ditukar setiap enam bulan dan perlu diganti selewat-lewatnya setiap dua tahun. 


“Ramai bercerita mengenai tilam yang semakin tidak selesa tetapi bantal sering dilupakan,” kata Oexman yang dipetik Huffington Post. 
Anda tidak boleh lihat mereka tetapi mereka bertumpu di objek yang sering digunakan manusia seperti tilam dan permaidani” Mark R Neustrom. Persatuan Alahan dan Asma Bandaraya Kansas

Rumah kutu dan habuk 

Tanpa disedari, bantal lama menjadi rumah kutu dan habuk boleh ditemui di tempat kita meletakkan muka setiap malam.

Habuk, minyak dan sel kulit mati terperangkap di bantal boleh membawa masalah jerawat. Hama yang tergolong dalam keluarga labah-labah juga suka berada di bantal.

“Anda tidak boleh lihat mereka tetapi mereka bertumpu di objek yang sering digunakan manusia seperti tilam dan permaidani,” kata Mark R Neustrom dari Persatuan Alahan dan Asma Bandaraya Kansas. 
Pembalut kedap udara tilam dan bantal pasti akan membantu selain membasuh tilam dan bantal selalu. Tempoh 30 minit dalam pengering juga membantu membersihkan kotoran dari bantal anda, kata Oexman.

Pilih bantal sesuai

Apabila tiba masa untuk membeli bantal baharu, pastikan matlamat adalah memilih bantal yang memenuhi ruang antara kepala dan bahu apabila anda baring.

“Bantal sempurna meletakkan kedudukan kepala lurus ketika anda bergerak dalam keadaan tidur yang digemari, katanya. 

Mereka yang tidur atas perut atau belakang memerlukan bantal lebih nipis berbanding mereka yang tidur di sisi, kata Oexman.

Pemilihan bahan bantal span, kekabu atau gel tidak menjadi masalah. Apabila membeli tilam, anda juga perlu membeli bantal baharu berikutan perubahan jarak kepala dan bahu akibat perubahan keanjalan tilam.


 - AGENSI

09 Ogos 2014

Anak Hilang Dihanyut Tsunami 10 Tahun Lalu Ditemui Semula

Jamaliah (kiri) sedia untuk melakukan ujian DNA bagi membuktikan bahawa Raudhatul (kanan) sememangnya adalah anak perempuannya. Foto AFP
SEORANG budak perempuan yang hilang dalam tragedi tsunami pada 2004 ketika berusia empat tahun dipertemukan semula dengan keluarganya selepas 10 tahun terpisah.
Raudhatul Jannah, 4, dan abang lelakinya terpisah dari ibu bapa mereka apabila bencana tsnami di Lautan Hindi melanda kampung halaman mereka pada 26 Disember 2004.
Ibu bapa Raudhatul mencari anak-anak mereka berbulan-bulan, tetapi takut tidak dapat menemuinya.
Beberapa tahun selepas itu, bapa saudara Raudhatul berkunjung ke sebuah pulau lain di mana menemui seorang budak perempuan yang difikirkannya adalah anak saudaranya.
Bapa saudaranya kemudian memberitahu Ibu Raudhatul yang masih berduka dengan kehilangan kedua-dua anaknya segera menyedari budak perempuan itu adalah anaknya, yang kini berusia 14 tahun.
Dikatakan bahawa Raudhatul terselamat dalam tragedi itu dengan memaut pada sebatang kayu dihanyutkan sehingga kepulauan terpencil di barat daya kampung halamannya, di mana dia dibesar selama 10 tahun oleh ibu kepada seorang nelayan yang menemuinya..
Ibu Raudhatul, Jamaliah memberitahu DPA: "Saya dan suami amat gembira kerana kami telah berjumpanya. Ini adalah keajaiban Tuhan.
"Jantung saya berdegup kencang apabila bertemu dengannya. Saya peluk dia dan dia peluk saya kembali, dan dia begitu selesa berada di pangkuan saya," tambahnya.
Raubhatul yang mempunyai masalah pembelajaran ekoran trauma yang dialaminya akibat tsunami, kini tinggal bersama keluarganya di Meulaboh.
Jamaliah berkata, dia sanggup untuk melakukan ujian DNA bagi membuktikan bahawa Raudhatul semenangnya adalah anak perempuannya.
Keluarga itu berharap agar abang Raudhatul yang turut hilang dalam insiden tsunami itu ketika berusia tujuh tahun, dapat ditemui semula.
 - metro.co.uk (mStar Online)

08 Ogos 2014

Mencari pasangan hidup di PASAR CINTA

Vang Thi Xo meniup daun di pekan Sapa. - Foto AFP

Temujanji memang bukan perkara mudah tetapi untuk mencari pasangan sesuai apabila menetap di perkampungan kecil dan terpinggir di kawasan pergunungan di Vietnam, ia hampir mustahil. 

Penyelesaiannya cuma dengan satu cara: pasar cinta. 


Selama beberapa generasi, penduduk muda daripada etnik minoriti di utara Vietnam mengunjungi pekan Sapa setiap malam Sabtu dengan harapan menemui bakal pasangan hidup. 

“Ia sungguh mengujakan. Saya mahu melihat jika berpeluang menemui gadis yang baik,” kata pemuzik tradisi Hmong, Giang A Vang, 50, mengenai lawatan pertamanya ke pasar cinta tiga dekad lalu. Seorang gadis kelihatan menonjol di kalangan ramai pengunjung ketika itu. 

“Apabila melihatnya buat kali pertama, saya memainkan biola saya. Saya bertanya sama ada beliau menyukainya, menyukai saya. Saya agak gemuruh,” katanya. 

Vang tidak bertepuk sebelah tangan. Beberapa minggu kemudian, beliau kembali ke pasar itu untuk bertemu kekasihnya, Vang Thi Xo dan bermain muzik bersama-sama sebagai tanda upacara percintaan Hmong, Vang memainkan biola dan kekasihnya meniup daun. 

Minoriti Hmong meniupkan daun, selalunya daun pisang, dengan menggulungkan ia dan meletakkan ia pada mulut supaya ia bergegar apabila ditiup yang menghasilkan bunyi kuat. 
Pasangan itu berkahwin tidak lama kemudian dan masih bersama sejak itu.


 - AFP(BH)

07 Ogos 2014

Cristiano Ronaldo tolak tawaran Pepsi demi Palestin

Cristiano Ronaldo

SIAPA sangka, walaupun dirinya bukanlah penganut agama Islam, namun keprihatinan ikon Real Madrid, Cristiano Ronaldo, ini wajar diberi pujian.

Di saat penduduk Palestin di Gaza terpaksa melalui penderitaan akibat kekejaman rejim Zionis, bintang terkenal ini giat menyalurkan bantuan.

Bukan sahaja dari segi wang ringgit, malah Ronaldo yang terkenal dengan panggilan, CR7, ini menolak untuk bekerjasama dengan Israel sejak dahulu lagi.

Terbaharu, Ronaldo bertindak menolak tawaran iklan televisyen komersial Pepsi, yang bernilai jutaan dolar.

Tindakan itu dibuat kerana memikirkan Pepsi menyumbangkan wang untuk membiayai tentera Israel.

"Pendirian saya tetap teguh untuk tidak memberi kerjasama kepada mereka.

"Saya tahu, Pepsi adalah salah satu produk yang menyumbang kepada tentera mereka (Israel). "Dari dahulu sehingga kini, saya tetap mengatakan tidak pada mereka!," tegasnya.

Pada tahun lalu, Pepsi mendapat kritikan hebat daripada peminat bola sepak seluruh dunia apabila iklan produk berkenaan dilihat menghina bintang berkenaan.

Menerusi iklan berkenaan, anak patung yang menggambarkan watak Ronaldo dicucuk dengan puluhan jarum seperti upacara hitam, voodoo.



Tanda sokongan Ronaldo terhadap kesengsaraan rakyat Palestin.

Selain itu, ada juga iklan di mana patung diikat pada landasan keretapi dengan kata-kata berbunyi, 'Kami melepaskan Portugal'.

Pun begitu, ekoran kecaman dan kritikan, Pepsi tampil memohon maaf kepada Ronaldo Fanpage Facebook Pepsi Co. Selain daripada tawaran Pepsi, Ronaldo juga pernah menolak menukar jersinya dengan pemain bola sepak Ternyata, tindakan Ronaldo itu jelas memberi tamparan hebat buat puak Yahudi, sehingga mengecamnya.

Namun, Ronaldo yang terkenal dengan sikap tegasnya memberitahu bahawa dia tidak akan baju dengan pembunuh.

"Saya tidak akan tukar baju saya dengan 'pembunuh'. Saya berada di bumi Palestin," kepada media antarabangsa ketika perlawanan Dunia 2014 lalu.

Sebelum ini, ramai yang memberi tanggapan buruk kepada bekas pemain Manchester United ini dan tidak kurang juga yang menyifatkannya sebagai sombong dan angkuh.

Namun, melihat kepada penglibatan Ronaldo dalam usaha membantu rakyat Palestin, ternyata tuduhan itu tidak berasas.

Malah, dia dipandang sebagai golongan selebriti yang baik hati, berperikemanusiaan dan prihatin terhadap masyarakat yang ditindas.

Menurut Ronaldo, dia mempunyai sebab-sebab tertentu mengenai sokongannya terhadap Palestin.

"Sebab utamanya ialah saya percaya kepada pembebasan Palestin.

"Selain itu, saya benci melihat anak-anak yang terpaksa menempuh kesulitan untuk meneruskan kehidupan.

"Saya mahu anak-anak kecil itu bebas daripada cengkaman keganasan dan melalui kehidupan yang lebih baik," katanya lagi.

Jelas Ronaldo, walaupun usia kecilnya tidak seperti kanak-kanak di Palestin yang hanya menunggu masa serangan, namun hatinya tetap tersentuh melihat mereka.

"Walaupun saya dan keluarga tidak pernah berdepan dengan peperangan seperti itu, namun saya dapat merasai sedikit kesengsaraan mereka.

"Ini kerana, kehidupan saya ketika kanak-kanak sangat daif dan kami sekeluarga pernah merempat.

"Bila mengingati saat itu, hati saya tersentuh dan sangat memahami keadaan kanak-kanak di sana," katanya.


  • Ronaldo memberitahu nilai penjualan kasut emasnya itu sepenuhnya disalurkan demi membantu anak-anak Palestin.


Lelong kasut kumpul dana

Sebenarnya, penglibatan Ronaldo dalam usaha membantu penduduk Palestin bukanlah setahun dua.

Malah, Ronaldo dikatakan pernah mengunjungi negara itu pada 2005 dan 2007.

Pada 2011, pemain bola sepak terkenal ini pernah memberikan kasut emas yang diraih pada tahun berkenaan kepada kelab lembaga amalnya.

Malah, ketika itu, Ronaldo memberitahu nilai penjualan kasut emasnya itu sepenuhnya disalurkan demi membantu anak-anak Palestin.

Menerusi laman sosial antarabangsa, lembaga amal Real Madrid berjaya melelong kasut emas milik Ronaldo sehingga RM6 juta.

Wang hasil lelongan itu disumbangkan untuk membina beberapa sekolah yang telah musnah ketika serangan terdahulu.

Pada 20 November tahun yang sama, Ronaldo menjual kasutnya dalam satu jualan lelong Real Madrid Foundation dengan mendermakan dana ke sekolah-sekolah di Gaza.

Lelongan kasut-kasut sukannya itu dapat membantu Palestin membina lapan sekolah di wilayah Palestin.

Sehingga kini, Real Madrid Foundation telah membantu membina 167 sekolah dalam 66 negara.

Terima kecaman hebat

Sokongan Pemain Terbaik Dunia 2008 ini tidak terhenti di situ apabila dia secara terang-terangan menzahirkan sokongan terhadap Palestin dengan mengenakan skarf Palestin dalam sebuah majlis.



Ronaldo sokong Palestin

Tindakannya itu mendapat kritikan dan kecaman hebat daripada media barat yang bersekutu dengan Yahudi.

Akibatnya, Ronaldo terpaksa berdepan dengan pelbagai bentuk tuduhan malah pihak berkenaan seakan memusuhinya dengan menceritakan segala keburukan bintang ini di laman-laman sosial.

Dalam kalangan yang mengecam, ada juga media yang menyokong dan menyifatkan tindakan bintang itu sebagai bentuk kemanusiaan.


Sinar Harian

Port Mak Ngah Skodeng !