Memaparkan catatan dengan label Filem. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Filem. Papar semua catatan

28 Oktober 2014

'Saya sedia dipanggil sotong' - Sharnaaz Ahmad

Sharnaaz Ahmad

PELAKON kacak, Sharnaaz Ahmad, meminta agar peminat melupakan 'Jebat' seketika untuk memberi peluang kepada Farish menerusi drama terbaharunya, Suamiku Encik Sotong yang mula bersiaran sejak semalam.

Mengakui bukan mudah membawa watak lelaki lembut, Sharnaaz menganggap ia adalah pengorbanan dalam karier lakonan demi tuntutan watak.

"Ini adalah kali pertama saya mencabar diri untuk membawa watak seumpama ini. Malah saya mengambil masa sehingga dua bulan untuk menerima tawaran ini memandangkan watak ini jauh berbeza dengan diri saya. Namun, jalan cerita sangat menarik!

"Menerusi drama ini, saya turut mengorbankan imej dengan membiarkan perut sedikit buncit walaupun mempunyai pusat gimnasium sendiri. Terlebih dahulu, saya ingin meminta maaf kepada penonton sekiranya lakonan kali ini tidak menjadi.

"Sehingga kini, saya tidak berani  menonton 'playback' takut timbul rasa tidak puas hati. Sejujurnya saya sudah mencuba sebaik mungkin. Kalau dulu orang panggil saya Jebat, sekarang saya bersedia dipanggil 'sotong'," katanya sambil ketawa.

Jelas Sharnaaz, drama ini bukanlah bertujuan mengeksploitasi golongan lelaki lembut, namun lebih kepada situasi di mana golongan ini sering dipergunakan orang lain.

"Dalam drama ini, saya sering menjadi mangsa Erica lakonan Amyra Rosli yang juga isteri saya sendiri. Namun, saya berkawan baik dengan Dhia (Hanis Zalikha) namun saya merahsiakan status saya daripadanya.

"Untuk mendalami watak ini, saya banyak melihat golongan ini bercakap termasuk kawan-kawan mekap artis dan memerhatikan cara berbual serta sikap mereka. Walaupun ia drama komedi, namun saya tetap memastikan hasil kerja saya terbaik dan buat betul-betul," katanya yang turut tampil bersama Nelydia menerusi drama, Setitis Kasih Darmia di TV9.

Drama arahan Eoon Shuhaini ini disiarkan setiap Isnin, 10 malam, di saluran Astro Ria dan Maya HD.

Selain kerjaya, Sharnaaz turut diheret dalam kancah kontroversi apabila dia menempelak wartawan akhbar (bukan Sinar Harian) berhubung artikel yang dikaitkan dengan kemalangan ngeri motosikal berkuasa tinggi di Lebuhraya Karak hingga menyebabkan dua penunggang maut.

Tegas Sharnaaz, dia menyifatkan  penulis itu tidak menghormati keluarga si mati dan tidak berfikir panjang sebelum menulis.

"Arwah Zali (Hazalli Khalid, 32,) adalah sahabat saya dan saya juga dari golongan 'rider'. Jangan sesekali menulis tanpa asas yang kukuh sekiranya anda bukan dari golongan ini kerana anda tidak akan faham.

"Cuba anda berada di tempat itu, bagaimana rasanya? Jangan sesekali cuba guna bahasa 'double standard' yang boleh membawa kepada pemahaman negatif!," katanya lagi.


Sinar Harian

29 Mei 2014

Ada lelaki sanggup tunggu saya 3 hingga 5 tahun - Maya Karin

Maya Karin 

KUALA LUMPUR: Aktres cantik, Maya Karin mengakui dia lebih selesa membiarkan identiti kekasihnya menjadi tanda tanya pelbagai pihak.

“Saya memang macam ini, tidak mahu berkongsi hal peribadi saya melainkan benda itu adalah penting.

“Malah kawan-kawan saya pun kadang-kadang tidak tahu siapa saya tengah berpacaran kerana saya senyap sahaja. Apatah lagi berkongsi secara umum di media sosial,” ujar penyanyi berusia 35 tahun itu.

Malah jelas pelakon kelahiran Bavaria, German itu mendedahkan ada lelaki yang sanggup menunggu dia untuk menerima cintanya.

“Ya, ada lelaki yang sanggup tunggu saya sehingga mungkin 3 hingga 5 tahun,” ujar Maya lagi.

Maya atau nama sebenarnya, Maya Karin Roelcke, 35 tahun sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga dengan jejaka Inggeris, Muhammad Ali atau Steven David Shorthose pada 2008 sebelum berpisah pada 2010. 


- Astro Gempak


09 April 2014

Hanez Suraya dibaling selipar?

Hanez Suraya

SEHINGGA kini, aktres Hanez Suraya, masih dikecam teruk oleh masyarakat dek kontroversinya menjalinkan hubungan dengan suami orang yang dikenali sebagai Mr R (Romie).

Bukan saja digelar 'perampas', pelakon Autumn di Hatiku juga tidak putus-putus menerima cacian dan cemuhan dari pelbagai pihak menerusi laman sosial seperti Instagram dan Facebook miliknya.

Mengakui berasa sedih dan tertekan dengan segala kritikan negatif tersebut, Hanez berkata, kecaman itu turut dirasai sehingga di luar sehingga membuatkan dia berasa kurang selamat.

"Selepas saya buat sidang media tu memang saya rasa sangat sedih. Sebab pandangan orang terhadap saya. Namun saya akui ia tidaklah sampai mendapat ancaman di luar.

“Ada sekali tu saya terserempak dengan orang yang membenci saya. Dia kata nak saja baling selipar pada saya. Tapi dia tak buatlah. Cuma dia cakap sajalah. Alhamdulillah, itu menandakan keadaan masih dapat dikawal lagilah.

“Selepas kejadian itu, atas nasihat keluarga, saya ada mengupah pengawal peribadi untuk menjaga keselamatan saya. Tetapi untuk acara-acara tertentu sahaja. Kalau ikutkan saya tak selesa bila ada orang sentiasa menjaga pergerakan saya. Tapi itu permintaan keluarga demi keselamatan saya,” katanya.

Enggan terlalu memikirkan situasi tersebut, Hanez berkata, dia akan kembali berusaha untuk mendapat kepercayaan peminat-peminatnya semula. Sebab itu juga, dia tidak jadi menarik diri dari membintangi teater Projek Kahwin, pada 12 hingga 14 Jun, di Istana Budaya.

“Memang takut saya untuk menerima semula tawaran berlakon teater ini, kerana bimbang penjualan tiket berkurangan dan akan mendatangkan kesan terhadap pihak pengurusan.

“Tetapi memandangkan saya mahu beraksi dan membuktikan kemampuan saya dalam bidang lakonan teater saya menyahut cabaran ini. Saya harap peminat akan menilai persembahan saya bukannya kisah peribadi saya,” katanya.

Teater terbitan Mask Team Productions arahan Muhammad Azri Ali turut diterajui, Kilafairy, Izzue Islam, Shah Iskandar, Imam Muda Asyraf, Sherry Alhadad, Zulin Aziz Fazleena Hishamuddin dan Kaka Azraff.

Sinar Harian

02 April 2014

Hanez Suraya diugut baling selipar terus pasang Bodyguard

Hanez Suraya
KUALA LUMPUR - Pelakon popular, Hanez Suraya terpaksa menggunakan khidmat pengawal peribadi selepas menerima beberapa ugutan daripada individu yang ingin mencederakannya dengan membaling selipar.
Hanez, 29, berkata, kejadian itu berlaku selepas dia terbabit dalam kontroversi bercinta dengan suami orang.
"Saya sebenarnya tidak selesa ada orang mengikut saya. Saya takut akan menyusahkan dia (pengawal peribadi).
"Apa pun perkhidmatan ini hanya bersifat sementara dan bukan untuk selama-lamanya. Keluarga tidak membenarkan saya keluar bersendirian," katanya ketika ditemui pada majlis memperkenalkan barisan pelakon baharu teater bertajuk Projek Kahwin yang akan berlangsung di Panggung Sari, Istana Budaya di sini semalam.
KOSMO!

19 Februari 2014

Hanez Suraya cari suami bukan kekasih

HANEZ mengakui mula berkenalan dengan bakal suaminya sejak hujung tahun lalu.


BERITA pelakon jelita, Hanez Suraya, 29, bakal mendirikan rumah tangga pada tahun ini bersama seorang ahli perniagaan berusia 34 tahun dalam sebuah akhbar mingguan baru-baru ini agak mengejutkan banyak pihak.
Tiada angin, tiada ribut, bekas kekasih penyanyi Awi Rafael itu tiba-tiba sahaja mahu berkahwin. Hanez yang dihubungi Kosmo! tidak dapat menyembunyikan perasaan gembiranya bakal bergelar isteri.
Bagaimanapun, Hanez masih lagi merahsiakan identiti bakal suami, tarikh dan lokasi pernikahan kerana semuanya masih dalam peringkat perancangan.
Tegas Hanez, dia ada sebab untuk terus berkahwin dan tidak bertunang seperti orang lain. Ikuti temu bual Kosmo! selanjut bersama Hanez.
Kosmo!: Kenapakah tiba-tiba sahaja terbuka hati Hanez untuk berkahwin?
HANEZ: Sebelum ini, apabila sudah kecewa bercinta saya tidak fikir soal perkahwinan. Apabila kenal seseorang yang jujur dan ikhlas untuk memperisterikan saya, buat apa tunggu. Jika saya tolak, bila lagi saya akan berkahwin. Jika saya minta dia tunggu, sampai bila dia sanggup tunggu. Mungkin sudah sampai jodoh.
Apakah keistimewaan bakal suami sehingga Hanez menerima lamarannya?
Kami kenal sejak hujung tahun lalu, tidaklah terlalu lama. Saya tidak kisah andai bakal suami saya orang yang sederhana kerana saya juga bukan datang daripada keluarga kaya raya. Terus-terang saya katakan sebelum mengenali bakal suami, saya memang mencari lelaki untuk dijadikan suami, bukannya kekasih untuk mengisi kesunyian. Bakal suami saya juga begitu. Dia kata, dia sudah ada semua benda kecuali isteri. Melihat keserasian dan kesungguhan nya itu membuatkan saya setuju.
Adakah Hanez sengaja memilih orang di luar industri seni untuk dijadikan suami selepas kecewa bercinta dengan artis?
Saya akui pengalaman lalu banyak mengajar saya. Bukan mahu memburukkan orang lain tetapi jika bekerja dalam industri yang sama, masa untuk berjumpa sangat terhad. Lebih baik saya cari orang di luar industri, andai bakal suami suruh saya berhenti berlakon saya akan ikut tetapi semuanya boleh dibincang dengan baik.
FIGURA ini mahu terus melangsungkan perkahwinan tanpa bertunang terlebih dahulu.


Mengapakah Hanez merahsiakan identiti bakal suami dan tarikh pernikahan?
Bakal suami bukan orang dalam industri seni, jadi tidak perlu untuk saya kenalkan sehingga dia sah menjadi suami saya. Begitu juga dengan tarikh nikah. Bukan apa, saya bimbang jika dihebahkan terlalu awal majlis tidak menjadi seperti dirancang. Majlis risik dan bertunang jika berlaku, hanya untuk keluarga, tetapi majlis nikah saya akan beritahu dan jemput semua orang termasuk pihak media. Bagi saya, perkara baik buat apa saya sorok. Apa yang pasti, saya akan berkahwin pada tahun ini juga.
Adakah Hanez ingin berkahwin dalam tahun ini juga kerana mengejar sasaran untuk berkahwin sebelum ini 30 tahun?
Sejujurnya, saya pernah letak sasaran untuk kahwin sebelum 30 tahun tetapi selepas putus cinta saya tidak fikirkan perkara itu. Saya serahkan semuanya kepada takdir. Saya percaya apabila terlalu mengharap dan mencari, cinta itu tidak akan akan datang. Namun apabila saya tidak cari, cinta itu datang dengan sendirinya tanpa saya sangka.
Mengapakah Hanez enggan mengadakan majlis pertunangan?
Bagi saya, bertunang itu sekadar adat, lainlah kalau saya tidak kenal siapa bakal suami. Kalau boleh saya mahu adakan satu majlis sahaja. Jimat masa dan kos. Idea saya memang ringkas, tetapi sebagai anak sulung, pastinya keluarga ingin lihat saya bertunang. Jika bertunang, mungkin sekadar cukup syarat sahaja dan diadakan sekali gus dengan majlis merisik.
Bagaimanakah dengan persiapan perkahwinan?
Sepatutnya sudah mula cari apa yang patut terutama lokasi pernikahan dan resepsi. Masalahnya, kami berdua sangat sibuk, jadi saya baru sahaja mula buat apa yang patut.
Saya harap peminat dan masyarakat doakan majlis perkahwinan saya berjalan dengan lancar.
KOSMO!


14 Februari 2014

Kini Nabila Huda Mahu Hidup Tenang Tanpa Glamor

Nabila Huda
PETALING JAYA: Pelakon Nabila Huda mengakui populariti bukan lagi perkara penting dalam karier seninya ketika ini tetapi dan ingin menjalani kehidupan normal serta hidup lebih tenang seperti orang lain.
Nabila atau nama sebenarnya Nabila Huda Suhaimi, 30, bagaimanapun berkata, dia tidak pernah berniat untuk meninggalkan dunia lakonan kerana bidang itu adalah minatnya sejak dahulu lagi.
"Sejak kecil saya sudah hidup dalam dunia glamor kerana pengaruh bapa dan kini ia bukan lagi tumpuan saya kerana saya ingin menjalani kehidupan normal seperti orang lain tanpa sebarang gangguan," katanya kepada mStar Online.
Pun begitu, Nabila mengakui, kehidupannya kini lebih tenang dan bahagia di samping anaknya, Keisha Laila yang kini berusia empat tahun.
Dalam pada itu, Nabil berkata, dia mengambil keputusan untuk tidak lagi bercakap mengenai soal peribadi dan cinta secara terbuka seperti mana sebelum ini.
Dia bukan serik untuk berbicara soal tersebut tetapi sudag letih untuk menjawab segala pertanyaan soal cinta selain bimbang ia mungkin akan disalah erti oleh sesetengah pihak.
"Pada tahap ini saya sudah letih untuk berkongsi cerita peribadi terutama soal cinta kerana ia tiada kena mengena dengan kerjaya saya sebagai pelakon.
"Kadang-kadang jika kita terlalu berfikiran terbuka juga ia mungkin menyebabkan sesetengah pihak akan memandang serong dengan kenyataan yang diberikan," katanya.
Dalam perkembangan lain, Nabila berkata, dia kini sedang sibuk dengan penggambaran drama arahan Erma Fatimah berjudul Kau Laksana Bulan dan Di Atas Kertas.
mStar Online

Bayi di negeri Mexico dilarang diberi nama Robocop

SALAH satu adegan yang menunjukkan pelakon Joel Kinnaman memakai kostum Robocop dalam filem terbaharu Robocop.

BANDAR RAYA MEXICO - Ibu bapa di negeri Sonora, barat laut Mexico tidak dibenarkan untuk menamakan anak mereka dengan nama Robocop, Twitter, Yahoo, James Bond, Terminator dan Rambo.

Robocop, Terminator dan Rambo merupakan nama watak yang terkenal dalam filem keluaran Hollywood.
Turut diharamkan ialah nama bahagian yang terdapat dalam kemaluan lelaki iaitu scrotum.
Anak-anak di negeri itu juga dilarang menggunakan nama Facebook, US Navy, Virgin, Hitler, Harry Potter, Email, Burger King, Chrismas dan band rock terkenal, Rolling Stone.
Nama-nama itu terkandung dalam senarai 61 nama yang tidak boleh diberikan kepada kanak-kanak.
"Ia bertujuan untuk melindungi kanak-kanak," kata Pengarah Pejabat Pendaftaran Awam Sonora, Cristina Ramirez. 
- Reuters(KOSMO!)


04 Februari 2014

LUNA MAYA GELI LIHAT DARAH

Luna Maya
Jakarta: Luna Maya mengakui dia sangat gembira terbabit dalam penggambaran filem seram ganas Killers walaupun terpaksa berdepan dengan pengalaman baru.
Kata selebriti kontroversi itu, Killers memberi peluang kepadanya memegang watak Dina Aditya isteri seorang wartawan Bayu Aditya (lakonan Oka Antara) yang terlalu memberi perhatian kepada kerjayanya membongkar skandal seorang ahli politik.
Kesungguhan Bayu menyebabkan hubungannya dengan Dina renggang.
Killers adalah filem usaha sama antara Indonesia dan Jepun dan diarah bersama Kimo Stamboel serta Timo Tjahjanto.
Ia turut dibintangi aktor Jepun, Kazuki Kitamura.
Dalam satu babak daripada filem yang sarat dengan adegan ngeri dan pembunuhan itu, Luna menceritakan dia perlu berbaring di atas katil dalam keadaan berlumuran darah.
Kata Luna, dia tidak keberatan melakonkan adegan sebegitu.
“Cuma kadang-kadang saya berasa geli,” katanya. “Saya amat berpuas hati dengan lakonan dalam Killers,” katanya. Katanya, tayangan perdana filem itu di Festival Filem Sundance 2014 Utah, AS mendapat sambutan hangat daripada penonton. 
- Agensi

30 Januari 2014

AC Mizal kembali dalam Gerak Khas


SELEPAS meninggalkan drama bersiri Gerak Khas pada 2009, Datuk AC Mizal atau nama sebenar Mizal Zaini dikhabarkan akan kembali dalam siri drama polis tersebut.

AC Mizal yang juga yang terkenal dengan bidang pengacaraan seperti program Akademi Fantasia dan juga Maharaja Lawak Mega akan mewarnai siri baru drama itu.

Penerbit dan Pengarah Urusan Skop Production, Datuk Yusof Haslam berkata, berbincang dengan AC Mizal dan memberi tawaran kepadanya untuk berlakon dalam Gerak Khas.

“Saya ada berjumpa dan berbincang dengan dia mengenai perkara ini. Dia telah bersetuju untuk berlakon bersama saya.

“Saya akui dia sememangnya seorang yang begitu sibuk dengan kerjayanya tetapi saya berbesar hati bila dia mahu kembali dalam Gerak Khas,” katanya.

Ditanya adakah AC Mizal akan menjadi pelakon tetap untuk drama itu, Yusof Haslam menyatakan beliau akan menjadi artis undangan atau penampilan istimewa kali ini.

“Kalau dia boleh menjadi pelakon tetap dalam siri kali ini memang saya alu-alukan tetapi seperti yang sedia maklum AC Mizal mempunyai banyak komitmen lain.

“Untuk watak dia saya belum putuskan lagi adakah akan memegang watak polis atau pun watak-watak lain.

“AC Mizal yang sebelum ini pernah bergandingan dengan Abby Abadi dalam drama bersiri Gerak Khas merupakan seorang pelakon yang berjaya memberikan impak besar kepada penonton,” katanya.

Selepas 12 tahun bersiaran di stesen Radio Televisyen Malaysia kini drama ini akan kembali bagi siri baru untuk 2014.

Drama yang berjaya menarik seramai 1.2 juta penonton ini juga bakal menampilkan muka-muka baharu dan lama untuk digandingkan.

“Pelakon baharu yang saya ambil ini merupakan pelakon-pelakon muda yang mempunyai potensi untuk memegang watak yang diberikan,” katanya.

Yusof Haslam berkata, selepas begitu lama bersiaran, drama ini berehat ini dihentikan buat sementara tetapi bagi 2014 Gerak Khas akan menemui peminatnya.

“Selepas dua tahun berehat, drama ini akan telah kembali dan akan bersiaran bermula 14 Februari nanti dengan lebih mantap dan menarik.

“Bagi musim baru ini, sebanyak 13 episod akan menemui penonton dan menjangkakan sokongan terhadap drama ini masih tinggi,” katanya.

Kredit : sinarharian

25 Januari 2014

Yana Samsudin Minta Perubahan Wajahnya Tidak Dijadikan Isu

Yana menafikan dia melakukan pembedahan plastik untuk memcantikkan wajahnya.
PETALING JAYA: Pelakon Yana Samsudin menjelaskan perubahan fizikalnya terutama pada bahagian muka bukan kerana dia melakukan pembedahan sebaliknya mengalami penurunan berat badan secara mendadak.
Yana, 30, berkata, cakap-cakap yang mengatakan dia melakukan pembedahan untuk mengubah rupa parasnya sama sekali tidak masuk akal dan berharap ia tidak lagi dijadikan isu.
"Apa yang anda lihat bukan kerana saya menjalani pembedahan muka atau hidung seperti didakwa dan belum pernah lagi terlintas di fikiran saya untuk buat begitu.
"Perubahan ini disebabkan penurunan berat badan saya agak mendadak sejak akhir-akhir ini sehingga menyebabkan raut wajah saya kelihatan berbeza," katanya kepada mStar Online.
Yana menjawab spekulasi yang mendakwa dia melakukan pembedahan plastik pada bahagian hidung dan wajahnya pada akhir tahun lalu.
Sementara itu, Yana secara terbuka mengakui sudah tiba masanya dia mula memikirkan soal perkahwinan secara serius sejajar dengan peningkatan usianya sekarang.
Jelas Yana, dia bersedia untuk mengakhiri zaman solonya pada tahun ini sekiranya bertemu jodoh yang sesuai.
"Usia saya bukan semakin muda tetapi semakin meningkat dan sudah tiba masanya soal perkahwinan menjadi agenda penting untuk saya pada tahun ini," katanya.
Pelakon itu sebelum ini pernah mengakui berkawan rapat dengan adik kepada aktor Farid Kamil iaitu Fadzil Zahari.
Dalam pada itu, mengulas mengenai pencalonannya dalam Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2013 (ABPBH 2013), Yana berkata, dia terkejut sekali lagi terpilih untuk dicalonkan dalam kategori Pelakon Filem Wanita Popular.
Bagaimanapun, dia amat berterima kasih kepada para peminatnya yang tidak jemu-jemu memberi sokongan dan mengundinya sehingga dicalonkan dalam peringat 'Top 5'.
"Soal menang atau kalah tidak menjadi perkara penting kerana dapat pencalonan pun sudah membuatkan saya berbesar hati," katanya yang membawa pulang trofi kategori sama pada ABPBH tahun lalu.
Kredit : mStar Online

23 Januari 2014

Salina Saibi Pernah Rasa Bosan Jadi 'Polis'

Salina Saibi lebih bersemangat melakonkan watak Inspektor Salina dalam Gerak Khas musim baharu.
PETALING JAYA: Pelakon Salina Saibi pernah berasa bosan apabila memegang watak sebagai Inspektor Salina selama empat tahun dalam drama bersiri kepolisan Gerak Khas.
Salina, 32, berkata, peluang berehat selama dua tahun daripada melakonkan watak tersebut sedikit sebanyak memberi peluang kepadanya memberikan nafas baru kepada watak tersebut untuk musim terbaharu.
"Saya pernah berasa bosan apabila melakonkan watak yang sama selama empat tahun saya terlibat dalam drama Gerak Khas ini.
"Langkah Datuk Yusof Haslam merehatkan drama ini selama dua tahun iaitu 2012 dan 2013 memberi ruang kepada saya untuk mencuba berlakon watak-watak lain juga sebelum kembali semula melakonkan watak ini," katanya kepada mStar Online.
Dalam pada itu, Salina berkata, biarpun watak anggota polis tersebut hanyalah sekadar lakonan, namun dia sentiasa menjaga kelakuan dan tingkah laku ketika berada di luar agar tidak mengundang imej buruk kepada badan beruniform tersebut.
Katanya, sikap dan disiplin sebagai seorang anggota polis yang dilakonkan sering terbawa-bawa di luar set penggambaran.
Salina Saibi
"Saya sentiasa jaga tingkah laku agar orang tidak memandang serong pada perbuatan kita lebih-lebih lagi orang ramai mengenali saya dengan watak polis,” katanya.
Sementara itu, Salina turut menyifatkan penerbit drama tersebut iaitu Yusof Haslam sebagai seorang yang sangat memahami dan mudah berbincang.
Jelasnya, Yusof memahami tanggungjawabnya sebagai seorang ibu dan sentiasa memberi kelonggaran untuk dia memberi keutamaan kepada keluarga.
"Datuk Yusof sangat memahami, walaupun penggambaran dilakukan setiap hari, namun dia beri saya untuk bercuti pada Sabtu dan Ahad bagi memberi peluang kepada saya untuk bersama keluarga," katanya.
Selain Salina, drama ini turut dibarisi pelakon popular Norman Hakim, Afiq Muiz, Nizen Ayob, Shanorbiah Shamsir Alam, Zabri Ibrahim dan Mas Hidzir Khan.
Gerak Khas musim baharu akan mula ditayangkan pada 14 Februari depan setiap Jumaat, pukul 9 malam di TV2.
Kredit : mStar Online

Port Mak Ngah Skodeng !