30 Jun 2014

Pekerja restoran melampau,peluk anak Dara orang sesuka hati

Gambar dipercayai suspek dengan tangan bergari mula disebarkan di Facebook.

SEREMBAN – Seorang wanita terkejut apabila dua pekerja warga asing sebuah restoran, di sini dengan berani memeluk dan mengusap anak perempuannya berusia 10 tahun secara tiba-tiba ketika dia sedang membeli air, Khamis lalu.

Ibu mangsa berusia 30-an yang enggan dikenali berkata, ketika kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu anaknya turun membeli air seorang diri di restoran berkenaan.

Menurutnya, dia memberhentikan kenderaannya di hadapan kedai makan terbabit dan hanya menunggu di dalam kereta bersama seorang lagi anak perempuannya berusia enam tahun.

“Saya suruh anak sulung turun seorang diri kerana hanya mahu membeli air. Malah kereta saya diparkir betul-betul berhadapan kedai makan berkenaan.

“Dari dalam kereta saya lihat pergerakan anak. Tapi tiba-tiba saya pelik apabila salah seorang pekerja di situ memeluk anak saya dari belakang,” katanya.

Malah katanya, seorang lagi pekerja turut bertindak di luar batasan apabila dengan sengaja mengusap leher dan pipi anaknya.

Berang dengan keadaan itu, dia membunyikan hon kereta beberapa kali sebagai tanda amaran sebelum pekerja terbabit melarikan diri dan bersembunyi di bahagian belakang kedai.

“Saya turun berjumpa dengan penyelia restoran terbabit kerana tidak berpuas hati dengan tindakan kurang sopan tersebut.

“Tapi dia memujuk saya agar tidak membesarkan hal itu dan meminta maaf mewakili pekerjanya. Saya memang bengang sangat sebab dia berani usik anak perempuan saya macam itu. Memang dia masih kanak-kanak tapi janganlah sesuka hati mahu memeluk dan mengusik anak orang,” katanya.

Sebaik sahaja pulang ke rumah, dia memaklumkan perkara itu kepada suaminya sebelum membuat laporan di Balai Polis Senawang.

Sementara itu, Sinar Harian mendapati, gambar dua lelaki warga asing dengan tangan bergari dipercayai suspek  mula disebarkan di laman Facebook, sejak Khamis lalu.

Malah ia turut mendapat pelbagai maklum balas orang ramai yang ternyata sangat terkejut dan tidak berpuas hati dengan kejadian yang berlaku.

Sinar Harian

29 Jun 2014

Tonton TV lebih tiga jam undang risiko mati muda

Amalan menonton televisyen secara keterlaluan boleh meningkatkan risiko mati muda.

Golongan dewasa perlu kerap bersenam, elak tempoh rehat lama

Barcelona: Kajian di Sepanyol mendapati golongan dewasa yang menonton televisyen lebih tiga jam sehari meningkatkan risiko mereka untuk mati pada usia lebih muda. 

Penyelidik berkata, golongan berkenaan sebaliknya perlu bersenam lebih kerap, mengelakkan tempoh rehat terlalu lama dan mengurangkan menonton televisyen kepada sejam atau dua jam sehari. 
Hasil kajian kami konsisten dengan pelbagai kajian sebelum ini yang menunjukkan kaitan antara tempoh lama menonton televisyen dengan kematian” Miguel Martinez-Gonzalez, Pengerusi Jabatan Kesihatan Awam Universiti Navarra, Sepanyol

“Menonton televisyen menyebabkan diri tidak aktif dan gejala itu kian meningkat kini. Hasil kajian kami konsisten dengan pelbagai kajian sebelum ini yang menunjukkan kaitan antara tempoh lama menonton televisyen dengan kematian,” kata penulis utama kajian dan Pengerusi Jabatan Kesihatan Awam Universiti Navarra, Sepanyol, Prof Miguel Martinez-Gonzalez.

Kajian itu membabitkan seramai 13,284 graduan universiti di Sepanyol yang masih muda dan sihat, dengan purata umur 37. Daripada jumlah itu, 60 peratus adalah wanita.

Tiga aktiviti tak aktif

Tiga aktiviti tidak aktif iaitu masa menonton televisyen, masa menggunakan komputer dan masa memandu digunakan untuk menentukan risiko kematian. 
Peserta terbabit dipantau selama 8.2 tahun. Penyelidikan melaporkan 97 kematian, dengan 19 daripadanya disebabkan penyakit kardiovaskular, 46 akibat barah dan 32 lagi kerana pelbagai punca. 

Risiko kematian adalah dua kali ganda lebih tinggi di kalangan peserta yang dilaporkan menonton televisyen tiga jam atau lebih sehari berbanding mereka yang menonton sejam atau kurang.

Penemuan itu lebih jelas selepas mengambil kira pelbagai punca lain yang berkaitan dengan risiko tinggi kematian. Kajian mendapati tiada kaitan antara masa digunakan untuk komputer atau memandu dengan risiko tinggi kematian pada usia muda.

Kaji kesan memandu, guna komputer 

Penyelidik berkenaan menambah, kajian selanjutnya perlu dilakukan untuk mengesahkan kesan yang mungkin wujud antara penggunaan komputer atau memandu ke atas kadar kematian dan memastikan mekanisme biologikal yang menjelaskan kaitan itu.

“Penemuan kami menunjukkan golongan dewasa mungkin perlu meningkatkan aktiviti fizikal mereka, mengelakkan tempoh rehat yang panjang dan mengurangkan waktu menonton televisyen kepada tidak lebih sejam hingga dua jam sehari,” katanya. 


- AGENSI

28 Jun 2014

Felixia Yeap peluk Islam 5 Ramadan

Felixia Yeap

"SAYA akan mengucap pada 5 Ramadan ini, iaitu pada 3 Julai ini (Khamis)," kata model pakaian Muslimah, Felixia Yeap, ketika menjadi panel  jemputan di Program Semarak Ramadan anjuran kerajaan Negeri Selangor di Dataran Shah Alam malam ini.

Felixia berkata, tarikh 5 Ramadan dipilih kerana ianya jatuh pada hari ulang tahun kelahirannya.

"...5 Ramadan iaitu jatuh pada  3 Julai ini iaitu pada hari 'birthday' saya, hari itu juga merupakan hari kegemaran Nabi Muhammad," katanya.

Ketika berbicara mengenai puasa, Felixia berpesan supaya umat Islam Malaysia tidak meninggalkan puasa.

Sementara bercakap mengenai ciri-ciri suami idamannya, Felixia berharap lelaki itu seorang yang mampu membawanya ke jalan syurga.

"Biarlah beliau seorang yang mampu membimbing saya ke jalan jannah," katanya.


Sinar Harian

24 Jun 2014

Pelik ! LEMBU PANJAT BUMBUNG


LEMBU dari Bern, Switzerland ini mungkin sudah puas hidup di atas tanah dan ingin mencuba sesuatu yang baharu.

Ia dikatakan naik ke atas bumbung dan terperangkap kerana tidak boleh turun.

Pada awalnya, haiwan itu dipercayai sedang meragut rumput terletak di belakang rumah tersebut.

Selepas beberapa ketika, ia mula berpindah ke kawasan lain lalu memanjat rumah itu.

Pemiliknya, Dieter Mueller berkata, lembu berkenaan adalah salah seekor lembu peliharaannya yang sering mendatangkan masalah.

"Ia selalu buat hal dan buat saya marah," katanya kepada Mirror Daily.

Sementara itu, jiran Rolf Steiner berkata, dia seperti tidak percaya apabila melihat seekor lembu di atas bumbung dan menyifatkan kejadian itu sebagai luar biasa.


Sinar Harian

23 Jun 2014

Pelajar 'pailang' mengaku salah

Tiga pelajar perempuan keluar dari mahkamah setelah mengaku bersalah. FOTO Azahan Rosli
Kota Samarahan: Tiga pelajar perempuan berusia 16 tahun yang terbabit dalam video 'budak pailang' mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Kota Samarahan di sini, atas tuduhan melakukan ugutan jenayah dan mendatangkan kecederaan kepada seorang pelajar perempuan berusia 15 tahun di Sekolah Menengah Kebangsaan Hajah Laila Taib April lalu.
Pelajar terbabit mengaku bersalah di depan Majistret Zulhairil Sulaiman dan hukuman akan ditetapkan 11 Julai ini selepas meneliti laporan akhlak tertuduh.
Seorang tertuduh dikenakan dua pertuduhan mencederakan dan melakukan ugutan jenayah, manakala dua yang lain dituduh atas kesalahan menyebabkan kecederaan kepada mangsa.

Tertuduh yang hadir ditemani ibu bapa masing-masing dibebaskan dengan jaminan RM5,000 setiap seorang dan dikehendaki melaporkan diri di balai polis setiap minggu.
Pendakwaan dibacakan Timbalan Pendakwaraya Nur Nisla Abd Latif manakala tertiduh tidak diwakili peguam.
Video tertuduh membelasah mangsa dimuatnaik di Youtube dan menjadi viral di laman sosial.
myMetro

Video: Pemain BOlasepak Piala Dunia Ghana Bersedekah Bantu Penduduk Islam Brazil

Sulley Muntari

KEBIASAANNYA peminat bola sepak mengetahui pemain manakah yang mendapat pendapatan paling tinggi dan mereka yang menghimpun pelbagai jenis kereta sukan selain skandal bersama wanita.
Tetapi berapa ramai pula yang tahu siapakah pemain bola sepak dunia paling pemurah dalam saingan Piala Dunia kali ini.
Dermawan yang dimaksudkan ialah bintang Ghana, Sulley Muntari yang juga pemain tengah AC Milan.
Muntari yang beragama Islam sebelum ini cukup terkenal di Ghana apabila dia membina sebuah masjid di kampung halamannya selain kerap membantu saudara seIslam yang kesusahan.


Berikutan itu, dalam kempen Piala Dunia kali ini, Muntari mendapatkan pelepasan khas daripada jurulatihnya, Kwesi Appiah untuk ke kawasan penempatan masyarakat Islam miskin di Brazil iaitu di Maceio untuk bersedekah.
Ketika berjalan dan bergambar bersama masyarakat Islam di situ Muntari turut menghabiskan wangnya dengan bersedekah sebagai usaha membantu saudara seIslam yang kesusahan.
Sumber

21 Jun 2014

Polis Yang Tertuduh Dalam Kes Altantuya Ditangkap Khalwat

Azilah Hadri ketika perbicaraan di Mahkamah Tinggi Shah Alam dalam kes Altantuya pada 2011.

KUALA LUMPUR: Seorang daripada tertuduh dalam kes pembunuhan wanita warga Mongolia Altantuya Shaariibuu pada 2006, Cif Inspektor Azilah Hadri, pada Khamis ditangkap khalwat bersama seorang anggota polis wanita. 

Mereka dikatakan ditangkap oleh suami wanita terbabit yang juga seorang anggota polis pada kira-kira pukul 2 pagi di perumahan polis Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang.

Ketua Polis Daerah Sepang Supt Mohd Yusoff Awang ketika dihubungi Bernama mengesahkan tangkapan khalwat itu.

Katanya, Azilah, anggota Unit Tindakan Khas dan wanita tersebut akan dirujuk kepada Jabatan Agama Islam Selangor atas pertuduhan khalwat dan polis juga telah membuka kertas siasatan untuk tindakan tatatertib terhadap mereka.


"Perkara ini masih dalam siasatan pihak polis," katanya.

Isnin ini, Azilah sepatutnya hadir ke Mahkamah Persekutuan bagi prosiding rayuan pihak pendakwaan terhadap pembebasan dan pelepasannya bersama seorang lagi tertuduh dalam kes itu, Koperal Sirul Azhar Umar, 43.

Kedua-dua mereka didakwa membunuh Altantuya, 28, di Mukim Bukit Raja, Shah Alam, antara 10 malam, 19 Oktober dan 1 pagi, 20 Oktober 2006.


mStar Online

20 Jun 2014

Tarikh Melihat Anak Bulan Ramadan 27 Jun


KUALA LUMPUR: Tarikh dan masa melihat anak bulan Ramadan untuk menetapkan permulaan puasa ialah pada petang Jumaat, 27 Jun bersamaan 29 Syaaban. 

Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja dalam kenyataan pada Jumaat berkata Majlis Raja-Raja telah mempersetujui bahawa cara menetapkan tarikh permulaan puasa adalah berdasarkan rukyah (melihat anak bulan) dan hisab (pengiraan secara matematik dan astronomi). 

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja akan mengisytiharkan pada malam itu juga tarikh permulaan Puasa melalui radio dan televisyen.

Menurut pejabat itu, jawatankuasa-jawatankuasa yang berkenaan akan melihat anak bulan Ramadan di Pontian Kecil, Johor; Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara, Melaka; Telok Kemang, Port Dickson, Negeri Sembilan; Bukit Melawati, Kuala Selangor, Selangor; Bukit Jugra, Banting, Kuala Langat, Selangor dan Balai Cerap Selangor, Sabak Bernam di Selangor; Pantai Pasir Panjang, Mukim Pengkalan Baru, Manjong, Perak dan Pusat Falak Sheikh Tahir, Pantai Aceh, Pulau Pinang.

Lokasi lain ialah Kampung Pulau Sayak, Kuala Muda; Pemandangan Indah, Pulau Langkawi dan Menara Alor Setar di Kedah; Bukit Besar, Kuala Terengganu; Bukit Geliga, Kemaman; Pulau Perhentian, Besut dan Balai Cerap KUSZA, Mukim Merang, Setiu di Terengganu; Bukit Peraksi, Pasir Puteh; Bukit Kampung Tembeling, Mukim Manjur, Daerah Olak Jeram, Kuala Krai dan Menara Bangunan SEDC, Jalan Tengku Putera Semerak, Kota Baharu di Kelantan.

Tempat lain pula ialah di Tanjong Lubang, Miri; Teluk Bandung, Kuching dan Tanjung Batu, Bintulu di Sarawak; Balai Cerap Al-Biruni, Tanjung Dumpil, Putatan, Sabah; Bukit Tanjung Batu, Nenasi; Gunung Berincang, Cameron Highlands dan Bukit Pelindong, Kuantan di Pahang; Tingkat 13, Menara Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan, Menara Kuala Lumpur, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya dan Kuala Sungai Baru, Simpang Empat, Perlis.

Sumber

18 Jun 2014

Peminat BOLASEPAK Piala Dunia mati kerana kurang tidur

REAKSI peminat sukan bola sepak China semasa menyaksikan perlawanan pembukaan Piala Dunia 2014 antara Brazil dan Crotia di Xuchang, utara wilayah Henan baru-baru ini.

SUZHOU, China - Seorang peminat bola sepak mati dipercayai akibat kurang tidur selepas berjaga beberapa malam untuk menonton siaran langsung Piala Dunia.

Lelaki yang berusia 25 tahun itu ditemui mati di hadapan televisyen di rumahnya di Suzhou berhampiran Shanghai.
Perbezaan waktu antara Suzhou dan Brazil adalah 11 jam.
Ini bermakna peminat bola sepak di China perlu berjaga sepanjang malam untuk mengikuti perlawanan Piala Dunia, lapor laman web Yahoo Sports.
Doktor berkata, kematian itu berkaitan dengan kurangnya tidur.
Bagaimanapun, masih tidak pasti sama ada ia disebabkan oleh keletihan atau kemungkinan serangan jantung, lapor agensi berita, Xinhua.
Kematian lelaki itu menunjukkan wujudnya peningkatan masalah obses terhadap internet dan televisyen di China.
Malah, hospital di China juga menyaksikan peningkatan bilangan pesakit yang dimasukkan dengan gejala keletihan semasa Piala Dunia 2006 dan 2010 yang berlangsung sebelum ini, lapor Xinhua.
Dalam Kejuaraan Bola Sepak Eropah (Euro) 2012, seorang penyokong bola sepak juga dilaporkan mati akibat keletihan selepas 11 malam tidak tidur untuk menonton setiap perlawanan kejohanan itu.
 - Agensi(KOSMO!)

17 Jun 2014

Gadis China bergayut setengah jam di luar tingkap tunggu bantuan

BULATAN menunjukkan gadis warga China bergayut di luar tingkap di tingkat 10, Kondominium Bam Villa di Taman Maluri, Cheras, Kuala Lumpur semalam.

KUALA LUMPUR – Seorang wanita warga China terpaksa berpaut kira-kira setengah jam di luar tingkap rumahnya yang terletak di tingkat 10 sebuah unit kondominium yang terbakar semalam.

Dalam kejadian pada pukul 3 petang di Kondominium Bam Villa di Taman Maluri, Cheras di sini, mangsa Zhouo Yan, 29, bernasib baik apabila pasukan penyelamat cepat bertindak untuk menyelamatkannya.
Difahamkan, api bermula di ruang tamu rumah yang didiami Zhouo Yan sebelum wanita itu panik lalu terus memanjat tingkap di biliknya menggunakan sebuah kerusi plastik.
Mangsa kemudian berpaut pada bingkai tingkap dan bergayut di situ sehingga dia diselamatkan oleh pasukan bomba dan penyelamat setengah jam kemudian.
Dua rakan mangsa yang turut berada di rumah itu sempat keluar mengikut pintu depan rumah sebaik kebakaran tersebut berlaku.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pudu, Azahar Yaacob berkata, semasa diselamatkan, mangsa berada dalam keadaan takut dan panik.
“Badan mangsa juga dipenuhi jelaga akibat asap tebal ekoran kebakaran di dalam rumah itu,” katanya di sini semalam.
KOSMO!

16 Jun 2014

Pokok kurma berbuah lebat jadi tarikan di Kota Bharu

ORANG ramai tertarik dengan pokok kurma yang lebat berbuah di Bulatan Tuan Padang, Kota Bharu semalam.

KOTA BHARU - Kawasan Bulatan Tuan Padang (Bulatan Jam Besar) di sini menjadi tarikan orang ramai sejak beberapa hari lalu apabila beberapa batang pokok kurma yang ditanam di kawasan tersebut mengeluarkan buah yang lebat.



Menurut Setiausaha Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI), Rosnazli Amin, pihaknya telah menanam sebanyak 37 batang pokok kurma sekitar bandar itu sejak tujuh tahun lalu.
"Antara lokasi pokok itu ditanam ialah di Bulatan Jam Besar iaitu sebagai suatu perlambangan kepada MPKB diisytiharkan sebagai Bandar Raya Islam," katanya ketika dihubungi semalam.
KOSMO!

14 Jun 2014

Remaja bawah umur kena cekup dating dalam TANDAS

Dua remaja yang dicekup

BANDAR SRI SENDAYAN - Dua remaja berusia 15 dan 13 tahun ditangkap ketika sedang asyik berdua-duaan dalam sebuah tandas di kawasan kedai makan Medan Nusari, dekat sini, semalam.

Difahamkan, perlakuan sumbang kedua-dua remaja terbabit disedari beberapa pelanggan kedai makan berkenaan kira-kira jam 10 pagi, semasa mahu menggunakan tandas tersebut yang terletak beberapa meter dari kedai dan berkeadaan sunyi.

Salah seorang pelanggan hanya mahu dikenali sebagai Rusydi, 35, berkata, pada mulanya, dia tidak mengesyaki apa-apa ketika melihat remaja lelaki dan perempuan menaiki motosikal bersama menuju ke kawasan tandas itu.

“Bagaimanapun, saya mula tidak sedap hati apabila mendapati motosikal dinaiki kedua-duanya masih berada di situ, sedangkan kelibat mereka langsung tidak kelihatan sejak 20 minit lalu.

“Pemeriksaan saya bersama rakan-rakan dalam tandas lelaki tidak menemui apa-apa. Namun, alangkah terkejutnya saya kerana ternampak dua pasang kaki dalam keadaan cukup rapat ketika menjengah dari bahagian bawah salah satu tandas wanita,” katanya.

Menurutnya, selepas dipaksa membuka pintu, mereka mendapati kedua-dua remaja terbabit sedang berada dalam tandas berkenaan dalam keadaan mencurigakan.

“Melalui penjelasan diberikan kedua-duanya, difahamkan remaja perempuan yang sedang menuntut dalam tingkatan satu itu berasal dari taman sekitar kawasan ini, manakala si lelaki pula datang dari Seremban Dua yang terletak lebih kurang 6.3 kilometer dari tempat kejadian.

“Mereka juga merayu agar tidak diserahkan kepada pihak berkuasa dan mengaku tidak akan mengulangi kesalahan sama pada masa akan datang,” katanya yang menjelaskan, ibu  remaja perempuan itu sampai di lokasi lebih kurang 45 minit kemudian selepas dihubungi anaknya.

Katanya lagi, si ibu langsung tidak menyangka akan berlaku demikian, memandangkan anaknya ada meminta izin untuk keluar dengan alasan mahu pergi bersiar-siar.

Kekecohan juga hampir berlaku apabila bapa kepada remaja lelaki terlibat yang tiba beberapa minit kemudian, naik angin dan mengugut mahu memukul Sinar Harian yang cuba mendapatkan maklumat.

“Kau siapa? Jangan kurang ajar! Aku belasah kau nanti,” demikian herdik lelaki dalam lingkungan 40-an itu kepada Sinar Harian, semalam yang kemudiannya meminta maaf dan mengaku tertekan dengan perbuatan anaknya.

Tinjauan Sinar Harian, semalam mendapati, kedua-dua remaja itu diserahkan kepada ibu bapa masing-masing dan tidak membabitkan pihak berkuasa.    

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Nusari Aman 2 (Natra), Terence Santhanam Beh, 41, berkata, beliau hanya mengetahui insiden itu selepas dimaklumkan oleh beberapa penduduk.

“Kita kesal dengan kejadian sebegini, lebih-lebih lagi berlaku pada hari Jumaat yang mulia. Kita harap, ibu bapa akan dapat mengawasi anak-anak mereka bagi mengelakkan kejadian seperti ini berulang,” katanya.

Sinar Harian

12 Jun 2014

Abby sangkal dakwaan cederakan bekas suami

Abby (kiri) ketika hadir ke mahkamah untuk kes perceraiannya dengan Muhammad Noor Farhan.

ABBY Abadi, dalam laman Twitternya semalam, menafikan dia mencederakan bekas suaminya itu dengan menggunakan kunci motosikal.

"Pegang kunci motosikal pun tidak pernah...kenapa macam tu?," katanya.

Abby berkata luka di muka Farhan sengaja dilakukan menggunakan pisau cukur.

"Nampak sangat menipunya...Dalam gambar misai berdarah-darah, tapi dalam gambar pegang report ada pulak misai," katanya.

Terdahulu, ketika ditemui di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur semalam, Abby, 37, berkata, dia reda.

“Saya tidak trauma. Bukan saya minta penceraian ini. Saya kuat hadapi ujian ini kerana yakin ALLAH bersama saya,” katanya.

Abby memberitahu, dia telah berusaha dan berdoa, namun tidak nampak jalan untuk menyelamatkan perkahwinan keduanya itu.

Katanya, dia tidak serik untuk kahwin demi anak-anak.

"Saya mahu hidup ada lelaki kerana tidak semua benda boleh buat sendiri,” katanya.

Sinar Harian

11 Jun 2014

Mayat lelaki berbungkus ditemui di Penang Science Par

imej google
BUKIT MERTAJAM - Mayat seorang lelaki dibungkus dalam cadar dipercayai warga asing ditemui di dalam longkang di tepi kawasan tapak pembinaan di Penang Science Park, Juru di sini semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Superintendan Baharom Abu berkata, mayat dibungkus cadar bercorak kotak-kotak warna biru muda ditemui oleh seorang lelaki yang melalui kawasan itu pada 11.44 pagi semalam.
"Ketika ditemui mayat itu dibungkus dengan cadar. Bahagian kepala dan kaki diikat. Keadaannya seperti sudah dikafankan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Katanya berdasarkan keadaan mayat itu, polis tidak menolak kemungkinan lelaki berkenaan mati di tempat lain sebelum mayatnya diletakkan di situ.
"Mayat itu masih dalam keadaan sempurna dan tidak berpakaian. Kita percaya mungkin lelaki yang dipercayai berusia lingkungan 30-an itu mati lebih 24 jam kerana telah berbau busuk,” katanya.
Baharom berkata, lelaki itu dipercayai pendatang tanpa izin kerana tiada sebarang dokumen perjalanan diri ditemui bersama mayat berkenaan.
Katanya, mayat itu dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk dibedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian.
"Siasatan awal polis tidak menemui sebarang kesan kecederaan pada badan mayat itu dan tiada unsur jenayah. Kes disiasat sebagai mati mengejut bagaimanapun siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya.
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung penemuan mayat itu agar menghubungi mana-mana balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.
 - Bernama


10 Jun 2014

Wanita mualaf hampir dikebumikan cara bukan Islam

Keranda yang menempatkan mayat Cheng Cheng dibawa ke Unit Forensik HPP sementara menunggu semua urusan selesai.

GEORGETOWN - Sebuah keluarga Cina terkejut apabila dimaklumkan ahli keluarga mereka yang meninggal dunia sebenarnya sudah memeluk agama Islam.

Hal itu terbongkar apabila wanita mualaf itu, meninggal Sabtu lalu dan keluarganya mahu mengebumikan mayatnya mengikut ajaran Taoist.

Sepupu si mati berkata, mayat Teoh Cheng Cheng, 38, sepatutnya dihantar ke tapak pengebumian pada jam 4 petang tadi namun terbantut apabila seorang pegawai polis tampil memaklumkan bahawa mangsa beragama Islam.

"Polis memaklumkan bahawa kami tidak dibenarkan meneruskan upacara itu kerana sepupu saya sudah memeluk Islam selepas berkahwin dengan seorang lelaki Melayu.

"Kami ada meminta pegawai polis itu menunjukkan dokumen pengesahan bahawa Cheng Cheng memeluk Islam namun gagal. 

Bagaimanapun, kemudian datang pegawai Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) menyatakan perkara sama," katanya ketika ditemui di Flat Pelangi, Lebuh Macallum, hari ini.

Buntu dengan keadaan yang mengejutkan itu, keluarga berkenaan kemudiannya meminta bantuan Adun Pengkalan Kota, Lau Keng Ee bagi menyemak perkara itu dengan JHEAIPP.

"Hasil semakan, JHEAIPP mengesahkan sepupu saya memeluk Islam ketika berusia 20 tahun iaitu 18 tahun lalu tanpa pengetahuan keluarga.

"Dia dipercayai bercinta dengan seorang lelaki Melayu ketika berusia 19 tahun sebelum mengambil keputusan berkahwin setahun kemudian dan memeluk Islam dengan nama Nora Teoh Abdullah," katanya.

Sementara itu, Pengarah JHEAIPP, Datuk Sazali Hussein berkata, mengikut rekod JHEAIPP, wanita itu memeluk agama Islam pada 1997.

"Kita sedang dalam proses mendapatkan perintah Mahkamah Syariah untuk menguruskan jenazah wanita itu mengikut hukum Islam dan dihantar ke Hospital Pulau  Pinang (HPP) untuk sementara waktu.

"JHEAIPP melakukan yang terbaik dalam rundingan dan memberi penjelasan kepada ahli keluarga wanita berkenaan.  Memang ada bantahan, kita sedang melakukan yang terbaik kerana ada  bukti dan rekodnya seorang Islam," katanya.

Sinar Harian

Mulut Murid Ditutup Pita Pelekat Kerana Tidak Henti Bercakap

Elise Smith (kiri) bersama ayahnya, Marc Smith. Foto Daily Mail
MULUT seorang pelajar yang 'mulut murai' telah ditutup dengan pita pelekat oleh seorang guru selama 15 minit sebagai hukuman akibat tidak berhenti bercakap.
Elise Smith, 11, yang ditutup mulutnya itu merupakan hukuman yang diterimanya di Sekolah William Allitt di Swadlincote, Derbyshire.
Ayahnya, Marc Smith, berang dengan tindakan guru berkenaan lalu membuat aduan di sekolah itu, termasuk pihak berkuasa pendidikan tempatan.
Guru besar sekolah itu menganggap tindakan guru tersebut sesuatu yang tidak sepatutnya dilakukan oleh seorang pendidik, dan guru tersebut memohon maaf kepada pelajar berkenaan dan keluarganya.
Bagaimanapun tiada tindakan disiplin yang diambil terhadap guru tersebut.
Bapa pelajar itu, Smith berkata, "Para pelajar sedang bercakap di dalam kelas dan diminta untuk diam, tetapi anak perempuan saya masih terus bercakap.
"Dia (guru) sepatutnya menyurut dia keluar (kelas). Anda tidak boleh menyentuh seseorang walaupun dengan hanya menggunakan jari.
"Saya sedang bekerja ketika kejadian berlaku, tetapi anak perempuan saya memberitahu saya apabila saya pulang ke rumah dan saya terus pergi ke sekolah membuat aduan keesokan hari. Saya betul-betul marah," katanya.
Kejadian itu menyebabkan bekas guru besar, Mike McCandless mendapatkan keterangan kedua-dua pihak, guru dan Elise Smith, serta keterangan bertulis daripada murid-murid lain di sekolah berkenaan.
Smith bagaimanapun kecewa apabila guru tersebut tidak dikenakan tindakan disiplin.
"Guru itu ada membuat permohonan maaf tetapi tidak dihukum secukupnya. Ini kerana dia tidak digantung tugas dan masih bertugas di sekolah itu.
"Saya dengar terdapat guru-guru di sekolah-sekolah lain yang melakukan perkara seumpama itu digantung tugas. Jadi, kenapa tidak berlaku di sekolah ini?"
Pengerusi Lembaga di Sekolah William Allitt, Jean Mead berkata, kebajikan murid-murid merupakan keutamaan sekolah itu.
"Ia merupakan satu tindakan yang silap berbanding berniat jahat.
"Ia berlaku pada Disember tahun lalu. Ia tidak sepatutnya berlaku dalam apa keadaan sekalipun, dan guru tersebut dengan segera menyesal dan memohon maaf.
"Kita bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa tempatan untuk meneliti siasatan dan tindakan sepatutnya diambil," katanya. - Daily Mail

Ajak Shiro kejar pencuri periuk belanga

Ajak Shiro

PELAKON dan pelawak popular Ajak Shiro berjaya mematahkan tindakan seorang lelaki mencuri perkakas dapur dan rumah dari kediaman keluarganya di Jalan Denai Kecil, Taman Purnama, Kempas, Johor Bahru, kelmarin.

Sebahagian besar barangan yang dicuri itu merupakan perkakas memasak yang digunakan untuk majlis kenduri pertunangan adik Ajak Shiro sehari sebelum itu, lapor Kosmo!

Ajak Shiro atau nama sebenarnya Mohd Hanaffi Razak, 28, berada di rumah ketika insiden jam 9 pagi itu.

Dia kemudian bertindak mengejar lori yang membawa barang curi dari rumahnya itu.

Lelaki India yang menyedari dirinya dikejar meninggalkan kenderaan itu di tepi jalan di kawasan ladang kelapa sawit sebelum melarikan diri.

"Saya mengejar lori satu tan itu seorang diri sehingga memasuki kawasan ladang kelapa sawit.

"Di ladang kelapa sawit, suspek meninggalkan lori bersama muatan yang dicuri dari rumah keluarga saya," katanya kepada akhbar terbabit.

Ajak kemudian menghubungi rakannya, Jepp Sepah untuk membantunya.


Sinar Harian

09 Jun 2014

Jom tengok PANDA,PERCUMA sebulan

Fu Wa dan Feng Yi bakal mendapat nama baharu yang akan diumumkan Perdana Menteri pada 25 Jun ini.

PUTRAJAYA: Orang ramai mungkin diberi kemasukan percuma untuk melihat pasangan panda gergasi di Zoo Negara bagi tempoh sebulan, selepas ianya diberi nama baharu oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 25 Jun ini.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri G. Palanivel berkata, beliau akan mengemukakan cadangan tersebut kepada pihak zoo sebagai meraikan kehadiran panda jantan Fu Wa dan panda betina Feng Yi di negara ini dari Chengdu, China.

"Saya akan bercakap dengan Presiden Zoo Negara (Datuk Seri Zaharin Md Arif) bagi membolehkan kemasukan percuma kepada orang ramai untuk sebulan.

"Kita tetapkan seramai 1,200 orang untuk melihat panda dalam satu hari iaitu, 200 orang bagi satu lawatan dengan (tempoh) 20 minit," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Forum Pengurusan Sumber Air Malaysia 2014, di sini, Isnin.

Palanivel berkata, selepas tempoh itu harga tiket untuk melawat pasangan panda itu mungkin dikenakan RM20 bagi dewasa dan RM10 bagi kanak-kanak.

Pasangan panda itu yang dipinjamkan oleh kerajaan China melalui program Perjanjian Konservasi Antarabangsa Panda Gergasi Malaysia-China, kini masih di tempat khas di Zoo Negara untuk membolehkan haiwan itu menyesuaikan dengan persekitaran baharu.

Mengulas lanjut Palanivel berkata, kedua-dua panda yang masih dikuarantin, akan ditempatkan di lokasi berasingan di Zoo Negara pada 21 atau 22 Jun ini sebelum upacara perasmian oleh Perdana Menteri.

"Kedua-dua Panda itu sihat, berat pun meningkat dan menyesuaikan diri dengan persekiratan Malaysia. Duta China telah beri tiga nama baharu dan kita akan memilih nama sesuai bagi Panda itu," katanya.

Pada 25 Mei, Najib Tun Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor turut melawat pasangan panda gergasi itu sambil membuat catatan dan memuat naik gambar lawatan dalam laman Facebook dengan menyifatkan ianya simbol keamanan dalam budaya China dan amat dihormati.

Pasangan panda gergasi itu akan berada di Malaysia selama 10 tahun sebagai simbol jalinan hubungan diplomatik antara Malaysia dan China selama 40 tahun yang disambut pada 31 Mei lepas.

Melalui program yang dimeterai pada 2012, Malaysia mempunyai peluang untuk menjalankan penyelidikan pemuliharaan panda gergasi selain dapat membangun dan melatih pakar dalam bidang itu.
mStar Online

08 Jun 2014

Pembantu rumah naik HANTU,makan anak Kucing majikan hidup hidup

Pembantu rumah itu dibawa ke Hospital Sibu.

KUCHING: Seorang pembantu rumah di Sibu bagaikan dirasuk apabila dipercayai memakan anak kucing peliharaan majikannya hidup-hidup.

Terdahulu, majikan terbabit menemui bangkai anak kucing miliknya di hadapan rumahnya pada Khamis.

Susulan penemuan bangkai kucing itu, majikan tersebut menyoal pembantu rumahnya yang berkelakuan pelik sejak dua minggu lalu.

"Apabila saya menyoalnya, dia memberitahu telah makan anak kucing itu," katanya.

"Tidak lama kemudian, dia tiba-tiba mengamuk sehingga memaksa saya mengikat kaki dan tangannya," katanya seperti dilaporkan sebuah akhbar tempatan.

Majikan tersebut berjanji kepada pembantu rumah warga Indonesia itu untuk membenarkan dia pulang ke negara asalnya pada keesokan harinya.
Bimbang dengan keselamatan keluarga, majikan tersebut meletakkan pembantu rumah itu di dalam kereta yang diparkir di luar rumah pada waktu malam.
Majikan tersebut dipetik sebagai berkata, pembantu rumah itu kelihatan pulih pada keesokan harinya lalu membuka ikatan ditangannya.
"Saya membawanya untuk membeli nasi ayam di Ramin Way kira-kira pukul 10.30 pagi.

"Selepas selesai membeli makanan, dia enggan masuk ke dalam kereta dan mengamuk. 

"Dia masuk ke dalam kereta dan membuang semua barang keluar dari kereta. Malah, dia juga menggigit pokok hiasan," kata majikan itu.

Apabila polis tiba di tempat kejadian, pembantu rumah itu dikatakan menggigit lengan salah seorang anggota polis bertugas.

Pembantu rumah itu kemudiannya di bawa ke Hospital Sibu dengan mukanya ditutup dengan jaket bagi mengelak dia meludah ke arah orang ramai.

06 Jun 2014

Penuntut kolej kena sebat lapan kali di mahkamah

Ampang: Seorang penuntut kolej mendapat pembalasan dan pengajaran apabila disebat lapan kali menggunakan rotan halus di hadapan ahli keluarga dan orang awam di Mahkamah Sesyen Ampang di sini, selepas mengaku salah terhadap dua pertuduhan merogol seorang gadis bawah umur, tahun lalu.
Ainur Asyriq Aizamuddin, 19, disebat oleh pegawai dari Penjara Kajang di hadapan Hakim Manira Mohd Nor sambil disaksikan ibu bapa remaja itu, wartawan dan orang awam yang berada di galeri awam mahkamah.
Bagaimanapun hukuman sebatan ringan yang dikenakan ke atas tertuduh adalah bagi pertuduhan kedua. 

Pada 14 Mei lalu, bagi pertuduhan pertama, mahkamah menjatuhkan hukuman perintah kehadiran wajib dalam tempoh tiga bulan, setiap hari selama empat jam ke atas tertuduh mengikut Seksyen 5(1) Akta Kehadiran Wajib 1954 dan bon jaminan bercagaran RM6,000 dengan seorang penjamin.
Sementara itu, pada prosiding hari ini, tertuduh yang bertubuh kurus kelihatan tenang ketika diperintahkan membongkok di bahagian meja hadapan galeri mahkamah untuk disebat menggunakan rotan sepanjang anggaran satu meter.
Sesekali, tertuduh mengaduh kesakitan ketika disebat. 

Terdahulu, mahkamah memerintahkan doktor yang hadir memeriksa tahap kesihatan pesalah muda berkenaan sebelum sebatan dijalankan.

Selepas dia disahkan sihat, proses sebatan dimulakan terhadap tertuduh. 

Pada 13 Disember 2013, tertuduh mengaku salah terhadap dua tuduhan merogol mangsa yang juga teman wanitanya yang ketika itu berusia 15 tahun 11 bulan masing-masing pada 29 November 2013 jam 9 pagi dan 7 Disember 2013 jam 4 petang di sebuah rumah, dekat sini. 

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.
myMetro

Port Mak Ngah Skodeng !