Memaparkan catatan dengan label bencana. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label bencana. Papar semua catatan

05 Februari 2015

Tragedi TransAsia, Juruterbang dijulang sebagai hero

Pesawat TransAsia rempuh jambatan sebelum terjunam

Juruterbang pesawat TransAsia yang terlibat dalam nahas di Taiwan dijulang sebagai seorang wira atas usaha dan kemahirannya mengelak daripada melanggar bangunan tinggi di kawasan perumahan berdekatan lapangan terbang bangunan tinggi sebelum merempuh teksi pada Rabu.

Juruterbang tersebut dikatakan bergelut bagi mengelakkan kejadian lebih buruk berlaku dalam nahas pesawat malang itu sejurus membuat panggilan kecemasan.

Memetik laporan dari The Guardian, kemalangan tersebut telah mengorbankan sejumlah 31 orang setakat ini dengan lebih banyak mayat ditemui, termasuk mayat juruterbang tersebut dan pembantunya.


Ketika ini, pasukan penyelamat Taiwan masih meneruskan pencarian ke atas 12 mangsa yang masih hilang.

Pesawat TransAsia ATR 72-600 itu terhempas tidak lama selepas berlepas dari lapangan terbang di utara Songshan, Taipei.

Pesawat  yang dilaporkan menghadapi masalah enjin itu miring ke sisi sebelum melanggar sebuah teksi dan jambatan sebelum terjunam ke Sungai Keelung.


SH

Pemandu teksi terselamat selepas dilibas pesawat TransAsia Airways

Kelihatan pemandu teksi berjaket kelabu terduduk selepas kejadian berkenaan. (Gambar kecil) teksi dilibas oleh kepak pesawat TransAsia. – Foto sumber Twitter
Pemandu teksi terselamat selepas dilibas pesawat TransAsia Airways - Seorang pemandu teksi terselamat selepas kenderaannya terkena kepak pesawat TransAsia yang terhempas ke sungai, pagi tadi.
( Video )
Menerusi sebuah rakaman video, pesawat berkenaan dilihat melanggar teksi tersebut sebelum terhempas ke dalam sungai.
Beberapa keping gambar yang menunjukkan kerosakan pada teksi tersebut telah dimuatnaik ke laman mikro Twitter.
Pesawat TransAsia ATR 72-600 berkenaan dalam penerbangan domestik dari lapangan terbang Songshan, ke Pulau Kinmen sebelum ia melanggar jambatan dan terjunam ke dalam sungai.
SH

30 Disember 2014

Banjir, Penyebaran Maklumat Palsu Kerja Khianat


KUALA LUMPUR: Penyebaran maklumat palsu terutama melalui aplikasi WhatsApp ketika banjir besar melanda negara menimbulkan suasana panik masyarakat malah boleh menjejaskan usaha menyelamat yang sedang diatur.
Pensyarah Sains Sosial Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian berkata tindakan tersebut menimbulkan persoalan sama ada ia bermotifkan politik atau bertujuan menguji kredibiliti kerajaan dalam menguruskan bencana yang berlaku.
Ia juga dilihat sebagai usaha terancang pihak tertentu untuk memburukkan lagi keadaan dan imej kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, katanya yang juga Timbalan Dekan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan USM.
Katanya keadaan ini menguji toleransi individu yang terdedah kepada akses Internet supaya bijak menilai maklumat atau berita yang tidak tentu kesahihannya.
Terbaharu, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terpaksa membuat penafian berhubung maklumat kononnya ATM mengarahkan penduduk di Pekan, Pahang agar segera pindah kerana limpahan air banjir.
Mengikut Seksyen 233 (1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, mereka yang didapati bersalah boleh dihukum denda RM50,000 atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya.
Berikut antara maklumat yang tersebar semasa musim banjir yang telah  disahkan palsu:
* kematian 10 sekeluarga di Kampung Guchil, Kuala Krai
* seluruh Kota Baharu terputus bekalan elektrik
* kematian 40 pesakit di Hospital Kuala Krai akibat ketiadaan oksigen
* gelinciran pada Jambatan Sultan Yahya Petra di Kota Baharu
* pengisytiharan darurat di Kelantan
* Empangan Kemubu akan dibuka yang memungkinkan banjir lebih besar di Kok Lanas, Kelantan
* Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) menyekat bantuan untuk mangsa banjir di Kuala Krai, Kelantan
* Empangan Batu di Selangor berada diparas bahaya dan mengalami rekahan serta akan dibuka untuk melepaskan air
* Pelepasan air dari Empangan Tasik Kenyir di Hulu Terengganu kononnya akan menenggelamkan Bandar Kuala Berang
* Seorang remaja Tahfiz mati lemas di Rantau Panjang
* Tiga petugas Petronas meninggal dunia dalam kemalangan ketika misi menghantar bantuan ke Kelantan
* Pusat pemindahan mangsa banjir di Sekolah Manek Urai runtuh
* Angkatan Tentera Malaysia (ATM) arahkan penduduk di Pekan, Pahang supaya keluar dai daerah itu kerana limpahan air sungai Temerloh sedang menuju Pekan.
mStar Online

24 Disember 2014

Fenomena 'full moon' cetus banjir luar biasa


KUALA LUMPUR - Fenomena 'full moon' iaitu kedudukan bulan berhampiran dengan bumi yang menyebabkan air pasang merupakan antara faktor yang mencetuskan banjir luar biasa di kawasan Pantai Timur pada tahun ini. 
 
Pegawai Meteorologi Kanan, Pusat Cuaca Nasional, Jabatan Meteorologi Malaysia, Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata keadaan banjir menjadi lebih teruk apabila ditambah dengan tiupan angin Monsun Timur Laut secara konsisten merentasi Laut China Selatan ke negara ini bermula bulan November hingga Mac.
 
"Meskipun hujan semakin reda dan tidak lagi lebat, namun air banjir dilihat sukar untuk surut disebabkan fenomena 'full moon' yang mana bulan berada dekat dengan bumi yang menyebabkan air pasang lebih tinggi daripada biasa.
 
"Selain itu, hujan yang tidak berhenti sebelumnya menyebabkan aliran sungai dari hulu ke kuala tidak sampai sehingga menyebabkan air sungai melimpah keluar sehingga menyebabkan banjir teruk," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
 
Katanya pihaknya menjangkakan hujan lebat akibat tiupan angin Monsun Timur Laut di Kelantan, Terengganu dan Pahang sejak minggu lalu, akan berterusan sehingga awal Januari depan.
 
"Namun keadaan cuaca dijangka bertambah baik pada hari ini hingga esok berikutan ramalan kami menunjukkan hujan hanya berlaku di satu atau dua tempat di negeri-negeri berkenaan," katanya.
 
Dr Mohd Hisham menjelaskan musim Monsun Timur Laut yang membawa kepada hujan lebat terbahagi kepada tiga episod, iaitu episod pertama yang berlaku pada akhir bulan November, episod kedua pada 16 hingga 19 Disember diikuti dengan yang ketiga iaitu Isnin lepas hingga esok.
 
"Walaupun cuaca dijangka baik pada dua hari tersebut, namun kami menjangkakan ada lagi episod keempat iaitu bermula pada 28 Disember sehingga 31 Disember dan mungkin akan berterusan sehingga awal bulan Januari," katanya.
 
Dr Mohd Hisham berkata pihaknya tidak menolak kemungkinan banjir akan berlaku lagi selepas 28 Disember ini di kawasan-kawasan kedudukan rendah dan berdekatan dengan sungai.
 
"Ketika musim Monsun Timur Laut, kawasan Pantai Timur dijangka mengalami empat hingga lima episod hujan lebat menyeluruh dan berterusan selama tiga hingga tujuh hari pada November hingga Januari 2015, serta kawasan barat Sarawak dan Sabah pada Januari hingga Mac 2015.
 
"Oleh itu, penduduk yang tinggal di kawasan tepi sungai dan rendah dinasihatkan supaya sentiasa bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan termasuk banjir," katanya. 
 
Sementara itu, menurut kenyataan Jabatan Meteorologi hari ini, angin kencang Timur Laut dengan kelajuan dari 60 kilometer sejam yang berlaku di kawasan perairan Pantai Timur Semenanjung, Sarawak, Sabah dan Labuan dijangka berterusan hingga esok.
 
Selain itu, laut bergelora dengan ketinggian ombak sehingga 5.5 meter turut dijangka berlaku di kawasan tersebut yang berbahaya kepada semua aktiviti pantai dan perkapalan termasuk pekerja di pelantar minyak.
 
Menurut kenyataan itu, kawasan pantai di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor Timur terdedah kepada kejadian kenaikan paras air laut sehingga esok. - Bernama

13 Disember 2014

Penumpang simbah air panas kepada Pramugari , pesawat AirAsia patah balik

Suasana kecoh dalam pesawat AirAsia akibat tindakan dari dua orang penumpang pesawat berkenaan.

Penerbangan Thai ke China terpaksa berpatah balik ke Bangkok setelah seorang penumpang menyerang seorang pramugari dengan menyimbah air panas, menurut syarikat penerbangan itu hari ini.

Menurut kenyataan penerbangan tambang murah AirAsia Thai, penumpang dari China menyewa penerbangan ke Nanjing memarahi kru pesawat sebelum menyimbahnya dengan air panas.

Kapten dan anak kapal kemudiannya memujuk penumpang berkenaan untuk berbincang di pejabat lapangan terbang selepas mendapati perbuatannya boleh mengancam keselamatan pesawat.

Media China melaporkan mi segera turut dilempar bersama air panas tersebut.

Dalam satu klip video kelihatan seorang lelaki mengancam untuk meletupkan pesawat berkenaan.

Bagaimanapun kenyataan syarikat penerbangan tidak menyatakan ancaman berkenaan. - Bangkok Post

30 November 2014

Wanita ditelan tanah ketika Jemur Kain

  • Polis dan bomba memeriksa tempat kejadian di mana seorang wanita terperangkap di dalam lubang jerlus sedalam 3 meter.

Seorang wanita berdepan detik cemas apabila terjatuh dan terperangkap di dalam lubang jerlus ketika menjemur pakaian di rumahnya di Melbourne, semalam.

Wanita berusia 45 tahun itu, terperangkap selama 20 minit di dalam lubang sedalam 3 meter sebelum jeritannya disedari jiran.

Jurucakap paramedik, Stephanie Palamberis berkata, mangsa bernasib baik kerana lubang tersebut tidak digenangi air sepenuhnya.

Menurutnya lagi, lubang jerlus itu terbentuk apabila salah satu saluran paip bawah tanah sekitar kawasan tersebut pecah, dipetik dari laporan DPA.

SH

06 November 2014

Gambar gambar Banjir lumpur di Cameron Highlands


PENDUDUK Kampung Baru Ringlet bergotong-royong membersihkan rumah dan perabot yang berlumpur selepas banjir kilat melanda sekitar kawasan Cameron Highlands lewat petang semalam. - Foto Muhaizan Yahya





PENDUDUK menggunakan jengkaut untuk membersihkan laluan berhampiran kediaman mereka di Sungai Bertam selepas banjir kilat melanda sekitar kawasan Cameron Highlands lewat petang semalam. - Foto Supian Ahmad


SEBAHAGIAN daripada 181 mangsa banjir membabitkan 42 keluarga daripada Kampung Baru Ringlet, Pekan Ringlet dan Kampung Ulu Merah ditempatkan di Dewan Orang Ramai Ringlet. - Foto Muhaizan Yahya

KERETA dihanyutkan akibat banjir lumpur di Pekan Ringlet susulan hujan lebat di beberapa kawasan di sekitar Cameron Highlands. - Foto Muhaizan Yahya



KAWASAN sekitar Lembah Bertam dinaiki air selepas pintu empangan dibuka susulan hujan lebat di beberapa kawasan di sekitar Cameron Highlands. - Foto Muhaizan Yahya

SEKOLAH Jenis Kebangsaan Cina Bertam Valley dinaiki air selepas pintu empangan dibuka susulan hujan lebat di beberapa kawasan di sekitar Cameron Highlands sejak lewat petang semalam. - Foto Muhaizan Yahya

AIR Sungai Bertam yang melimpah selepas empangan dibuka bagi mengelakkan banjir yang lebih besar di Cameron Highlands. - Foto Supian Ahmad

PEMANDANGAN dari atas menunjukkan paras air Sungai Bertam tidak berubah selepas pintu empangan dibuka susulan hujan lebat di beberapa kawasan di sekitar Cameron Highlands sejak lewat petang semalam. - Foto Muhaizan Yahya



PENDUDUK Lembah Bertam melihat Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Bertam Valley dinaiki air selepas pintu empangan dibuka susulan hujan lebat di beberapa kawasan di sekitar Cameron Highlands sejak lewat petang semalam. - Foto Muhaizan Yahya

SEBAHAGIAN mangsa banjir menerima bantuan yang disediakan Jabatan Kebajikan Masyarakat di Dewan Orang Ramai Ringlet. - Foto Muhaizan Yahya

AIR Sungai Bertam yang melimpah selepas empangan dibuka bagi mengelakkan banjir yang lebih besar di Cameron Highlands. - Foto Supian Ahmad

Sumber BH Online

05 November 2014

Remaja Lelaki Dibogelkan Gara-Gara Curi Motosikal

Remaja lelaki ini dibogelkan gara-gara mencuri motosikal.

KOTA BARU: Seorang remaja lelaki berusia 15 tahun dibogelkan oleh orang ramai setelah ditangkap ketika cuba mencuri sebuah motosikal di perkarangan Masjid Pauh Lima, Binjai di sini.

Dalam kejadian kira-kira 8.15 malam Selasa, suspek cuba mencuri sebuah motosikal jenis Honda Ex-5 milik seorang jemaah yang sedang solat di masjid berkenaan sebelum kejadian itu disedari orang ramai yang terus menangkapnya.
Ketua Polis Daerah Kota Baharu ACP Rohaimi Md Isa berkata suspek turut cedera di bahagian kepala, bahu serta lengan dipercayai dipukul orang ramai. 

"Mangsa kini dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) di sini dan keadaannya stabil," katanya ketika di hubungi di sini, hari ini.


Beliau berkata siasatan awal mendapati suspek terbabit dalam beberapa kes curi motosikal di sekitar Binjai dan Melor. 

"Menurut suspek terdapat seorang lagi rakannya yang berjaya melarikan diri ketika kejadian itu," katanya.

Beliau berkata kes berkenaan di siasat di bawah Seksyen 379A/511 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tiga setengah tahun dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.
 
Mengulas tindakan orang ramai membogelkan suspek itu, Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata Islam menegah umatnya membuka keaiban seseorang walaupun orang itu melakukan kesalahan.

"Kita tak boleh mengambil tindakan sendiri yang menyimpang dari undang-undang negara dan hukuman tidak boleh diambil mengikut pandangan kita semata-mata," katanya.


Sinar Harian

01 November 2014

Parang berjaya dikeluarkan dari kepala pemuda


KUANTAN - Seorang pemuda yang kepalanya tertusuk pangkal parang sedalam lima sentimeter yang tercabut ketika dia membersihkan semak di ladang Felcra Tembeling Tengah, Jerantut semalam dilaporkan stabil selepas menjalani pembedahan hari ini.

Bagaimanapun Mohd Ridhuan Mat Sahor, 20, yang kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini masih tidak sedarkan diri selepas pembedahan bagi mengeluarkan pangkal parang itu. 

Bapanya Mat Sahor Ahmad, 43, berkata, anaknya menjalani pembedahan kira-kira pukul 8 malam tadi dan doktor menyatakan anaknya itu mungkin sukar untuk bercakap kerana satu daripada uratnya masih bengkak. 

"Tetapi bahagian otaknya tidak mengalami sebarang masalah walaupun terkena sedikit pangkal parang itu dan penglihatannya juga tidak terjejas.

"Berkemungkinan dia perlu dirawat selama sebulan sebelum dibenarkan keluar," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Mat Sahor berkata, anak sulungnya daripada lima beradik itu turut memaafkan rakan sekerja yang juga adalah kawan baiknya sejak kecil di atas kejadian itu dan menganggap ia sebagai tidak disengajakan. 

  • Keadaan Mohd Ridzuan setelah parang yang terlekat di kepalanya dikeluarkan dalam satu pembedahan.


"Anak saya sempat berpesan kepada saya sejurus selepas kemalangan itu supaya jangan marahkan rakannya yang dikenali sebagai Din. Berkali-kali dia berkata abah, jangan marah Din, dia tidak sengaja. 

"Saya dan keluarga reda dengan apa yang terjadi dan anak saya pun sudah memaafkan rakan baiknya itu. Tiada apa lagi yang hendak diungkitkan kerana kawan dia sudah menyatakan kekesalannya sehingga menangis meminta maaf," katanya. 

Mat Sahor berharap anaknya kembali sihat seperti biasa tambahan pula isteri anaknya sedang mengandung empat bulan. 

Mohd Ridhuan terkena bilah parang parang itu milik rakannya selepas pangkalnya tiba-tiba tercabut dan melayang ke arah mangsa dan tertusuk di kepalanya. 

Mangsa pada mulanya dibawa ke Klinik Kesihatan Kuala Tahan sebelum dirujuk ke Hospital Jerantut dan kemudian ke Hospital Sultan Ahmad Shah di Temerloh sebelum dihantar ke HTAA.  - Bernama

SH

26 Oktober 2014

KECEWA KERANA PUNYA 'ANU' KECIL

ILAC dibawa ke hospital selepas memotong kemaluannya. 

Seorang lelaki memotong kemaluannya dan mencampakkannya ke dalam tong sampah selepas dia ditinggalkan kekasihnya kerana gagal memuaskan nafsu seks wanita itu.

Oliver Ilac, 22, berkata, dia mengambil keputusan memotong kemaluannya kerana ia terlalu kecil.
Ilac bertindak demikian mengunakan pisau cukur.

Bagaimanapun, selepas tidak berjaya menghentikan pendarahan, dia menelefon perkhidmatan kecemasan untuk mendapatkan bantuan.

Dia dibawa ke hospital di Kocani, Macedonia, dan memberitahu petugas perubatan dia memotong kemaluannya itu kerana ia 'tidak berguna.'

Menurutnya, teman wanitanya memutuskan hubungan mereka selepas mencemuhnya kerana 'tidak hebat' di ranjang.

Polis menyelongkar rumahnya dan menemui alat sulit Ilac dalam tong sampah bersama-sama pisau cukur yang digunakannya.

Doktor tempatan gagal menyambung semula organ itu dan Ilac dihantar ke hospital lain di Skopje, tempat pakar bedah berjaya melakukan penyambungan semula itu dalam pembedahan selama lima jam.
Bagaimanapun, terlalu awal untuk menyatakan sama ada kemaluan Ilac itu boleh berfungsi seperti biasa.
Seorang lelaki Macedonia baru-baru ini juga memotong kemaluannya.

Bagaimanapun, tidak seperti Ilac, lelaki berkenaan membuangnya ke dalam tandas bagi memastikan ia tidak akan disambung semula.

Sumber

19 Oktober 2014

Belalai air gemparkan penduduk Bintulu

FENOMENA belalai air (dalam bulatan) yang sempat dirakamkan selama 20 minit berlaku di Pantai Kidurong, Bintulu semalam.

KUCHING – Penduduk tempatan gempar selepas menyaksikan satu fenomena puting beliung kecil atau dikenali sebagai belalai air berlaku selama 20 minit di sekitar pantai Tanjung Kidurong, di Bintulu pagi semalam.


Dalam kejadian kira-kira 10 pagi itu, orang ramai menyangkakan puting beliung yang ganas sedang berlaku apabila melihat putaran seolah-olah pusaran angin kencang menghampiri pantai tersebut.
KOSMO!

17 Oktober 2014

Labah Labah bersarang dalam perut Lelaki ini

Dylan Thomas berada di Bali, Indonesia untuk percutian apabila serangga kecil itu memasuki tubuhnya menerusi parut apendiks kecil
Seekor labah-labah dikeluarkan daripada perut seorang lelaki Australia selepas ia memasuki tubuh lelaki berkenaan dan hidup selama tiga hari.
Dylan Thomas berada di Bali, Indonesia untuk percutian apabila serangga kecil itu memasuki tubuhnya menerusi parut apendiks kecil, menyebabkan wujud bekas kemerah-merahan dari pusat ke dada.
Thomas menarik bajunya untuk menunjukkan kesan di mana serangga itu berada di dalam tubuhnya.
Ketika di Bali, beliau ke pusat perubatan tempatan dan diberikan 'antihistamin', iaitu ubat untuk menahan gatal bagi gigitan serangga.
"Selepas menjalani pemeriksaan dan memasukkan sesuatu ke dalam perut saya, mereka akhirnya menjumpai seekor labah-labah tropika yang hidup di dalam tubuh saya selama tiga hari," katanya dalam laman Facebooknya.
Selepas kembali ke Australia awal minggu ini, doktor mengeluarkan labah-labah itu.
"Mereka berjaya menarik keluar labah-labah itu, meletakkannya ke dalam bekas ujian dan membawanya pergi," kata Thomas yang kini digelar oleh rakannya sebagai 'Spider Man'.
 - Reuters

15 Oktober 2014

4 jam tersekat dalam lubang tandas

PASUKAN penyelamat berusaha membantu Zhang

Seorang nenek berusia 85 tahun menderita empat jam apabila tangannya tersekat di dalam lubang tandas selepas cuba mengambil gigi palsunya yang terjatuh ke dalam lubang berkenaan.

Gigi itu terjatuh ketika dia membasuhnya lalu masuk ke dalam lubang tandas cangkung di kamar mandinya.
Zhang yang dapat melihat gigi itu cuba mencapainya.

Tetapi ketika cuba berbuat demikian, tangannya tersekat di dalam lubang itu.

Usahanya menarik keluar tangannya gagal hingga memaksa dia menanti anggota keluarganya pulang.
Menantunya terkejut melihat Zhang dalam keadaan tertiarap dalam bilik air di rumah mereka di Guangyun, wilayah Sichuan, tengah China.

Selepas gagal membantu ibu mentuanya, dia meminta bantuan bomba.

Mereka menggunakan air sabun sebagai pelincir pada lengan Zhang sebelum berjaya menyelamatkannya.
Wanita itu tidak cedera tetapi nasib gigi palsunya tidak diketahui. 

- Agensi

07 Oktober 2014

Fenomena Ombak Gergasi Melanda Pulau Pinang

Ombak gergasi menghempas tembok di Esplanade, Padang Kota Lama di Pulau Pinang.
GEORGE TOWN: Angin kencang barat daya menyebabkan laut bergelora dengan ombak gergasi sehingga menghempas tembok di Esplanade di Padang Kota Lama, Pulau Pinang.
Ombak gergasi itu mencecah lebih tinggi daripada tiang lampu, mengakibatkan air laut melimpah di jalan raya, sehingga menyebabkan banjir di sepanjang Jalan Tun Syed Syeh Barakhbah di sini pada Isnin.
Pejalan kaki dilihat merakamkan fenomena yang jarang berlaku itu manakala kenderaan yang melalui jalan iberkenaan secara perlahan apabila ombak besar menghempas tembok.
Air laut melimpah sehingga ke jalan raya.
Menurut laman web Jabatan Meteorologi, angin kencang barat daya selaju 40kmj hingga 50kmj itu menyebabkan ombak setinggi 3.5 meter di perairan Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Miri, Sabah dan Labuan.
Fenomena itu dijangka berterusan sehingga Ahad depan.
mStar Online

06 Oktober 2014

Kanak-Kanak 7 Tahun Dipercayai Didera Bapa Dan Teman Wanita

HANISAH memegang cucu angkatnya yang cedera didera.
MELAKA: Seorang kanak-kanak perempuan cedera di beberapa anggota badan dipercayai didera bapanya dan teman wanita lelaki berkenaan di sebuah rumah di Paya Rumput di sini. 
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka ACP, Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, kanak-kanak berusia tujuh tahun itu dipercayai kerap menjadi mangsa dera pasangan berkenaan berdasarkan kesan kecederaan lama dan baharu di seluruh belakang badan mangsa.
Beliau berkata, laporan berhubung kes dera kanak-kanak itu dibuat nenek angkat kanak-kanak tersebut yang juga tuan rumah yang diduduki keluarga mangsa, di balai Tanjung Minyak kira-kira 6.05 petang pada Selasa (30 September).
"Wanita itu mendakwa pasangan berkenaan kerap mendera kanak-kanak tersebut menggunakan getah paip, penyangkut baju dan tali pinggang selain ditumbuk serta dihentak kepala ke dinding," katanya kepada pemberita di sini, Ahad.
Beliau berkata sehubungan itu, bapa kanak-kanak berkenaan yang berusia 36 tahun dan teman wanitanya berusia 31 tahun, ditahan bagi membantu siasatan ketika diminta hadir ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka kira-kira 2.30 petang Rabu (1 Oktober).
Raja Shahrom berkata, lelaki yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah kilang biskut di Batu Berendam di sini ditahan reman selama enam hari bermula Khamis manakala teman wanitanya dilepaskan dengan jaminan polis pada hari sama kerana menyusu anaknya berusia dua tahun.
Katanya, kanak-kanak perempuan mangsa dera itu kini dirawat di Hospital Melaka dan berada dalam keadaan stabil.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, ketika ditemui pemberita, nenek angkat kanak-kanak itu berkata, teman wanita kepada bapa kanak-kanak itu merupakan anak angkatnya yang menumpang di rumahnya di Paya Rumput sejak Julai lalu.
"Tangan kanak-kanak itu berbalut simen ketika hari pertama tiba di rumah saya dan apabila ditanya mangsa dikatakan patah tangan akibat terjatuh tangga di rumah sewa mereka di Masai, Johor," kata tukang cuci di sebuah sekolah di Paya Rumput itu.
Dia mendakwa sering melihat kanak-kanak itu dipukul bapa dan anak angkatnya itu walaupun tidak melakukan sebarang kesalahan sehingga mengakibatkan kecederaan di seluruh anggota badan.
Dalam pada itu, Ketua Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Melaka, Rahimin Bani berkata, pasangan itu ditahan di rumah berkenaan kira-kira 12 tengah malam pada 29 September lepas.
Kes disiasat mengikut Seksyen 53 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 kerana bersekedudukan dan Seksyen 54 enakmen sama kerana melahirkan anak luar nikah.
mStar Online

28 September 2014

Pesakit kanser ditanam hidup-hidup?

- Foto: metro.co.uk

THESSALONIKI - GREECE. Seorang penjaga kubur terkejut sebaik terdengar satu jeritan menakutkan datang dari sebuah kubur yang baharu sahaja ditanam pada hari tersebut.
 
Memetik laporan Metro.co.uk hari ini, pekerja tersebut yang ketakutan terus menghubungi pihak berkuasa untuk memaklumkan kejadian tersebut.
 
Dia kemudiannya menggali semula kubur tersebut dan memecahkan keranda yang menempatkan seorang wanita yang telah meninggal dunia sebelum itu.
 
Namun difahamkan, mereka sudah terlambat dan wanita tersebut benar-benar mati kali ini.
 
Menurut laporan, wanita tersebut merupakan seorang pesakit kanser berusia 49 tahun dan dilaporkan telah meninggal dunia akibat penyakit yang dihadapinya.
 
Pihak berkuasa hari ini turut mengesahkan kejadian yang berlaku di Tanah Perkuburan Peraia.

Manakala doktor yang mengesahkan kematian wanita terbabit, Chrissi Matsikoudi memberitahu pemberita, wanita tersebut sudah lama meninggal dunia dan mustahil untuk dikebumikan secara hidup-hidup.

“Kami telah menjalankan pelbagai ujian ke atasnya termasuk ujian kegagalan hati ke atas wanita tersebut,” jelasnya lagi.

Polis setakat ini masih belum mendedahkan nama mangsa.

Dalam pada itu pihak keluarga wanita terbabit telah membuat laporan susulan daripada tindakan doktor yang mengesahkan kematian mangsa.


Sumber

25 September 2014

Bayi diserang biawak makin pulih

Nor Raudah Abdullah, 38, bersama bayinya, Nur Hidayah Abdul Rahman yang berusia lapan bulan yang semakin pulih ketika ditemui di Wad Kanak-Kanak Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Baharu di Jphpr Bahru hari ini. - Foto Bernama

JOHOR BAHRU - Nur Hidayah Abdul Rahman, bayi berusia lapan bulan yang menjadi mangsa serangan seekor biawak di kuarters sebuah resort di Kampung Tekek, Tioman, Pahang, Selasa lepas, menunjukkan tanda-tanda semakin pulih.
    
Pegawai Perubatan Pembedahan Plastik dan Rekonstruktif Hospital Sultanah Aminah (HSA), Dr Low Tzuemn Ling berkata, Nur Hidayah yang menerima 150 jahitan akibat cakaran biawak terbabit dijangka dibenarkan pulang ke rumah dalam masa terdekat, tetapi perlu menghadiri rawatan susulan di hospital berkenaan untuk memulihkan parut yang dialaminya.
    
"Buat masa ini kita sedang lihat proses penyembuhan luka dan dijangkakan jahitan itu akan dibuka seminggu lagi. Setakat ini, keadaan Nur Hidayah stabil cuma kita sedang memantaunya daripada sebarang jangkitan," kata beliau kepada pemberita di Wad Kanak-Kanak HSA, di sini hari ini.
    
Terdahulu, beliau mengiringi Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor Asiah Md Ariff yang melawat bayi berkenaan di wad kanak-kanak itu.
    
Dr Tzuemn Ling berkata, parut di muka Nur Hidayah kemungkinan sukar hilang, namun, rawatan susulan akan terus diberikan kepada bayi itu bagi meminimumkan kesan parut itu.
    
Meskipun pihaknya amat terkejut apabila melihat keadaan Nur Hidayah ketika tiba di hospital tempoh hari, beliau telah memastikan segala prosedur rawatan yang dilakukan terhadap bayi itu dilakukan dengan penuh teliti.
    
Sementara itu, Asiah berkata pihaknya menyediakan seorang pegawai kaunseling untuk membantu ibu bayi itu, Nor Raudah Abdullah, 38, sehingga pulih sepenuhnya daripada trauma yang dialaminya memandangkan wanita itu masih terbayang-bayang kejadian itu.
    
"Kita harap kaunseling ini sekurang-kurangnya dapat melegakan keadaan ibu bayi tersebut. Dia kelihatan biasa pada hari ini tetapi kita faham, untuk hilangkan trauma itu bukan perkara yang mudah," kata beliau yang turut menyampaikan sumbangan kepada ibu bapa bayi itu.
    
Sementara itu, bapa Nur Hidayah Abdul Rahman Ismail, 38, berkata kelibat biawak yang berkeliaran di sekitar rumah dan resort berkenaan biasa dilihat setiap hari, namun, tidak menyangka haiwan itu bertindak memasuki rumah.
    
Abdul Rahman yang merupakan pekerja penyelenggaraan di resort tersebut, turut berkata kawasan sekeliling resort itu amat bersih dengan dilengkapi landskap tanaman.
    
Beliau berkata ketika kejadian berlaku, dia sedang bekerja dan telah dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh pihak majikan.
    
"Saya rasa macam hendak mati bila dapat tahu perkara itu dan terus bergegas ke Klinik Kesihatan untuk melihat anak saya yang sudah dibawa ke sana. Setiap hari saya nampak biawak berkeliaran di kawasan rumah dan resort tetapi kejadian biawak memasuki rumah memang pertama kali terjadi," katanya yang tinggal di kuarters resort tersebut sejak setahun lalu. - Bernama

Port Mak Ngah Skodeng !