Memaparkan catatan dengan label Petua. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Petua. Papar semua catatan

09 Mac 2015

Tampil berhijab, Hanis lunas impian orang tua


SETIAP insan di dunia ini pasti melalui perjalanan yang berliku dan seterusnya di angkat sebagai suatu pengalaman hidup.

Perjalanan yang kita lalui membawa kita bertemu dengan pelbagai orang, pelbagai ragam yang akhirnya memberi kita suatu sesi pembelajaran tentang kehidupan.

Bahkan dalam kita melalui perjalanan itu, ada ketikanya kita akan melalui perjalanan yang mudah dan ada ketikanya perjalanan begitu sukar untuk ditempuhi.

Begitulah yang dapat diibaratkan mengenai perjalanan gadis bakal menginjak ke usia 25 tahun tidak lama lagi.

Biarpun masih muda, sudah banyak yang ditempuhi oleh pemilik nama sebenar Hanis Zalikha Zainal Rashid ini.

Dari dunia maya ke dunia seni, dari seorang blogger biasa kepada seorang selebriti, Hanis bertuah kerana sudah menempuh perjalanan yang penuh warna-warni.

Namun dalam melalui semua perjalanan itu, ada sesuatu yang kurang dan ada ketikanya sukar untuk diturutkan. Bagaimana itu bukan bermakna dia seorang yang cekal hati.

Malah sebagai anak kedua dari tujuh orang adik-beradik, dia bukanlah seorang yang sering ingkar akan arahan kedua ibu dan bapanya.

Justeru dia mula memujuk dan memupuk diri untuk menuruti permintaan yang sudah lama disuakan oleh ibu bapanya.

"Kalau ikutkan, mama dan daddy Hanis sudah lama memberi hint supaya Hanis berhijab. Kalau ikutkan Hanis tak pernah gagal mengikuti permintaan keluarga, tapi entah kenapa permintaan yang satu ini sukar untuk Hanis turutkan.

"Tapi itu bukan alasan untuk Hanis melanggar perintah Allah SWT. Alhamdulillah, hari demi hari yang berlalu, hati Hanis mula rasa tenang setiap kali bertudung, sehinggalah Hanis tekad untuk bertudung sepenuhnya pada 1 Mac lalu," ujarnya membuka bicara mengenai imej barunya yang kini sudah berhijab.

Bercerita dengan lebih lanjut, Hanis berkata, dia sudah mula memakai tudung sejak tahun lalu lagi. Bahkan ada ketikanya keluar bersama keluarga dan rakan, dia selesa mengenakan tudung.

"Akhir tahun lepas Hanis memang sibuk dengan penggambaran dan selepas Hairul melamar dan membuatkan keputusan untuk berkahwin, Hanis mula ambil keputusan untuk bercuti.

"Jadi apabila ada banyak masa dan tiada tawaran lakonan, Hanis kira ini adalah masa yang sesuai untuk Hanis bertudung. Kebetulan pada 1 Mac lalu, Hanis keluar bersama ibu dan Hairul.

"Hairul ketika itu teruja dengan imej Hanis dan tanya sama ada Hanis benar-benar sudah berhijab. Jadi bila Hanis kata ya, dia terus kongsikan dan tak sangka ramai yang memberi maklum balas yang baik mengenai perkara itu.

"Paling penting, saya sudah melunaskan impian mereka sebelum menjadi isteri dan perubahan ini adalah berkat doa dari mereka," katanya.


Hanis Zalikha dan ibu Hairul

Perubahan drastik?

Menganggap perubahan yang dilakukan bukan secara drastik, Hanis berkata, masih banyak perkara yang perlu dipelajari untuk menjadi Muslimah yang baik.

"Hanis masih diri saya seperti dulu. Cuma sekarang Hanis bertudung untuk menyempurnakan aurat. Lain-lain aspek itu Hanis akan belajar sedikit demi sedikit,” jelasnya.

Meskipun sudah bertudung, Hanis berkata, dia tetap akan aktif di dalam bidang lakonan selepas ini, namun masih belum memikirkan mengenai karier lakonannya buat masa ini.

"Memandangkan Hanis sibuk sedikit sekarang, Hanis memang tak ambil apa-apa tawaran lakonan, walaupun ada tawaran yang datang.

"Cuma kerja mengacara sahaja yang Hanis masih terima, apatah lagi rakaman Raikan Cinta masih berlangsung. Cuma beza sekarang ini, kami mencari pereka fesyen yang turut mereka tudung agar sesuai dengan imej Hanis," katanya.

Justeru apabila sudah bertudung, penulis sengaja mengusiknya adakah dia juga akan mengeluarkan tudung atau busana Muslimah seperti yang dilakukan kebanyakan selebriti pada hari ini?

Bagaimana jawab Hanis, dia masih belum terfikir ke arah itu dan dia sendiri masih memakai pakaian yang sedia ada, cuma bezanya di tambah dengan tudung.

"Mama memang pesan, berubah perlahan-lahan supaya orang lain tak terkejut dan Hanis sendiri tidak terkejut.

"Jadi kalau ikutkan Hanis pakai apa yang ada dalam almari, cuma Hanis pelbagaikan agar pakaian itu menutup aurat dan yang penting bertudung," ujarnya.

Bakal bertunang

Dalam pada itu, di tebak mengenai persiapan perkahwinannya yang kini sedang rancak dilakukan, Hanis mengakui, dia dan Hairul Azreen akan bertunang dalam masa terdekat.

Bagaimanapun ujar pelakon yang kini terkenal menerusi drama Suami Encik Sotong ini, majlis hanya akan diadakan secara tertutup dan dihadiri oleh keluarga kedua-dua belah pihak sahaja.

"Hanis minta maaf kerana tak dapat kongsikan tarikh pertunangan tapi boleh dikatakan kami akan bertunang dalam masa terdekat.

"Mengenai tarikh perkahwinan pula, hanya akan dibincangkan pada majlis pertunangan kelak dan ia akan diputuskan oleh keluarga. Jadi selepas ia diputuskan baru Hanis akan maklumkan bila kami akan berkahwin.

"Sekarang pun, Hanis agak sibuk dengan persiapan, sebab itu terpaksa tolak tawaran yang datang. Apa pun doa yang terbaik untuk kami," ujarnya mengakhiri perbualan.

Sumber Sinar Harian

20 Oktober 2014

Petani tanam labu seberat hampir satu tan

HAWKLEY bergambar bersama labu seberat hampir satu tan pada pertandingan labu terberat di California, Amerika Syarikat kelmarin.

Sebiji buah labu yang ditanam oleh seorang petani di Napa Valley dalam negeri California diisytiharkan sebagai buah labu paling besar yang pernah ditanam di Amerika Utara. Buah labu seberat 933 kilogram yang ditanam oleh petani itu, John Hawkley berjaya memenangi satu pertandingan buah labu terberat yang berlangsung di sini kelmarin.


Pegawai pertandingan itu, David Stelts berkata, pihak penganjur merancang untuk membawa buah labu berkenaan ke New York untuk dipamerkan dalam satu pameran botani tidak lama lagi.
“Buah labu yang ditanam Hawkley ini lebih berat daripada rekod sebelum ini yang juga dicatatkan di daerah Napa Valley.
“Sebagai johan pertandingan ini, Hawkley memenangi wang tunai berjumlah AS$13,348 (RM43,704),” katanya.
Rekod buah labu paling berat di dunia dicatatkan oleh seorang petani dari Switzerland yang berjaya menanam labu seberat 952 kilogram.
 – Reuters

03 Ogos 2014

Alahan,Maut jika makan roti

ALAHAN dialami Evan.
Baltimore (Amerika Syarikat): Kebanyakan kanak-kanak tidak akan berfikir dua kali sebelum menerima manisan serta gula-gula. Namun bagi Evan Grimes ia boleh membawa maut.
Kanak-kanak malang berusia 18 bulan ini mempunyai terlalu banyak alahan sehingga hanya mampu makan 11 jenis makanan selain terpaksa sering memakai sarung tangan untuk menghalangnya menggaru badannya sehingga berdarah disebabkan ruam yang sentiasa memenuhi tubuhnya.
Asid sitrik bahan yang biasa ditemui dalam minuman ringan, gula-gula dan roti boleh mengakibatkannya menjadi buta atau maut jika EpiPen (pen suntikan Epinefrin) tidak digunakan segera.

Jadi untuk mengelak nyawanya diletakkan dalam bahaya, ibunya Toya, 28, berjaya menyenaraikan hanya 11 makanan ‘selamat’ untuk anaknya itu.
Toya pertama kali merasakan sesuatu tidak kena dengan anaknya ketika Evan baru berusia dua bulan selepas kulit di sekitar matanya melepuh akibat jangkitan kuman.
Bayi itu diberikan steroid untuk meredakan kesakitannya, namun Evan terus mengalami masalah kulit teruk yang menyakitkannya sehingga kulit wajahnya nampak seperti melecur dan nipis.

“Ketika mula melihat tanda-tanda alahan padanya saya memakaikan sarung tangan bayi untuk menghalangnya daripada menggaru. 

“Namun disebabkan terlalu gatal dia menggosok wajahnya menggunakan tangannya yang bersarung sehingga semakin melarat.
TOYA bersama anak kesayangannya Evan.

“Saya begitu risau dan tidak tahu apa punca alahannya menyebabkan dia sering gatal-gatal dan melepuh. Katil bayinya sentiasa dipenuhi darah,” katanya.

Menurutnya, seorang pakar dermatologi mencadangkan kemungkinan Evan alah terhadap asid sitrik berdasarkan pemerhatian terhadap pemakanannya.

Namun doktor enggan membuat ujian alahan terhadap Evan kerana mendakwa usianya terlalu muda.

“Saya merayu mereka membuat ujian kerana jelas anak saya merana. Dia menangis dan badannya berlumuran berdarah hampir setiap hari namun mereka enggan melayan permintaan itu,” katanya.

“Saya rasa tidak berdaya, kasihan melihat anak menderita seperti itu,” katanya.

Namun keadaan menjadi lebih baik selepas seorang pakar kulit yang tidak sampai hati melihat keadaan Evan bersetuju membuat ujian alahan ketika bayi itu berusia 15 bulan.

“Dia menangis apabila melihat keadaan Evan dan terus mengarahkan ujian darah dibuat,” katanya.

Hasilnya, Evan didapati mempunyai 46 alahan termasuk terhadap asid sitrik, kentang, kekacang, produk tenusu dan gandum seterusnya dia dirujuk kepada pakar dermatologi dan pakar pemakanan.

Kini Toya berjaya menyenaraikan 11 makanan ‘selamat’ untuk anaknya itu yang antaranya termasuk ayam belanda, kacang panjang, lobak merah, epal, anggur, pear dan sayuran hijau. 
- Agensi


27 Februari 2014

Atasi alahan dengan makan gula-gula


KANAK-kanak lelaki yang mengalami alahan melampau ini hanya boleh mengambil gula-gula Glacier Mints sebagai makanan hariannya.

Keadaan itu disebabkan oleh penyakit eosinophilic enterocolitis dialami Finley Ranson, 3, yang menyebabkan dia tidak boleh menjamah sebarang makanan.

Menurut ibunya, Rhys, 27, anaknya akan mengalami pendarahan dalaman jika dia termakan makanan pejal kerana tubuh Ranson melawan objek di dalam sistem pencernaannya seperti virus.

Bagaimanapun, kanak-kanak tersebut diberikan nutrien sebanyak enam kali sehari melalui tiub khas  yang disambungkan terus ke perutnya.

"Sejak lahir, Ranson menjalani 10 pembedahan untuk merawat penyakit gangguan  makan tersebut," katanya.

Pada setiap tahun, sebanyak 3,650 gula-gula  perlu diambil sebagai pengganti makanan pejal, laporan dipetik dari DailyMail.

Sumber

19 Februari 2014

Hanez Suraya cari suami bukan kekasih

HANEZ mengakui mula berkenalan dengan bakal suaminya sejak hujung tahun lalu.


BERITA pelakon jelita, Hanez Suraya, 29, bakal mendirikan rumah tangga pada tahun ini bersama seorang ahli perniagaan berusia 34 tahun dalam sebuah akhbar mingguan baru-baru ini agak mengejutkan banyak pihak.
Tiada angin, tiada ribut, bekas kekasih penyanyi Awi Rafael itu tiba-tiba sahaja mahu berkahwin. Hanez yang dihubungi Kosmo! tidak dapat menyembunyikan perasaan gembiranya bakal bergelar isteri.
Bagaimanapun, Hanez masih lagi merahsiakan identiti bakal suami, tarikh dan lokasi pernikahan kerana semuanya masih dalam peringkat perancangan.
Tegas Hanez, dia ada sebab untuk terus berkahwin dan tidak bertunang seperti orang lain. Ikuti temu bual Kosmo! selanjut bersama Hanez.
Kosmo!: Kenapakah tiba-tiba sahaja terbuka hati Hanez untuk berkahwin?
HANEZ: Sebelum ini, apabila sudah kecewa bercinta saya tidak fikir soal perkahwinan. Apabila kenal seseorang yang jujur dan ikhlas untuk memperisterikan saya, buat apa tunggu. Jika saya tolak, bila lagi saya akan berkahwin. Jika saya minta dia tunggu, sampai bila dia sanggup tunggu. Mungkin sudah sampai jodoh.
Apakah keistimewaan bakal suami sehingga Hanez menerima lamarannya?
Kami kenal sejak hujung tahun lalu, tidaklah terlalu lama. Saya tidak kisah andai bakal suami saya orang yang sederhana kerana saya juga bukan datang daripada keluarga kaya raya. Terus-terang saya katakan sebelum mengenali bakal suami, saya memang mencari lelaki untuk dijadikan suami, bukannya kekasih untuk mengisi kesunyian. Bakal suami saya juga begitu. Dia kata, dia sudah ada semua benda kecuali isteri. Melihat keserasian dan kesungguhan nya itu membuatkan saya setuju.
Adakah Hanez sengaja memilih orang di luar industri seni untuk dijadikan suami selepas kecewa bercinta dengan artis?
Saya akui pengalaman lalu banyak mengajar saya. Bukan mahu memburukkan orang lain tetapi jika bekerja dalam industri yang sama, masa untuk berjumpa sangat terhad. Lebih baik saya cari orang di luar industri, andai bakal suami suruh saya berhenti berlakon saya akan ikut tetapi semuanya boleh dibincang dengan baik.
FIGURA ini mahu terus melangsungkan perkahwinan tanpa bertunang terlebih dahulu.


Mengapakah Hanez merahsiakan identiti bakal suami dan tarikh pernikahan?
Bakal suami bukan orang dalam industri seni, jadi tidak perlu untuk saya kenalkan sehingga dia sah menjadi suami saya. Begitu juga dengan tarikh nikah. Bukan apa, saya bimbang jika dihebahkan terlalu awal majlis tidak menjadi seperti dirancang. Majlis risik dan bertunang jika berlaku, hanya untuk keluarga, tetapi majlis nikah saya akan beritahu dan jemput semua orang termasuk pihak media. Bagi saya, perkara baik buat apa saya sorok. Apa yang pasti, saya akan berkahwin pada tahun ini juga.
Adakah Hanez ingin berkahwin dalam tahun ini juga kerana mengejar sasaran untuk berkahwin sebelum ini 30 tahun?
Sejujurnya, saya pernah letak sasaran untuk kahwin sebelum 30 tahun tetapi selepas putus cinta saya tidak fikirkan perkara itu. Saya serahkan semuanya kepada takdir. Saya percaya apabila terlalu mengharap dan mencari, cinta itu tidak akan akan datang. Namun apabila saya tidak cari, cinta itu datang dengan sendirinya tanpa saya sangka.
Mengapakah Hanez enggan mengadakan majlis pertunangan?
Bagi saya, bertunang itu sekadar adat, lainlah kalau saya tidak kenal siapa bakal suami. Kalau boleh saya mahu adakan satu majlis sahaja. Jimat masa dan kos. Idea saya memang ringkas, tetapi sebagai anak sulung, pastinya keluarga ingin lihat saya bertunang. Jika bertunang, mungkin sekadar cukup syarat sahaja dan diadakan sekali gus dengan majlis merisik.
Bagaimanakah dengan persiapan perkahwinan?
Sepatutnya sudah mula cari apa yang patut terutama lokasi pernikahan dan resepsi. Masalahnya, kami berdua sangat sibuk, jadi saya baru sahaja mula buat apa yang patut.
Saya harap peminat dan masyarakat doakan majlis perkahwinan saya berjalan dengan lancar.
KOSMO!


05 Februari 2014

INFO KESIHATAN,SAKIT TAPAK KAKI – PUNCA DAN CARA ATASI

INFO KESIHATAN

SAKIT TAPAK KAKI – PUNCA dan CARA ATASI


Anda seorang kaki ‘shopping’ dan mampu berdiri dan berjalan berjam-jam lamanya? Jika ya, sememangnya kaki anda merupakan anugerah yang paling berharga. Namun begitu, lama-kelamaan kaki anda akan hilang kekuatannya,sama ada dimamah usia atau tidak dijaga kesihatannya. Berapa jauh danlamanya kita berdiri dan berjalan boleh juga memberikan kesan terhadap kesihatan kaki kita terutama jika kita telah mempunyai sejarah kesakitan kaki
sebelum ini seperti pernah terseliuh atau patah.

Anda boleh mengalami kesakitan kaki di bahagian tapak kaki belakang atau dikenali plantar fasciitis, di bahagian depan kaki (metatarsalgia) atau sakit kaki yang menjalar hingga ke bahagian betis atau kaki hadapan anda atau dikenali shin splint.

Tapak kaki kita mempunyai saraf yang menghubungkan dengan organ-organ tertentu di badan kita. Urutan refleksologi adalah salah satu rawatan berkesan untuk mengubati masalah sakit tapak kaki.

FAKTOR SAKIT TAPAK KAKI

Banyak faktor-faktor yang boleh menyebabkan anda mengalami sakit kaki seperti :

* Bentuk kaki yang leper dan rendah lengkungan bahagian dalam kaki atau dikenali Pes Planus

* Bentuk kaki yang mempunyai lengkungan dalam yang tinggi yang dikenali sebagai Pes Cavus

* Pemilihan kasut yang tidak betul seperti tiada penyokong lengkungan tapak kaki atau bertumit tinggi

* Selepas kecederaan seperti patah atau terseliuh

* Berat badan yang berlebihan seperti mempunyai Indeks Jisim Tubuh (BMI) melebihi 30 kilogram meter persegi (kg/m2) 

* Melakukan aktiviti di tempat yang keras tanpa kasut yang sesuai seperti melakukan joging di jalan berturap tar dengan memakai kasut sukan taekwando.

CARA MENGATASI SAKIT TAPAK KAKI

Bagi mengatasi sakit kaki, anda perlu mengetahui faktor-faktor penyebab sakit kaki terlebih dahulu dan cara bagaimana anda dapat mengatasinya dengan :

# Kekalkan berat badan dengan pemantauan BMI normal sekitar 18.5 hingga 25 kg/m2

# Tidak memakai kasut bertumit tinggi atau sekurang-kurangnya tumit kasut tidak melebihi 1 inci

# Memilih kasut yang sesuai mengikut aktiviti fizikal anda seperti lembut dan fleksibel pada tapak kasut serta mempunyai penyokong di bahagian lengkungan dalam dan lengkungan lintang di hadapan kaki

# Anda perlu memiliki sepasang tapak kasut atau insole yang mempunyai ciri-ciri sokongan tapak

kaki yang boleh digunapakai pada semua kasut anda jika sekiranya anda telah mempunyai
banyak kasut dan tidak ingin membazir dengan membeli kasut lain.

# Lakukan senaman kaki mengikut panduan ahli fisioterapi anda dengan senaman regangan plantar fascia dan senaman kekuatan otot kaki.

Sumber

03 Februari 2014

Cameron Diaz kongsi petua jaga badan

Cameron Diaz
DIKENALI sebagai salah seorang aktres yang mempunyai bentuk tubuh badan yang cantik, Cameron Diaz telah berkongsi petua menerusi rencana yang disiarkan di majalah Self Magazine terbitan bulan Februari 2014.
Dalam rencana tersebut, aktres berkenaan mendedahkan bahawa dia mula melakukan senaman dan menjaga pemakanan harian ketika dipilih membintangi filem Charlie's Angels pada tahun 2000.
"Sebenarnya saya rajin melakukan senaman semata-mata mahu menjayakan filem tersebut, tetapi kini ia sudah menjadi satu kebiasaan. Kalau tidak melakukan senaman, saya akan menjadi cepat murung," dedahnya.
Menurut Diaz, sebelum memulakan penggambaran, dia terpaksa menguatkan stamina dengan rajin bersenam memandangkan perlu mengadakan latihan yang berat untuk sebuah filem aksi seperti Charlie's Angels.
Ujarnya, bagi menjayakan watak sebagai Natalie Cook dalam filem berkenaan, dia perlu berlatih selama lapan jam sehari dan tujuh hari seminggu dalam tempoh tiga bulan.
KOSMO!

23 Januari 2014

Nurul Wahab buka rahsia turun 14 kg dalam masa 3 bulan

Nurul Wahab

BUKAN senang untuk kekal langsing selepas bersalin, malah ada di kalangan wanita gagal mendapatkan bentuk badan asal biarpun selepas habis berpantang.

Namun buat penyanyi, Nurul Wahab yang baru melahirkan anak kedua hasil perkahwinan bersama jejaka Perancis, Eric Depp ini, ia bukanlah mustahil.

Selepas tiga bulan bersalin, dia berjaya menurunkan 14 kilogram berat badannya.

Pasti ramai wanita di luar sana mahu berkongsi tip langsing daripada penyanyi ini.

Jom kita tinjau rahsianya.

Anda tidak mengambil masa yang lama untuk kekal langsing selepas bersalin, apakah rahsianya?

Alhamdulillah, selepas tiga bulan melahirkan anak, berat badan sudah berkurang sebanyak 14 kilogram. Sekarang saya target untuk turunkan lagi 4 kilogram untuk mendapatkan berat badan ideal saya.

Sebenarnya tidak ada rahsia cuma saya amat menjaga pemakanan sepanjang waktu berpantang. Kebanyakan makanan mengandungi banyak karbohidrat, jadi saya kurangkan makanan seperti itu dan lebihkan pengambilan protein untuk kurangkan berat badan dengan cepat. Pada masa yang sama, saya juga ada amalkan makanan kesihatan berbentuk minuman setiap pagi.

Selain itu, saya lakukan aktiviti bersenam untuk kembalikan bentuk badan asal sebelum mengandung.

Selain kembali langsing, anda juga sentiasa kelihatan ceria, apa rahsianya?

Hidup ini kena selalu ceria sebab bila kita sentiasa gembira, tenaga yang baik juga akan datang. Memang masalah akan selalu berlaku tapi kita perlu hadapinya dengan ceria.

Satu lagi, bila hidup sudah lengkap, memang kita akan selalu gembira begitu juga dengan saya.

Apakah yang anda lakukan sebagai terapi diri untuk membuatkan anda rasa lebih tenang?

Setiap minggu memang saya akan lakukan aktiviti menunggang kuda. Biasanya saya lakukannya dua kali seminggu.  Walaupun agak mencabar, bagi saya aktiviti ini berkesan sebagai terapi diri untuk hilangkan tekanan.

Selain itu, apa yang anda lakukan pada waktu lapang?

Saya juga akan habiskan masa di gimnasium tiga kali seminggu. Di sana saya turut lakukan yoga. Bila lakukan aktiviti ini, bukan sahaja saya dapat kekalkan stamina, tetapi juga ketenangan.

Penjagaan kulit muka yang anda amalkan?

Sebagai duta produk kecantikan Skinz Infinite memang saya mementingkan penjagaan kulit. Untuk pengetahuan, memang saya gunakan produk tersebut setiap hari.

Penjagaan kulit memang penting kerana kulit saya sentiasa terdedah dengan solekan.

Adakah anda amalkan pengambilan suplemen?

Saya memang ada ambil vitamin C dan D dan itu juga penting tambahan pula dengan usia saya yang sudah mencecah 36 tahun ini, memang perlu pengambilan suplemen ini.

Perkembangan karier nyanyian?

Terbaharu, saya sedang membuat perjanjian dengan syarikat rakaman dan berbincang untuk single terbaru saya. Sekarang ini kami sedang menunggu single itu siap sepenuhnya dari penyanyi Shila Amzah sebagai pencipta lagu tersebut.

Kembali aktif dalam bidang nyanyian, bagaimana anda bahagikan masa menjalankan tanggungjawab sebagai seorang isteri dan ibu?

Walaupun sebelum ini saya tidak tampil dengan lagu baru, saya masih aktif menyanyi di majlis-majlis tertentu. Biarpun sekarang sudah ada baby baru, semuanya masih sama cuma saya perlu bijak bahagi masa.

Kredit : Hiburan Sinar

17 Januari 2014

Petua,Hilangkan bau durian di dalam kereta


Cara murah dan mudah untuk kita menghilangkan bau durian di dalam kereta adalah mengikut petua orang-orang tua seperti di bawah. Anda boleh cuba dulu, tapi bau itu memang tak akan hilang dengan serta-merta.

1. Balut buah durian itu dengan daun ubi kayu atau betik atau apa-apa daun yang kelebarannya boleh menutupi kelebaran buah durian.

2. Cuba letak separuh buah nenas yang telah dipotong. Bau durian itu akan diserap oleh nenas.

3. Cuba letak daun pandan, terus hilang bau.

4. Letakkan beberapa keping roti (semua jenis roti boleh) tutup kesemua pintu dan tingkap, biarkan beberapa jam, bau durian akan hilang.

5. Letakkan beberapa ketulan kayu arang di kawasan yang berbau durian. Arang akan menyerap kesemua bauan tersebut.

6. Serbuk kopi (tak kisah cap apa pun) juga boleh menyerap bauan tak sedap. Bungkus serbuk kopi dalam kain atau masukkan dalam bekas kemudian letak di dalam kereta.

7. Letakkan semangkuk serbuk penaik (baking soda) di dalam kawasan yang berbau kurang enak. Bau durian itu juga akan hilang diserap.

8. Letakkan bekas cuka di dalam kawasan yang berbau kurang enak. Cuka akan mengurangkan bau tersebut.

9. Masukkan semua durian dalam bungkusan beg plastik dua atau tiga lapis kemudian ikat ketat-ketat sebelum letak di dalam bonet keret. Selepas itu buka semua tingkap kereta semasa memandu, jangan pasang pendingin hawa. Biarkan udara memasuki kereta anda itu.

Port Mak Ngah Skodeng !