09 Mac 2015

Tampil berhijab, Hanis lunas impian orang tua


SETIAP insan di dunia ini pasti melalui perjalanan yang berliku dan seterusnya di angkat sebagai suatu pengalaman hidup.

Perjalanan yang kita lalui membawa kita bertemu dengan pelbagai orang, pelbagai ragam yang akhirnya memberi kita suatu sesi pembelajaran tentang kehidupan.

Bahkan dalam kita melalui perjalanan itu, ada ketikanya kita akan melalui perjalanan yang mudah dan ada ketikanya perjalanan begitu sukar untuk ditempuhi.

Begitulah yang dapat diibaratkan mengenai perjalanan gadis bakal menginjak ke usia 25 tahun tidak lama lagi.

Biarpun masih muda, sudah banyak yang ditempuhi oleh pemilik nama sebenar Hanis Zalikha Zainal Rashid ini.

Dari dunia maya ke dunia seni, dari seorang blogger biasa kepada seorang selebriti, Hanis bertuah kerana sudah menempuh perjalanan yang penuh warna-warni.

Namun dalam melalui semua perjalanan itu, ada sesuatu yang kurang dan ada ketikanya sukar untuk diturutkan. Bagaimana itu bukan bermakna dia seorang yang cekal hati.

Malah sebagai anak kedua dari tujuh orang adik-beradik, dia bukanlah seorang yang sering ingkar akan arahan kedua ibu dan bapanya.

Justeru dia mula memujuk dan memupuk diri untuk menuruti permintaan yang sudah lama disuakan oleh ibu bapanya.

"Kalau ikutkan, mama dan daddy Hanis sudah lama memberi hint supaya Hanis berhijab. Kalau ikutkan Hanis tak pernah gagal mengikuti permintaan keluarga, tapi entah kenapa permintaan yang satu ini sukar untuk Hanis turutkan.

"Tapi itu bukan alasan untuk Hanis melanggar perintah Allah SWT. Alhamdulillah, hari demi hari yang berlalu, hati Hanis mula rasa tenang setiap kali bertudung, sehinggalah Hanis tekad untuk bertudung sepenuhnya pada 1 Mac lalu," ujarnya membuka bicara mengenai imej barunya yang kini sudah berhijab.

Bercerita dengan lebih lanjut, Hanis berkata, dia sudah mula memakai tudung sejak tahun lalu lagi. Bahkan ada ketikanya keluar bersama keluarga dan rakan, dia selesa mengenakan tudung.

"Akhir tahun lepas Hanis memang sibuk dengan penggambaran dan selepas Hairul melamar dan membuatkan keputusan untuk berkahwin, Hanis mula ambil keputusan untuk bercuti.

"Jadi apabila ada banyak masa dan tiada tawaran lakonan, Hanis kira ini adalah masa yang sesuai untuk Hanis bertudung. Kebetulan pada 1 Mac lalu, Hanis keluar bersama ibu dan Hairul.

"Hairul ketika itu teruja dengan imej Hanis dan tanya sama ada Hanis benar-benar sudah berhijab. Jadi bila Hanis kata ya, dia terus kongsikan dan tak sangka ramai yang memberi maklum balas yang baik mengenai perkara itu.

"Paling penting, saya sudah melunaskan impian mereka sebelum menjadi isteri dan perubahan ini adalah berkat doa dari mereka," katanya.


Hanis Zalikha dan ibu Hairul

Perubahan drastik?

Menganggap perubahan yang dilakukan bukan secara drastik, Hanis berkata, masih banyak perkara yang perlu dipelajari untuk menjadi Muslimah yang baik.

"Hanis masih diri saya seperti dulu. Cuma sekarang Hanis bertudung untuk menyempurnakan aurat. Lain-lain aspek itu Hanis akan belajar sedikit demi sedikit,” jelasnya.

Meskipun sudah bertudung, Hanis berkata, dia tetap akan aktif di dalam bidang lakonan selepas ini, namun masih belum memikirkan mengenai karier lakonannya buat masa ini.

"Memandangkan Hanis sibuk sedikit sekarang, Hanis memang tak ambil apa-apa tawaran lakonan, walaupun ada tawaran yang datang.

"Cuma kerja mengacara sahaja yang Hanis masih terima, apatah lagi rakaman Raikan Cinta masih berlangsung. Cuma beza sekarang ini, kami mencari pereka fesyen yang turut mereka tudung agar sesuai dengan imej Hanis," katanya.

Justeru apabila sudah bertudung, penulis sengaja mengusiknya adakah dia juga akan mengeluarkan tudung atau busana Muslimah seperti yang dilakukan kebanyakan selebriti pada hari ini?

Bagaimana jawab Hanis, dia masih belum terfikir ke arah itu dan dia sendiri masih memakai pakaian yang sedia ada, cuma bezanya di tambah dengan tudung.

"Mama memang pesan, berubah perlahan-lahan supaya orang lain tak terkejut dan Hanis sendiri tidak terkejut.

"Jadi kalau ikutkan Hanis pakai apa yang ada dalam almari, cuma Hanis pelbagaikan agar pakaian itu menutup aurat dan yang penting bertudung," ujarnya.

Bakal bertunang

Dalam pada itu, di tebak mengenai persiapan perkahwinannya yang kini sedang rancak dilakukan, Hanis mengakui, dia dan Hairul Azreen akan bertunang dalam masa terdekat.

Bagaimanapun ujar pelakon yang kini terkenal menerusi drama Suami Encik Sotong ini, majlis hanya akan diadakan secara tertutup dan dihadiri oleh keluarga kedua-dua belah pihak sahaja.

"Hanis minta maaf kerana tak dapat kongsikan tarikh pertunangan tapi boleh dikatakan kami akan bertunang dalam masa terdekat.

"Mengenai tarikh perkahwinan pula, hanya akan dibincangkan pada majlis pertunangan kelak dan ia akan diputuskan oleh keluarga. Jadi selepas ia diputuskan baru Hanis akan maklumkan bila kami akan berkahwin.

"Sekarang pun, Hanis agak sibuk dengan persiapan, sebab itu terpaksa tolak tawaran yang datang. Apa pun doa yang terbaik untuk kami," ujarnya mengakhiri perbualan.

Sumber Sinar Harian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Port Mak Ngah Skodeng !