19 Februari 2015

Padah minta duit, belasah isteri dapat balasan


KOTA BHARU - Penderitaan seorang wanita berakhir apabila suaminya dihukum penjara 10 bulan oleh Mahkamah Majistret Kota Bharu, hari ini selepas didapati bersalah memukulnya.

Hukuman diputuskan Majistret, Mohamad Nasrudin Mohamed ke atas pekerja pam minyak terbabit, Mohd Hasrul Omar, 30, selepas tertuduh mengaku bersalah.

Lelaki tersebut didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada isterinya seorang warga Indonesia, Rumisih Suwarno dengan menumbuk di kepala, dada dan bahu kanan di alamat Kampung Kuala Besar, Badang, di sini, pada jam 12 tengah hari, 13 Februari lalu.

Dalam kejadian itu, tertuduh menumbuk mangsa dengan tangan dan lutut serta turut menendang di badan dengan kaki hingga isterinya cedera lebam-lebam di badan.

Tertuduh pada mulanya meminta duit dengan mangsa, namun permintaan itu tidak dapat dipenuhi kerana tidak mempunyai wang menyebabkan berlaku pertengkaran mulut.

Tertuduh kemudian bertindak ganas dengan membelasah mangsa hingga ibu mertua mangsa datang meleraikannya.

Pada prosiding berkenaan, tertuduh yang diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kelantan memohon hukumannya diringankan, bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Kelantan, Nurliyana Md Zukri memohon hukuman setimpal bagi memberi pengajaran kepadanya.

“Saya mohon mahkamah mempertimbangkan rekod jenayah lampau tertuduh dan mengambil kira jenayah keganasan rumah tangga yang semakin berleluasa terutama di negeri ini,” katanya.

SH

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Port Mak Ngah Skodeng !