06 Mac 2014

Bahaya minuman tenaga


LONDON 5 Mac - Orang ramai yang gemarkan air tenaga yang tinggi kafein, diminta supaya berwaspada selepas satu kajian mendapati minuman itu mampu mengubah kadar denyutan dan meningkatkan potensi diserang penyakit jantung.

Menurut kajian oleh penyelidik dari Universiti Bonn di Jerman, orang dewasa yang sihat dan minum minuman tenaga tinggi kafein, akan mengalami peningkatan kadar denyutan jantung sejam selepas pengambilan air tersebut, lapor Daily Mail.

Penyelidik Jerman itu membuat kajian terhadap kesan meminum air yang mengandungi kafein dan taurine (asid amino) ke atas 18 golongan dewasa sihat dengan purata usia 27.5 tahun.

Setiap responden kemudiannya menjalani pemeriksaan pengimejan resonans magnetik (MRI) jantung sebelum dan sejam selepas meminum air tenaga yang mengandungi taurine, (400 miligram /100 mililiter) dan kafein (32 miligram/100 mililiter).

Selepas minum air itu, setiap responden mengalami kemuncak peningkatan tekanan dan denyutan pada rongga kecil di kiri jantung, bahagian yang menerima darah beroksigen daripada paru-paru dan mengepamnya ke saluran besar dalam sistem salur nadi dan membekalkannya ke seluruh bahagian badan.

“Sehingga kini, kami masih belum mengetahui secara tepat kesan minum air tenaga ini kepada fungsi jantung.
“Kami juga tidak mengetahui bagaimana peningkatan kadar denyutan jantung mempengaruhi aktiviti seharian atau prestasi aktiviti sukan.

“Kami memerlukan kajian tambahan bagi memahami mekanisme tersebut dan menentukan jangka masa kesan minum air tenaga itu akan berakhir,’’ katanya.

SUMBER


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Port Mak Ngah Skodeng !