24 Mac 2014

Pesawat MH370 Sah Terhempas Di Selatan Lautan Hindi - Najib


PETALING JAYA:  Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengesahkan bahawa pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu terhempas di selatan Lautan Hindi di barat daya Australia.

Beliau yang bercakap dalam sidang media pada malam Isnin berkata, berdasarkan analisis baru, Cawangan Siasatan Kemalangan Udara United Kingdom (AAIB) telah menyimpulkan bahawa pesawat MH370 telah terbang di sepanjang Koridor Selatan, di tengah Lautan Hindi, di barat daya Perth, Australia.

Najib menambah, syarikat Immarsat telah mengesan pesawat itu terbang di sepanjang koridor utara dan selatan, dan mengenal pasti laluan penerbangan terakhir menerusi teknologi canggih. 

"Menggunakan sejenis analisis tidak pernah digunakan sebelum ini, mereka telah dapat mengesan laluan penerbangan MH370 itu. Kedudukan itu jauh dari mana-mana lokasi pendaratan.

"Dengan duka cita saya perlu memberitahu anda bahawa menerusi perkembangan terbaharu ini, pesawat MH370 ‘berakhir’ di selatan Lautan Hindi," katanya di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur.

Najib berkata, satu sidang media akan diadakan pada Selasa berhubung perkembangan lanjut mengenai pesawat MH370.

Beliau menambah, ia merupakan peluang terawal untuk menunjukkan komitmen dan penghormatan kepada keluarga penumpang dan anak kapal, dan prinsip dalam penyiasatan berhubung kehilangan pesawat MH370.

“MAS (Penerbangan Malaysia) telah memaklumkan mengenai perkembangan ini kepada semua keluarga penumpang dan anak kapal. Saya tahu berita yang paling baharu ini merupakan sesuatu yang begitu sukar bagi kita semua," katanya.

Penerbangan MH370 yang menggunakan pesawat Boeing 777, hilang dari radar Malaysia pada pukul 1.30 pagi 8 Mac selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menuju ke Beijing.

Pesawat yang membawa 239 penumpang dan anak kapal itu sepatutnya tiba di Beijing pada pukul 6.30 pagi hari yang sama.

mStar Online

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Port Mak Ngah Skodeng !