19 Mac 2014

Penjual buah sorok dadah dalam dubur


GEORGETOWN - Seorang penjual buah didapati bersalah selepas didakwa atas kesalahan menyimpan dadah di dalam dubur.

Tertuduh, Faizul Amirul Ahmad Fareez, 37, didapati melakukan kesalahan tersebut pada 9 Mac 2014 kira-kira jam 12 tengah hari di Flat Taman Manggis Jalan Zainal Abidin.

Mengikut fakta kes, rumah tertuduh diserbu anggota polis melalui hasil maklumat yang diberikan.

Dalam serbuan berkenaan, polis menjumpai straw serbuk ketulan disyaki heroin yang disorokkan dalam dubur tertuduh.

Mengikut fakta pertuduhan pertama, dia dituduh pada 9 Mac 2014 dengan memiliki dadah heroin seberat 2.5 gram.

Atas kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12 (3) akta sama.

Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak kurang lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Sementara bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa memasukkan dadah ke dalam badannya tanpa kebenaran.

Akibatnya dia didakwa mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 (Pindaan 2004) dan boleh dihukum di bawah seksyen yang sama.

Jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Faizul Amirul yang diwakili peguamnya merayu supaya hukuman diringankan kerana mempunyai gaji kurang daripada RM500 sebulan.

Majistret Umma Devi Loganathan kemudiannya menjatuhkan hukuman penjara selama 14 bulan melalui pertuduhan pertama dan penjara selama lima bulan untuk pertuduhan kedua.

Tertuduh juga dikehendaki menjalani pengawasan selama dua tahun.


Sinar Harian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Port Mak Ngah Skodeng !