04 April 2014

Pokok pisang berbuah di batang

Buah pisang lemak manis yang tumbuh di tengah batang.

KUALA PILAH – Seorang pesara tentera terkejut selepas mendapat tahu sebatang pokok pisang lemak manis yang ditanamnya dekat kebun  berhampiran rumahnya di Kampung Seri Pelangai, dekat sini berbuah di tengah batang.

Udin Mahmud, 80, berkata, kejadian pelik dan unik itu disedari anaknya, Norzaisham, 40, yang ketika itu sedang membersihkan kebun miliknya pada 31 Mac lalu.

Menurutnya, pada kebiasaannya pokok pisang akan mengeluarkan buah daripada celah pucuk antara pelepah daunnya.

“Namun, kali ini pelik pula. Bila pakcik lihat sendiri, buah keluar dari celah-celah rekahan batang pisang.

“Anak pakcik maklumkan kejadian aneh ini pada waktu pagi. Bila dapat tahu, pakcik dan isteri terus bergegas ke kebun yang terletak kira-kira 100 meter dari rumah untuk melihat keanehan itu," katanya.

Udin berkata, bila diteliti, buah pisang bersaiz normal dan sama seperti pisang lemak manis yang lain.

“Pakcik lihat, tandan buah ini bergulung-gulung dan mungkin saiz tandannya besar serta panjang.

“Bagaimanapun, pakcik berasa hairan bila pokok pisang tersebut mengeluarkan jantung sedangkan setiap hari anak saya akan ke kebun untuk membersihkan selain memungut hasil tanaman,” katanya.

Katanya, anaknya mengusahakan kebun itu secara kecil-kecilan sejak setahun lalu di kawasan tanah seluas setengah hektar berhampiran kawasan rumahnya.

“Terdapat kira-kira 50 pokok pisang ditanam dan kebanyakan buah untuk makanan sendiri dan disedekahkan kepada jiran atau di masjid,” katanya.

Sinar Harian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Port Mak Ngah Skodeng !