02 April 2014

Ditetak hanya kerana bunyikan hon

Keadaan mangsa yang cedera selepas tubuhnya dilibas beberapa kali dengan parang.

PUCHONG – Hanya disebabkan tindakannya membunyikan hon, seorang pemandu teksi ditetak beberapa kali dan dikelar di kaki, paha dan tangannya oleh dua lelaki di persimpangan lampu isyarat berdekatan Batu 8, Taman Kinrara, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.15 pagi itu, mangsa yang berusia 65 tahun baru sahaja menurunkan pelanggannya di sebuah pusat beli-belah di Puchong Jaya.

Ketika dalam perjalanan menghala ke Kuala Lumpur, sebuah kereta jenis Perodua Kembara terus memintas laluan mangsa dan hampir melanggar teksi dipandunya.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Abd Razak Elias berkata, mangsa membunyikan hon beberapa kali untuk menyedarkan pemandu kereta terbabit.

Namun tindakannya itu menyebabkan dua lelaki berusia 20-an dalam kenderaan berkenaan berang lalu memintas kenderaan mangsa dan memaksanya berhenti.

Pemandu teksi warga emas terbabit cuba membuka pintu untuk melarikan diri, namun seorang daripada suspek terus menutup pintu teksi dengan kuat menyebabkan kepala mangsa tersepit.

Abd Razak berkata, suspek kemudian melibas parang meskipun mangsa menjerit mohon simpati.


Dua suspek yang berjaya ditahan selepas menyerang seorang pemandu teks

Mangsa cuba mempertahankan dirinya namun dia dicederakan dengan parang tersebut.

Kedua-dua suspek kemudian melarikan diri selepas orang ramai mula mengerumuni lokasi kejadian.

Mangsa yang berlumuran darah kemudian dihantar ke hospital di Petaling Jaya untuk rawatan.

Kira-kira empat jam selepas kejadian, Abd Razak berkata, dua anggotanya melakukan rondaan di sekitar Taman Kinrara Seksyen 1 terserempak dua lelaki berada dalam keadaan mencurigakan.

Seorang daripadanya tidur di tempat duduk pemandu Proton Kembara manakala rakannya tidur di luar kereta berdekatan pintu penumpang.

Apabila diperiksa, dua lelaki itu langsung tidak sedarkan diri dipercayai dalam keadaan terlalu mabuk.

Sebilah parang yang masih terdapat kesan darah ditemui di antara kerusi bahagian pemandu dan penumpang kenderaan terbabit.

“Selepas mangsa membuat laporan pada jam 4.30 petang, siasatan dijalankan mendapati dua lelaki terbabit dalam kejadian menyerang pemandu teksi sebelum itu.

“Mangsa boleh mengingati wajah suspek dan nombor plat kenderaan digunakan dalam kejadian” katanya. Kedua-duanya direman untuk membantu siasatan.

Sinar Harian

1 ulasan:

  1. kasi pancung je dua ekor Pariah ni, sebelum ramai lagi orang lain dibunuhnya.

    BalasPadam

Port Mak Ngah Skodeng !