21 April 2014

Ditipu Rakan Suami,Berpantang dalam pondok buruk

Suriana bersama tiga anaknya terpaksa tinggal di pondok kecil itu bagi meneruskan kehidupan setelah ditipu rakan suami.

SABAK BERNAM – Seorang wanita dalam pantang tujuh hari terpaksa tinggal di sebuah pondok sempit di ceruk belakang sebuah restoran di sini, gara-gara ditipu rakan suaminya yang kononnya menjanjikan pekerjaan di Sabak Bernam.
 
Suriana Sufi, 24, berkata, dia yang baru bersalin anak ketiga Jumaat lalu, terpaksa hidup merempat bersama suami, Zameri Mohd Nor, 45 dan dua lagi anaknya di pondok itu yang sebelum ini digunakan pekerja restoran untuk menunaikan solat.
 
Menurutnya, suaminya yang sebelum ini bekerja sebagai pemandu lori terpedaya dengan janji manis yang ditabur seorang rakan kira-kira empat bulan lalu hingga Zameri mengambil keputusan berhenti kerja.
 
“Dulu kami duduk Klang, tapi kawan suami ajak kami tinggal dekat Sabak Bernam sebab dia cakap banyak kerja dekat sini, tapi bila sampai sini semuanya berubah,” katanya kepada Sinar Harian.
 
Lebih mengecewakan Suriana berkata, sehingga kini rakan suaminya itu menghilangkan diri dan gagal dihubungi hingga memaksa suaminya itu bekerja mengambil upah mengikut kontraktor membuat rumah.
 
“Pendapatan pun tentu, kadang-kadang dia terpaksa kerja dekat restoran, kami pula terpaksa hidup dalam pondok ini sejak tiga minggu lalu sebab tak ada duit,” katanya.
 
Menurutnya, sebelum ini dia menyewa sebuah rumah kampung di Batu 40 Sabak Bernam, namun rumah terbabit yang turut dihuni warga asing itu diserbu Jabatan Imigresen hingga memaksa rumah itu dikosongkan.
 
“Masa mula sampai sini, kami sewa rumah itu RM150 sebulan dan sempat tinggal lebih kurang tiga bulan sahaja sebelum diarahkan pindah.
 
“Nasib baik ada kawan suami yang kerja dekat restoran cadangkan pondok ini jadi tempat berteduh kami, kalau tak kami pun tak tahu macam mana nasib kami,” katanya.
 
Suriana berkata, walaupun tidak selesa tinggal di situ, tetapi dia tetap bersyukur kerana pemilik restoran membenarkan mereka tinggal di pondok itu, namun tetap berharap agar nasib mereka mendapat perhatian pihak berwajib.
 
“Semalam (kelmarin) Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ada datang melawat kami di pondok ini, mereka suruh kami buat permohonan bantuan Lembaga Zakat Selangor (LZS).
 
“Saya amat harap sangat bantuan LZS untuk bantu ringankan beban kami, terutama dalam keadaan anak saya yang masih kecil.
 
“Walaupun dapat berlindung daripada hujan panas, tapi kami perlu juga rumah yang lebih selesa. Saya pula masih dalam pantang, keraplah ke bilik air, pondok ini pula tak ada tandas, terpaksa kami tumpang mandi dan buang air dekat restoran ini,” katanya.

Sinar Harian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Port Mak Ngah Skodeng !