19 Januari 2014

Siti Nurhaliza Ingin Jadi Muslimah Lebih Baik

Siti baharu sahaja menyambut hari jadinya yang ke 35 pada 11 Januari lalu.
PETALING JAYA: Penyanyi Datuk Siti Nurhaliza Tarudin mahu menjadi seorang muslimah yang lebih baik sebagai salah satu doanya bersempena dengan sambutan ulang tahunnya yang ke-35 pada 11 Januari lalu.
Siti berkata, dia juga mahu menjadi seorang wanita, anak dan isteri yang lebih bertanggungjawab serta melakukan lebih banyak perkara baik pada masa hadapan.
"Banyak hasrat yang ingin saya lakukan bersempena dengan usia baharu ini namun paling penting saya mahu menjadi seorang muslimah yang lebih baik daripada sebelum ini dari segi akhlak dan peribadi," katanya kepada mStar Online.
Dalam pada itu, Siti juga mahu melihat syarikat miliknya iaitu Siti Nurhaliza Production dan SimplySiti lebih bertambah maju dan berdaya saing pada masa hadapan.
Malah kata Siti, untuk SimplySiti, pihaknya telah merangka pelbagai perancangan dalam penghasilan produk-produk terbaharu selain memasarkannya ke seluruh dunia.
"SimplySiti telah berpindah ke pejabat dengan ruangan yang lebih selesa dan membuatkan saya lebih bersemangat untuk bekerja lebih keras dalam menghasilkan produk-produk berkualiti pada masa hadapan," ujarnya.
Sementara itu, Siti yang bakal mengadakan sebuah konsert 'Datuk Siti Nurhaliza Live in KLCC - Where the Heart Is' merupakan sebuah projek bersama Yayasan Nurjiwa yang dinaunginya bersama Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa.
Persembahan itu akan diadakan pada 7 dan 8 Februari depan di Plenary Hall, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) bagi mengutip dana tabung Yayasan tersebut.
Tiket-tiket konsert ‘Datuk Siti Nurhaliza Live in KLCC - Where the Heart Is’ dijual pada harga RM800, RM518, RM388, RM238, RM188 dan RM88.
Pembelian tiket boleh dibuat secara talian di www.redtix.airasia.com bermula 13 Januari ini atau menghubungi talian 03-21638383 untuk keterangan lanjut.
Kredit : mStar Online

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Port Mak Ngah Skodeng !