22 Januari 2014

Al Fatehah, Komposer Kassim Masdor meninggal dunia

Kassim Masdor

KUALA LUMPUR: Komposer veteran, Kassim Masdor meninggal dunia akibat pneumonia, di Hospital Besar, Singapura, kira-kira 10 malam tadi. 

Berita kematiannya disampaikan seniwati Datuk Rosnani Jamil, yang mendapat perkhabaran itu daripada anak saudaranya juga pelakon, Herdawati di Singapura. 
Harian Metro yang menghubungi Herdawati juga rakan baik kepada seorang anak Allahyarham, dimaklumkan jenazah Kassim masih lagi di hospital itu dan dijangka dibawa pulang ke kediaman seorang anaknya di Blok 512 Choa Chu Kang di Singapura.
Foto
P. RAMLEE bersama tiga orang penggubah lagu yang terkenal (dari kiri) Osman Ahmad, Yusuh B dan Kassim Masdor.
“Saya diberitahu kematian `uncle' Kassim oleh seorang daripada anak saudaranya. Saya cuba menghubungi anaknya juga rakan baik saya tetapi tidak berjaya.
Lalu saya telefon Hashimah Yon untuk kepastian dan seniwati itu mengesahkan Kassim Masdor sudah meninggal dunia,” katanya. 

Serba ringkas, Allahyarham mula berkhidmat dengan Malay Film Productions (MFP) sebagai kerani pada 1952. 

Beliau bertekad mengasah bakat dalam bidang muzik dan azam ini semakin menebal apabila bertemu dengan Tan Sri P Ramlee seterusnya menganggotai Pancha Sitara. 

Allahyarham yang begitu berbakat ini pandai bermain gitar, piano dan zilofon. Sebaik Shaw Brothers membuat keputusan menutup Studio Jalan Ampas pada 1968, 
Kassim dipanggil EMI Singapura untuk menjadi penerbit, komposer dan penyusun muzik di situ. 

Sepanjang lima tahun bersama EMI, Kassim menerbitkan lebih 60 buah album. Pada 1977 Kassim Masdor berundur dari EMI apabila menubuhkan syarikat rakaman sendiri iaitu Senada Record. 

Antara penyanyi yang popular menyanyikan lagu-lagu ciptaan beliau, di antaranya Ahmad Jais, Sanisah Huri, Kartina Dahari, Rafeah Buang, Sharifah Aini, Ahmad Daud dan juga Allahyarham Datuk Sudirman. 

Kehidupan peribadi Allahyarham agak misteri kerana selepas berpisah dengan isteri, tidak diketahui apakah Allahyarham berkahwin lagi atau tidak. 

Cuma hubungan mesra Allahyarham dengan Sanisah Huri, hingga pihak media dan artis menyangkakan mereka berdua pasangan suami isteri.
Kredit : myMetro

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Port Mak Ngah Skodeng !