31 Januari 2014

Kenapa Justin Bieber boleh diusir dari Amerika Syarikat ?


Justin Bieber tiba di sebuah balai polis di Toronto, Kanada, kelmarin. - REUTERS

WASHINGTON 30 Jan. - Penyanyi Justin Bieber, mungkin akan diusir ke negara asalnya, Kanada, selepas lebih 100,000 penduduk Amerika Syarikat (AS) menandatangani petisyen We The People semalam, menggesa supaya dia dihantar pulang.


Petisyen itu bakal dikemukakan kepada White House yang sebelum ini berjanji akan mengkajinya jika ditandatangani lebih 100,000 orang dalam tempoh 30 hari, namun tanda tangan itu dapat dikumpul hanya dalam masa enam hari.

Menurut TMZ, tindakan itu dibuat selepas Bieber ditahan di Miami, Florida, baru-baru ini.

"Kami rakyat AS mahu melihat Bieber yang membawa kesan bahaya dan terlibat dalam penyalahgunaan dadah, dihantar pulang selain status penduduk tetapnya dibatalkan.

"Dia bukan sahaja mengancam keselamatan penduduk negara ini, tetapi juga membawa pengaruh negatif dalam kalangan belia," jelas penduduk AS dalam petisyen tersebut.

Dalam perkembangan berkaitan, Bieber, 19, semalam didakwa atas kesalahan menyerang seorang pemandu limousin dalam satu kejadian pada 30 Disember lalu di Kanada.

Penyanyi lagu Baby itu tiba di sebuah balai polis di Toronto bagi berdepan dakwaan, ketika berpuluh-puluh wartawan, jurugambar dan peminatnya berkumpul bagi merakamkan wajahnya.

Mengikut dakwaan, Bieber dilapor memukul lelaki itu di bahagian belakang kepalanya sebanyak beberapa kali ketika bertengkar sebelum pemandu itu memberhentikan kenderaan tersebut dan menghubungi polis.

Pemandu itu difahamkan menjemput Bieber serta lima lagi rakannya dari luar sebuah kelab malam berhampiran Peter Street and Adelaide Street kira-kira pukul 2.50 pagi waktu tempatan.
Sebutan kes penyanyi itu akan diadakan pada 10 Mac ini di Toronto.

 - AGENSI

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Port Mak Ngah Skodeng !