06 Februari 2015

Rancangan Wujudkan Pendidikan Seks Di Sekolah Masih Dalam Perbincangan


Kementerian Pendidikan Malaysia dalam proses mengadakan perbincangan di peringkat kementerian berhubung rancangan mewujudkan pembelajaran pendidikan seks dalam kurikulum pendidikan Malaysia.

Timbalan Menterinya Datuk Mary Yap Kain Ching berkata menerusi proses perbincangan itu, pelbagai aspek akan diteliti dan digabungkan untuk mendapat input tepat bagi mencapai pembentukan pendidikan yang bersesuaian dengan pendidikan seks.
Katanya, sukatan pelajaran bagi pendidikan seks itu perlu dirancang dengan sebaiknya kerana ia melibatkan aspek kehidupan para pelajar.

"Perancangan kurikulum yang dilakukan turut melibatkan perihal pengkhususan penulisan buku teks atau subjek pendidikan seks ini akan diperkenalkan sebagai subjek yang berasingan atau digabungkan dengan subjek lain," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan majlis bersama pemimpin dengan 93 peserta kursus NPQEL sesi pertama 2015 di sini hari ini.

Menurut Mary, setakat ini masih belum ada sukatan pelajaran atau modul tepat khusus untuk pendidikan itu namun kementerian akan melihat kepada keperluan utama sebelum membentuk kesedaran berkenaan pendidikan seks tersebut.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim sebelum ini, berkata pendidikan seks kepada remaja golongan lelaki lingkungan 16 tahun ke atas, akan dilaksanakan tahun depan.
Rohani dilapor berkata modul itu menyasarkan remaja lelaki bagi meningkatkan pengetahuan berkaitan kesihatan reproduktif dan seksual serta dapat membendung masalah sosial daripada terus membelenggu perkembangan sesebuah keluarga.
Mengenai kenyataan Presiden Cuepacs Azih Muda yang menganggap Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pengajian Tinggi) (PPPM-PT) 2015-2025 itu yang mengabaikan perancangan hala tuju melibatkan kakitangan bukan akademik terdiri daripada penjawat pentadbir serta kumpulan pelaksana satu dan dua di setiap institut pengajian tinggi di Malaysia, Mary enggan mengulas lanjut.

Katanya, PPPM-PT masih dalam proses perbincangan dan sesi taklimat umum  akan diadakan di setiap negeri bagi maklum balas berkenaan pelan pembangunan pendidikan berkenaan.
Beliau berkata PPPM-PT bukan milik kementerian pendidikan sahaja tetapi milik pemikiran semua rakyat Malaysia.
"Kita mengalu-alukan pandangan daripada rakyat, semua pihak boleh memberi komen, seperti mana PPPM untuk bahagian pelajaran dirancang terdahulu, kita mahu mendengar pandangan sedemikian," katanya.
mStar Online

05 Februari 2015

Lelaki Curi Piza Bayar Semula Kepada Restoran Selepas 13 Tahun

SEORANG pelanggan yang terdesak dengan bertindak mencuri piza untuk memberi makan kepada anaknya membuat bayaran balik kepada restoran tersebut selepas 13 tahun insiden itu berlaku.
Tindakannya membuat bayaran bagi piza yang dicuri lebih sedekad itu selepas lelaki tersebut menjadi seorang ahli perniagaan yang berjaya.
Lelaki berkenaan berkongsi sepucuk surat yang dihantar kepada restoran berkenaan di laman sosial Reddit, dengan meluahkan rasa bersalahnya kerana menggunakan cek tendang untuk 'membayar' makanan itu.
Hidangan piza yang dicuri itu berharga AS$20 (RM71.59) tetapi dia menebus kesalahannya itu dengan membuat bayaran beserta faedah sebanyak AS$54.39 (RM194.69).
Antara yang dinyatakan di dalam surat itu: "Pada 2002, saya menggunakan cek tendang untuk mendapatkan piza di kedai anda. Saya menempuh waktu yang amat sukar ketika itu dengan bebanan masalah kewangan dan tidak dapat menyelesaikannya.
"Saya tidak mempunyai wang dan mempunyai anak yang lapar di rumah."
Permohonan maafnya diteruskan dengan kenyataan: "Saya telah bekerja keras dan membangunkan sebuah perniagaan sejak lebih sedekad lalu dan meraakan ia adalah tanggungjawab yang perlu dilakukan untuk menangani keadaan yang saya hadapi. Saya harap tiada yang terasa hati.
Pemilik kedai piza itu memberikan reaksi positif apabila membaca beberapa komen berhubung kenyataan di Reddit, mengenai tindakan lelaki itu.
"Lelaki itu tidak berbuat apa-apa, tetapi jelasnya telah menunjukkan keperibadiannya. Ini termasuk kemurahan hatinya untuk memasukkan sekali faedah dalam bayaran itu," menurut salah satu komen. - metro.co.uk 

Tragedi TransAsia, Juruterbang dijulang sebagai hero

Pesawat TransAsia rempuh jambatan sebelum terjunam

Juruterbang pesawat TransAsia yang terlibat dalam nahas di Taiwan dijulang sebagai seorang wira atas usaha dan kemahirannya mengelak daripada melanggar bangunan tinggi di kawasan perumahan berdekatan lapangan terbang bangunan tinggi sebelum merempuh teksi pada Rabu.

Juruterbang tersebut dikatakan bergelut bagi mengelakkan kejadian lebih buruk berlaku dalam nahas pesawat malang itu sejurus membuat panggilan kecemasan.

Memetik laporan dari The Guardian, kemalangan tersebut telah mengorbankan sejumlah 31 orang setakat ini dengan lebih banyak mayat ditemui, termasuk mayat juruterbang tersebut dan pembantunya.


Ketika ini, pasukan penyelamat Taiwan masih meneruskan pencarian ke atas 12 mangsa yang masih hilang.

Pesawat TransAsia ATR 72-600 itu terhempas tidak lama selepas berlepas dari lapangan terbang di utara Songshan, Taipei.

Pesawat  yang dilaporkan menghadapi masalah enjin itu miring ke sisi sebelum melanggar sebuah teksi dan jambatan sebelum terjunam ke Sungai Keelung.


SH

Pemandu teksi terselamat selepas dilibas pesawat TransAsia Airways

Kelihatan pemandu teksi berjaket kelabu terduduk selepas kejadian berkenaan. (Gambar kecil) teksi dilibas oleh kepak pesawat TransAsia. – Foto sumber Twitter
Pemandu teksi terselamat selepas dilibas pesawat TransAsia Airways - Seorang pemandu teksi terselamat selepas kenderaannya terkena kepak pesawat TransAsia yang terhempas ke sungai, pagi tadi.
( Video )
Menerusi sebuah rakaman video, pesawat berkenaan dilihat melanggar teksi tersebut sebelum terhempas ke dalam sungai.
Beberapa keping gambar yang menunjukkan kerosakan pada teksi tersebut telah dimuatnaik ke laman mikro Twitter.
Pesawat TransAsia ATR 72-600 berkenaan dalam penerbangan domestik dari lapangan terbang Songshan, ke Pulau Kinmen sebelum ia melanggar jambatan dan terjunam ke dalam sungai.
SH

04 Februari 2015

Lagi kes pekerja pasaraya dilarang solat

Sumber menceritakan tindakan pasaraya melarang pekerja Islam bersolat.

MUAR - Selepas Pasaraya Astaka, kini sebuah lagi pasaraya di daerah ini didakwa tidak membenarkan pekerjanya yang beragama Islam menunaikan solat ketika bekerja atau rehat.

Lebih mengejutkan apabila pekerja terbabit dimarahi serta diberi amaran keras jika dikesan melaksanakan tanggungjawab tersebut.

Menurut sumber, beberapa pekerja pasaraya berkenaan mula berhenti kerja di premis tersebut bukan hanya disebabkan larangan itu tetapi juga kerana peraturan ketat pihak pengurusan.

“Ada pekerja melalui pengalaman buruk selepas dikatakan melanggar peraturan pasaraya dengan menunaikan solat.

“Mereka bukan hanya dihamburkan kata-kata kesat, bahkan ada pekerja ditarik ketika sedang menunaikan solat dari bilik rehat ke pejabat,” katanya.

Katanya, pekerja terbabit mengetahui tidak dibenarkan solat selepas diberitahu rakan lain yang juga merupakan pekerja pasaraya berkenaan.

“Lebih menyukarkan mereka bila bilik rehat yang sebelum ini menjadi tempat solat dikunci selepas waktu rehat pada jam 4.30 petang hingga 5.30 petang tamat.

“Ada pekerja terpaksa menunaikan solat secara bersembunyi di stor yang ruangnya terlalu kecil demi menyempurnakan tuntutan sebagai orang Islam,” katanya.

Sumber berkata, tindakan pekerja terbabit dapat dihidu menyebabkan dia dimarahi di hadapan pelanggan yang sedang membeli belah.

“Pekerja itu memberitahu, sejak insiden tersebut, dia pernah dibaling dengan kotak dan dimarahi hanya kesilapan tidak ingat kod barang yang ditugaskan kepadanya,” katanya.

Katanya, pekerja itu pernah beberapa kali mohon berhenti kerana tidak tahan dengan tekanan yang dihadapinya tetapi tidak dibenarkan pihak pasaraya.

Tambahnya, bagaimanapun, pekerja itu telah diberhentikan kerja bulan lalu.

Sementara itu, wakil pasaraya berkenaan ketika dihubungi enggan mengulas lanjut dan akan memanjangkan perkara tersebut kepada pihak atasan.

Dalam pada itu, Kadi Daerah Muar, Dzulkafli Mohamed berkata, perkara tersebut tidak sepatutnya berlaku dan majikan perlu prihatin dengan keperluan pekerja untuk menunaikan solat.

Bagaimanapun katanya, pejabat kadi tidak mempunyai kuasa mengarahkan pasaraya berkenaan membuat bilik solat di premis tersebut.

Januari lalu, Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Cawangan Muar membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Muar sebelum berpiket di hadapan Pasaraya Astaka bagi membantah tindakan pasaraya berkenaan melarang pekerja Islam menunaikan solat ketika waktu kerja dan rehat.

Ekoran tindakan itu, pasaraya terbabit setuju membina surau dalam premis tersebut yang dijangka siap selepas perayaan Tahun Baru Cina ini.


Sinar Harian

03 Februari 2015

Pelakon tambahan terkilan dapat RM50

KHAI dakwa pihak produksi beri pelbagai alasan ketika bayaran diminta

Kuala Lumpur: Hanya RM50 bayaran diterima. Itu nasib malang menimpa seorang pelakon tambahan selepas menjalani penggambaran sebuah filem di Sabak Bernam, Selangor, sejak November tahun lalu.
Lelaki terbabit yang hanya mahu dikenali sebagai Khai, 20, mendakwa ditawar watak pelakon tambahan oleh sebuah syarikat perfileman selepas mengadakan rundingan di Bandar Baru Sentul pada 10 November tahun lalu.

Menurutnya, dia bersetuju untuk berlakon selama 11 hari dengan bayaran RM100 sehari berdasarkan perjanjian.

“Tambahan pula tempat tinggal dan duit petrol kenderaan disediakan syarikat itu menyebabkan saya tertarik.

“Bagaimanapun sebaik tiba sampai di lokasi penggambaran, pihak produksi memberitahu jadual perlu dirombak menyebabkan saya dan seorang lagi rakan yang turut ditawarkan berlakon hanya memulakan penggambaran pada hari kelapan,” katanya yang sudah lima tahun menjadi pelakon tambahan.

Khai berkata, pihak syarikat berjanji akan membayar mereka walaupun jadual penggambaran dirombak.

“Bagaimanapun saya terkejut apabila hanya menerima RM50 selepas selesai penggambaran. Sepatutnya saya menerima bayaran RM800, namun pihak agensi memberitahu baki bayaran akan dijelaskan kelak.

“Namun sehingga kini, baki bayaran masih belum dijelaskan dan pelbagai alasan diberikan pihak terbabit,” katanya yang pernah membintangi filem Abang Long Fadil dan Homestay Berhantu.

Dia kemudian tampil membuat laporan di Balai Polis Bukit Jalil di sini, sebelum kes itu dirujuk semula ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD)Sentul.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Senior Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

myMetro

01 Februari 2015

Harga RON95, RON97 Dan Diesel Turun Mulai 1 Februari 2015


KUALA LUMPUR: Harga runcit bagi petrol RON95 diturunkan21 sen seliter kepada RM1.70 seliter manakala harga RON97 diturunkan sebanyak 11sen seliter kepada RM2 seliter berkuat kuasa 1 Februari 2015.  

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hasan Malek berkata harga runcit bagi diesel pula diturunkan sebanyak 23 sen seliterkepada RM1.70 seliter. 

Beliau berkata kerajaan pada 21 Nov 2014 memutuskan bahawa penetapan harga runcit RON95 dan diesel adalah mengikut kaedah pengapungan terkawal bermula 1Dis 2014. 

"Harga baharu bagi petrol dan diesel dibuat berdasarkan kepada purata hargakos produk sepanjang bulan Januari 2015 dan kadar pertukaran matawang," katanya dalam satu kenyataan di sini Sabtu malam. 

Beliau berkata kerajaan akan mengikuti perkembangan pasaran harga kos produkdan kadar pertukaran mata wang setiap masa untuk menetapkan harga runcit petroldan diesel bagi bulan-bulan berikutnya. 

"Semua syarikat minyak serta pengusaha stesen minyak diingatkan agarmematuhi penetapan harga baharu ini dan tindakan tegas akan diambil bagi mereka yang melanggar peraturan harga baharu yang ditetapkan kerajaan ini," katanya. 

mStar Online

29 Januari 2015

Guru dibenar bawa pistol ke sekolah ?

Para guru diberi latihan cara untuk mengendalikan senjata api oleh polis.

Guru di barat laut Pakistan dibenarkan untuk membawa pistol ke sekolah susulan serangan berdarah yang dilancarkan pejuang Taliban dan meragut kira-kira 145 nyawa di bandar Peshawar pada bulan lalu.

Menteri Pendidikan wilayah Khyber Pakhtunkhwa, Atif Khan memberitahu mereka akan memberikan permit kepada guru yang mahu membawa senjata api.

Difahamkan, pihak berkuasa sudah mula memberi latihan berkaitan prosedur dan cara untuk mengendalikan pistol kepada para guru sejak minggu lalu.

Menurut Press TV, dalam satu kenyataan lain, Menteri Maklumat, Mushtaq Ghani turut mengesahkan perkara itu dan memaklumkan bahawa langkah tersebut terpaksa diambil kerana kekurangan anggota polis untuk memberi kawalan keselamatan kepada institusi pendidikan di wilayah terbabit.

"Bilangan anggota tidak mencukupi untuk memantau kira-kira 35,000 sekolah, kolej dan universiti di seluruh wilayah ini," jelasnya.

Kerajaan dilaporkan telah mengetatkan kawalan keselamatan termasuk membina pagar kawat berduri di sekolah di seluruh negara bagi menangkis sebarang bentuk serangan yang mungkin dilancarkan Taliban pada masa akan datang.


SH

28 Januari 2015

Budak 12 tahun curi rantai AS$4.6 juta

SEDUTAN rakaman kamera keselamatan ini menunjukkan seorang budak perempuan yang disyaki mencuri satu rantai berlian dengan tenang keluar dari sebuah kedai emas di Tsim Sha, Hong Kong baru-baru ini.

Pihak polis sedang memburu satu kumpulan yang didapati menggunakan seorang budak perempuan berusia 12 tahun untuk mencuri seutas rantai berlian bernilai AS$4.6 juta (RM16.57 juta) di sebuah kedai emas di sini.
Kumpulan itu yang dianggotai dua wanita dan seorang lelaki bersama kanak-kanak berkenaan dilaporkan masuk ke sebuah kedai emas di sebuah kawasan beli-belah di Tsim Sha di sini pada Jumaat lalu.
Tiga suspek tersebut kemudian mengalihkan perhatian pekerja kedai emas berkenaan dengan berpura-pura mahu membeli beberapa barangan kemas sebelum kanak-kanak itu mencuri kunci dan mengambil satu rantai berlian yang dipamerkan.
Seorang jurucakap polis berkata, kanak-kanak perempuan tersebut mengambil satu kunci di dalam laci dan membuka satu kabinet kaca sebelum memasukkan seutas rantai berlian ke dalam poketnya.
Katanya, ketiga-tiga suspek berpakaian seperti orang kaya dan kegiatan jenayah itu dilihat sangat terancang.
“Rakaman kamera keselamatan menunjukkan kanak-kanak itu dengan tenang keluar dari premis berkenaan sebelum diikuti oleh ketiga-tiga suspek dewasa.
“Pekerja kedai emas itu hanya menyedari rantai berkenaan hilang kira-kira dua jam selepas kumpulan tersebut beredar,” katanya.
 – Agensi(kosmo!)


27 Januari 2015

Zoo tawar khidmat URUTAN ULAR


SEBUAH zoo menawarkan perkhidmatan 'mengurut' bagi mereka yang sudi menghulurkan derma kepada organisasi itu bagi menanggung kos operasi.
Jika anda berasa tertekan, anda boleh melegakannya dengan mengambil khidmat mengurut otot secara mendalam, yang dilakukan oleh ular besar yang boleh membawa maut.
Para pengunjung di Zoo Cebu City di Filipina boleh menikmati urutan altenatif itu, yang dilakukan oleh empat ekor ular sawa yang akan melingkari badan anda.
Layanan itu akan ditawarkan kepada mereka yang sudi memberikan sumbangan derma yang akan digunakan sebagai perbelanjaan kos operasi zoo.
Khidmat mengurut itu merupakan antara perniagaan di zoo itu, membabitkan beberapa ular sawa sepanjang lima meter, dengan gabungan berat kesemuanya 250 kilogram.
Khidmat 'urutan' ular ini telah ditawarkan di zoo berkenaan sebelum ini, dan ia kembali diperkenalkan di atas permintaan ramai.
Pengurus zoo berkenaan, Giovanni Romarate berkata: "Pada mulanya, para pengunjung berasa takut tetapi kebanyakan mereka yang mencuba urutan ular itu mengatakan mereka menyukainya." - mirror.co.uk

24 Januari 2015

Ramai tak Kenal Siapa Zamani SLAM ni ?

Zamani SLAM

SETELAH beberapa hari kisah sahabatnya, Zamani menjadi buah mulut gara-gara penyebaran video menyanyi sambil tangan bergari, Shah Slam tampil berkongsi rahsia yang tidak diketahui ramai.

Melalui kemaskini status Facebooknya semalam‎, Shah dipetik berkata: "Mungkin ramai dah tahu satu keburukan dari diri Zamani, tapi tak ramai tahu 10 kebaikan diri dia.

"Banyak yang saya belajar dari sikapnya," tulisnya.

Menurutnyan Zamani mempunyai adab sopan yang tinggi serta sangat menghormati orang lain.

"Dia mempunyai adab dan sikap menghormati orang lain yang sangat tinggi dan sangat berhati-hati bila berbicara mengenai seseorang takut tersalah kata-kata.

"Walaupun di belakang orang itu. Salam Jumaat semua," katanya.

Sementara itu, media melaporkan Zamani tidak akan mengambil sebarang tindakan terhadap pelaku yang menyebarkan video yang mengundang rasa marah orang ramai itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Zamani maafkan penyebar rakaman]

Video berdurasi satu minit 23 saat tersebut menjadi viral serta mendapat kecaman pelbagai pihak, sebaik ia tersebar menerusi laman sosial seperti blog dan Facebook.

Zamani ditahan bersama seorang wanita berusia 33 tahun positif dadah jenis Methaphitamine kira-kira jam 12.30 pagi, Rabu lepas.

SH

23 Januari 2015

Raja Arab Saudi Mangkat

Raja Abdullah Abdulaziz

RIYADH: Raja Arab Saudi, Raja Abdullah Abdulaziz mangkat, demikian lapor stesen rasmi Arab Saudi pada awal pagi Jumaat.

Baginda berusia 90 tahun.

Menurut kenyataan rasmi, kedudukan baginda kini digantikan adiknya, Putera Mahkota Arab Saudi, Salman Abdulaziz.

Sementara itu takhta Putera Mahkota kini menjadi milik Putera Muqrin Abdulaziz.

Raja Abdullah dimasukkan ke hospital pada Disember lalu kerana penderitaan radang paru-paru dan baginda hanya bernafas menggunakan tiub.

mStar Online

22 Januari 2015

Tanggung derita, peha bekas ratu cantik reput

Andressa Urach

Bekas ratu cantik dari Brazil terpaksa bertarung nyawa dan menanggung derita sepanjang hayat hanya kerana untuk kelihatan cantik.

Andressa Urach, 27, mengakui apa yang berlaku telah mengubah hidupnya, sekaligus memberikan pengajaran paling pahit untuk dikenang sepanjang masa.

“Saya ketagihan pembedahan plastik.

Pada masa itu, saya hanya mahu orang lain memandang saya dengan penuh rasa cemburu,” katanya seperti yang dipetik menerusi Mail.Online.

Menurut Urach, keinginan yang begitu tinggi untuk mencantikkan lagi pehanya membuatkan dia mengambil keputusan untuk menjalankan rawatan kaedah menyuntik pehanya dengan (filler) bahan kimia, hidrogel dan polymethylmetacrylate (PMMA).

Namun bentuk peha yang diidamkan tidak kesampaian apabila doktor mengesahkan bahan kimia yang disuntik ke dalam paha mula mereputkan tisu kulitnya. “Rawatan kecantikan yang dijalankan mula mereput dan memakan tisu peha saya.


SH

21 Januari 2015

Maut selepas main 'video games'


Seorang lelaki dijumpai tidak bernyawa di sebuah kafe siber di sini selepas bermain permainan video.

Dalam kejadian 8 Januari lalu, Hsieh, 32, dilaporkan sudah meninggal dunia beberapa jam sebelum itu kerana mayatnya sudah mula mengeras.

Polis memberitahu, Hsieh berkemungkinan besar mengalami kegagalan jantung.

"Suhu sejuk dan kepenatan melampau dalam temph masa lama berkemungkinan besar antara penyebab kegagalan jantung Hsieh," kata polis.

Menurut laporan CNN, Hsieh mula bermain permainan video di kafe siber berkenaan pada 6 Januari.

Menurut Taipei Times, Hsieh merupakan pelanggan tetap kafe siber berkenaan, dan selalu menghabiskan masa berhari-hari bermain permainan video atas talian di situ.


SH

20 Januari 2015

Tanam anak perempuan hidup-hidup


Mengejutkan dan menyedihkan apabila seorang bapa bertindak di luar kewarasan apabila sanggup menanam anaknya sendiri dek kerana anaknya seorang perempuan.

Kejadian yang dilaporkan berlaku di India ini benar-benar mengejutkan dunia.

Memetik laporan New Delhi Television Limited Is An India (NDTV) berkata, lelaki itu cuba menguburkan anak perempuananya yang berusia 10 tahun hidup-hidup tanpa alasan logik.

Jelas laporan itu, alasan lelaki itu bagi ‘membenarkan’ perbuatannya itu adalah kerana anaknya adalah perempuan.

Menurut polis, beberapa saksi melihat ‘aksi’ tertuduh yang menggali sebuah lubang di taman belakang rumahnya ‘bagi tujuan pengebumian tersebut’ tatkala isterinya keluar.

Dia dikatakan  meletakkan anaknya dalam lubang dengan tangannya diikat dan mulut ditutup. Lantas menimbus tanah sehingga paras dada.

Namun usaha tersebut gagal apabila sebaik sahaja isterinya pulang, isterinya mula mempersoalkan di mana anak mereka, dan perbuatannya mula dibongkarkan oleh jiran-jiran yang melihat kejadian terbabit.

Pada mulanya, suspek cuba menyembunyikan kegiatannya dengan meletakkan bakul buluh di atas kepala anak perempuan mereka, dengan niat untuk meneruskannya perbuatan tersebut selepas itu namun sudah diketahui awal oleh jirannya.

Mereka dikatakan telah memukul suspek sebelum memanggil polis.


SH

15 Januari 2015

Nurul Izzah Akhirnya Bercerai

Perkahwinan Anggota Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar dengan suaminya, Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Ismail berakhir selepas pasangan itu sah bercerai talak satu di Mahkamah Tinggi Syariah di sini, pada Khamis.
 --fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar dan ahli perniagaan Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Ahmad akhirnya bercerai talak satu. 

Raja Ahmad Sharir melafazkan talak pada pukul 4.17 petang dihadapan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah, Mohd Amran Mat Zain pada Khamis.

Izzah telah memfailkan prosiding penceraian pada Disember 2013.
mStar Online

14 Januari 2015

Aksi Sumbang Ketika Konsert Bukan Perkara Baharu – Puteri Umno

Aksi pelukan antara peminat dan penyanyi dalam sesebuah acara hiburan bukan satu perkara baharu.
PETALING JAYA: Aksi sumbang antara artis dan peminat dalam sesebuah acara hiburan bukan perkara baharu, namun kontroversi yang berlaku dalam penganjuran sebuah konsert kumpulan K-Pop, B1A4 baru-baru ini seharusnya menjadi pengajaran kepada semua pihak.
Ketua Pergerakan Puteri Umno, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, persembahan membabitkan penyanyi-penyanyi tempatan sebelum ini juga pernah berlaku insiden peluk dan sebagainya.
“Kita kena lihat semula mengapa perkara ini berlaku. Memang adegan itu (di pentas konsert) adalah salah. Tetapi cuba kita lihat adegan-adegan yang sama atau lebih kurang sama dipertontonkan dalam drama dan program televisyen.
“Jadi, kita juga kena lihat dan timbang semula setiap penyiaran di televisyen yang boleh menyentuh sensitiviti masyarakat. Kita sendiri kena faham budaya dan nilai-nilai orang Melayu, umat Islam dan rakyat Malaysia,” katanya ketika dihubungi mStar Online pada Selasa.
Anuar Zain merupakan antara penyanyi tempatan yang terpaksa berhadapan dengan situasi dipeluk peminat fanatik ketika melakukan persembahan.
Aksi pelukan dan ciuman antara ahli kumpulan K-Pop dari Korea Selatan, B1A4 bersama tiga peminatnya yang bertudung ketika berada di atas pentas konsert mencetuskan kontroversi dan mendapat kecaman pelbagai pihak terutama umat Islam.

Acara hiburan di negara ini sebelum ini pernah menyaksikan aksi peminat fanatik yang berani memeluk dan mencium artis kesayangan mereka seperti Anuar Zain termasuk penyanyi dari Indonesia, Afghan sewaktu mengadakan persembahan di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada Isnin lalu memberitahu jabatan itu telahpun menerbitkan Garis Panduan Hiburan Dalam Islam sejak 2007, sebagai perhatian dan rujukan kepada agensi dan penganjur program.
Namun kontroversi yang melanda konsert kumpulan K-Pop dipersoalkan sama ada garis panduan itu dirujuk pihak penganjur malah penganjurannya tidak dirujuk kepada Jakim.
Selepas video aksi peminat bersama ahli kumpulan K-Pop menjadi viral di laman sosial, kini ramai di media sosial mula membangkitkan tentang perbuatan seumpamanya yang pernah berlaku sebelum ini di kalangan peminat ketika penganjuran majlis yang melibatkan artis tempatan dan dari negara jiran.
Aksi seorang peminat fanatik yang berani mencium Afghan sewaktu penyanyi dari Indonesia itu membuat persembahan di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Mas Ermieyati berkata, semua pihak seharusnya membuat penilaian dan membuat perubahan lebih baik dengan melihat perkara yang berlaku dalam pelbagai aspek.
Sehubungan itu, katanya, semua pihak terutama penganjur dan peminat perlu lebih berhati-hati menjaga sensitiviti masyarakat negara ini dengan mematuhi garis panduan bagi memastikan penganjuran acara itu dapat dikawal dan tidak menyentuh sensitiviti tertentu.
“Bagaimanapun, janganlah kita semua menjadikan perkara yang berlaku bertambah buruk. Jangan ada pihak menunding jari menyalahkan satu sama lain, tidak kira kerajaan, penganjur atau peminat.
“Sebaliknya, kita melihat bagaimana cara untuk membendung perkara ini. Kita perlu beri kefahaman, kesedaran dan mendidik generasi muda," katanya.
mStar Online

08 Januari 2015

Detik terakhir unit pemusnah bom terakam

Sedutan video ngeri yang mengorbankan anggota unit pemusnah bom di Cairo, Mesir

BEBERAPA video yang menunjukkan detik-detik terakhir seorang pegawai unit pemusnah bom sebelum terkorban ketika mematikan bom tersebar laman sosial sejak beberapa hari lalu.
 
Pegawai berkenaan dilihat menghampiri sebuah beg yang diletakkan berhampiran sebuah stesen minyak, dimana orang ramai mengeluarkan telefon bimbit mereka dan merakam.
 
Pegawai berkenaan memegang sebuah alat yang kemudiannya meletup di tanganya.
 
Selepas melambung beberapa kaki, pegawai tersebut tidak lagi bergerak dan orang ramai bergegas untuk membantu.
 
Menurut Daily Mail, kumpulan pengganas Ajnad Misr mengaku meletakkan bom tersebut yang menyasarkan balai polis berdekatan.
 
Kejadian tersebut difahamkan berlaku di Cairo, Mesir.
 
Video berkenaan yang dimuatnaik pada 6 Januari itu juga dikongsi ke laman sosial Facebook dan laman mikro Twitter.

SH

06 Januari 2015

Ditahan akibat mengamuk dalam pesawat

Cho Hyun-ah

Cho Hyun-ah, bekas eksekutif Korean Air ditahan selepas waran tangkap dikeluarkan kerana kejadian amuk di dalam sebuah pesawat, 5 Disember tahun lalu.

Hyun-Ah, yang juga anak kepada pengerusi syarikat penerbangan berkenaan dihentam akibat mengamuk kerana cara kacang dihidangkan ketika penerbangan.

Hidangan tersebut, kacang Makadamia diberikan kepada Hyun-Ah di dalam beg dan bukan dihidangkan di dalam piring.

Menurut AP, wanita berumur 40 tahun berkenaan juga dikatakan membahayakan penerbangan berkenaan sehingga memaksa pesawat tersebut berpatah balik ke New York.

Selain Hyun-Ah, seorang lagi eksekutif syarikat penerbangan berkenaan yang hanya dikenali sebagai Yeo turut ditahan kerana mendesak pekerja mematikan isu berkenaan.

Hyun-Ah menghadapi tuduhan termasuk menimbulkan huru-hara di dalam pesawat dan mengubah haluan perjalanan pesawat tersebut.

Awal bulan ini, Hyun-Ah meletakkan jawatan sebagai Naib Presiden Korean Air dan semua jawatan dalam syarikat bersekutu.


SH

04 Januari 2015

WANITA DIPERDAYA ANAK TAN SRI

Noli ketika menceritakan kisahnya ditipu anak 'Tan Sri' kepada wartawan Sinar Harian, semalam.

MELAKA - Wanita mana yang tidak impikan majlis perkahwinan mewah ibarat 'wedding of the year'.

Namun, bagi seorang wanita di Telok Mas, di sini, harapannya untuk berkahwin dengan seorang anak  'Tan Sri' dengan majlis gilang-gemilang di sebuah hotel lima bintang hanya tinggal harapan.

Manakan tidak, lelaki yang disangkakan 'orang berada' itu bukan saja seorang yang sengkek, malah terbabit dengan berbagai kes jenayah dan penipuan sebelum ini.

Wanita terbabit, Noli Dilaila Zakaria (bukan nama sebenar), 22, membuat pendedahan kepada Sinar Harian, semalam menceritakan kisah dia menjadi mangsa lelaki berkenaan, sehingga hampir mendirikan rumah tangga.

Jururawat sebuah hospital itu berkata, perkenalan menerusi aplikasi sosial Bee Talk, Jun tahun lalu merupakan detik permulaan hubungan cinta antara dia bersama lelaki yang dikenali sebagai Adam yang mengaku pensyarah di sebuah universiti.

Malah katanya, Adam juga mendakwa memiliki sebuah studio jamming di Melaka Raya, Banda Hilir.

"Hubungan kami semakin rapat sehingga saya terlalu yakin hubungan kami berakhir di jinjang pelamin. Selepas beberapa minggu kami berkenalan, dia datang berjumpa keluarga saya," katanya.

Noli berkata, selepas itu, dia dibawa berjumpa dengan ibu Adam yang dipanggil  'Puan Sri" di sebuah hotel lima bintang di Banda Hilir, Julai tahun lalu.
"Sejak itu kami mula membuat perancangan untuk mengadakan majlis pertunangan di Dewan MITC pada hari ketiga Syawal.

“Adam turut merancang majlis resepsi kami diadakan di hotel sama, malah mendakwa ibunya merupakan ahli lembaga pengarah hotel berkenaan,” katanya.

Nora bagaimanapun berkata, timbul rasa keraguan dalam kalangan sanak-saudaranya apabila Adam meminta nombor kad pengenalan setiap ahli keluarga dan saudara terdekat, kononnya untuk pas masuk ke dewan pada majlis pertunangannya nanti.

“Dalam tempoh perkenalan kami, sepupu dan saudara-mara saya ada menyelidik latar belakang Adam. Dari situ, mereka ada beritahu semua berkaitan Adam termasuk latar belakang keluarga kaya yang sebenarnya tidak wujud," katanya.

Namun, katanya, dia masih tidak percaya Adam menipu sehinggalah kejadian rumah keluarga Noli dipecah masuk ketika mereka sekeluarga bercuti pada 6 Oktober lalu, sehingga pelbagai barangan berharga lesap.

"Kejadian pecah masuk itu menyebabkan ibu bapanya tidak sedap hati kerana mengesyaki ia dilakukan Adam, lalu meminta saya memutuskan hubungan dan tidak lagi berhubung dengannya lagi.

"Selepas memikirkan kata-kata ibu, hampir dua minggu selepas itu, saya tidak lagi berhubung dengan Adam,” katanya.

Nora yang merupakan anak sulung dari empat beradik berkata, dia bagaimanapun pernah curiga mengenai latar belakang Adam apabila meminjam wang daripadanya.

"Saya hairan kerana dia seorang yang berada, malah dia hanya pakai kereta Proton Perdana. Tapi saya tetap percaya dengan dia cuma mujur saya hanya beri pinjam RM200 saja. Itupun dia janji akan pulangkan semula. Namun sehingga kini dia belum memulangkannya lagi," katanya.

Bagaimanapun, Norli berkata, dia terkejut apabila mendapat tahu menerusi akhbar tempatan, baru-baru ini, bahawa Adam ditangkap polis kerana terbabit dalam satu kejadian jenayah di negeri ini.
Terkejut dengan berita itu dan tidak mahu wanita lain menjadi mangsa, Noli tampil membuat aduan di Balai Polis Kandang, kira-kira 12.30 tengah hari semalam.

"Saya mungkin rugi sedikit sebab beri dia RM200 tetapi tidak mustahil kalau saya teruskan hubungan, mungkin saya sudah serahkan RM200,000.

“Saya berharap semua wanita di luar sana berhati-hati menjalin hubungan dengan lelaki yang baru dikenali,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah ketika dihubungi semalam, mengesahkan pihaknya menerima laporan itu.

SInar Harian

Port Mak Ngah Skodeng !