16 Mei 2015

Kajian,Pemandu wanita lebih baik?


Persoalan berhubung jantina mana memandu lebih baik terjawab apabila satu kajian oleh sebuah syarikat insurans, Privilege Insurance mendapati golongan perempuan merupakan pemandu lebih baik.

Portal Mail Online melaporkan, dalam kajian tersebut, pemandu wanita mengalahkan lelaki dalam beberapa ujian pemanduan yang dijalani 50 lelaki dan wanita.

Mereka diuji dalam 14 aspek pemanduan berbeza termasuk kelajuan, kemahiran pemerhatian, tindak balas terhadap pengguna jalan raya lain, dan pematuhan lampu isyarat.

Wanita secara keseluruhan memperoleh 23.6 daripada 30 mata yang diberikan, manakala lelaki hanya mendapat 19.8 mata.

Kaum hawa juga didapati lebih baik ketika memandu di persimpangan jalan raya paling sibuk di London iaitu Hyde Park Connor.

Kajian itu juga membuktikan kesahihan persepsi stereotaip yang sering dikaitkan dengan cara pemanduan kedua-dua golongan tersebut antaranya lelaki lebih suka mengambil risiko, memandu terlalu rapat dengan kenderaan di hadapan, memotong barisan, melanggar lampu isyarat atau berbual di telefon, dan menghantar teks ketika memandu.

Wanita pula lebih bersopan-santun dan bertimbang rasa selain lebih berhati-hati ketika menghadapi keadaan lebih berbahaya, menggunakan cermin sisi dengan betul, dan berhenti di lampu isyarat.

Sumber

02 Mei 2015

Wanita hamil ketagih makan batu

  • Silva (kanan) mempunyai keinginan pelik iaitu makan batu.


Kebanyakan wanita hamil biasanya berkeinginan untuk makan coklat, ais krim atau makanan yang lain, tetapi berbeza pula dengan seorang wanita di sini kerana mempunyai keinginan pelik iaitu makan batu.

Keinginan pelik wanita yang dikenali sebagai Silva, 21 itu di siarkan dalam sebuah program My Extraordinary Pregnancy yang dimuatnaik di laman YouTube.

Dalam rakaman itu, Silvia berkata, keinginannya itu akan menyebabkan dia berdepan risiko penyakit dan masalah perut.

"Saya berada sangat sedih, malu tetapi saya terpaksa melakukannya, sesetengah orang mengidam jeruk atau sushi tetapi saya sukakan batu," katanya yang
tinggal bersama dua anaknya.

Rakaman menunjukkan Silvia berjalan-jalan di sekitar kawasan rumahnya untuk mencari batu yang sesuai untuk dimakan bagi memuaskan keinginannya.

"Apabila saya melihat batu-batu, saya rasa terliur. Ia seperti melihat sesuatu yang anda benar-benar mahu makan." tambahnya dipetik Mirror.uk.

06 April 2015

Permainan video punca malas


Hasil penyelidikan terbaru menunjukkan permainan video mampu meningkatkan keupayaan kognitif, namun ia mampu mempengaruhi sikap jika berlebihan.

Menurut Strait Times, dalam satu penyelidikan oleh Brown University, bermain permainan video juga mampu mempengaruhi dan meningkatkan keupayaan visual.

"Latihan visual yang diterima dialami pemain permainan video menyumbang kepada mekanisma penyatuan di dalam otak, terutama sekali keupayaan visual," kata seorang penyelidik Aaron Berard.

"Orang ramai memandang permainan video sebagai aktiviti yang membuang masa, namun penyelidikan mula menunjukkan kelebihan aktiviti tersebut," tambahnya.

Sebuah penyelidikan dari universiti Oxford pula memberikan hasil yang berbeza.

Penyelidik di Oxford berpendapat kanak-kanak atau remaja yang terlalu lama bermain permainan video akan menyebabkan golongan tersebut menjadi malas.

Bermain permainan video lebih dari tiga jam sehari akan menyebabkan pemain menjadi terlebih aktif (hyperactive), terlibat dalam pergaduhan dan tidak berminat dengan sekolah.

Penyelidikan di Oxford mendapati bermain permainan video kurang sejam sehari adalah paling ideal untuk kanak-kanak dan remaja.


SH

05 April 2015

Perancis Haram Model Terlalu Kurus

Kematian Isabelle Caro pada 2007 kerana masalah anoreksia mendorong kerajaan Perancis menggubal undang-undang mengharamkan model terlalu kurus.
PARIS: Jika selama ini tubuh yang kurus menjadi antara faktor untuk menjadi model, kini ia bagaikan suatu yang memudaratkan apabila Perancis meluluskan undang-undang yang menghukum pihak dalam industri peragaan.
Negara yang terkenal sebagai pusat fesyen dunia itu akan mengharamkan model yang terlalu kurus, mendenda atau memenjara ejen syarikat peragaan serta fesyen yang merekrut mereka.
Perancis yang memperoleh urusniaga industri fesyen mencecah puluhan bilion euro menyertai Itali, Sepanyol dan Israel dalam melaksanakan undang-undang ke atas model kurus.
Langkah itu adalah sebahagian usaha menangani anoreksia yang disokong kerajaan serta Presiden, Francois Hollande yang menganggap amalan menggalakkan penurunan berat badan itu adalah berbahaya.
Pakar kesihatan menganggar 30,000 hingga 40,000 penduduk Perancis mengalami anoreksia dengan majoritinya membabitkan remaja.
Berdasarkan rang undang-undang yang diluluskan itu, sebarang ativiti peragaan diharamkan bagi mereka yang memiliki Indeks Jisim Tubuh (BMI) kurang daripada tahap yang dicadangkan pihak berkuasa kesihatan dan ditetapkan menteri kesihatan serta tenaga kerja."
Sebelum ini, anggota Parlimen mencadangkan model perlu menunjukkan sijil kesihatan dengan BMI sekurang-kurangnya 18 serta berat kira-kira 55 kilogram untuk ketinggian 1.75 meter sebelum ditawarkan pekerjaan.
Walaupun mendapat tentangan, undang-undang yang diluluskan  menetapkan hukuman penjara enam bulan dan denda 75,000 euro (RM300,000) ke atas agensi yang melanggarnya.
Pada 2007, Isabelle Caro, 28, bekas model fesyen Perancis yang menghidap anoreksia mati selepas kempen fotografi bagi meningkatkan kesedaran mengenai penyakit itu. - Reuters
mStar Online

24 Mac 2015

Dirogol tiga hari berturut-turut

Imej hiasan

KUALA TERENGGANU - Tindakan berani seorang remaja perempuan keluar bersama seorang lelaki yang baru dikenali membawa padah apabila dirogol lelaki terbabit bersama tiga lagi rakannya.

Kejadian dipercayai berlaku selama tiga hari berturut-turut iaitu bermula 18 Mac lalu di rumah sewa salah seorang suspek berusia 21 tahun di Manir, di sini, dan di sebuah rumah kosong yang juga terletak di kampung sama.

Menurut sumber, kejadian bermula ketika mangsa yang berusia 15 tahun itu dikatakan keluar bersama rakan lelakinya berusia 18 tahun, kira-kira jam 11.45 malam, Selasa lalu.

“Mangsa dikatakan mengenali suspek menerusi telefon dan pada hari kejadian, suspek membawa mangsa ke rumah salah seorang lagi suspek, sebelum mendakwa dirogol rakan lelakinya bersama pemilik rumah sewa terbabit, kira-kira jam 12.30 malam, Rabu lalu.

“Kejadian sama berulang sekali lagi pada malam keesokan harinya apabila mangsa dirogol rakan lelakinya dan seorang lagi suspek lain yang juga berusia 18 tahun.

“Mangsa mendakwa, ketika dirogol ada suspek lain telah merakamkan perbuatan itu dan selepas memuaskan nafsu mereka, mangsa dihantar pulang ke rumah,” katanya.

Jelas sumber, mangsa mendakwa telah menerima khidmat pesanan ringkas (sms) daripada rakan lelakinya kira-kira jam 5.30 petang, Khamis lalu yang mengugut mangsa agar keluar bersamanya lagi jika tidak mahu rakaman video perbuatan seks mereka disebarkan dilaman sosial seperti Wechat dan WhatsApp.

Katanya, mangsa yang takut dengan ugutan suspek terpaksa akur, sebelum sekali lagi dirogol rakan lelakinya bersama seorang lagi suspek berusia 16 tahun di lokasi sama awal pagi Jumaat lalu.

“Selepas puas melepaskan nafsu serakah mereka, mangsa dihantar pulang kira-kira jam 3.30 pagi, sebelum terserempak dengan abang mangsa yang bertindak mengejar suspek selepas curiga adiknya dihantar lelaki, terbabit tetapi gagal menangkap suspek.

“Mangsa akhirnya menceritakan kejadian itu kepada ahli keluarganya dan susulan laporan dibuat, gerakan memburu suspek dijalankan.

“Kesemua suspek berjaya ditahan antara jam 1 hingga 3 petang, Jumaat lalu di sekitar Manir untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Idris Abd Rafar yang dihubungi mengesahkan ada menerima laporan kejadian dan suspek kini direman tujuh hari untuk disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.

SH

19 Mac 2015

Mas kahwin juga kena GST?


SHAH ALAM -  Lebih kurang dua minggu lagi pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) akan dilaksanakan di negara ini, cakap-cakap mengenainya menjadi bualan kerana ramai yang tidak pasti mengenai pelaksanaannya.

Ada yang kata menguntungkan dan ada yang kata sebaliknya.

Kegusaran itu menyebabkan ramai yang tidak ‘duduk diam’, tambah-tambah bila disentuh mengenai pelaksanaan GST dalam bab perkahwinan.

Bagi yang bujang sudah semestinya ‘mulai pening’ kepala kerana mula  fikirkan mengenai bajet perkahwinan selepas GST dilaksanakan.

Namun ada berita gembira buat  mereka yang hendak berkahwin selepas GST dilaksanakan ini kerana GST tidak dikenakan terhadap bayaran mas kahwin.

Penolong Pengarah Unit Komunikasi Korporat Jabatan Agama  Islam Selangor, Nurhamizah Othman berkata, harga Mas Kahwin kekal sepertimana yang termaktub dalam Undang-undang keluarga Islam di bawah kuasa Sultan.

“Di Selangor kita sudah putuskan pada 12 Mei 2009, iaitu sebanyak RM300 kadar mas kahwin bagi anak dara dan janda tanpa had maksimun.

“Ia kekal, GST tidak dikenakan,” katanya. Katanya lagi, anak muda yang hendak berkahwin tidak perlu gusar mengenai perkara tersebut.

"Tiada kenaikan, ia kekal sepertimana yang termaktub," katanya. GST akan dilaksanakan pada 1 April 2015 ini, sebanyak 160 buah negara telah melaksanakannya.

Sinar Harian

17 Mac 2015

Bapa Terkejut Anak Main Tengkorak Manusia

SEORANG bapa yang seronok melihat anaknya sedang bermain bagaimanapun terkejut apabila mendapati kanak-kanak itu sedang memegang tengkorak manusia di belakang rumah mereka.
Dalam kejadian di Baltiysk, Rusia, bapa tersebut Vasiliy Starovoytov, 55, pada mulanya seronok apabila melihat anaknya sedang bergelak dengan sesuatu objek.
Bagaimanapun apabila didekati, dia mendapati, Roman, 8, sedang memegang tengkorak manusia yang diselaputi tanah.
"Saya terkejut apabila Roman menunjukkan tengkorak itu, saya membuangnya dan membawa dia jauh dari situ," katanya.
Hasil pemeriksaan polis di persekitaran rumah Vasiliy dan tengkorak berkenaan mendapati, ia merupakan sebahagian mayat tentera yang maut dalam perang.
mStar Online

12 Mac 2015

Viral ATM kenakan GST melampau tidak benar



Auta



SATU gambar resit pengeluaran wang daripada sebuah syarikat perbankan dan mesej telah menjadi viral dan tersebar berhubung cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang akan diperkenalkan bermula 1 April ini.

Berdasarkan mesej di gambar tersebut, secara automatik wang yang dimasukkan di Bank akan dikenakan GST apabila wang tunai dikeluarkan menggunakan mesin pengeluaran wang automatik (ATM).

"Keluar duit sendiri pun kena GST, kalau keluar RM1,000 kita akan dikenakan GST RM60," menurut mesej yang disertakan di gambar yang disebarkan secara meluas baru-baru ini.

Fakta

Kastam menafikan sekeras-kerasnya gambar dan mesej viral yang tersebar luas berhubung pengeluaran wang tunai di mesin ATM, baru-baru ini. Ketua Pengarah Kastam Malaysia, Datuk Seri Khazali Ahmad berkata, mesej seumpama ini sudah tersebar sejak tahun lalu dan pihak kastam telah memberikan penjelasan kepada umum.

"Sekali lagi, saya tegaskan bahawa pengeluaran wang tunai hanya akan dikenakan GST apabila membuat pengeluaran menggunakan perkhidmatan MEPS.

"Sebagai contoh, kad CIMB bank yang dikeluarkan menggunakan mesin ATM Maybank akan dikenakan GST. Jika menggunakan mesin ATM CIMB tidak akan dikenakan GST," tegasnya.

Menurutnya lagi, GST tidak dikenakan kepada jumlah pengeluaran wang tunai tetapi bagi setiap transaksi pengeluaran iaitu sebanyak RM1.06 berbanding RM1 sebelum ini.


SH

11 Mac 2015

Perempuan bertudung pegang anjing jadi viral


GEORGETOWN - Gambar seorang wanita bertudung putih mendukung seekor anjing menjadi perbualan hangat penduduk di negeri ini.

Dipercayai gambar berkenaan pada awalnya dikongsi sendiri pengendali laman sosial sebuah pusat beli- belah lokasi penganjuran pameran anjing berkenaan.

Kini, gambar terbabit turut dikongsi pengendali laman sosial Penang Kini.

Sumber berkata, dipercayai wanita itu memegang anjing berkenaan ketika program pengambilan haiwan liar untuk tujuan peliharaan.

“Ia dipercayai berlaku di sebuah pusat beli-belah di sini dan kami tidak tahu sama ada program itu membenarkan orang Islam untuk memegang anjing atau sebagainya.

“Bagaimanapun, daripada reaksi orang ramai, sepatutnya perkara ini tidak terjadi setelah isu ‘I Want To Touch A Dog’ di ibu negara pada tahun lalu menjadi kes besar dan mendapat perhatian ramai,” katanya.

Difahamkan, gambar berkenaan turut dikongsi ratusan pemilik laman sosial yang memberikan pelbagai pandangan tersendiri.

Sinar

09 Mac 2015

Tampil berhijab, Hanis lunas impian orang tua


SETIAP insan di dunia ini pasti melalui perjalanan yang berliku dan seterusnya di angkat sebagai suatu pengalaman hidup.

Perjalanan yang kita lalui membawa kita bertemu dengan pelbagai orang, pelbagai ragam yang akhirnya memberi kita suatu sesi pembelajaran tentang kehidupan.

Bahkan dalam kita melalui perjalanan itu, ada ketikanya kita akan melalui perjalanan yang mudah dan ada ketikanya perjalanan begitu sukar untuk ditempuhi.

Begitulah yang dapat diibaratkan mengenai perjalanan gadis bakal menginjak ke usia 25 tahun tidak lama lagi.

Biarpun masih muda, sudah banyak yang ditempuhi oleh pemilik nama sebenar Hanis Zalikha Zainal Rashid ini.

Dari dunia maya ke dunia seni, dari seorang blogger biasa kepada seorang selebriti, Hanis bertuah kerana sudah menempuh perjalanan yang penuh warna-warni.

Namun dalam melalui semua perjalanan itu, ada sesuatu yang kurang dan ada ketikanya sukar untuk diturutkan. Bagaimana itu bukan bermakna dia seorang yang cekal hati.

Malah sebagai anak kedua dari tujuh orang adik-beradik, dia bukanlah seorang yang sering ingkar akan arahan kedua ibu dan bapanya.

Justeru dia mula memujuk dan memupuk diri untuk menuruti permintaan yang sudah lama disuakan oleh ibu bapanya.

"Kalau ikutkan, mama dan daddy Hanis sudah lama memberi hint supaya Hanis berhijab. Kalau ikutkan Hanis tak pernah gagal mengikuti permintaan keluarga, tapi entah kenapa permintaan yang satu ini sukar untuk Hanis turutkan.

"Tapi itu bukan alasan untuk Hanis melanggar perintah Allah SWT. Alhamdulillah, hari demi hari yang berlalu, hati Hanis mula rasa tenang setiap kali bertudung, sehinggalah Hanis tekad untuk bertudung sepenuhnya pada 1 Mac lalu," ujarnya membuka bicara mengenai imej barunya yang kini sudah berhijab.

Bercerita dengan lebih lanjut, Hanis berkata, dia sudah mula memakai tudung sejak tahun lalu lagi. Bahkan ada ketikanya keluar bersama keluarga dan rakan, dia selesa mengenakan tudung.

"Akhir tahun lepas Hanis memang sibuk dengan penggambaran dan selepas Hairul melamar dan membuatkan keputusan untuk berkahwin, Hanis mula ambil keputusan untuk bercuti.

"Jadi apabila ada banyak masa dan tiada tawaran lakonan, Hanis kira ini adalah masa yang sesuai untuk Hanis bertudung. Kebetulan pada 1 Mac lalu, Hanis keluar bersama ibu dan Hairul.

"Hairul ketika itu teruja dengan imej Hanis dan tanya sama ada Hanis benar-benar sudah berhijab. Jadi bila Hanis kata ya, dia terus kongsikan dan tak sangka ramai yang memberi maklum balas yang baik mengenai perkara itu.

"Paling penting, saya sudah melunaskan impian mereka sebelum menjadi isteri dan perubahan ini adalah berkat doa dari mereka," katanya.


Hanis Zalikha dan ibu Hairul

Perubahan drastik?

Menganggap perubahan yang dilakukan bukan secara drastik, Hanis berkata, masih banyak perkara yang perlu dipelajari untuk menjadi Muslimah yang baik.

"Hanis masih diri saya seperti dulu. Cuma sekarang Hanis bertudung untuk menyempurnakan aurat. Lain-lain aspek itu Hanis akan belajar sedikit demi sedikit,” jelasnya.

Meskipun sudah bertudung, Hanis berkata, dia tetap akan aktif di dalam bidang lakonan selepas ini, namun masih belum memikirkan mengenai karier lakonannya buat masa ini.

"Memandangkan Hanis sibuk sedikit sekarang, Hanis memang tak ambil apa-apa tawaran lakonan, walaupun ada tawaran yang datang.

"Cuma kerja mengacara sahaja yang Hanis masih terima, apatah lagi rakaman Raikan Cinta masih berlangsung. Cuma beza sekarang ini, kami mencari pereka fesyen yang turut mereka tudung agar sesuai dengan imej Hanis," katanya.

Justeru apabila sudah bertudung, penulis sengaja mengusiknya adakah dia juga akan mengeluarkan tudung atau busana Muslimah seperti yang dilakukan kebanyakan selebriti pada hari ini?

Bagaimana jawab Hanis, dia masih belum terfikir ke arah itu dan dia sendiri masih memakai pakaian yang sedia ada, cuma bezanya di tambah dengan tudung.

"Mama memang pesan, berubah perlahan-lahan supaya orang lain tak terkejut dan Hanis sendiri tidak terkejut.

"Jadi kalau ikutkan Hanis pakai apa yang ada dalam almari, cuma Hanis pelbagaikan agar pakaian itu menutup aurat dan yang penting bertudung," ujarnya.

Bakal bertunang

Dalam pada itu, di tebak mengenai persiapan perkahwinannya yang kini sedang rancak dilakukan, Hanis mengakui, dia dan Hairul Azreen akan bertunang dalam masa terdekat.

Bagaimanapun ujar pelakon yang kini terkenal menerusi drama Suami Encik Sotong ini, majlis hanya akan diadakan secara tertutup dan dihadiri oleh keluarga kedua-dua belah pihak sahaja.

"Hanis minta maaf kerana tak dapat kongsikan tarikh pertunangan tapi boleh dikatakan kami akan bertunang dalam masa terdekat.

"Mengenai tarikh perkahwinan pula, hanya akan dibincangkan pada majlis pertunangan kelak dan ia akan diputuskan oleh keluarga. Jadi selepas ia diputuskan baru Hanis akan maklumkan bila kami akan berkahwin.

"Sekarang pun, Hanis agak sibuk dengan persiapan, sebab itu terpaksa tolak tawaran yang datang. Apa pun doa yang terbaik untuk kami," ujarnya mengakhiri perbualan.

Sumber Sinar Harian

Port Mak Ngah Skodeng !