05 April 2015

Perancis Haram Model Terlalu Kurus

Kematian Isabelle Caro pada 2007 kerana masalah anoreksia mendorong kerajaan Perancis menggubal undang-undang mengharamkan model terlalu kurus.
PARIS: Jika selama ini tubuh yang kurus menjadi antara faktor untuk menjadi model, kini ia bagaikan suatu yang memudaratkan apabila Perancis meluluskan undang-undang yang menghukum pihak dalam industri peragaan.
Negara yang terkenal sebagai pusat fesyen dunia itu akan mengharamkan model yang terlalu kurus, mendenda atau memenjara ejen syarikat peragaan serta fesyen yang merekrut mereka.
Perancis yang memperoleh urusniaga industri fesyen mencecah puluhan bilion euro menyertai Itali, Sepanyol dan Israel dalam melaksanakan undang-undang ke atas model kurus.
Langkah itu adalah sebahagian usaha menangani anoreksia yang disokong kerajaan serta Presiden, Francois Hollande yang menganggap amalan menggalakkan penurunan berat badan itu adalah berbahaya.
Pakar kesihatan menganggar 30,000 hingga 40,000 penduduk Perancis mengalami anoreksia dengan majoritinya membabitkan remaja.
Berdasarkan rang undang-undang yang diluluskan itu, sebarang ativiti peragaan diharamkan bagi mereka yang memiliki Indeks Jisim Tubuh (BMI) kurang daripada tahap yang dicadangkan pihak berkuasa kesihatan dan ditetapkan menteri kesihatan serta tenaga kerja."
Sebelum ini, anggota Parlimen mencadangkan model perlu menunjukkan sijil kesihatan dengan BMI sekurang-kurangnya 18 serta berat kira-kira 55 kilogram untuk ketinggian 1.75 meter sebelum ditawarkan pekerjaan.
Walaupun mendapat tentangan, undang-undang yang diluluskan  menetapkan hukuman penjara enam bulan dan denda 75,000 euro (RM300,000) ke atas agensi yang melanggarnya.
Pada 2007, Isabelle Caro, 28, bekas model fesyen Perancis yang menghidap anoreksia mati selepas kempen fotografi bagi meningkatkan kesedaran mengenai penyakit itu. - Reuters
mStar Online

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Port Mak Ngah Skodeng !