12 Disember 2014

Budak Lelaki Cedera Akibat Penyepit Tercucuk Leher

Jun Chia terpaksa dikejarkan ke hospital selepas penyepit yang digunakan ketika menikmati mi tercucuk pada lehernya.
Seorang budak lelaki berusia 12 tahun terpaksa menanggung kesakitan akibat tercucuk penyepit makanan pada lehernya ketika sedang menikmati mi sambil berjalan.
Jun Chia sebelum itu keluar dari kawasan sekolahnya untuk membungkus makanan kerana lapar dan menikmatinya sambil berjalan untuk pulang ke kelasnya.
Bagaimanapun, dalam keadaan kelam kabut itu dia dilanggar bapa rakannya yang menggunakan skuter elektrik menyebabkan Jun Chia terjatuh, manakala penyepit yang dipegang tercucuk pada lehernya.
Seorang kakitangan sekolah di Wilayah Hubei di sini segera menghubungi ambulans untuk membawa budak lelaki itu ke hospital.
Pemeriksaan di hospital menunjukkan sesuatu yang mengejutkan, kedudukan penyepit itu bagaimanapun tidak mengakibatkan kerosakan pada sebarang organ dalaman Jun Chia.
Pegawai perubatan Zhou Jen memberitahu media tempatan: "Kami lakukan imbasan CT dan mendapati penyepit itu tidak mengenai trakea, esofagus atau pembuluh darah utamanya.
"Budak lelaki itu memang bernasib baik dan kami juga berjaya melakukan pembedahan untuk mengeluarkan penyepit itu."
Beliau menambah, keadaan penyepit yang diperbuat daripada keluli bukannya kayu menyebabkan ada kebimbangan berlaku jangkitan.
Selesai pembedahan itu, budak lelaki itu diletakkan dalam pemerhatian dan dijangka dibenarkan pulang hujung minggu ini.
mStar Online

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Port Mak Ngah Skodeng !