18 Mei 2014

Jumpa duit dalam sofa, tiga sekawan cari pemilik sampai jumpa

(Dari kiri) Lara Russo, Cally Guasti dan Reese Werkhoven bersama 'sofa duit' di apartment mereka di New Paltz, N.Y. - AP Photo/Mike Grol

NEW YORK: Siapa sangka sofa lama boleh menjadi sebuah ‘mesin menghasilkan duit’.

Tiga rakan sebilik Reese Werkhoven, Cally Guasti dan Lara Russo masih terkejut dengan apa yang mereka temui di dalam sofa di bilik mereka, lapor CBSNewYork.

“Kami amat terkejut dengannya,” ujar Werkhoven.

“Kami terlalu terkejut di dalam bilik sehingga menjerit. Jiran kami menyangka kami telah memenangi loteri,” kata Guasti.

Ketiga-tiga mereka membeli sofa tersebut pada April.

Ketika sedang menonton televisyen, mereka menyedari gumpalan pada bantal sisi sofa tersebut yang dibeli di sebuah kedai terpakai di New Paltz, New York dua bulan sebelumnya.

“Terdapat dua atau tiga sampul gelembung di dalamnya. Kami membuka sampul tersebut dan terkejut kerana terdapat wang kertas seratus dollar setebal seinci setengah,” terang Werkhoven.

Mereka kemudian mengira jumlah wang tersebut sambil mula berangan tentang apa yang mahu dilakukan dengan wang berjumlah AS$41,000 (RM132,437).

Menurut Guasti, kegembiraan mereka bagaimanapun terbantut apabila terlihat nama seorang wanita di sampul tersebut dan sedar bahawa wang tersebut bukan milik mereka.

Dengan bantuan ibu Werkhoven, mereka berjaya menjejaki wanita tersebut.

Sebaik dihubungi, wanita tersebut mengaku telah menyimpan banyak duit di dalam sofa tersebut.

Seorang teman kepada wanita tersebut yang enggan dikenali berkata, duit tersebut telah lama disimpan tanpa pengetahuan keluarganya, yang kemudian bertindak mendermakan sofa tersebut.

“Duit ini merupakan simpanan wanita terbabit. Dia kata, ‘ini ialah petanda suami saya masih menjaga saya dan inilah yang sepatutnya berlaku,’” kata Guasti.

“Saya rasa semua orang boleh melakukannya (memulangkan wang ditemui),” ujar Werkhoven.

Russo pula berkata bahawa sejujurnya, dia tidak terlalu memikirkan tentang perkara itu.

Mereka bertiga tidak sedikit pun menyesal melakukan perkara betul dan berharap untuk makan malam bersama keluarga wanita pemilik wang tersebut.

Wanita berusia itu dilaporkan turut memberi ketiga-tiga rakan tersebut seribu dolar.


Sumber

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Port Mak Ngah Skodeng !