06 Februari 2014

Sharifah Sakinah yang selalu buat kontroversi akan berubah

Sharifah Sakinah

LAKONANNYA mungkin tidak seberapa, namun aksinya di laman sosial mampu mengejutkan sesiapa saja yang mengikutinya.

Sering mencetuskan kontroversi di alam maya, pemilik nama Sharifah Sakinah, 25, ini sekali lagi menjadi tumpuan apabila sengaja menayang badannya dengan mendedahkan perut dan pusat menerusi akaun peribadi Instagram miliknya.

Meskipun ramai yang menyedari sikapnya yang terlalu terbuka dan 'gila-gila' itu, namun aksinya itu kali ini dikatakan agak sensitif dan melanggar adat ketimuran sehingga mengundang kemarahan masyarakat.

Menurut Sakinah, dia bukannya sengaja mahu mencipta kontroversi, sebaliknya hanya untuk berkongsi perihal kesihatan bersama peminatnya.

“Gambar itu dimuat naik buat peminat saya yang bersama-sama ikut untuk bergiat bagi aktiviti kesihatan. Tidak pernah terlintas nak pamerkan badan saya. Itu adalah diri saya yang sebenarnya. Setiap kali perkara yang terlintas di fikiran dan perlakuan saya, akan kongsikan bersama mereka," katanya.

Menurutnya, walaupun dirinya masih menerima cemuhan daripada segelintir pihak, namun dia mengambilnya sebagai iktibar dan pengajaran. Malah, adik kepada Sharifah Shahira ini mengakui, dia sedia berubah dan cuba memperbaiki dirinya ke arah lebih baik.

"Saya akan lebih berhati-hati selepas ini dan saya tidak akan ulangi perkara itu lagi. Tentang bab agama saya tak nak sentuh sebab saya bukan arif mengenainya. Tetapi Insya-ALLAH, sampai masanya saya akan berubah.

"Saya juga tak melatah dan kecil hati terhadap setiap kritikan yang saya terima dan sangat berterima kasih kepada semua yang menasihati saya,” katanya.

Sakinah berkata, beginilah asam garam kehidupan artis kerana jika dia melakukan sesuatu perkara sama ada baik atau buruk, orang tetap akan memerhati dan akan buat persepsi mereka sendiri.

“Menjadi selebriti, setiap perkara yang dilakukan itu akan dilihat dan ada yang memandang dengan pandangan negatif, maka segala tanggapan buruk itu terpaksa diterima.

“Jadi saya tak mahu mempedulikan kata-kata orang. Saya juga tidak hadapi sebarang tekanan hanya dengan perkara ini,” katanya.

Mengulas mengenai pergaduhan antara peminat dan pengkritiknya menerusi laman Instagramnya, Sakinah berharap ia tidak akan berulang dan mahu masing-masing berfikiran lebih terbuka dan profesional.

“Saya tak mahu semua orang bergaduh dan menjadikan medan sosial ini sebagai tempat mengutuk sesama sendiri. Ia tidak berfaedah malah merugikan kedua-dua belah pihak kerana salah faham dan sakit hati,” katanya.
Hobi jadi ikutan

Berkongsi mengenai pengalamannya yang mengadakan kelas senaman di KLCC bersama peminat, Sakinah berkata, pada awalnya perkara itu berlaku secara kebetulan.

Selepas itu, ia menjadi ikutan apabila ramai peminat mahu melakukan aktiviti itu bersama.

“Alhamdulillah, hobi ini dapat dikongsi bersama peminat dan orang ramai. Malah, bilangan pengikut di akaun Instagram @fitnessakinah juga sudah semakin ramai. Mungkin pendekatan cara bersenam yang saya gunakan juga lebih mudah dan lebih santai serta boleh dilakukan di rumah. Disebabkan itulah mereka mahu menyertai aktiviti itu bersama saya,” katanya.

Ditanya mengenai perkembangan terbaharunya, heroin drama Bunga Merah Punya ini baharu sahaja tamat penggambaran telemovie berjudul Tesis Terakhir dan bakal menjalani sitkom berjudul Yan Merempit.

“Saya sengaja memilih sitkom kerana ia lebih ringan, santai dan berunsurkan komedi, di mana saya dapat seimbangkan jadual untuk menjalani kelas kesihatan bersama peminat,” katanya yang bakal membuka pusat kesihatan di kawasan Damansara.

SH


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Port Mak Ngah Skodeng !