26 Februari 2014

Fauzi Nawawi Enggan Minta Maaf Pada Sharnaaz

Fauzi Nawawi
PETALING JAYA: Pelakon Fauzi Nawawi tidak akan tunduk dengan permintaan Sharnaaz Ahmad yang mendesaknya memohon maaf atas dakwaan telah dicaci oleh Fauzi menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS).
Fauzi berkata, dia juga terkejut apabila diminta membuat permohonan maaf kepada ibu Sharnaaz dan menyifatkan permintaan pelakon itu adalah mengarut. Malah Fauzi juga bersedia jika Sharnaaz mahu membawa kes berkenaan ke muka pengadilan.
"Buat apa saya nak minta maaf? Dalam SMS, perkataan 'ibu' saya gunakan, apa perasaan dia jika saya menengking ibunya? Itu sahaja.
"Kenapa dia nak putar belitkan SMS saya yang sudah jelas ingin bertanya pada dia sebab-sebab dia menengking Lisda?" soalnya ketika dihubungi mStar Online di sini pada tengah hari Rabu.
Dakwaan itu timbul selepas Fauzi atau nama sebenarnya Mohd Fauzi Mohd Nawawi, 41, menghantar SMS bertanyakan sebab Sharnaaz menengking dan menyerang isterinya, aktres, Lisdawati, 35, di lokasi penggambaran drama Bukan Aku Tak Cinta di Sungai Buloh dekat sini pada 19 dan 21 Februari lalu.
Sharnaaz Ahmad
Sebuah akhbar pada Isnin lalu melaporkan Sharnaaz, 29, telah menyerang Lisdawati, di lokasi penggambaran drama Bukan Aku Tak Cinta di Sungai Buloh dekat sini pada 19 dan 21 Februari lalu.
Peristiwa itu menjadi tegang apabila Fauzi dikatakan menerima SMS daripada Sharnaaz berbaur ugutan selepas dia bertanyakan hal berkenaan.
Lisda mendakwa mengalami darah tinggi akibat kejadian itu. Dia dan suami turut membuat laporan polis di Balai Polis Dang Wangi pada Sabtu lalu sebagai langkah keselamatan diri.
Sementara itu, Fauzi menyifatkan Sharnaaz mungkin menyimpan strategi sebelum membuat kenyataan kepada media.
Dalam pada itu, Fauzi turut beranggapan kelakuan Sharnaaz yang garang berpunca daripada penghayatan watak dalam drama tersebut sebagai Jebat sehingga karakter itu meresap ke dalam dirinya.
"Rasanya, lebih baik Sharnaaz pergi menjalani rawatan doktor kerana watak Jebat yang bersikap garang dan kasar mungkin sudah meresap ke dalam dirinya, memandangkan sudah empat bulan tanpa henti dia terlibat dengan penggambaran drama itu.
"Selain itu, baru saya faham kenapa tidak ramai wanita yang 'melekat' dengan dia dalam sesebuah perhubungan cinta memandangkan dia tidak pernah menghormati wanita. Sedangkan wanita bersifat lembut yang ingin dikasihi dan dibelai," ujarnya.
mStar Online

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Port Mak Ngah Skodeng !