08 Januari 2015

Detik terakhir unit pemusnah bom terakam

Sedutan video ngeri yang mengorbankan anggota unit pemusnah bom di Cairo, Mesir

BEBERAPA video yang menunjukkan detik-detik terakhir seorang pegawai unit pemusnah bom sebelum terkorban ketika mematikan bom tersebar laman sosial sejak beberapa hari lalu.
 
Pegawai berkenaan dilihat menghampiri sebuah beg yang diletakkan berhampiran sebuah stesen minyak, dimana orang ramai mengeluarkan telefon bimbit mereka dan merakam.
 
Pegawai berkenaan memegang sebuah alat yang kemudiannya meletup di tanganya.
 
Selepas melambung beberapa kaki, pegawai tersebut tidak lagi bergerak dan orang ramai bergegas untuk membantu.
 
Menurut Daily Mail, kumpulan pengganas Ajnad Misr mengaku meletakkan bom tersebut yang menyasarkan balai polis berdekatan.
 
Kejadian tersebut difahamkan berlaku di Cairo, Mesir.
 
Video berkenaan yang dimuatnaik pada 6 Januari itu juga dikongsi ke laman sosial Facebook dan laman mikro Twitter.

SH

06 Januari 2015

Ditahan akibat mengamuk dalam pesawat

Cho Hyun-ah

Cho Hyun-ah, bekas eksekutif Korean Air ditahan selepas waran tangkap dikeluarkan kerana kejadian amuk di dalam sebuah pesawat, 5 Disember tahun lalu.

Hyun-Ah, yang juga anak kepada pengerusi syarikat penerbangan berkenaan dihentam akibat mengamuk kerana cara kacang dihidangkan ketika penerbangan.

Hidangan tersebut, kacang Makadamia diberikan kepada Hyun-Ah di dalam beg dan bukan dihidangkan di dalam piring.

Menurut AP, wanita berumur 40 tahun berkenaan juga dikatakan membahayakan penerbangan berkenaan sehingga memaksa pesawat tersebut berpatah balik ke New York.

Selain Hyun-Ah, seorang lagi eksekutif syarikat penerbangan berkenaan yang hanya dikenali sebagai Yeo turut ditahan kerana mendesak pekerja mematikan isu berkenaan.

Hyun-Ah menghadapi tuduhan termasuk menimbulkan huru-hara di dalam pesawat dan mengubah haluan perjalanan pesawat tersebut.

Awal bulan ini, Hyun-Ah meletakkan jawatan sebagai Naib Presiden Korean Air dan semua jawatan dalam syarikat bersekutu.


SH

04 Januari 2015

WANITA DIPERDAYA ANAK TAN SRI

Noli ketika menceritakan kisahnya ditipu anak 'Tan Sri' kepada wartawan Sinar Harian, semalam.

MELAKA - Wanita mana yang tidak impikan majlis perkahwinan mewah ibarat 'wedding of the year'.

Namun, bagi seorang wanita di Telok Mas, di sini, harapannya untuk berkahwin dengan seorang anak  'Tan Sri' dengan majlis gilang-gemilang di sebuah hotel lima bintang hanya tinggal harapan.

Manakan tidak, lelaki yang disangkakan 'orang berada' itu bukan saja seorang yang sengkek, malah terbabit dengan berbagai kes jenayah dan penipuan sebelum ini.

Wanita terbabit, Noli Dilaila Zakaria (bukan nama sebenar), 22, membuat pendedahan kepada Sinar Harian, semalam menceritakan kisah dia menjadi mangsa lelaki berkenaan, sehingga hampir mendirikan rumah tangga.

Jururawat sebuah hospital itu berkata, perkenalan menerusi aplikasi sosial Bee Talk, Jun tahun lalu merupakan detik permulaan hubungan cinta antara dia bersama lelaki yang dikenali sebagai Adam yang mengaku pensyarah di sebuah universiti.

Malah katanya, Adam juga mendakwa memiliki sebuah studio jamming di Melaka Raya, Banda Hilir.

"Hubungan kami semakin rapat sehingga saya terlalu yakin hubungan kami berakhir di jinjang pelamin. Selepas beberapa minggu kami berkenalan, dia datang berjumpa keluarga saya," katanya.

Noli berkata, selepas itu, dia dibawa berjumpa dengan ibu Adam yang dipanggil  'Puan Sri" di sebuah hotel lima bintang di Banda Hilir, Julai tahun lalu.
"Sejak itu kami mula membuat perancangan untuk mengadakan majlis pertunangan di Dewan MITC pada hari ketiga Syawal.

“Adam turut merancang majlis resepsi kami diadakan di hotel sama, malah mendakwa ibunya merupakan ahli lembaga pengarah hotel berkenaan,” katanya.

Nora bagaimanapun berkata, timbul rasa keraguan dalam kalangan sanak-saudaranya apabila Adam meminta nombor kad pengenalan setiap ahli keluarga dan saudara terdekat, kononnya untuk pas masuk ke dewan pada majlis pertunangannya nanti.

“Dalam tempoh perkenalan kami, sepupu dan saudara-mara saya ada menyelidik latar belakang Adam. Dari situ, mereka ada beritahu semua berkaitan Adam termasuk latar belakang keluarga kaya yang sebenarnya tidak wujud," katanya.

Namun, katanya, dia masih tidak percaya Adam menipu sehinggalah kejadian rumah keluarga Noli dipecah masuk ketika mereka sekeluarga bercuti pada 6 Oktober lalu, sehingga pelbagai barangan berharga lesap.

"Kejadian pecah masuk itu menyebabkan ibu bapanya tidak sedap hati kerana mengesyaki ia dilakukan Adam, lalu meminta saya memutuskan hubungan dan tidak lagi berhubung dengannya lagi.

"Selepas memikirkan kata-kata ibu, hampir dua minggu selepas itu, saya tidak lagi berhubung dengan Adam,” katanya.

Nora yang merupakan anak sulung dari empat beradik berkata, dia bagaimanapun pernah curiga mengenai latar belakang Adam apabila meminjam wang daripadanya.

"Saya hairan kerana dia seorang yang berada, malah dia hanya pakai kereta Proton Perdana. Tapi saya tetap percaya dengan dia cuma mujur saya hanya beri pinjam RM200 saja. Itupun dia janji akan pulangkan semula. Namun sehingga kini dia belum memulangkannya lagi," katanya.

Bagaimanapun, Norli berkata, dia terkejut apabila mendapat tahu menerusi akhbar tempatan, baru-baru ini, bahawa Adam ditangkap polis kerana terbabit dalam satu kejadian jenayah di negeri ini.
Terkejut dengan berita itu dan tidak mahu wanita lain menjadi mangsa, Noli tampil membuat aduan di Balai Polis Kandang, kira-kira 12.30 tengah hari semalam.

"Saya mungkin rugi sedikit sebab beri dia RM200 tetapi tidak mustahil kalau saya teruskan hubungan, mungkin saya sudah serahkan RM200,000.

“Saya berharap semua wanita di luar sana berhati-hati menjalin hubungan dengan lelaki yang baru dikenali,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah ketika dihubungi semalam, mengesahkan pihaknya menerima laporan itu.

SInar Harian

30 Disember 2014

Banjir, Penyebaran Maklumat Palsu Kerja Khianat


KUALA LUMPUR: Penyebaran maklumat palsu terutama melalui aplikasi WhatsApp ketika banjir besar melanda negara menimbulkan suasana panik masyarakat malah boleh menjejaskan usaha menyelamat yang sedang diatur.
Pensyarah Sains Sosial Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian berkata tindakan tersebut menimbulkan persoalan sama ada ia bermotifkan politik atau bertujuan menguji kredibiliti kerajaan dalam menguruskan bencana yang berlaku.
Ia juga dilihat sebagai usaha terancang pihak tertentu untuk memburukkan lagi keadaan dan imej kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, katanya yang juga Timbalan Dekan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan USM.
Katanya keadaan ini menguji toleransi individu yang terdedah kepada akses Internet supaya bijak menilai maklumat atau berita yang tidak tentu kesahihannya.
Terbaharu, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terpaksa membuat penafian berhubung maklumat kononnya ATM mengarahkan penduduk di Pekan, Pahang agar segera pindah kerana limpahan air banjir.
Mengikut Seksyen 233 (1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, mereka yang didapati bersalah boleh dihukum denda RM50,000 atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya.
Berikut antara maklumat yang tersebar semasa musim banjir yang telah  disahkan palsu:
* kematian 10 sekeluarga di Kampung Guchil, Kuala Krai
* seluruh Kota Baharu terputus bekalan elektrik
* kematian 40 pesakit di Hospital Kuala Krai akibat ketiadaan oksigen
* gelinciran pada Jambatan Sultan Yahya Petra di Kota Baharu
* pengisytiharan darurat di Kelantan
* Empangan Kemubu akan dibuka yang memungkinkan banjir lebih besar di Kok Lanas, Kelantan
* Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) menyekat bantuan untuk mangsa banjir di Kuala Krai, Kelantan
* Empangan Batu di Selangor berada diparas bahaya dan mengalami rekahan serta akan dibuka untuk melepaskan air
* Pelepasan air dari Empangan Tasik Kenyir di Hulu Terengganu kononnya akan menenggelamkan Bandar Kuala Berang
* Seorang remaja Tahfiz mati lemas di Rantau Panjang
* Tiga petugas Petronas meninggal dunia dalam kemalangan ketika misi menghantar bantuan ke Kelantan
* Pusat pemindahan mangsa banjir di Sekolah Manek Urai runtuh
* Angkatan Tentera Malaysia (ATM) arahkan penduduk di Pekan, Pahang supaya keluar dai daerah itu kerana limpahan air sungai Temerloh sedang menuju Pekan.
mStar Online

29 Disember 2014

Jururawat kongsi cerita terperangkap 6 hari dalam Banjir

Seorang penduduk cuba mengambil barang melalui bumbung rumahnya yang hampir ditenggelami banjir di Kampung Tiong, Gua Musang, semalam. - Foto Bernama

PASIR PUTEH - Seorang jururawat masyarakat yang bertugas di Klinik Desa Kampung Star, Bertam Baru, Gua Musang, menceritakan bagaimana 150 penduduk di situ, kelaparan dan menempuh detik cemas setelah terperangkap selama enam hari apabila kampung mereka seakan-akan 'sebuah pulau' akibat banjir, bermula Isnin lepas.
   
Suzana Bakar, 49, berkata mereka menyelamatkan diri mencari tempat perlindungan di Sekolah Kebangsaan Star, Bertam Baru dengan sehelai sepinggang tanpa sempat menyelamatkan harta benda selepas air dari Sungai Nenggeri naik mendadak ke kawasan kampung mereka.
   
"Ini disebabkan kami tidak menyangka air naik secara mendadak kerana sebelum ini tidak pernah berlaku," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.
   
Suzana bagaimanapun berkata pada hari Selasa lepas, makanan terutama beras tiba dengan jumlah sedikit setelah diusahakan pemimpin setempat serta belas ihsan daripada orang kampung yang tinggal di kawasan tinggi.
   
"Sebaik makanan tiba di sekolah itu mereka berebut-rebut mendapatkan makanan yang tidak mencukupi kerana jumlah mangsa banjir yang datang ke pusat itu bertambah setiap hari," katanya.

Suzana berkata untuk mendapatkan bekalan makanan dari luar terutama di Gua Musang terlalu sukar kerana tidak boleh dilalui sebarang kenderaan berikutan arus yang sangat deras.
   
Beliau berkata sepanjang berada di sekolah itu, sebahagian besar mangsa memakan apa sahaja seperti biskut dan mi segera bagi mengalas perut untuk mengelak daripada kebuluran dan sepanjang malam pula terpaksa bergelap akibat bekalan elektrik terputus.
   
Bagaimanapun, Suzana bersyukur kerana ketika kejadian beliau dan empat anak masing-masing berumur antara tiga dan 14 tahun, sempat menyelamatkan diri ke sekolah berkenaan lebih awal apabila menyedari paras air semakin meningkat ke paras paha dalam tempoh beberapa minit.
   
Ketika kejadian suaminya Raibi Hamid, 39, tiada di rumah kerana bekerja di Kuala Lumpur.
   
"Sebuah kereta Proton Wira dan motosikal serta peralatan elektrik kesemuanya tidak sempat diselamatkan apabila paras air meningkat terlalu cepat sehingga menenggelamkan sebahagian 50 buah rumah penduduk di situ," katanya.
   
Suzana berkata ketika berada di sekolah itu mereka terpaksa tinggal di tingkat tiga kerana tingkat pertama dan kedua dinaiki air, sebelum surut sepenuhnya, semalam. - Bernama

Sinar

26 Disember 2014

Wanita MAUT ditikam gara-gara parkir kereta

Alison Morrison

HANYA kerana berebut parkir kereta, seorang wanita Alison Morrison, 45, maut ditikam jirannya ketika sedang dalam perjalanan ke tempat kerja di Harrow, di utara London.

Mangsa, salah seorang ahli Lembaga Kejiranan Selamat Harrow telah bekerja keras untuk mengurangkan jenayah dalam komunitinya, dipercayai mengalami luka tikaman di seluruh tubuhnya ketika diserang kurang 2.4 kilometer dari rumahnya dipetik laporan Daily Mail.

Difahamkan, jirannya yang merupakan jurutera televisyen satelit, Trevor Gibbon, 48, ditahan pihak polis bagi membantu siasatan selepas polis menemui sebilah pisau dapur berlumuran darah berhampiran rumahnya.

Menurut seorang saksi, dia terdengar bunyi jeritan kuat beberapa kali sebelum berlari keluar dan melihat penyerang berada di atas badan mangsa sambil memegang pisau yang dipenuhi darah mangsa.

“Serangan berlangsung selama kira-kira seminit. Saya tergamam dan menyaksikan serangan itu depan mata adalah menyedihkan,” menurutnya.

Beberapa bulan lalu, majlis daerah tempatan menurap jalan utama di kawasan kejiranan itu dan meyebabkan mereka berselisih faham tentang siapa yang patut meletak kenderaan di hadapan jalan masuk ke rumah mereka.

Mangsa yang merupakan seorang pengurus di majalah Which? tinggal bersama suaminya, Cedric, 46, dan anak lelakinya berusia 16 tahun.


SH

24 Disember 2014

Fenomena 'full moon' cetus banjir luar biasa


KUALA LUMPUR - Fenomena 'full moon' iaitu kedudukan bulan berhampiran dengan bumi yang menyebabkan air pasang merupakan antara faktor yang mencetuskan banjir luar biasa di kawasan Pantai Timur pada tahun ini. 
 
Pegawai Meteorologi Kanan, Pusat Cuaca Nasional, Jabatan Meteorologi Malaysia, Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata keadaan banjir menjadi lebih teruk apabila ditambah dengan tiupan angin Monsun Timur Laut secara konsisten merentasi Laut China Selatan ke negara ini bermula bulan November hingga Mac.
 
"Meskipun hujan semakin reda dan tidak lagi lebat, namun air banjir dilihat sukar untuk surut disebabkan fenomena 'full moon' yang mana bulan berada dekat dengan bumi yang menyebabkan air pasang lebih tinggi daripada biasa.
 
"Selain itu, hujan yang tidak berhenti sebelumnya menyebabkan aliran sungai dari hulu ke kuala tidak sampai sehingga menyebabkan air sungai melimpah keluar sehingga menyebabkan banjir teruk," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
 
Katanya pihaknya menjangkakan hujan lebat akibat tiupan angin Monsun Timur Laut di Kelantan, Terengganu dan Pahang sejak minggu lalu, akan berterusan sehingga awal Januari depan.
 
"Namun keadaan cuaca dijangka bertambah baik pada hari ini hingga esok berikutan ramalan kami menunjukkan hujan hanya berlaku di satu atau dua tempat di negeri-negeri berkenaan," katanya.
 
Dr Mohd Hisham menjelaskan musim Monsun Timur Laut yang membawa kepada hujan lebat terbahagi kepada tiga episod, iaitu episod pertama yang berlaku pada akhir bulan November, episod kedua pada 16 hingga 19 Disember diikuti dengan yang ketiga iaitu Isnin lepas hingga esok.
 
"Walaupun cuaca dijangka baik pada dua hari tersebut, namun kami menjangkakan ada lagi episod keempat iaitu bermula pada 28 Disember sehingga 31 Disember dan mungkin akan berterusan sehingga awal bulan Januari," katanya.
 
Dr Mohd Hisham berkata pihaknya tidak menolak kemungkinan banjir akan berlaku lagi selepas 28 Disember ini di kawasan-kawasan kedudukan rendah dan berdekatan dengan sungai.
 
"Ketika musim Monsun Timur Laut, kawasan Pantai Timur dijangka mengalami empat hingga lima episod hujan lebat menyeluruh dan berterusan selama tiga hingga tujuh hari pada November hingga Januari 2015, serta kawasan barat Sarawak dan Sabah pada Januari hingga Mac 2015.
 
"Oleh itu, penduduk yang tinggal di kawasan tepi sungai dan rendah dinasihatkan supaya sentiasa bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan termasuk banjir," katanya. 
 
Sementara itu, menurut kenyataan Jabatan Meteorologi hari ini, angin kencang Timur Laut dengan kelajuan dari 60 kilometer sejam yang berlaku di kawasan perairan Pantai Timur Semenanjung, Sarawak, Sabah dan Labuan dijangka berterusan hingga esok.
 
Selain itu, laut bergelora dengan ketinggian ombak sehingga 5.5 meter turut dijangka berlaku di kawasan tersebut yang berbahaya kepada semua aktiviti pantai dan perkapalan termasuk pekerja di pelantar minyak.
 
Menurut kenyataan itu, kawasan pantai di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor Timur terdedah kepada kejadian kenaikan paras air laut sehingga esok. - Bernama

23 Disember 2014

Wabak Sindrom Sleeping Beauty

Menderita sindrom Sleeping Beauty akan menyebabkan sakit kepala, tidak boleh berdiri, berasa penat, mengalami masalah memori dan halusinasi.

'WABAK'  misteri yang melanda sebuah perkampungan di utara Kazakhstan menyebabkan penduduk tertidur selama beberapa hari.

Sehingga kini, doktor masih gagal untuk mengenal pasti punca yang menyerang penduduk di kawasan terpencil Kalachi sejak empat tahun lalu.

Menurut penduduk tempatan, hampir 14 peratus daripada 600 penduduk kini menderita sindrom Sleeping Beauty tersebut yang turut menyebabkan sakit kepala, tidak boleh berdiri, berasa penat, mengalami masalah memori dan halusinasi.

Kebanyakan penduduk percaya sindrom misteri tersebut mungkin berpunca daripada bekas lombong uranium tinggalan era-Soviet yang terletak berhampiran dengan kampung mereka.

Bacaan radiasi di kawasan tersebut didakwa 16 kali ganda lebih tinggi daripada paras normal, namun gejala yang dialami mereka dikatakan tidak sama dengan simptom keracunan radiasi.

Lyubov Belkova menjadi penduduk pertama diserang sindrom Sleeping Beauty tersebut pada April 2010 dan ia dikatakan berpunca daripada strok iskemik yang berlaku apabila terdapat darah beku di dalam saluran darah hingga menyebabkan otak tersumbat.


 - Daily Mail (SH)

22 Disember 2014

Penumpang Diberi Penyumbat Telinga Tangani Bayi Merengek Dalam Pesawat


Penumpang Diberi Penyumbat Telinga Tangani Bayi Merengek Dalam Pesawat - DUDUK berdekatan dengan bayi yang merengek di dalam pesawat merupakan pengalaman buruk yang terpaksa dihadapi setiap penumpang pada ketinggian 30,000 kaki.
Bagaimanapun, ibu bapa kepada seorang bayi berusia 12 bulan mengambil keputusan untuk memberikan beg cenderahati kepada beberapa penumpang yang duduk di kawasan berdekatan dengan anak mereka.
Pemberian beg itu bertujuan untuk mengambil hati penumpang lain sekiranya anak kecil mereka membuat bising di dalam penerbangan, awal minggu ini.
Seorang penumpang mendedahkan tentang pengalamannya itu di laman sosial Reddit.com selepas menerima beg berisi hadiah bagi menggelakkannya berasa tidak puas hati akibat gangguan bunyi bising daripada bayi itu di dalam penerbangan.
Selain gula-gula, beg berkenaan yang diberikan sebelum pesawat berlepas mengandungi penyumbat telinga yang boleh digunakan sekiranya bayi itu, Madelina menangis.
Penumpang tersebut yang menggelarkan dirinya sebagai Ninjashares, memuat sekeping gambar beg cenderahati yang diterimanya itu dengan keterangan: "Seorang bayi baharu sahaja menyerahkan beg ini kepada saya di dalam penerbangan. Saya tidak marah."
Beg itu turut disertakan dengan nota yang berbunyi: "Hi orang yang tidak dikenali! Nama saya Madeline. Usia saya akan genap setahun pada 17 Disember dan ini merupakan penerbangan pertama saya."
Nota itu menambah: "Saya akan menjaga tingkah laku saya, tetapi saya memohon maaf terlebih dahulu sekiranya saya berada dalam keadaan tidak tenteram, rasa takut atau telinga saya sakit.
"Ibu dan bapa saya saya ada menyediakan beg cenderahati yang mengandungi beberapa barang.
"Turut ada penyumbat telinga... yang boleh digunakan sekiranya saya membuat bising yang boleh menyakitkan telinga kamu.
"Selamat menaiki penerbangan!" - mirror.co.uk

21 Disember 2014

Kerana Tangisan Bayi, Tiga Wanita Bertumbuk Dalam Pesawat


Bersilih ganti insiden berlaku dalam pesawat kebelakangan ini dan terkini tercetus pergaduhan apabila seorang ibu gagal mengawal emosinya apabila dua wanita menuduh tangisan anaknya terlalu bising.
Kejadian itu berlaku dalam penerbangan dari bandar Chongqing di barat daya China ke Hong Kong.
Ibu berkenaan, Chan Juan Sung, 27, diserang dua wanita yang berang kerana tangisan anaknya mengganggu tidur mereka yang duduk di belakang.
Kedua-dua wanita berkenaan menyuruh Juan Sung ‘mendiamkan’ anaknya, tetapi teguran itu tidak diendahkan.
Menurut penumpang yang duduk di sebelah dua wanita berkenaan, Xiong Wan, selepas ditegur, ibu bayi itu menjerit ke arah mereka sambil berdiri dan menumbuk seorang wanita berkenaan.
“Mereka kemudian membalas serangan itu dan menumbuk ibu berkenaan hingga keadaan menjadi tidak terkawal.
“Bayi itu mula menangis sekuat hati sementara penumpang lain menjerit. Ia seperti dalam filem.”
Ketiga-tiga wanita itu akhirnya diasingkan oleh kru Air China dan ditahan untuk disoal siasat sebaik tiba di Hong Kong.
Kejadian itu berlaku beberapa hari selepas seorang penumpang yang menaiki pesawat buat kali pertama membuka pintu kecemasan ketika kapal terbang masih bergerak di lapangan terbang di Sanya, kerana tidak sabar hendak turun.
Pergaduhan dalam pesawat membabitkan pelancong China dan perbuatan aneh mereka dalam penerbangan menyebabkan pihak berkuasa China mengeluarkan garis panduan ketat bagi memastikan rakyat negara itu berkelakuan baik di luar negara.
Malah, Presiden Xi Jinping turut mengingatkan penduduk negara itu supaya membaiki kelakuan mereka ketika melancong.
mStar Online

Port Mak Ngah Skodeng !