07 April 2014

Ibu tunggal cari kerja kena penjara

Sudah jatuh ditimpa tangga, begitulah nasib seorang ibu tunggal di Arizona, di barat daya Amerika Syarikat, apabila beliau dipenjarakan kerana disabitkan kesalahan meninggalkan dua anak yang masih kecil dalam kenderaan tanpa pengawasan. 

Wanita berusia 35 tahun itu dikatakan berbuat demikian kerana menghadiri satu temu duga dan kedua-dua anaknya yang berusia dua tahun dan enam bulan itu dikunci dalam kenderaan utiliti sukan (SUV) miliknya. 


Impian Shanesha Taylor untuk mengubah nasib keluarga tidak kesampaian apabila beliau disabitkan dengan kesalahan mengabaikan kanak-kanak dengan tindakannya itu, sekali gus memusnahkan harapan untuk kembali bekerja. 

Wanita malang itu juga tidak mampu membayar kepada pengasuh, berikutan keadaan dirinya yang tiada pekerjaan dan rumah, tetapi perlu menyara dua anak kesayangan. 

Wanita itu ditahan polis Scottsdale yang menerima maklumat orang awam apabila melihat dua anak kecil berkenaan ditinggalkan bersendirian dalam kenderaan selepas setengah jam ibunya keluar. 

Ketika polis tiba di ruang letak kereta tempat wanita itu menghadiri temu duga mendapati, kenderaan Dodge Durango itu berkunci, enjinnya dimatikan dan tingkapnya dibiarkan separuh terbuka. 


BH

Laksa berkuah tisu

Kuah laksa yang masih mempunyai tisu dibeli di Pekan Sehari Temerloh pagi semalam.

TEMERLOH - Hasrat seorang lelaki untuk sarapan pagi bersama ibu di rumahnya di Taman Bahagia, dekat sini terbantut apabila nyaris termakan laksa berkuahkan tisu.

Mangsa seorang kakitangan kerajaan berusia 38 tahun yang enggan dikenali berkata, laksa itu dibeli di Pekan Sehari Temerloh jam 10 pagi semalam daripada seorang penjual yang biasa dibelinya.

Menurutnya, dia membeli tujuh bungkus laksa itu dan dibawa pulang untuk bersarapan pagi bersama keluarga termasuk ibunya di rumah.

“Saya memang biasa beli di situ, sebelum ni memang tak syak apa-apa, kami makan macam biasa, pagi tadi (semalam) baru makan dengan emak, emak yang perasan.

“Emak gaulkan isi kuah, lepas tu nampak kuah laksa itu lain macam, bila basuh nampak jelas ada tisu,” katanya.

Lelaki terbabit berkata, selera mereka sekeluarga terbantut susulan penemuan tisu dalam kuah laksa itu.

“Kalau kuah laksa itu ikan memang tak akan jadi macam itu, bila dibasuh baru lihat gumpalan tisu pada kuah.

“Lepas itu kami semua terus tak lalu makan, buang saja semua tujuh bungkus yang dibeli,” katanya.

Menurutnya, tisu itu mungkin sengaja digaul bersama kuah ikan supaya kelihatan lebih pekat atau mungkin juga peniaga itu tidak perasan tisu itu termasuk ke dalam kuah laksa.

Sinar Harian

06 April 2014

MH370: "Saya sekarang nak besarkan anak-anak," rintih sang suami

Azrai Izet, suami kepada Fadzilah Abd Rahim yang hilang bersama penerbangan MH370 sejak 8 Mac lalu. --foto Astro AWANI

KUALA LUMPUR:Pertama kali penulis melihat kelibat suami penumpang MH370 Fadzilah Abd Rahim iaitu Azrai Izet, ialah ketika dia teresak-esak menangis di sisi isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor pada 9 Mac di kaca televisyen.

Pada masa itu, satu dunia melihat rayuan Azrai dilontar kepada Rosmah yang berharap supaya MH370 dicari selain berulang kali menyatakan dia mempunyai empat orang anak.

“Tolonglah cari puan (Rosmah), anak saya empat orang semua, yang kecil dua tahun,'' ulang Azrai dalam sedu sehingga kedengaran seperti dengar tidak dengar permintaannya.

Itu salah satu daripada tangisan keluarga penumpang dan krew MH370 yang penulis rasakan tidak pernah putus doa mengharap pesawat itu ditemui semula.

Ia tidak termasuk air mata seluruh rakyat negara ini yang menitis pada waktu bersujud pada Yang Maha Esa berdoa agar misteri ini segera bertemu jawapannya.


Dan seandainya doa dari seluruh dunia terhadap MH370 ini ditafsir kepada air hujan, tidak keterlaluan jika penulis mengandaikan ia mampu menutup permukaan Lautan Hindi yang merupakan lautan ketiga terbesar di dunia itu.

Penulis cuba mengenali Azrai melalui laman sosial, Facebook, menghantar pesanan untuk bersahabat namun tidak menerima respons sehingga hari ini.

Apa yang penulis tahu, status terakhir Azrai di Facebook meminta rakan-rakan agar mendoakan keselamatan isterinya yang turut berada dalam pesawat ke Beijing itu.

Isterinya merupakan antara 20 orang pekerja Freescale Semiconductor yang berada di dalam MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu.

Menerusi Facebook, penulis mendapat tahu salah seorang anak Azrai merupakan pelajar tingkatan satu di Sekolah Menengah Sains Raja Tun Azlan Shah (SERATAS), Taiping, Perak.

Azrai dan Nor Fadzillah mempunyai empat orang anak, tiga lelaki dan seorang perempuan, masing-masing berumur 13, 10, empat dan dua tahun.

Kurang seminggu sebelum genap sebulan insiden MH370 terjadi, penulis berkesempatan bertemu sendiri Azrai pada majlis bacaan Yaasin dan solat hajat Alumni Sekolah Alam Shah (ASAS) pada 3 April.

Walau benak fikiran menyimpan 1001 persoalan dan pertanyaan kepasa Azrai mengenai perasaan, harapan, kehidupan, anak-anak, kerja dan sebagainya, ia seolah-olah hanya berlegar di peti suara yang kehilangan kunci pintu untuk meluahkan suara.

Penulis buntu dan tidak tahu bagaimana hendak memulakan bicara.

Usai solat hajat dan Isyak berjemaah dengan lebih kira-kira 400 pelajar dan bekas pelajar Sekolah Alam Shah (Azrai merupakan bekas pelajar pada tahun 1993), penulis gagahkan langkah untuk menghampirinya, bersalam dan menutur senyum.

Azrai memandang dan mengangguk, kotak fikiran saya laju mengimbas rakaman semula di kaca televisyen, batang tubuh kecil inilah salah seorang yang penulis lihat teresak-esak di KLIA awal Mac lepas.

Dan penulis yakin tangisan seluruh keluarga penumpang serta krew MH370 semakin lebat sebaik sahaja selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan MH370 berakhir kira-kira 2,500 kilometer dari barat daya Perth, Australia pada 25 Mac lalu.

“Tak payah tanya apa-apa lagilah, saya mahu jaga keempat-empat anak,'' ujarnya perlahan.

Penulis terkedu, Azrai berjalan perlahan penuh longlai ke dewan makan untuk jamuan kecil-kecilan selepas majlis solat hajat ditemani warga ASAS lain.

Menuruti langkah mereka, penulis melihat Azrai berpimpinan dengan seorang anak lelakinya yang berumur empat tahun.

Penulis tatap wajah keduanya, mengharap sebaris dua ayat daripada Azrai atau anaknya yang mungkin boleh direkod melalui kamera video untuk dikongsi simpati bersama seluruh rakyat, namun harapan tinggal harapan.

Selepas makan, Azrai bersalaman dan meninggalkan nombor telefonnya untuk dihubungi, kemudian berlalu.

Sebelum itu, seorang pakcik yang memperkenalkan dirinya sebagai bapa mertua Azrai, menepuk perlahan belakang penulis dan berkata;

“Tak payah tanya apa-apa lagilah, Azrai sekarang mahu jaga keempat-empat anaknya.''

aStro Awani

Bunuh Ibu kerana permintaan untuk memiliki telefon pintar ditolak

Miri: Akibat permintaan untuk memiliki telefon pintar tidak dipenuhi, seorang anak sanggup membunuh ibunya di dalam kereta Hyundai Atos milik ibunya yang di parkir di depan Kompleks Tenis Kampung Sukan, di sini, semalam.
Mayat Marife R Wong, 43, yang juga warga Filipina, ditemui dalam keadaan berlumuran darah dengan kesan tikaman pada leher oleh seorang pelajar yang baru selesai mengikuti sesi latihan tenis di kompleks itu, jam 2.30 petang. 
ANGGOTA polis membawa keluar mayat mangsa yang ditikam.
Difahamkan, sebelum kejadian, wanita yang bekerja sebagai guru tuisyen di sebuah pusat tuisyen di bandar ini menghantar anak lelakinya berusia 18 tahun ke kompleks berkenaan, jam 7.30 pagi. 

Menurut saksi, Ericson Mahaeh, 17, dia melihat mangsa di dalam kereta Hyundai Atos yang diparkir di depan kompleks sebaik tiba untuk mengikuti sesi latihan tenis, jam 8 pagi.
Bagaimanapun, katanya, dia tidak menaruh perasaan curiga kerana berpendapat wanita itu menghantar anaknya yang turut mengikuti latihan tenis di kompleks berkenaan.
Harian Metro

05 April 2014

Mangsa rogol bersalin lepas buat laporan

JELI - Seorang gadis yang mendakwa menjadi mangsa rogol melahirkan anak kira-kira tiga jam selepas membuat laporan polis mengenai kejadian itu di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Jeli, dekat sini, Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Jeli, Sheikh Azhar Sheikh Omar berkata, gadis berusia 15 tahun itu mendakwa dirogol seorang rakan lelaki dikenali dengan nama ‘Abang Long’, September tahun lalu.

Katanya, kejadian berlaku ketika mangsa yang berasal dari Kampung Nibong, Tanah Merah, meminta bantuan suspek menghantarnya ke tempat kerja di sebuah kedai makan di Bukit Bunga, dekat sini.

“Suspek sebaliknya bawa mangsa yang ketika itu berusia 14 tahun ke satu kawasan hutan di Ayer Lanas, Jeli, dengan alasan bertemu kawan sebelum menarik mangsa ke dalam semak dan merogolnya.

“Mangsa hanya buat laporan polis pada jam 2.55 pagi, Selasa lalu dan kira-kira jam 5.30 pagi, mangsa melahirkan anak di rumahnya di Kampung Nibong, Tanah Merah,” katanya, semalam.

Sheikh Azhar memaklumkan, mangsa mengenali suspek yang merupakan pelanggan di kedai makan tempat kerjanya kira-kira sebulan sebelum kejadian dan sering berhubung melalui telefon.

“Selepas merogol mangsa, suspek didakwa mengambil telefon bimbit dan wang milik mangsa sebelum meninggalkan mangsa seorang diri di tempat kejadian.

“Mangsa berjalan keluar dari kawasan hutan itu dan menghubungi seorang kawan lelaki menggunakan telefon awam dan meminta rakannya itu menghantarnya ke tempat kerja tetapi tidak menceritakan mengenai kejadian,” katanya.

Tambahnya, tiga hari selepas dirogol, mangsa pergi ke rumah bapa saudaranya di Perlis untuk bekerja sebelum menyedari dirinya mengandung kira-kira dua bulan selepas kejadian.

“Pada awal tahun ini, mangsa pergi ke Johor untuk bekerja di kedai makan dan perubahan pada dirinya hanya disedari ahli keluarga apabila dia pulang ke kampung pada 25 Mac lalu.

“Setelah didesak ibunya, mangsa yang tidak berani memberitahu kejadian tersebut sebelum ini kerana takut dimarahi akhirnya menceritakan perkara sebenar dan mereka mengambil keputusan membuat laporan polis,” kata Sheikh Azhar.

Menurutnya, susulan laporan itu, polis menahan suspek berusia 17 tahun dan masih belajar di sebuah sekolah menengah di Ayer Lanas di rumahnya di Kampung Ayer Chanal, dekat sini.

“Suspek direman tujuh hari bermula Selasa lalu, manakala mangsa masih ditahan di Hospital Tanah Merah untuk rawatan susulan dan kaunseling.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana kesalahan merogol, jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan sebatan,” katanya.

Sinar Harian

Jurugambar Wanita Dari Jerman Ditembak Mati Di Afghanistan

Kathy Gannon (paling kiri) dan jurugambar veteran AP Anja Niedringhaus, (tiga, kanan), bergambar bersama askar-askar Pakistan ketika membuat liputan di sana pada 2012. -foto AP

KHOST (Afghanistan): Seorang komander polis Afghanistan pada Jumaat menembak mati seorang jurugambar wanita Jerman yang bekerja untuk Associated Press (AP) pada malam menjelang pilihan raya presiden, dalam serangan yang turut mengakibatkan rakan sekerjanya dari Kanada cedera, menurut agensi berita tersebut.

Kedua-dua petugas media berkenaan ditembak di dalam kereta di daerah Tanai, wilayah Khost, di timur negara ini ketika mereka membuat laporan mengenai pengagihan kertas undi bagi pilihan raya untuk memilih pengganti kepada Presiden Hamid Karzai.

Insiden itu berlaku ketika Afghanistan menjalankan operasi keselamatan besar-besaran untuk melindungi pengundi dan pegawai pilihan raya, selepas Taliban berikrar untuk mengganggu proses pengundian pada Sabtu dengan keganasan.

Anja Niedringhaus adalah petugas media yang ketiga bekerja untuk media antarabangsa yang dibunuh di Afghanistan semasa kempen pilihan raya, selepas wartawan Sweden Nils Horner dan Sardar Ahmad dari Agence France- Presse.

"Anja Niedringhaus, 48, seorang jurugambar antarabangsa yang diiktiraf Jerman, terbunuh serta-merta," kata AP dalam satu laporan dari Kabul.

"Wartawannya, Kathy Gannon, telah mengalami kecederaan dan menerima rawatan perubatan. Beliau digambarkan sebagai berada dalam keadaan stabil dan bercakap dengan kakitangan perubatan."

Menurut AP komander polis melepaskan tembakan ketika dua petugasnya itu berada di dalam kereta dan mengikuti perjalanan dengan petugas pilihan raya untuk menghantar peti undi di bandar Khost.

"Ketika mereka duduk di dalam kereta menunggu konvoi untuk bergerak, seorang komander unit yang dinamakan sebagai Naqibullah berjalan menuju ke kereta, melaungkan 'Allahu Akbar ' dan melepaskan tembakan ke atas mereka di tempat duduk belakang," agensi berita berkata.

"Dia kemudian menyerah diri dan telah ditangkap."

Gabenor wilayah Khost Abdul Jabbar Naeemi dan pegawai-pegawai lain mengesahkan bahawa penyerang adalah seorang komander polis yang ditahan serta-merta selepas kejadian itu.

"Anja dan Kathy telah menghabiskan masa beberapa tahun di Afghanistan untuk membuat liputan mengenai konflik dan penduduk di sana," kata Editor Eksekutif AP Kathleen Carroll dalam laporan AP.

Presiden Hamid Karzai mengeluarkan kenyataan yang melahirkan ucapan takziah dan mengarahkan siasatan.

mStar Online

04 April 2014

Video : Lelaki ketagih makan BATU BATA


Pakkirappa mempunyai diet pemakanan yang pelik apabila dia didapati ketagih untuk makan batu bata, batu kerikil dan lumpur. - AGENSI

NEW DELHI 3 April - Seorang lelaki India dari negeri Karnataka, selatan negara ini mempunyai diet pemakanan yang pelik apabila dia didapati ketagih makan batu-bata, batu kerikil dan lumpur.

Ajaibnya, lelaki itu, Pakkirappa Hunagundi, 30, mampu makan sehingga tiga kilogram batu dan lumpur pada setiap hari yang didapati dari jalan-jalan.

Hunagundi dilaporkan mula mempunyai selera terhadap objek yang tidak boleh dimakan orang lain ketika usianya baru mencapai 10 tahun.

Sejak dari itu, dia mula menguyah batu dan lumpur yang terdapat pada dinding dan jalan-jalan raya dan mendakwa diet itu langsung tidak mendatangkan sakit buatnya.

Gangguan pemakanan pelik itu dikenali sebagai 'Pica', sejenis ketagihan terhadap bahan-bahan yang tidak mempunyai nilai pemakanan.

Malah dengan keadaan giginya yang masih sempurna, Hunagundi mengenepikan tanggapan bahawa dia harus menghentikan ketagihannya itu.


"Saya telah makan batu bata dan kerikil kira-kira 20 tahun. Saya suka memakannya dan menjadi sebahagian daripada hidup saya.

"Perkara itu menjadi satu kemestian bagi saya. Saya boleh mengelak daripada makan lauk-pauk, tetapi tidak batu atau lumpur," katanya sebagaimana lapor Mail Online.

Walaupun ibunya cuba memujuk dia untuk meninggalkan diet pelik itu, namun bagi lelaki tersebut, bahan-bahan binaan mempunyai rasa yang lebih baik berbanding makanan biasa. 

- AGENSI

Pokok pisang berbuah di batang

Buah pisang lemak manis yang tumbuh di tengah batang.

KUALA PILAH – Seorang pesara tentera terkejut selepas mendapat tahu sebatang pokok pisang lemak manis yang ditanamnya dekat kebun  berhampiran rumahnya di Kampung Seri Pelangai, dekat sini berbuah di tengah batang.

Udin Mahmud, 80, berkata, kejadian pelik dan unik itu disedari anaknya, Norzaisham, 40, yang ketika itu sedang membersihkan kebun miliknya pada 31 Mac lalu.

Menurutnya, pada kebiasaannya pokok pisang akan mengeluarkan buah daripada celah pucuk antara pelepah daunnya.

“Namun, kali ini pelik pula. Bila pakcik lihat sendiri, buah keluar dari celah-celah rekahan batang pisang.

“Anak pakcik maklumkan kejadian aneh ini pada waktu pagi. Bila dapat tahu, pakcik dan isteri terus bergegas ke kebun yang terletak kira-kira 100 meter dari rumah untuk melihat keanehan itu," katanya.

Udin berkata, bila diteliti, buah pisang bersaiz normal dan sama seperti pisang lemak manis yang lain.

“Pakcik lihat, tandan buah ini bergulung-gulung dan mungkin saiz tandannya besar serta panjang.

“Bagaimanapun, pakcik berasa hairan bila pokok pisang tersebut mengeluarkan jantung sedangkan setiap hari anak saya akan ke kebun untuk membersihkan selain memungut hasil tanaman,” katanya.

Katanya, anaknya mengusahakan kebun itu secara kecil-kecilan sejak setahun lalu di kawasan tanah seluas setengah hektar berhampiran kawasan rumahnya.

“Terdapat kira-kira 50 pokok pisang ditanam dan kebanyakan buah untuk makanan sendiri dan disedekahkan kepada jiran atau di masjid,” katanya.

Sinar Harian

Ibu Terima SMS Sebelum Gao Diculik

Gao Huayun

PETALING JAYA: Pelancong warga China, Gao Huayun yang diculik dari sebuah resort di Semporna, Sabah pada malam Rabu telah menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada ibunya mengatakan dia baru saja selesai mandi, beberapa minit sebelum dia diculik.

Bapa Gao memberitahu stesen radio, Shanghai People bahawa anak perempuannya itu menghantar SMS tersebut kira-kira pukul 10 malam.

"Tidak lama lepas itu, rakannya menghantar mesej menerusi aplikasi WeChat mengatakan anak perempuan saya telah diculik. Ramai orang mula menelefon kami untuk mendapatkan pengesahan.

"Kami amat bimbang dan tidak tidur sepanjang malam," kata bapa Gao kepada stesen radio itu sambil merayu bantuan untuk mengesan anaknya.

Menurut laman media sosial China, Kaixinwang milik Gao, wanita berusia 29 tahun itu gemar melancong bersendirian dan pernah melancong ke Tibet, Filipina, Korea Selatan dan sekeliling negaranya.
Gao, yang baharu saja menerima kemasukan untuk menyambung pengajian dalam program Sarjana Pengurusan Perniagaan (MBA) di Britian, berlepas ke Malaysia pada Selasa bersama seorang rakannya.
Rakan Gao, yang hanya dikenali sebagai Su, memberitahu Dragon Television dalam temu bual menerusi telefon bahawa mereka pergi ke Semporna untuk belajar menyelam.
Su berkata, dia dan Gao meninggalkan bilik mereka kira-kira pukul 10 malam Rabu untuk mandi di bilik air yang terletak di bahagian luar.
"Gao selesai mandi lebih awal. Apabila saya kembali ke bilik kami, saya lihat pintu terbuka dan Gao tiada di situ," katanya.

Dia kemudiannya menunggu Gao di dalam bilik dan kira-kira 30 minit kemudian, dia menyedari beberapa anggota polis sedang melakukan rondaan di resort tersebut.
"Tidak lama kemudian, ada seseorang mengetuk bilik kami dan meminta saya supaya pergi ke lobi.
"Mereka berkata seorang wanita yang memakai gaun berjalur hitam dan putih telah diculik," katanya.
Su berkata selepas mendapat pengesahan maklumat tersebut daripada beberapa pihak, dia menyedari Gao telah diculik.

Katanya, sekumpulan penculik itu tidak menggeledah bilik dan tidak mengambil pasport mereka.

"Hanya satu benda yang mereka ambil adalah telefon bimbit kami," katanya.

mStar Online

03 April 2014

Kilafairy bakal kena tempias Hanez Suraya ?


“SAYA tak rasa ada masalah untuk bekerjasama dengan Hanez kerana kami tidak mempunyai sebarang masalah di luar,” ujar aktres seksi, Kilafairy setelah ditawarkan membintangi watak utama bersama Hanez Suraya menerusi teater Projek Kahwin yang bakal berlangsung di Istana Budaya pada 6 hingga 14 Jun depan.  

Meskipun sedar bahawa Hanez sedang berdepan kontroversi hebat, namun anak kepada penyanyi popular era 80-an, Rohana Jalil ini yakin ia tidak akan memberi kesan pada dirinya, jauh sekali terhadap pementasan teater tersebut.

“Saya tak rasa dengan kontroversi Hanez akan terpalit kepada pengurusan dan barisan pelakon. Lagipun ia langsung tidak mengganggu latihan mahupun jadual pementasan memandangkan saya menjalani enam pementasan awal dan empat pementasan terakhir akan diterajui oleh Hanez.

“Setelah saya ditawarkan untuk membintangi teater ini saya terus menerimanya. Walaupun saya tahu Hanez juga turut sama menjayakan watak ini, namun saya percaya ia tidak akan menimbulkan sebarang masalah," katanya yang berulang kali menegaskan perkara itu.

Menggalas watak sebagai Nisa menerusi teater terbitan Mask Team itu, Kilafairy mengakui ia sebagai peluang keemasan dan terbesar dalam tahun ini.

“Saya akui masih baru dalam bidang ini dan ia merupakan peluang bagi saya untuk mengasah bakat lakonan, dalam masa yang sama dapat menari dan menyanyi. Saya rasa ini pengalaman yang paling menyeronokkan. Walaupun masih baru dalam teater tapi saya mahu menyahut cabaran ini,” katanya.

Rakam lagu bersama Aidil AF

Dalam perkembangan lain, Kilafairy berkata, dia bakal memasuki studio rakaman untuk menghasilkan single terbaharunya bersama Aidil AF.

“Saya bakal merakamkan lagu tapi judulnya masih dirahsiakan. Minat saya dalam dua bidang ini tidak menghalang saya untuk melakukannya walaupun saya mengaku sangat sibuk.

“Tambahan pula sekarang ini saya sedang menguruskan butik dan studio fotografi di sebuah pusat membeli belah di Asia Jaya,” katanya yang juga dalam perancangan melanjutkan pelajaran dalam jurusan fesyen dan perniagaan peringkat Master.

Sinar Harian

Port Mak Ngah Skodeng !