04 April 2014

Ibu Terima SMS Sebelum Gao Diculik

Gao Huayun

PETALING JAYA: Pelancong warga China, Gao Huayun yang diculik dari sebuah resort di Semporna, Sabah pada malam Rabu telah menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada ibunya mengatakan dia baru saja selesai mandi, beberapa minit sebelum dia diculik.

Bapa Gao memberitahu stesen radio, Shanghai People bahawa anak perempuannya itu menghantar SMS tersebut kira-kira pukul 10 malam.

"Tidak lama lepas itu, rakannya menghantar mesej menerusi aplikasi WeChat mengatakan anak perempuan saya telah diculik. Ramai orang mula menelefon kami untuk mendapatkan pengesahan.

"Kami amat bimbang dan tidak tidur sepanjang malam," kata bapa Gao kepada stesen radio itu sambil merayu bantuan untuk mengesan anaknya.

Menurut laman media sosial China, Kaixinwang milik Gao, wanita berusia 29 tahun itu gemar melancong bersendirian dan pernah melancong ke Tibet, Filipina, Korea Selatan dan sekeliling negaranya.
Gao, yang baharu saja menerima kemasukan untuk menyambung pengajian dalam program Sarjana Pengurusan Perniagaan (MBA) di Britian, berlepas ke Malaysia pada Selasa bersama seorang rakannya.
Rakan Gao, yang hanya dikenali sebagai Su, memberitahu Dragon Television dalam temu bual menerusi telefon bahawa mereka pergi ke Semporna untuk belajar menyelam.
Su berkata, dia dan Gao meninggalkan bilik mereka kira-kira pukul 10 malam Rabu untuk mandi di bilik air yang terletak di bahagian luar.
"Gao selesai mandi lebih awal. Apabila saya kembali ke bilik kami, saya lihat pintu terbuka dan Gao tiada di situ," katanya.

Dia kemudiannya menunggu Gao di dalam bilik dan kira-kira 30 minit kemudian, dia menyedari beberapa anggota polis sedang melakukan rondaan di resort tersebut.
"Tidak lama kemudian, ada seseorang mengetuk bilik kami dan meminta saya supaya pergi ke lobi.
"Mereka berkata seorang wanita yang memakai gaun berjalur hitam dan putih telah diculik," katanya.
Su berkata selepas mendapat pengesahan maklumat tersebut daripada beberapa pihak, dia menyedari Gao telah diculik.

Katanya, sekumpulan penculik itu tidak menggeledah bilik dan tidak mengambil pasport mereka.

"Hanya satu benda yang mereka ambil adalah telefon bimbit kami," katanya.

mStar Online

03 April 2014

Kilafairy bakal kena tempias Hanez Suraya ?


“SAYA tak rasa ada masalah untuk bekerjasama dengan Hanez kerana kami tidak mempunyai sebarang masalah di luar,” ujar aktres seksi, Kilafairy setelah ditawarkan membintangi watak utama bersama Hanez Suraya menerusi teater Projek Kahwin yang bakal berlangsung di Istana Budaya pada 6 hingga 14 Jun depan.  

Meskipun sedar bahawa Hanez sedang berdepan kontroversi hebat, namun anak kepada penyanyi popular era 80-an, Rohana Jalil ini yakin ia tidak akan memberi kesan pada dirinya, jauh sekali terhadap pementasan teater tersebut.

“Saya tak rasa dengan kontroversi Hanez akan terpalit kepada pengurusan dan barisan pelakon. Lagipun ia langsung tidak mengganggu latihan mahupun jadual pementasan memandangkan saya menjalani enam pementasan awal dan empat pementasan terakhir akan diterajui oleh Hanez.

“Setelah saya ditawarkan untuk membintangi teater ini saya terus menerimanya. Walaupun saya tahu Hanez juga turut sama menjayakan watak ini, namun saya percaya ia tidak akan menimbulkan sebarang masalah," katanya yang berulang kali menegaskan perkara itu.

Menggalas watak sebagai Nisa menerusi teater terbitan Mask Team itu, Kilafairy mengakui ia sebagai peluang keemasan dan terbesar dalam tahun ini.

“Saya akui masih baru dalam bidang ini dan ia merupakan peluang bagi saya untuk mengasah bakat lakonan, dalam masa yang sama dapat menari dan menyanyi. Saya rasa ini pengalaman yang paling menyeronokkan. Walaupun masih baru dalam teater tapi saya mahu menyahut cabaran ini,” katanya.

Rakam lagu bersama Aidil AF

Dalam perkembangan lain, Kilafairy berkata, dia bakal memasuki studio rakaman untuk menghasilkan single terbaharunya bersama Aidil AF.

“Saya bakal merakamkan lagu tapi judulnya masih dirahsiakan. Minat saya dalam dua bidang ini tidak menghalang saya untuk melakukannya walaupun saya mengaku sangat sibuk.

“Tambahan pula sekarang ini saya sedang menguruskan butik dan studio fotografi di sebuah pusat membeli belah di Asia Jaya,” katanya yang juga dalam perancangan melanjutkan pelajaran dalam jurusan fesyen dan perniagaan peringkat Master.

Sinar Harian

JURURAWAT SUNTIK MATI 3 BAYI

imej google

HANOI - VIETNAM. Seorang jururawat di sebuah hospital di Vietnam mengaku membunuh tiga bayi baru lahir apabila menyuntik mereka dengan anestetik dan bukannya vaksin hepatitis B.

Jurucakap polis, Nguyen Van Loi berkata, suspek Nguyen Thi Thuan dari hospital besar daerah Huong Hoa di wilayah Quang Tri didakwa tidak sengaja menyebabkan kematian pada Julai tahun lalu akibat melanggar etika dan peraturan pentadbiran.

"Semasa ditahan minggu lalu, Thuan mengaku menyuntik ketiga-tiga mangsa dengan Esmeron, iaitu sejenis ubat yang biasanya digunakan sebagai anestetik am," katanya dipetik DPA.

Sinar Harian

02 April 2014

Ditetak hanya kerana bunyikan hon

Keadaan mangsa yang cedera selepas tubuhnya dilibas beberapa kali dengan parang.

PUCHONG – Hanya disebabkan tindakannya membunyikan hon, seorang pemandu teksi ditetak beberapa kali dan dikelar di kaki, paha dan tangannya oleh dua lelaki di persimpangan lampu isyarat berdekatan Batu 8, Taman Kinrara, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.15 pagi itu, mangsa yang berusia 65 tahun baru sahaja menurunkan pelanggannya di sebuah pusat beli-belah di Puchong Jaya.

Ketika dalam perjalanan menghala ke Kuala Lumpur, sebuah kereta jenis Perodua Kembara terus memintas laluan mangsa dan hampir melanggar teksi dipandunya.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Abd Razak Elias berkata, mangsa membunyikan hon beberapa kali untuk menyedarkan pemandu kereta terbabit.

Namun tindakannya itu menyebabkan dua lelaki berusia 20-an dalam kenderaan berkenaan berang lalu memintas kenderaan mangsa dan memaksanya berhenti.

Pemandu teksi warga emas terbabit cuba membuka pintu untuk melarikan diri, namun seorang daripada suspek terus menutup pintu teksi dengan kuat menyebabkan kepala mangsa tersepit.

Abd Razak berkata, suspek kemudian melibas parang meskipun mangsa menjerit mohon simpati.


Dua suspek yang berjaya ditahan selepas menyerang seorang pemandu teks

Mangsa cuba mempertahankan dirinya namun dia dicederakan dengan parang tersebut.

Kedua-dua suspek kemudian melarikan diri selepas orang ramai mula mengerumuni lokasi kejadian.

Mangsa yang berlumuran darah kemudian dihantar ke hospital di Petaling Jaya untuk rawatan.

Kira-kira empat jam selepas kejadian, Abd Razak berkata, dua anggotanya melakukan rondaan di sekitar Taman Kinrara Seksyen 1 terserempak dua lelaki berada dalam keadaan mencurigakan.

Seorang daripadanya tidur di tempat duduk pemandu Proton Kembara manakala rakannya tidur di luar kereta berdekatan pintu penumpang.

Apabila diperiksa, dua lelaki itu langsung tidak sedarkan diri dipercayai dalam keadaan terlalu mabuk.

Sebilah parang yang masih terdapat kesan darah ditemui di antara kerusi bahagian pemandu dan penumpang kenderaan terbabit.

“Selepas mangsa membuat laporan pada jam 4.30 petang, siasatan dijalankan mendapati dua lelaki terbabit dalam kejadian menyerang pemandu teksi sebelum itu.

“Mangsa boleh mengingati wajah suspek dan nombor plat kenderaan digunakan dalam kejadian” katanya. Kedua-duanya direman untuk membantu siasatan.

Sinar Harian

Hanez Suraya diugut baling selipar terus pasang Bodyguard

Hanez Suraya
KUALA LUMPUR - Pelakon popular, Hanez Suraya terpaksa menggunakan khidmat pengawal peribadi selepas menerima beberapa ugutan daripada individu yang ingin mencederakannya dengan membaling selipar.
Hanez, 29, berkata, kejadian itu berlaku selepas dia terbabit dalam kontroversi bercinta dengan suami orang.
"Saya sebenarnya tidak selesa ada orang mengikut saya. Saya takut akan menyusahkan dia (pengawal peribadi).
"Apa pun perkhidmatan ini hanya bersifat sementara dan bukan untuk selama-lamanya. Keluarga tidak membenarkan saya keluar bersendirian," katanya ketika ditemui pada majlis memperkenalkan barisan pelakon baharu teater bertajuk Projek Kahwin yang akan berlangsung di Panggung Sari, Istana Budaya di sini semalam.
KOSMO!

01 April 2014

MH370 dirampas ? Persoalan utama siapa rampas pesawat


SHAH ALAM – Teori yang mengatakan pesawat MH370 berkemungkinan dirampas pihak tertentu sebelum pesawat tersebut dilaporkan berakhir di Lautan Hindi, masih boleh diterima dan tidak boleh ditolak begitu sahaja.

Walau bagaimanapun, persoalan utama ialah siapa individu yang merampas pesawat tersebut dan tanda tanya itu sukar untuk dikupas.

Menurut sumber, arah tuju pesawat yang menghala ke Lautan Hindi itu sendiri telah menunjukkan pesawat itu dirampas dan bukan akibat masalah pada pesawat ataupun dikawal dari jarak jauh.

“Pesawat itu menuju ke Lautan Hindi iaitu lautan yang amat sunyi dan sudah tentu ia menuju ke suatu tempat yang tidak diketahui.

“Saya percaya ia melibatkan rampasan tetapi yang menjadi persoalan ialah siapa yang merampas pesawat itu,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau juga menolak teori mengatakan bahawa juruterbang, Kapten Zaharie Ahmad Shah dan pembantu juruterbang Fariq Abdul Hamid bertanggungjawab dalam rampasan pesawat itu.

Namun katanya, teori yang diperkatakan itu tidak boleh didedahkan secara terperinci kerana ia akan mencampuradukkan isu membabitkan antara negara.

“Saya tidak boleh komen lebih lanjut kerana ia akan menyentuh isu antara negara selain jika benar teori ini benar akan menjadi teori konspirasi berprofil tinggi," katanya. 

Minggu lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan bahawa pesawat MH370 berakhir di Lautan Hindi berdasarkan kepada siasatan syarikat satelit Inmarsat dan Air Accident Investigation Branch  (AAIB) di Britain.

Timbul pelbagai andaian berikutan pesawat tersebut melencong jauh daripada laluan asal sehingga ke Lautan Hindi yang disifatkan tempat paling sunyi di dunia.

Sebelum ini, isu rampasan pesawat yang membawa 239 penumpang termasuk 12 anak kapal dibangkitkan pada hari kedua kehilangan pesawat MH370, selain turut dikaitkan dengan penggunaan pasport palsu oleh dua orang warga asing yang menaiki pesawat tersebut.

Sehingga kini, polis masih belum menolak andaian pesawat tersebut dirampas dan turut menyiasat tiga elemen lain yang berkemungkinan motif kejadian iaitu sabotaj, masalah peribadi serta masalah psikologi membabitkan semua individu yang menaiki pesawat itu.

Sinar Harian

31 Mac 2014

Kapal kesan kotak hitam sertai misi cari MH370

KAPAL milik Australia, Ocean Shield berlabuh di sebuah pelabuhan di Perth semalam.

PERTH - Sebuah kapal perang Australia yang dilengkapi dengan alat pengesan kotak hitam menyertai misi mencari sebuah pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) yang terhempas di Lautan Hindi.

Penghantaran kapal tersebut dibuat semalam iaitu sehari selepas beberapa kapal lagi mengambil beberapa objek di Lautan Hindi bagi mengenal pasti sama ada ia mempunyai kaitan dengan pesawat yang hilang itu.
Bagaimanapun, tiada satu pun objek mempunyai kaitan dengan pesawat MH370 tersebut menyebabkan pasukan mencari masih belum mengetahui lokasi sebenar kapal terbang itu terhempas selepas lebih tiga minggu hilang.
Seramai 29 ahli keluarga penumpang pesawat berkenaan tiba di Kuala Lumpur, Malaysia semalam bagi mencari jawapan berhubung kehilangan saudara-mara mereka.
Pesawat yang dalam penerbangan dari Kuala Lumpur menuju ke Beijing dan membawa seramai 239 penumpang itu hilang pada 8 Mac lalu.
Seramai 153 penumpang pesawat jenis Boeing 777-200 tersebut adalah warga China.
Kotak hitam yang perlu dicari itu mengandungi maklumat penerbangan dan rakaman perbualan di kokpit. Kapal Ocean Shield milik Australia itu dijadualkan sampai dilokasi carian yang seluas hampir menyamai keluasan Poland dalam tempoh empat hari.
Pihak Berkuasa Keselamatan Maritim Australia (AMSA) yang menyelaras misi mencari itu berkata, kapal Ocean Shield dilengkapi dengan sebuah alat pengesap kotak hitam yang dikenali sebagai towed pinger locator.
Selain alat pengesan yang dipinjam dari tentera Amerika Syarikat itu, kapal berkenaan turut membawa sebuah kapal selam kawalan jauh.
Seorang jurucakap AMSA berkata, kapal dari China dan Australia telah mengambil beberapa objek di kawasan carian tetapi mendapati ia hanya sampah.
Ketika ini tiada objek yang diambil itu disahkan mempunyai kaitan dengan MH370. 
- AP(KOSMO!)

30 Mac 2014

Pasangan Suami Isteri Ditemui Mati Dengan Kesan Kelar, Anjing Peliharaan Dibunuh

Selvam (kiri) bersama isterinya Anita

KUALA LUMPUR: Pasangan suami isteri ditemui mati dengan leher dikelar di flat mereka di Kampung Muhibbah pada Sabtu.

Difahamkan, dalam kejadian pukul 11 malam di Blok C Projek Perumahan Rakyat Muhibbah, suami kepada wanita terbabit telah mengelar leher isterinya selepas berlaku pertengkaran sebelum mengambil nyawanya sendiri.

Mayat pasangan itu yang berlumuran darah ditemui bergelimpangan di atas lantai di dalam bilik dengan dua ekor anjing peliharaan mereka turut dibunuh.

Pisau yang dipercayai telah digunakan oleh lelaki terbabit untuk membunuh dirinya, ditemui di sebelah mayatnya.

Siasatan awal mendapati tanda kelar dengan ukuran antara 10 dan 15cm di leher wanita itu.

Terdapat juga tanda kelar pada leher anjing peliharaan mereka.

Seorang jiran, yang enggan namanya disiarkan berkata dia telah mendengar bunyi dari unit pasangan itu kira-kira jam 10 malam.

"Kedengarannya seperti mereka sedang bertengkar antara satu sama lain. Tidak lama selepas itu, seluruh blok dikejutkan dengan penemuan mayat mereka," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Dia menambah, pasangan itu yang dikenali sebagai Selvam dan Anita tidak mempunyai anak dan telah tinggal di situ selama beberapa tahun.

"Selvam mempunyai perniagaan pengangkutan manakala Anita bekerja sebagai jurusolek sambilan," katanya.

Seorang lagi jiran, yang juga enggan dikenali mengakui bahawa ini adalah kali pertama dia mendengar pasangan itu bertengkar.

"Saya tidak pernah melihat atau mendengar mereka bergaduh. Mereka begitu penyayang," katanya.

Ketua Polis Daerah Cheras Komisioner Mohan Singh mengesahkan menerima laporan itu dan berkata kes itu diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

Beliau menambah siasatan sedang dijalankan dan tidak ada unsur-unsur jenayah dalam kejadian itu.

Mayat-mayat telah dihantar ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia untuk bedah siasat.

mStar Online

29 Mac 2014

Penjenayah dibebas kerana badan besar ?

Devon (England): Seorang penjenayah setinggi dua meter dibebaskan dari tahanan selepas hakim menyatakan katil dan pakaian seragam penjara terlalu kecil untuknya.
Jude Medcalf, 23, dari Newton Abbot melakukan jenayah selepas dia disahkan menghidap sindrom Klinefelter.
Penyakit itu mengganggu sistem tumbesarannya, menyebabkan dia terus membesar. 
Dalam satu kejadian terbaru, dia menakutkan seorang wanita dengan melepaskan tembakan menggunakan pistol tiruan melalui sebuah tingkap sebelum melarikan hadiah Krismas bernilai £30 (RM163) dan sejumlah wang daripada pejabat Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan England (NHS), lapor mahkamah Exeter Crown.
Foto
Mahkamah diberitahu yang Medcalf kemudiannya ditemui dengan makanan yang dicuri dari kelab The Sloop ketika kakitangannya leka.
Dia dibebaskan dari penjara selepas mahkamah mendapati dia sudah 75 hari ditahan.

Ketika dalam tahanan, dia berdepan masalah untuk menyesuaikan diri kerana tiada katil atau pakaian penjara yang muat dengannya.

Medcalf yang turut menghidap masalah kecelaruan kromosom hingga menyebabkan dia bersikap keanak-anakan dikenakan hukuman enam bulan tahanan rumah dan 12 bulan khidmat komuniti.

Pendakwa raya, Brian Fitzherbert memberitahu mahkamah Medcalf menembak teman wanitanya selepas mendapati wanita itu menghubungi polis kerana dia menyerang kereta rakannya di Torquay.

Tembakan itu bagaimanapun terkena cermin tingkap. 

“Wanita itu ketakutan. Dia tidak mengetahui pistol yang digunakan tiruan,” kata Brian.

Medcalf mengaku bersalah memiliki pistol tiruan dan melakukan jenayah dengan senjata itu ketika dia mula dibicarakan. - AFP

#MH370 : Masih ada harapan temui serpihan selepas 30 hari

Imej daripada Jabatan Pertahanan Australia semalam menyebabkan seluruh perhatian daripada kapal laut tentera Australia yang membuat rondaan menumpu kepada objek yang timbul di sekitar kawasan carian MH370. Foto EPA

SHAH ALAM - Sekiranya operasi mencari dan menyelamat (SAR) pesawat MH370 melebihi 30 hari, masih ada harapan untuk menemui mana-mana bahagian pesawat yang masih kukuh.

Pensyarah di Jabatan Kejuruteraan Aeroangkasa, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Leftenan Kolonel (B) Mohd Ramly Mohd Ajir berkata, kecanggihan teknologi dan peralatan yang ada masa kini tidak mustahil untuk membolehkan serpihan pesawat berkenaan ditemui.

“Walaupun hanya serpihan kecil, pakar-pakar yang telah ditugaskan mampu mengenal pasti adakah itu milik MH370 atau bukan contohnya dari segi warna dan stukrturnya,” katanya kepada Sinar Harian.

Kelmarin operasi SAR, di Selatan Lautan Hindi dihentikan berikutan cuaca buruk yang boleh membahayakan pasukan mencari itu.

Malah keduduknya yang jauh juga menyebabkan, pasukan mencari dan menyelamat mengambil masa selama empat jam perjalanan pergi dan dua jam bagi menyelesaikan operasi sebelum kembali semula ke pengkalan.

Ditanya kemungkinan pesawat itu terbakar dahulu sebelum terhempas di lautan, adakah masih ada harapan untuk menemui serpihan pesawat itu, Mohd Ramly berkata, agak mustahil untuk sebuah pesawat Boeing 777-200ER terbakar secara keseluruhan.

“Pesawat ini besar, mustahil untuk terbakar semua, akan ada mana-mana serpihan yang mungkin mendap di dasar laut. Selain itu kesan manusia juga masih boleh ditemui walaupun dalam tempoh yang lama,” katanya.

Mengulas mengenai kotak hitam, beliau berkata, kotak hitam yang dipasang pada pesawat itu mampu bertahan lama dan boleh dikesan pihak berkuasa tidak lama lagi.

"Walaupun keadaan di Lautan Hindi itu berlurah dan berombak kuat, namun kotak hitam yang itu mampu bertahan 3,400 kali hentakan daripada berat jisimnya," katanya.

Sinar Harian

Port Mak Ngah Skodeng !