GAMBAR yang diperoleh semalam menunjukkan anggota tentera melihat menerusi binokular bagi mencari pesawat MH370 dari atas kapal HMAS Success di Lautan Hindi.
SYDNEY - Kru sebuah pesawat peninjau Australia berjaya merakamkan gambar dua objek di Lautan Hindi semalam yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kehilangan penerbangan MH370 dalam misi mencari pesawat itu yang memasuki hari kelima.
"Kru pesawat Orion melaporkan melihat dua objek dengan yang pertama berbentuk bulat dan berwarna hijau manakala objek kedua berwarna oren dan berbentuk segi empat," kata Lembaga Keselamatan Maritim Australia dalam satu kenyataan.
Kedua-dua objek tersebut dilihat berada di kawasan sekitar 2,500 kilometer ke barat daya Perth yang menjadi lokasi berpotensi pesawat berkenaan jatuh selepas kehabisan bahan api berdasarkan pengiraan komputer.
"Saya memberi nasihat bahawa kami tidak pasti bahawa objek itu berasal daripada MH370, ia mungkin benda lain yang terapung," kata Perdana Menteri Australia, Tony Abbott.
"Namun, kami berharap agar dapat mengambil dua objek itu dengan segera dan ia akan dapat membantu untuk menemui sekali gus menyelesaikan kehilangan MH370," tambahnya.
Sebuah kapal milik Tentera Diraja Australia, HMAS Success dijangka sampai pada hari ini ke satu lokasi yang dikatakan beberapa objek yang dipercayai mempunyai kaitan dengan pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) itu.
Pesawat berkenaan yang dalam penerbangan ke Beijing dengan membawa 239 orang, hilang dari radar 8 Mac lalu selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Dalam perkembangan berkaitan, Perancis membekalkan set imej satelit baharu untuk membantu pencarian MH370 manakala semua imej tersebut telah diserahkan kepada pihak berkuasa Australia.
Namun, objek yang dikesan satelit Perancis itu terletak di luar kawasan pencarian di Lautan Hindi.
Dalam pada itu, pihak berkuasa Australia semalam menyuarakan kelegaan selepas ribut tropika Gillian didapati tidak akan melanda kawasan pencarian pesawat MH370.
BEBERAPA jurukamera dan wartawan menunggu perkembangan terkini misi pencarian pesawat MH370 di Pangkalan Tentera Udara Diraja Australia di Perth semalam.
Sehingga kini, terdapat 10 buah pesawat meninjau di kawasan laut seluas 59,000 kilometer persegi itu yang terletak di antara Australia dan Antartika untuk mencari petunjuk bagi mengesan pesawat hilang itu.
Terdahulu, sebuah pesawat Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) gagal mengesan beberapa objek lain yang ditemui oleh sebuah pesawat China.
Agensi berita Xinhua memetik seorang wartawan yang berada dalam pesawat jenis Ilyushin-76 melaporkan pada hari yang sama bahawa dua objek besar yang terapung bersama sejumlah objek lebih kecil dilihat bertaburan dalam lingkungan beberapa kilometer.
"Objek-objek tersebut berwarna putih dan berbentuk segi empat," lapor agensi berita Xinhua.
Pada sidang akhbar khas yang diadakan pada pukul 10 malam semalam, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan bahawa penerbangan pesawat MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi dengan 227 penumpang dan 12 anak kapal terkorban.
Pesawat tersebut disahkan hilang dan terhempas di lokasi tersebut yang terletak sekitar 2,500 kilometer ke barat daya Perth berdasarkan maklumat dan analisis data terbaharu satelit Inmarsat milik United Kingdom.
- Agensi(KOSMO!)