26 Mac 2014

Kekasih penumpang MH370 enggan terima berita kematian

BAJC dan kekasihnya, Woods.
NEW YORK - Seorang teman wanita seorang penumpang sebuah pesawat Penerbangan Malaysia (MAS), Phillip Woods menyatakan dia enggan menerima berita kematian kekasihnya, lapor akhbar New York Daily News kelmarin.
"Saya hanya akan menerima realiti Woods sudah tiada apabila bangkai pesawat hilang ini ditemui," kata wanita berkenaan, Sarah Bajc.
"Saya memerlukan sesuatu yang konkrit untuk menutup episod sedih ini (kehilangan MH370)," tambah Bajc yang bekerja sebagai seorang guru perniagaan di China.
Menurut wanita tersebut, Woods menaiki penerbangan menuju ke Beijing itu pada 8 Mac lalu untuk membantunya berpindah.
"Malangnya, misi kami tidak kesampaian," kata Bajc.
"Kini keluarga Woods dan saya memerlukan masa untuk berkabung," tambahnya.
 - Agensi(KOSMO!)


25 Mac 2014

MH370,Kru rakam gambar dua objek terapung Lautan Hindi

GAMBAR yang diperoleh semalam menunjukkan anggota tentera melihat menerusi binokular bagi mencari pesawat MH370 dari atas kapal HMAS Success di Lautan Hindi.

SYDNEY - Kru sebuah pesawat peninjau Australia berjaya merakamkan gambar dua objek di Lautan Hindi semalam yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kehilangan penerbangan MH370 dalam misi mencari pesawat itu yang memasuki hari kelima.

"Kru pesawat Orion melaporkan melihat dua objek dengan yang pertama berbentuk bulat dan berwarna hijau manakala objek kedua berwarna oren dan berbentuk segi empat," kata Lembaga Keselamatan Maritim Australia dalam satu kenyataan.
Kedua-dua objek tersebut dilihat berada di kawasan sekitar 2,500 kilometer ke barat daya Perth yang menjadi lokasi berpotensi pesawat berkenaan jatuh selepas kehabisan bahan api berdasarkan pengiraan komputer.
"Saya memberi nasihat bahawa kami tidak pasti bahawa objek itu berasal daripada MH370, ia mungkin benda lain yang terapung," kata Perdana Menteri Australia, Tony Abbott.
"Namun, kami berharap agar dapat mengambil dua objek itu dengan segera dan ia akan dapat membantu untuk menemui sekali gus menyelesaikan kehilangan MH370," tambahnya.
Sebuah kapal milik Tentera Diraja Australia, HMAS Success dijangka sampai pada hari ini ke satu lokasi yang dikatakan beberapa objek yang dipercayai mempunyai kaitan dengan pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) itu.
Pesawat berkenaan yang dalam penerbangan ke Beijing dengan membawa 239 orang, hilang dari radar 8 Mac lalu selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Dalam perkembangan berkaitan, Perancis membekalkan set imej satelit baharu untuk membantu pencarian MH370 manakala semua imej tersebut telah diserahkan kepada pihak berkuasa Australia.
Namun, objek yang dikesan satelit Perancis itu terletak di luar kawasan pencarian di Lautan Hindi.
Dalam pada itu, pihak berkuasa Australia semalam menyuarakan kelegaan selepas ribut tropika Gillian didapati tidak akan melanda kawasan pencarian pesawat MH370.
BEBERAPA jurukamera dan wartawan menunggu perkembangan terkini misi pencarian pesawat MH370 di Pangkalan Tentera Udara Diraja Australia di Perth semalam.


Sehingga kini, terdapat 10 buah pesawat meninjau di kawasan laut seluas 59,000 kilometer persegi itu yang terletak di antara Australia dan Antartika untuk mencari petunjuk bagi mengesan pesawat hilang itu.
Terdahulu, sebuah pesawat Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) gagal mengesan beberapa objek lain yang ditemui oleh sebuah pesawat China.
Agensi berita Xinhua memetik seorang wartawan yang berada dalam pesawat jenis Ilyushin-76 melaporkan pada hari yang sama bahawa dua objek besar yang terapung bersama sejumlah objek lebih kecil dilihat bertaburan dalam lingkungan beberapa kilometer.
"Objek-objek tersebut berwarna putih dan berbentuk segi empat," lapor agensi berita Xinhua.
Pada sidang akhbar khas yang diadakan pada pukul 10 malam semalam, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan bahawa penerbangan pesawat MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi dengan 227 penumpang dan 12 anak kapal terkorban.
Pesawat tersebut disahkan hilang dan terhempas di lokasi tersebut yang terletak sekitar 2,500 kilometer ke barat daya Perth berdasarkan maklumat dan analisis data terbaharu satelit Inmarsat milik United Kingdom. 
- Agensi(KOSMO!)


24 Mac 2014

Pesawat MH370 Sah Terhempas Di Selatan Lautan Hindi - Najib


PETALING JAYA:  Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengesahkan bahawa pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu terhempas di selatan Lautan Hindi di barat daya Australia.

Beliau yang bercakap dalam sidang media pada malam Isnin berkata, berdasarkan analisis baru, Cawangan Siasatan Kemalangan Udara United Kingdom (AAIB) telah menyimpulkan bahawa pesawat MH370 telah terbang di sepanjang Koridor Selatan, di tengah Lautan Hindi, di barat daya Perth, Australia.

Najib menambah, syarikat Immarsat telah mengesan pesawat itu terbang di sepanjang koridor utara dan selatan, dan mengenal pasti laluan penerbangan terakhir menerusi teknologi canggih. 

"Menggunakan sejenis analisis tidak pernah digunakan sebelum ini, mereka telah dapat mengesan laluan penerbangan MH370 itu. Kedudukan itu jauh dari mana-mana lokasi pendaratan.

"Dengan duka cita saya perlu memberitahu anda bahawa menerusi perkembangan terbaharu ini, pesawat MH370 ‘berakhir’ di selatan Lautan Hindi," katanya di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur.

Najib berkata, satu sidang media akan diadakan pada Selasa berhubung perkembangan lanjut mengenai pesawat MH370.

Beliau menambah, ia merupakan peluang terawal untuk menunjukkan komitmen dan penghormatan kepada keluarga penumpang dan anak kapal, dan prinsip dalam penyiasatan berhubung kehilangan pesawat MH370.

“MAS (Penerbangan Malaysia) telah memaklumkan mengenai perkembangan ini kepada semua keluarga penumpang dan anak kapal. Saya tahu berita yang paling baharu ini merupakan sesuatu yang begitu sukar bagi kita semua," katanya.

Penerbangan MH370 yang menggunakan pesawat Boeing 777, hilang dari radar Malaysia pada pukul 1.30 pagi 8 Mac selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menuju ke Beijing.

Pesawat yang membawa 239 penumpang dan anak kapal itu sepatutnya tiba di Beijing pada pukul 6.30 pagi hari yang sama.

mStar Online

Suspek baling al-Quran ditahan di wad psikiatri

Laporan Sinar Harian 5 Mac lalu.

BESUT - Lelaki yang diberkas selepas disyaki membaling al-Quran di dua masjid di daerah ini pada 4 Mac lalu kini ditahan di wad pesakit psikiatri, Hospital Besar Kota Bharu Kelantan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Superintendan Noorzainy Mohd Noor berkata, suspek berusia 27 tahun dari Kampung Keluang, di sini itu ditahan di hospital tersebut selama sebulan untuk pemeriksaan lanjut.

Menurutnya, keputusan untuk mendakwa suspek yang dipercayai membaling  naskhah al-Quran di Masjid Limbongan dan Masjid Nasaruddin Shah, Kampung Raja itu bergantung kepada pemeriksaan pakar perubatan psikiatri nanti.


Suspek yang bertindak membaling naskhah al-Quran dan Yasin di dua masjid di Kampung Raja, Besut.

“Suspek yang sebelum itu ditahan di sini selepas diberkas pada 4 Mac lalu didakwa mengalami masalah mental dan pernah mendapat rawatan sebagai pesakit mental sebelum kejadian itu,” katanya.

Dia yang bertugas sebagai pengawal keselamatan di sebuah institusi pendidikan di daerah ini itu dikatakan bertindak sedemikian pada awal pagi tarikh berkenaan.

Sinar Harian keluaran 5 Mac lalu menyiarkan penduduk di Kampung Limbongan dan Kampung Raja gempar apabila masjid mereka dicerobohi dan beratus-ratus naskhah al-Quran serta kitab dirosakkan selain dicampak di merata tempat.

Sinar Harian

23 Mac 2014

MH370: Satelit Perancis Dakwa Temui Imej Serpihan Pesawat

Pusat penyelaras Australia diberi petunjuk baru oleh Perancis selepas setelit negara itu menemui imej dipercayai dapat membantu pencarian pesawat MH370.

KUALA LUMPUR:Perancis dilaporkan telah menemui objek yang dipercayai serpihan pesawat MH370 di Lautan Hindi menerusi imej yang dirakam satelitnya.

Perkara itu didedahkan menerusi kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Pengangkutan pada Ahad selepas tiada sidang media diadakan berhubung misteri kehilangan MH370.
Imej tersebut dilaporkan telah dihantar kepada pusat penyelarasan Australia yang terlibat dalam operasi di kawasan terbabit.
Bagaimanapun, kementerian itu tidak memberi butiran lanjut tentang imej satelit yang diperoleh setakat ini.
mStar Online

'Jual dara anak' untuk kaya ?


Gadis bawah umur heret ibu bapa ke muka pengadilan 

DUBAI: Seorang gadis berusia 16 tahun tidak dapat menahan emosi sebaik bersemuka dengan ibu dan bapanya di mahkamah walaupun beliau berada di situ bagi memberi keterangan untuk mensabitkan kedua-duanya dalam satu jenayah. 


Mungkin ada yang mencebik bibir dan menganggap beliau anak tidak mengenai budi tetapi jenayah yang dilakukan ibu dan bapa gadis malang itu bukan sesuatu yang mudah dimaafkan memaksa anak kandung mereka menjual tubuh semata-mata untuk menjadi kaya. 

“Ayah menjual dara saya kerana mahu saya membantu keluarga keluar daripada belenggu kemiskinan. Ibu dan bapa saya memaksa saya melacur. Saya dipaksa mencari rezeki apabila bapa marah kerana saya enggan menjual tubuh,” kata gadis Pakistan itu dengan teriak tangis ketika memberi keterangan terhadap kedua ibu bapanya di mahkamah di Dubai.


BH

22 Mac 2014

Sellofie kini trend baharu di AS

GAMBAR menunjukkan seorang lelaki yang melilit pita pelekat pada wajahnya.

NEW YORK - Mendapat ilham daripada satu babak dalam filem Yes Man lakonan bintang filem popular, Jim Carrey, kini ramai penduduk di Amerika Syarikat (AS) merakam gambar potret sendiri atau selfie dengan wajah mereka bertampal pita pelekat.

Malah, aksi tersebut yang kian menjadi ikutan di AS mendapat jolokan tersendiri iaitu Sellofie.
Banyak gambar aksi Sellofie yang yang telah dimuat naik di laman sosial Facebook berjaya menarik perhatian orang ramai.
Ia ekoran pelbagai ekspresi wajah melucukan dan mencuit hati yang dirakam oleh peminat-peminat Carrey . 
- Agensi


MH370: Perangkap pusaran

Kuala Lumpur: “Pasukan mencari sekarang bekerja di kawasan laut yang ada pusaran amat besar serta mampu memerangkap apa saja objek yang jatuh di dalamnya.”
Itu kata Pensyarah Jabatan Geografi Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya (UM) Prof Datuk Dr Azizan Abu Samah mengenai keadaan di selatan Lautan Hindi, kira-kira 2,500 kilometer ke arah barat daya Perth, Australia yang menjadi tumpuan dunia sekarang.
JURUTERBANG pesawat P-3C Orion Tentera Udara Diraja Australia melihat kapal kargo Norway ketika membuat tinjauan.
Kawasan dianggap antara lokasi terpencil dunia itu menjadi perhatian selepas Perdana Menteri Australia Tony Abbott kelmarin mengumumkan satelit mengesan dua objek besar yang berkemungkinan ada kaitan dengan MH370 yang hilang sejak dua minggu lalu.
PESAWAT P-3C Orion milik Tentera Udara Diraja New Zealand tiba di Pangkalan Tentera Udara Diraja Australia di Barat Australia untuk menyertai operasi SAR.

Dr Azizan berkata, saiz pusaran besar dinamakan gyre di Lautan Hindi itu amat luas dan merangkumi Sumatera, Indonesia hingga ke perairan Madagascar.
“Gyre adalah pusaran besar di permukaan laut. Semua serpihan yang terperangkap dalam gyre ini akan berpusing dan diapung oleh arus.
myMetro

21 Mac 2014

MH370 : Seorang Rakyat M'sia Baru Pulang Umrah Dakwa Nampak Bangkai Pesawat Atas Laut Andaman

Raja Dalelah menujukkan tiket penerbangannya yang berlepas dari Jeddah menuju ke KLIA.

MELAKA: Seorang wanita rakyat Malaysia yang baru pulang dari menunaikan Umrah di tanah suci Mekah mendakwa yang dia telah melihat bangkai sebuah pesawat yang besar berwarna perak di perairan Laut Andaman ketika pesawat yang dinaikinya melintasi kawasan berkenaan pada pagi 8 Mac lalu.

Wanita berkenaan Raja Dalelah Raja Latife, 53, berkata ketika dia menyaksikan objek besar yang sebahagian daripada badan yang didakwa sebagai pesawat itu tenggelam dan sebahagian lagi timbul, dia telah memaklumkan kepada ramai pihak di dalam penerbangan berkenaan tetapi telah dipandang ringan.

Dalelah berkata dia menaiki pesawat Penerbangan Saudi SV2058 yang berlepas dari Jeddah pada jam 3.30 pagi waktu Arab Saudi (8.30 pagi waktu Malaysia) dan ketika pesawat itu melintasi bandar Chennai di India dan memasuki ruang udara Laut Andaman, dia melihat menerusi tingkap pesawatnya satu objek besar menyerupai pesawat terdampar di atas laut.

“Saya nampak macam kapalterbang.Sepanjang perjalanan pulang saya sentiasa melihat ke luar kerana saya tidak dapat tidur langsung dan ketika lawatan saya ke Beijing dua tahun lalu juga dia tidak dapat tidur di dalam pesawat dan sentiasa berjaga," kata ibu kepada 10 orang anak ini.
Raja Dalelah, yang berasal dari Kota Tinggi, Johor menambah, sewaktu dia terlihat objek besar berwarna perak yang seakan-akan sebuah pesawat di atas lautan itu, skrin tv di hadapannya menunjukkan yang mereka sedang melintasi Laut Andaman.
“Sebelum itu saya nampak beberapa buah kapal dan kemudian pulau-pulau kecil dan selepas itulah saya ternampak objek berwarna perak di atas air. Saya mengejutkan rakan saya di sebelah untuk melihat apa yang saya saksikan tetapi malangnya mereka mentertawakan saya," ujarnya lagi.
Raja Dalelah, bagaimanapun yakin apa yang disaksikannya itu adalah bangkai sebuah pesawat yang besar.
"Buat apa saya nak bercakap bohong saya baru sahaja balik dari umrah," katanya lagi.

Salinan laporan polis yang dibuat oleh Raja Dalelah sebaik sahaja tiba di Malaysia dari umrah. 
Hanya pada 14 Mac lalu dia telah membuat laporan polis akan apa yang didakwa telah disaksikannya itu dengan harapan akan ada pihak yang mengambil apa yang dikatakannya itu secara serius.
Malah Raja Dalelah masih boleh menjelaskan apa yang disaksikannya itu secara terperinci.
Katanya, pesawat yang dilihatnya itu separuh terapung dan sebahagian besar lagi badan pesawat itu berada di dalam air dengan keadaannya yang senget sebelah.
“Saya melihat jam pada waktu itu menunjukkan pukul 9.30 pagi (2.30 petang waktu Malaysia),” kata beliau.
Raja Dalelah berkata, bila tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 4 petang dia telah menceritakan apa yang disaksikannya itu kepada anaknya.
“Pada waktu itulah mereka memberitahu saya yang pesawat MAS MH370 hilang dan sedang dicari.Menantu saya seorang pegawai polis yakin yang saya telah menyaksikan sebuah pesawat yang terhempas dan meminta saya supaya membuat laporan polis," katanya sambil menambah "anak-anak saya yang lain khuatir yang saya mungkin akan ditahan kerana membuat laporan palsu kerana pada awalnya semua orang berkata yang pesawat itu kali terakhir dilihat di Laut China Selatan."
Tetapi katanya, sekarang sesiapa yang mendengar ceritanya sudah mula percaya selepas pesawat itu disahkan telah berpatah balik dan hilang di sebelah barat dan bukannya Laut China Selatan.
Bagaimanapun seorang juruterbang berkata, dalam penerbangan jarak jauh seperti dari Jeddah dan Kuala Lumpur, paras ketinggian sesebuah pesawat adalah pada 35,000 kaki."Ini bermakna kedudukan pesawat dari permukaan bumi adalah pada jarak lebih kurang tujuh batu. Pada jarak sejauh ini tidak ada siapa pun dapat melihat dengan jelas apa-apa objek di permukaan bumi atau pun di atas air," kata juruterbang itu yang enggan namanya disiarkan.
mStar Online

MH370 tidak menjunam ke laut


NEW YORK - Seorang pakar penerbangan dari Amerika Syarikat (AS) percaya pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) yang hilang sejak 8 Mac lalu tidak terhempas dengan kuat di Lautan Hindi.
Pakar tersebut, David Gallo berkata, rumusan itu dibuat selepas sebuah satelit berjaya mengesan beberapa objek bersaiz besar di satu lokasi di Lautan Hindi kira-kira 2,500 dari barat daya Perth, Australia semalam.
Gallo merupakan ketua penyiasat AS yang membantu mencari sebuah pesawat Air France yang hilang selepas terhempas di Lautan Atlantik pada 2009.
Katanya, berdasarkan gambaran yang diberikan oleh para pegawai Australia, terdapat dua objek besar dengan sebuah objek berkenaan berukuran lebih 20 meter panjang dan dikelilingi beberapa objek kecil terapung di Lautan Hindi. Objek tersebut dipercayai serpihan kapal terbang.
Ujarnya, beberapa pakar marin yang mengkaji angin dan ombak memberitahu bahawa keadaan lautan di lokasi objek itu dikesan adalah tenang sejak beberapa hari lalu.
"Biasanya serpihan akan bertaburan di lautan tetapi sekiranya keadaan laut adalah tenang kemungkinan serpihan ini berada dekat antara satu sama lain," katanya.
Berdasarkan saiz yang digambarkan oleh pegawai Australia, Gallo meramalkan objek itu kemungkinan sayap atau badan pesawat.
"Daripada serpihan yang besar ini kemungkinan pesawat ini mendarat dengan agak perlahan ketika di laut.
"Kapal terbang ini tidak terhempas secara menjunam ke permukaan laut," jelasnya.
Menurutnya, ketika misi mencari pesawat Air France, ekor kapal terbang adalah serpihan pertama ditemui selepas lima hari pesawat itu dilaporkan terhempas.
Beberapa serpihan lagi dan beberapa mayat penumpang pesawat itu hanya dijumpai hampir dua minggu selepas penemuan pertama tersebut.
Dalam tragedi tersebut, seramai 228 penumpang dan anak kapal pesawat itu maut manakala kotak hitam kapal terbang itu hanya dijumpai selepas dua tahun tragedi berlaku.
"Lautan adalah tempat yang misteri dan sukar untuk kita meramalkan sama ada penumpang pesawat MH370 ini terselamat atau sebaliknya.
"Kita hanya akan mengetahui semua itu selepas pesawat ini djumpai," jelasnya. 
- Agensi(KOSMO!)

Port Mak Ngah Skodeng !