28 Februari 2014

BUDAK 3 TAHUN MELECUR AKIBAT JAG PEMANAS AIR TERTUMPAH


KEMAMAN – “Saya dan suami bersyukur sebab air panas yang tumpah tak kena muka anak,” kata Siti Fauziah Amir yang merupakan ibu kepada Siti Noraina Ahmad Nesfu, 3 yang melecur bahagian belakang badan selepas jag pemanas air elektrik jatuh ke atas badannya.

Siti Fauziah dari Kampung Gong Pauh, Chukai, dekat sini, berkata, air panas tumpah ke atas badan anak ketiganya itu, Sabtu lalu ketika dia bersama dua anaknya yang lain berada di sebuah rumah tumpangan di Kuala Terengganu.

Menurutnya yang juga Setiausaha Pertubuhan Silat Tapan Tiga Malaysia, ketika kejadian dia dan anak-anak berada di Kuala Terengganu kerana menemani suaminya yang terlibat dalam Pertandingan
Karnival Pencak Silat Remaja Tunas Harapan 15 hingga 17 Tahun untuk Pemilihan Remaja Kebangsaan yang berlangsung di Stadium Tertutup Gong Badak.

Katanya, dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, Siti Noraina yang sedang bermain dan berlari tiba-tiba terlanggar jag yang berada di atas meja.

“Jag yang mengandungi air panas itu jatuh di atas badannya menyebabkan dia menangis.

“Saya kemudian hubungi suami yang ketika itu berada di stadium sebelum Siti Noraina segera dibawa untuk mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ). Dia ditahan dalam wad kerana kecederaan yang dialami agak teruk,” katanya.

Kata Siti Fauziah, badan Siti Noraina melecur 10 peratus menyebabkan doktor terpaksa melakukan pembedahan menampal kulit paha pada bahagian belakang badan anaknya itu yang melecur teruk.

“Luluh hati saya melihat keadaan anak yang terpaksa menahan sakit. Hampir seminggu dia terpaksa menahan rasa pedih.

“Tapi Alhamdulillah, hari ini (semalam) pembedahan berjaya dilakukan dan anak kelihatan lebih ceria.

"Musibah ini memberi pengajaran kepada saya sekeluarga agar lebih berhati-hati selepas ini,” katanya.

Sinar Harian

27 Februari 2014

Atasi alahan dengan makan gula-gula


KANAK-kanak lelaki yang mengalami alahan melampau ini hanya boleh mengambil gula-gula Glacier Mints sebagai makanan hariannya.

Keadaan itu disebabkan oleh penyakit eosinophilic enterocolitis dialami Finley Ranson, 3, yang menyebabkan dia tidak boleh menjamah sebarang makanan.

Menurut ibunya, Rhys, 27, anaknya akan mengalami pendarahan dalaman jika dia termakan makanan pejal kerana tubuh Ranson melawan objek di dalam sistem pencernaannya seperti virus.

Bagaimanapun, kanak-kanak tersebut diberikan nutrien sebanyak enam kali sehari melalui tiub khas  yang disambungkan terus ke perutnya.

"Sejak lahir, Ranson menjalani 10 pembedahan untuk merawat penyakit gangguan  makan tersebut," katanya.

Pada setiap tahun, sebanyak 3,650 gula-gula  perlu diambil sebagai pengganti makanan pejal, laporan dipetik dari DailyMail.

Sumber

STATUS FACEBOOK PETANDA AJAL

Status Facebook milik Norfaezah yang dikemas kini 10 Februari lalu

SUNGAI PETANI - "Mungkin esok namaku Arwah. Hari ini aku berpakaian cantik dan mewah, mungkin esok aku akan pakai kain kafan. Hari ini aku berpijak di atas tanah, mungkin esok aku duduk di bawah tanah."

"Hari ini aku boleh mandi sendiri, mungkin esok orang lain yang akan memandikan aku. Hari ini aku bahagia bersama orang di sekelilingku, mungkin esok aku akan bersendirian di sana. Andai kata hari ini hari terakhir aku hidup di dunia, ampunkanlah salah dan silap aku sepanjang perkenalan kita. Sekiranya aku pergi, sedekahkanlah al-Fatihah sebagai tanda kau merinduiku.”

Demikian bait-bait puisi yang dimaksudkan Norfaezah Budiman, 21, melalui akaun Facebook miliknya yang dikemas kini 10 Februari lalu merupakan petanda seolah-olah mengetahui bahawa dia akan pergi buat selama-lamanya.

Status tersebut mendapat reaksi orang ramai setelah Norfaezah meninggal dunia awal pagi semalam ketika membonceng motosikal sebelum dirempuh sebuah kenderaan lain dalam kejadian di Lagenda Heights, Sungai Petani.

Ibu mangsa, Sarina Abu Othman, 49, dari Flat Paya Nahu berkata, anak kedua dari enam beradik itu sempat berpesan supaya ibu menjaga bapa selain adik bongsu berusia tujuh tahun sebelum beredar ke rumah sewanya tidak jauh dari situ.

“Dia peluk saya, belai dan sandar di badan saya, apabila ditolak, dia kata biarlah dia nak bermanja dan meminta saya jangan ke mana-mana serta menemaninya,” katanya.

Sebelum pulang ke rumah sewa, Norfaezah ada memberi RM5 kepadanya dengan berkata, duit berkenaan untuk kegunaan ibunya ke tempat kerja.

Sarina berkata, sebelum pulang, dia seolah-olah melihat lambaian Norfaezah kelihatan sayu dan rupa-rupanya itu petanda ajal dia akan pergi buat selama-lamanya.

Bagaimanapun, katanya dia terkilan kerana Norfaezah ada meminta supaya dia menghantar makanan tengah hari kepadanya kelmarin ketika sedang bekerja di sebuah kedai telefon bimbit namun tidak dapat berbuat demikian kerana tiada kenderaan.

Status Facebook tentang kematian

Sementara itu, rakan baik mangsa, Azie Azira Aziz, 18, berkata, sebaik berita kemalangan dimaklumkan kepadanya, dia teringat status kemas kini akaun Facebook milik Norfaezah yang menulis tentang kematian.

Katanya, status itu hanya dianggap biasa sehingga menerima berita mengejutkan awal pagi semalam tentang kematian Norfaezah.

Dalam kemalangan terbabit, Norfaezah dikatakan membonceng motosikal rakannya, Azwan Shah Ishak, 25, sebelum dirempuh sebuah kenderaan dari arah belakang.

Azwan Shah yang mengalami kecederaan parah dirujuk ke Unit Rawatan Rapi Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) sebelum disahkan meninggal dunia kira-kira tujuh jam kemudian.


NORFAEZAH bersama Azwan Shah yang menemui ajal bersama selepas kemalangan di Jalan Badlishah, Sungai Petani, Kedah semalam.

Keluar makan bersama

Saksi kejadian, Fhadirul Azmin Mohd Yusof, 22, berkata, dia bersama rakan lain menunggang lima motosikal baru sahaja selesai makan dekat sebuah warung di Stesen Bas Sungai Petani.

“Tiba di lokasi kejadian, kami terdengar bunyi kuat dari arah belakang, namun belum sempat berbuat apa-apa, sebuah kenderaan merempuh motosikal menyebabkan Norfaezah terpelanting jauh,” katanya.

Menurutnya, dia mengenali kedua-dua mangsa sejak kecil dan cukup rapat selain sering bersama rakan-rakan lain ke mana sahaja.

“Kami merancang untuk ke Thailand Khamis ini beramai-ramai, tetapi apabila jadi begini, terpaksa batalkan hasrat tersebut,” katanya.


Sinar Harian

26 Februari 2014

Fauzi Nawawi Enggan Minta Maaf Pada Sharnaaz

Fauzi Nawawi
PETALING JAYA: Pelakon Fauzi Nawawi tidak akan tunduk dengan permintaan Sharnaaz Ahmad yang mendesaknya memohon maaf atas dakwaan telah dicaci oleh Fauzi menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS).
Fauzi berkata, dia juga terkejut apabila diminta membuat permohonan maaf kepada ibu Sharnaaz dan menyifatkan permintaan pelakon itu adalah mengarut. Malah Fauzi juga bersedia jika Sharnaaz mahu membawa kes berkenaan ke muka pengadilan.
"Buat apa saya nak minta maaf? Dalam SMS, perkataan 'ibu' saya gunakan, apa perasaan dia jika saya menengking ibunya? Itu sahaja.
"Kenapa dia nak putar belitkan SMS saya yang sudah jelas ingin bertanya pada dia sebab-sebab dia menengking Lisda?" soalnya ketika dihubungi mStar Online di sini pada tengah hari Rabu.
Dakwaan itu timbul selepas Fauzi atau nama sebenarnya Mohd Fauzi Mohd Nawawi, 41, menghantar SMS bertanyakan sebab Sharnaaz menengking dan menyerang isterinya, aktres, Lisdawati, 35, di lokasi penggambaran drama Bukan Aku Tak Cinta di Sungai Buloh dekat sini pada 19 dan 21 Februari lalu.
Sharnaaz Ahmad
Sebuah akhbar pada Isnin lalu melaporkan Sharnaaz, 29, telah menyerang Lisdawati, di lokasi penggambaran drama Bukan Aku Tak Cinta di Sungai Buloh dekat sini pada 19 dan 21 Februari lalu.
Peristiwa itu menjadi tegang apabila Fauzi dikatakan menerima SMS daripada Sharnaaz berbaur ugutan selepas dia bertanyakan hal berkenaan.
Lisda mendakwa mengalami darah tinggi akibat kejadian itu. Dia dan suami turut membuat laporan polis di Balai Polis Dang Wangi pada Sabtu lalu sebagai langkah keselamatan diri.
Sementara itu, Fauzi menyifatkan Sharnaaz mungkin menyimpan strategi sebelum membuat kenyataan kepada media.
Dalam pada itu, Fauzi turut beranggapan kelakuan Sharnaaz yang garang berpunca daripada penghayatan watak dalam drama tersebut sebagai Jebat sehingga karakter itu meresap ke dalam dirinya.
"Rasanya, lebih baik Sharnaaz pergi menjalani rawatan doktor kerana watak Jebat yang bersikap garang dan kasar mungkin sudah meresap ke dalam dirinya, memandangkan sudah empat bulan tanpa henti dia terlibat dengan penggambaran drama itu.
"Selain itu, baru saya faham kenapa tidak ramai wanita yang 'melekat' dengan dia dalam sesebuah perhubungan cinta memandangkan dia tidak pernah menghormati wanita. Sedangkan wanita bersifat lembut yang ingin dikasihi dan dibelai," ujarnya.
mStar Online

DUA BERADIK MATI DIKELAR AMAH

Anggota forensik menjalankan siasatan di lokasi kejadian kes bunuh di Taman Sri Putra. FOTO Asyraf Hamzah
Sungai Buloh: Dua beradik lelaki berusia 18 bulan dan lima tahun dikelar hingga mati menggunakan pisau oleh pembantu rumahnya sebelum wanita itu membunuh diri dalam kejadian di sebuah rumah dua tingkat di Taman Sri Putra, di sini petang semalam.
Difahamkan, ketika kejadian, kedua-dua mangsa tinggal bersama pembantu rumah warga Indonesia itu ketika ibu bapa, datuk dan nenek mangsa keluar sejak jam 8 pagi untuk menguruskan perniagaan kedai kopi milik mereka.
Jiran yang mahu dikenali sebagai S Sivakumar, 34, berkata, biasanya seluruh keluarga berkenaan termasuk datuk dan nenek serta ibu bapa kanak-kanak berkenaan akan keluar rumah jam 8 pagi dan pulang semula jam 6 petang.
Rumah yang menjadi lokasi kejadian kes bunuh di Taman Sri Putra. FOTO Asyraf Hamzah

"Kejadian itu hanya disedari nenek kanak-kanak itu yang pulang ke rumah kira-kira jam 6 petang tadi (semalam) dan ketika itu, keadaan rumah agak sunyi.
"Selepas memanggil nama cucunya dari luar, nenek kanak-kanak itu masuk ke dalam rumah sebelum terkejut selepas ternampak cucunya yang berusia enam bulan berlumuran darah dan sudah tidak sedarkan diri manakala pembantu rumah yang berlumuran darah pula berada berhampirannya," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Beliau berkata, terkejut dengan penemuan itu, nenek kanak-kanak itu mencari seorang cucunya yang berusia dua tahun sebelum menemuinya dalam keadaan leher dikelar di tingkat dua rumah berkenaan.

Katanya, nenek kanak-kanak itu kemudian menghubungi polis dan ahli keluarga lain memaklumkan kejadian itu.

Berdasarkan sumber polis, kejadian berkenaan dilakukan pembantu rumah terbabit berikutan tiada kesan pecah masuk rumah malah tiga anjing jenis Rottweiler tidak menyalak sepanjang kejadian.
Harian Metro

25 Februari 2014

CATUAN AIR DI 71 KAWASAN


KUALA LUMPUR: Sebanyak 71 kawasan membabitkan 60,185 akaun di kawasan Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang akan mengalami catuan air berjadual hanya bermula Khamis ini hingga 31 Mac depan.
Pengarah Eksekutif, Pembangunan Teknikal SYABAS, V Subramanian berkata pengagihan air berjadual susulan penutupan Loji Rawatan Air (LRA) Cheras Batu 11 dan Bukit Tampoi.
Beliau berkata demikian pada sidang media Notis Pengagihan Air Berjadual di Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang di sini, hari ini.

Kawasan terbabit dibahagikan kepada dua zon yang akan bergilir-gilir menerima pengagihan air selang dua hari mengkikut jadual.
Giliran mendapat air selama dua hari akan bermula dengan kawasan di Zon 1 Kuala Langat dan Sepang serta Zon 2 Hulu Langat pada 27 Februari ini.
Selepas itu, kawasan di Zon 1 Hulu Langat serta Zon 2 Kuala Langat dan Sepang akan mendapat air untuk dua hari bermula pada 1 Mac nanti.

Pada hari dijadualkan mendapat air, bekalan air disediakan pada jam 4 petang sehingga ditutup semula pada jam 9 pagi dua hari selepas itu.

Bagi zon yang dijadualkan tiada air, bekalan air kepada pengguna dijangka mula terhenti pada jam 9 pagi pada hari dijadualkan tiada air sehingga jam 4 petang dua hari selepas itu.

Subramanian berkata, pengumuman SYABAS itu sekali gus menafikan kenyataan Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim bahawa catuan air akan dimulakan hari ini.

Beliau berkata, ini kerana sebarang keputusan membabitkan rancangan pengagihan air berjadual perlu mendapat kelulusan Surahanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

"Pelan berkenaan mendapat kelulusan SPAN semalam, jadi memerlukan notis sekurang-kurangnya dua hari, justeru kenyataan Khalid bahawa catuan air bermula hari ini menimbulkan kekeliruan kepada masyarakat khususnya pengguna terbabit," katanya.
myMetro

WILAYAH HULU LANGAT
Zon 1
  • Taman Juara Jaya
  • Taman Bukit Belimbing
  • Taman Sungai Besi Indah 1,2 & 3
  • Taman Harmoni Indah
  • Taman Puncak Utama, Seri Kembangan
  • Taman Putra Budiman
  • Taman Balakong Jaya
  • Taman Seri Timah
  • Taman Tanming Jaya
  • Kawasan perindustrian Balakong
  • Taman Industri Selesa Jaya, Seri Kembangan
  • Taman Industri Balakong
  • Taman Tanming Permai
  • Taman Industri Lifong
  • Taman Tanming Ria
  • Taman Sungai Besi Indah Zon 1
  • Juta Mines Kondominium, Seri Kembangan

Zon 2
  • Kawasan Perindustrian Cheras Jaya
  • Taman Impian Ehsan Seri Kembangan
  • Taman Desa Karunmas Seri Kembangan
  • Kampung Baru Balakong
  • Taman Kasturi Cheras
  • Taman Sri Indah Cheras
  • Taman Bukit Emas
  • Taman Cheras Jaya
  • Taman Impian Indah
  • Taman Taming Indah
  • Taman Sejati
  • Taman Seri Sungai Long
  • Taman Bukit Sungai Long
  • Rumah Kenangan Cheras
  • Taman Dutamas
  • Taman Setia Kasturi Cheras
  • AEON Cheras Selatan
  • Taman Industri Balakong Jaya
  • Taman Setia Balakong
  • Taman Sinaran
  • Kawasan Perniagaan Desaria, Seri Kembangan
  • Dataran C180 Balakong

WILAYAH KUALA LANGAT & SEPANG
Zon 1
  • Kampung Olak Lempit
  • Kampung Bukit Changgang
  • Kampung Labohan Dagang
  • Selangor Dredging
  • Taman Changgang Jaya
  • Kompleks Perabut Olak Lempit
  • RTB Bukit Changgang
  • Bandar Sri Ehsan
  • Bandar Mahkota
  • Bandar Sungai Emas
  • Taman Arked
  • Taman Ambar
  • Taman Sri Dagang
  • Taman Langat Murni
  • Taman Langat Utama
  • Taman Murnimas
  • Taman Seri Telok Datok
  • Taman Sri Cheding
  • Sekolah Tamil Sungai Sedu

Zon 2
  • Kota Warisan
  • Warisan Bestari
  • Taman Bunga Raya
  • Taman KLIA Indah
  • Tiara Heights
  • Taman Ixora
  • Taman Dahlia
  • Taman Seroja
  • Taman Mawar ( Mawar 1, Mawar 2, Mawar Perdana, Emas Villa )
  • Taman Kenanga
  • Taman Desa Vista
  • Taman Desa Bestari
  • Salak Permai

Sebar gambar aib dendam putus cinta

Miri: Kerana dendam dan tidak dapat menerima hakikat hubungan cinta terputus di tengah jalan, seorang lelaki bertindak menyebarkan gambar bogel dan video bekas teman wanitanya dalam keadaan mengaibkan sejak seminggu lalu.
Difahamkan, mangsa berusia 29 tahun yang bekerja di sebuah syarikat swasta di sini, memutuskan hubungan dengan bekas teman lelakinya sejak awal bulan ini kerana tidak tahan sikap panas barannya.
Tindakan wanita terbabit menolak permintaan kembali menjalinkan hubungan menyebabkan lelaki berusia 35 tahun itu berang dan menyebarkan gambar bogel mangsa di laman sosial.
Sumber berkata, mulanya mangsa tidak mengendahkan ugutan lelaki terbabit sehingga pada Rabu lalu dia menerima pesanan melalui WeChat dari seorang rakan yang ternampak gambar bogelnya dimuatkan dalam Facebook.
Lebih teruk, katanya, lelaki terbabit turut membuka sebuah lagi akaun Facebook untuk menyebarkan gambar bogel dan video lucahnya selain turut dimuatkan ke YouTube.
“Mangsa menghubungi lelaki itu, namun dia menafikan bertanggungjawab mengenai penyebaran gambar dan video lucah berkenaan.
“Temberang lelaki itu terbongkar apabila dia memarahi mangsa dan memaklumkan penyebaran gambar bogel dan video lucah sebagai balasan tindakannya memutuskan hubungan mereka,” katanya.
Berikutan itu mangsa ditemani seorang rakan membuat laporan di Balai Polis Pusat Miri untuk tindakan lanjut, kelmarin.
myMetro

Untuk dapatkan Hidung Cantik mesti ada RM50,000

Kuala Lumpur: Tuntutan kerjaya yang mahukan selebriti sentiasa berwajah cantik walaupun usia semakin meningkat membuatkan kebanyakan daripada mereka berbelanja besar untuk mencantikkan wajah.
Tidak hairanlah ada yang sanggup membelanjakan sehingga lebih RM50,000 untuk mendapatkan hidung yang lebih cantik apabila hidung asal ‘rosak’ kerana tercedera atau mengalami masalah kesihatan.
Temu bual Harian Metro dengan beberapa selebriti yang memang menampakkan perubahan wajah yang ketara berbanding sebelum ini mendapati memang mereka berbelanja besar untuk kelihatan terus cantik, malah lebih menarik atau tampan daripada ketika usia muda.

Penyanyi, Winnie Kok atau Winnie K mengaku terpaksa melakukan pembedahan hidung di Korea dengan kos lebih RM50,000.
Bagaimanapun, katanya, pembedahan itu terpaksa dilakukan selepas hidungnya senget teruk akibat jatuh ketika membuat persembahan di pentas dua tahun lalu.
Harian Metro

24 Februari 2014

Bekalan air sekali dua hari

PENDUDUK Pelabuhan Klang, Raja Abdul Karim Raja Musahar, 40, membeli baldi dan tong untuk mengisi air berikutan catuan bekalan air yang akan bermula esok yang diumumkan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. FOTO Asyraf Bokhar
SHAH ALAM: Pelaksanaan sistem catuan air secara bergilir-gilir di Selangor akan bermula esok bagi menyeimbangkan penyaluran air di kawasan yang mengalami gangguan sejak 7 Februari lalu.
Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, sistem ini dijalankan bagi mengekalkan jumlah air di empangan negeri ini supaya dapat bertahan untuk dua bulan lagi jika musim panas berlarutan. 
"Setiap pengguna di Selangor tidak perlu bimbang kerana mereka akan menerima bekalan air cuma ia akan dicatu iaitu penyaluran bekalan air dilakukan setiap dua hari. 

"Menerusi sistem ini, pengguna akan menerima sekurang-kurangnya empat bekalan air penuh untuk satu minggu dan ia akan diteruskan sehingga suatu masa yang sesuai iaitu apabila musim hujan bermula, dijangka akhir Mac ini," katanya selepas menghadiri perjumpaan bulanan penjawat awam di sini, hari ini.
Abdul Khalid berkata, sekiranya musim hujan tiba lebih awal, sistem itu akan dihentikan dan tindakan lanjut serta keadaan sebenar krisis air di negeri ini akan dimaklumkan Mac depan.
myMetro

LIZA ABDULLAH DAN SUAMI SAH BERCERAI TALAK SATU

Liza Abdullah (kiri) keluar dari mahkamah selepas berpisah talak satu. Kelihatan bekas suaminya Zolkifli (kanan).
KUALA LUMPUR: Pelakon terkenal 80-an Liza Abdullah sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur di sini kira-kira pukul 3.05 petang pada Isnin.
Lafaz berkenaan dibuat oleh suaminya selaku defendan, Zolkifli Abdul Rahman, 58, di hadapan Hakim Syarie, Shaiful Azli Jamaludin selepas dia bersetuju untuk menceraikan isterinya secara baik.
Suasana di dalam kamar pilu apabila pasangan itu menangis teresak-esak sambil berpelukan sebelum lafaz cerai dibuat.
Dua anak pasangan itu, Zulhaffiz Zarriq, 25, dan Nurwafiez Syahiddah, 21, turut kelihatan menitiskan air mata di ruang tempat duduk ketika lafaz dibuat bapa mereka.
Suasana pilu apabila ahli keluarga berpelukan sebelum lafaz cerai dibuat.
Liza, 50, yang memfailkan permohonan perceraian tersebut menerusi peguam syarie, Sa'adiah Din pada 25 November tahun lalu turut ditemani oleh ahli keluarga dan rakan artis ke mahkamah termasuklah Datuk Shah Rezza dan Ziela Jalil.
Terdahulu, pasangan berkenaan mengakui sudah tidak tinggal sebumbung sejak beberapa tahun lalu selain mengalami konflik berpanjangan dalam rumah tangga mereka.
Dalam pada itu, Shaiful Azli memerintahkan Liza supaya menjalani edah selama tiga kali suci selain perceraian mereka didaftarkan di mahkamah.
Sementara itu, Liza atau nama sebenarnya Norliza Abdullah yang mengenakan jubah hitam ketika ditemui selepas prosiding selesai enggan mengulas mengenai penceraian tersebut.
Liza Abdullah bersama salah seorang anaknya.
Manakala Zolkifli menganggap penceraian itu sebagai ketentuan Allah.
"Semuanya selesai dengan baik dan saya tiada komen selain penceraian ini adalah ketentuan Allah," katanya.
Hasil perkahwinannya dengan Zolkifli kira-kira 26 tahun, mereka turut dikurniakan dua lagi anak iaitu Zulsyahmi Naqib, 12, dan Zulsyahmi Afif, 10.
Liza itu yang pernah popular dalam drama Vanilla Coklat bagi siaran TV3 dua tahun lalu merupakan bintang filem ternama sekitar tahun 1980-an.
Antara filem lakonannya ialah Ali Setan, Pagar-Pagar Cinta, Driving School dan Jejaka Perasan.
mStar Online

Port Mak Ngah Skodeng !