Memaparkan catatan dengan label Berita dalam Negeri. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Berita dalam Negeri. Papar semua catatan

04 Januari 2015

WANITA DIPERDAYA ANAK TAN SRI

Noli ketika menceritakan kisahnya ditipu anak 'Tan Sri' kepada wartawan Sinar Harian, semalam.

MELAKA - Wanita mana yang tidak impikan majlis perkahwinan mewah ibarat 'wedding of the year'.

Namun, bagi seorang wanita di Telok Mas, di sini, harapannya untuk berkahwin dengan seorang anak  'Tan Sri' dengan majlis gilang-gemilang di sebuah hotel lima bintang hanya tinggal harapan.

Manakan tidak, lelaki yang disangkakan 'orang berada' itu bukan saja seorang yang sengkek, malah terbabit dengan berbagai kes jenayah dan penipuan sebelum ini.

Wanita terbabit, Noli Dilaila Zakaria (bukan nama sebenar), 22, membuat pendedahan kepada Sinar Harian, semalam menceritakan kisah dia menjadi mangsa lelaki berkenaan, sehingga hampir mendirikan rumah tangga.

Jururawat sebuah hospital itu berkata, perkenalan menerusi aplikasi sosial Bee Talk, Jun tahun lalu merupakan detik permulaan hubungan cinta antara dia bersama lelaki yang dikenali sebagai Adam yang mengaku pensyarah di sebuah universiti.

Malah katanya, Adam juga mendakwa memiliki sebuah studio jamming di Melaka Raya, Banda Hilir.

"Hubungan kami semakin rapat sehingga saya terlalu yakin hubungan kami berakhir di jinjang pelamin. Selepas beberapa minggu kami berkenalan, dia datang berjumpa keluarga saya," katanya.

Noli berkata, selepas itu, dia dibawa berjumpa dengan ibu Adam yang dipanggil  'Puan Sri" di sebuah hotel lima bintang di Banda Hilir, Julai tahun lalu.
"Sejak itu kami mula membuat perancangan untuk mengadakan majlis pertunangan di Dewan MITC pada hari ketiga Syawal.

“Adam turut merancang majlis resepsi kami diadakan di hotel sama, malah mendakwa ibunya merupakan ahli lembaga pengarah hotel berkenaan,” katanya.

Nora bagaimanapun berkata, timbul rasa keraguan dalam kalangan sanak-saudaranya apabila Adam meminta nombor kad pengenalan setiap ahli keluarga dan saudara terdekat, kononnya untuk pas masuk ke dewan pada majlis pertunangannya nanti.

“Dalam tempoh perkenalan kami, sepupu dan saudara-mara saya ada menyelidik latar belakang Adam. Dari situ, mereka ada beritahu semua berkaitan Adam termasuk latar belakang keluarga kaya yang sebenarnya tidak wujud," katanya.

Namun, katanya, dia masih tidak percaya Adam menipu sehinggalah kejadian rumah keluarga Noli dipecah masuk ketika mereka sekeluarga bercuti pada 6 Oktober lalu, sehingga pelbagai barangan berharga lesap.

"Kejadian pecah masuk itu menyebabkan ibu bapanya tidak sedap hati kerana mengesyaki ia dilakukan Adam, lalu meminta saya memutuskan hubungan dan tidak lagi berhubung dengannya lagi.

"Selepas memikirkan kata-kata ibu, hampir dua minggu selepas itu, saya tidak lagi berhubung dengan Adam,” katanya.

Nora yang merupakan anak sulung dari empat beradik berkata, dia bagaimanapun pernah curiga mengenai latar belakang Adam apabila meminjam wang daripadanya.

"Saya hairan kerana dia seorang yang berada, malah dia hanya pakai kereta Proton Perdana. Tapi saya tetap percaya dengan dia cuma mujur saya hanya beri pinjam RM200 saja. Itupun dia janji akan pulangkan semula. Namun sehingga kini dia belum memulangkannya lagi," katanya.

Bagaimanapun, Norli berkata, dia terkejut apabila mendapat tahu menerusi akhbar tempatan, baru-baru ini, bahawa Adam ditangkap polis kerana terbabit dalam satu kejadian jenayah di negeri ini.
Terkejut dengan berita itu dan tidak mahu wanita lain menjadi mangsa, Noli tampil membuat aduan di Balai Polis Kandang, kira-kira 12.30 tengah hari semalam.

"Saya mungkin rugi sedikit sebab beri dia RM200 tetapi tidak mustahil kalau saya teruskan hubungan, mungkin saya sudah serahkan RM200,000.

“Saya berharap semua wanita di luar sana berhati-hati menjalin hubungan dengan lelaki yang baru dikenali,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah ketika dihubungi semalam, mengesahkan pihaknya menerima laporan itu.

SInar Harian

29 Disember 2014

Jururawat kongsi cerita terperangkap 6 hari dalam Banjir

Seorang penduduk cuba mengambil barang melalui bumbung rumahnya yang hampir ditenggelami banjir di Kampung Tiong, Gua Musang, semalam. - Foto Bernama

PASIR PUTEH - Seorang jururawat masyarakat yang bertugas di Klinik Desa Kampung Star, Bertam Baru, Gua Musang, menceritakan bagaimana 150 penduduk di situ, kelaparan dan menempuh detik cemas setelah terperangkap selama enam hari apabila kampung mereka seakan-akan 'sebuah pulau' akibat banjir, bermula Isnin lepas.
   
Suzana Bakar, 49, berkata mereka menyelamatkan diri mencari tempat perlindungan di Sekolah Kebangsaan Star, Bertam Baru dengan sehelai sepinggang tanpa sempat menyelamatkan harta benda selepas air dari Sungai Nenggeri naik mendadak ke kawasan kampung mereka.
   
"Ini disebabkan kami tidak menyangka air naik secara mendadak kerana sebelum ini tidak pernah berlaku," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.
   
Suzana bagaimanapun berkata pada hari Selasa lepas, makanan terutama beras tiba dengan jumlah sedikit setelah diusahakan pemimpin setempat serta belas ihsan daripada orang kampung yang tinggal di kawasan tinggi.
   
"Sebaik makanan tiba di sekolah itu mereka berebut-rebut mendapatkan makanan yang tidak mencukupi kerana jumlah mangsa banjir yang datang ke pusat itu bertambah setiap hari," katanya.

Suzana berkata untuk mendapatkan bekalan makanan dari luar terutama di Gua Musang terlalu sukar kerana tidak boleh dilalui sebarang kenderaan berikutan arus yang sangat deras.
   
Beliau berkata sepanjang berada di sekolah itu, sebahagian besar mangsa memakan apa sahaja seperti biskut dan mi segera bagi mengalas perut untuk mengelak daripada kebuluran dan sepanjang malam pula terpaksa bergelap akibat bekalan elektrik terputus.
   
Bagaimanapun, Suzana bersyukur kerana ketika kejadian beliau dan empat anak masing-masing berumur antara tiga dan 14 tahun, sempat menyelamatkan diri ke sekolah berkenaan lebih awal apabila menyedari paras air semakin meningkat ke paras paha dalam tempoh beberapa minit.
   
Ketika kejadian suaminya Raibi Hamid, 39, tiada di rumah kerana bekerja di Kuala Lumpur.
   
"Sebuah kereta Proton Wira dan motosikal serta peralatan elektrik kesemuanya tidak sempat diselamatkan apabila paras air meningkat terlalu cepat sehingga menenggelamkan sebahagian 50 buah rumah penduduk di situ," katanya.
   
Suzana berkata ketika berada di sekolah itu mereka terpaksa tinggal di tingkat tiga kerana tingkat pertama dan kedua dinaiki air, sebelum surut sepenuhnya, semalam. - Bernama

Sinar

24 Disember 2014

Fenomena 'full moon' cetus banjir luar biasa


KUALA LUMPUR - Fenomena 'full moon' iaitu kedudukan bulan berhampiran dengan bumi yang menyebabkan air pasang merupakan antara faktor yang mencetuskan banjir luar biasa di kawasan Pantai Timur pada tahun ini. 
 
Pegawai Meteorologi Kanan, Pusat Cuaca Nasional, Jabatan Meteorologi Malaysia, Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata keadaan banjir menjadi lebih teruk apabila ditambah dengan tiupan angin Monsun Timur Laut secara konsisten merentasi Laut China Selatan ke negara ini bermula bulan November hingga Mac.
 
"Meskipun hujan semakin reda dan tidak lagi lebat, namun air banjir dilihat sukar untuk surut disebabkan fenomena 'full moon' yang mana bulan berada dekat dengan bumi yang menyebabkan air pasang lebih tinggi daripada biasa.
 
"Selain itu, hujan yang tidak berhenti sebelumnya menyebabkan aliran sungai dari hulu ke kuala tidak sampai sehingga menyebabkan air sungai melimpah keluar sehingga menyebabkan banjir teruk," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
 
Katanya pihaknya menjangkakan hujan lebat akibat tiupan angin Monsun Timur Laut di Kelantan, Terengganu dan Pahang sejak minggu lalu, akan berterusan sehingga awal Januari depan.
 
"Namun keadaan cuaca dijangka bertambah baik pada hari ini hingga esok berikutan ramalan kami menunjukkan hujan hanya berlaku di satu atau dua tempat di negeri-negeri berkenaan," katanya.
 
Dr Mohd Hisham menjelaskan musim Monsun Timur Laut yang membawa kepada hujan lebat terbahagi kepada tiga episod, iaitu episod pertama yang berlaku pada akhir bulan November, episod kedua pada 16 hingga 19 Disember diikuti dengan yang ketiga iaitu Isnin lepas hingga esok.
 
"Walaupun cuaca dijangka baik pada dua hari tersebut, namun kami menjangkakan ada lagi episod keempat iaitu bermula pada 28 Disember sehingga 31 Disember dan mungkin akan berterusan sehingga awal bulan Januari," katanya.
 
Dr Mohd Hisham berkata pihaknya tidak menolak kemungkinan banjir akan berlaku lagi selepas 28 Disember ini di kawasan-kawasan kedudukan rendah dan berdekatan dengan sungai.
 
"Ketika musim Monsun Timur Laut, kawasan Pantai Timur dijangka mengalami empat hingga lima episod hujan lebat menyeluruh dan berterusan selama tiga hingga tujuh hari pada November hingga Januari 2015, serta kawasan barat Sarawak dan Sabah pada Januari hingga Mac 2015.
 
"Oleh itu, penduduk yang tinggal di kawasan tepi sungai dan rendah dinasihatkan supaya sentiasa bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan termasuk banjir," katanya. 
 
Sementara itu, menurut kenyataan Jabatan Meteorologi hari ini, angin kencang Timur Laut dengan kelajuan dari 60 kilometer sejam yang berlaku di kawasan perairan Pantai Timur Semenanjung, Sarawak, Sabah dan Labuan dijangka berterusan hingga esok.
 
Selain itu, laut bergelora dengan ketinggian ombak sehingga 5.5 meter turut dijangka berlaku di kawasan tersebut yang berbahaya kepada semua aktiviti pantai dan perkapalan termasuk pekerja di pelantar minyak.
 
Menurut kenyataan itu, kawasan pantai di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor Timur terdedah kepada kejadian kenaikan paras air laut sehingga esok. - Bernama

05 Disember 2014

Mesej bertuah untuk Zalora, suami isteri dapat kejutan misteri


SHAH ALAM - “Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia tiada siapa yang tahu,” itulah yang terjadi kepada pasangan suami isteri setelah mendapat hadiah khas daripada syarikat membeli-belah atas talian Zalora.com.my, selepas si suami melarang si isteri daripada membeli-belah di syarikat berkenaan.

Posting suaminya di laman Facebook Zalora yang berbunyi  “Hai Zalora kalau ada ternampak isteri saya ‘shopping’ dekat  sini jangan layan ya… pura-pura kata ‘server down’ ke komputer, rosak ke? Pandailah bagi alasan ye. Untuk makluman nama isteri saya Nuzaimah ingat tau… akhirnya membawa tuah kepada pasangan tersebut.

Mana tidaknya dek kerana ‘post’ tersebut lima skuad Zalora daripada Bahagian Talian Fesyen Asia, telah melawat pasangan tersebut semalam di kediaman mereka di Kuala Lumpur untuk memberi hadiah kepada pasangan suami isteri itu iaitu kepada, Muhamad Radzi Ali dan Nuzaimah Ideris.

Terdahulu post Radzi Ali dikomen balas oleh Zalora yang meminta maaf kepada Radzi kerana pihaknya tidak boleh berbuat sepertimana yang disuruh olehnya.

“Hai Radzi… hahahah maaf, kami tidak dapat mengesan setiap pelanggan kami yang melayari web kami dengan itu, web kami sentiasa berjalan lancar dan kami tidak dapat berpura-pura  untuk mengatakan server kami down. Jika anda mahu menjimatkan wang anda… anda boleh mendaftar Newsletter kami untuk dapat baucer dan maklumat terkini mengenai jualan atau diskaun kami sehingga 70 peratus,” tulis Zalora.

Post Radzi itu juga mendapat perhatian isterinya apabila, isterinya Nuzaimah berkata Zalora tidak boleh berbuat demikian kerana bakal mengecewakan pelanggannya.

“Hi zalora. I don’t  thinks it  is good for you ban potential client  like me. Don’t dispointed ur client zalora!,” tulis Nuzaimah.

Sementara itu, kedatangan skuad Zalora ke rumah pasangan tersebut semalam, ternyata membawa kejutan buat mereka.

"Kami tidak menyangka kejutan ini. Kami hanya bermain-main," kata Radzi.

Sementara isterinya, Nuzaimah pula berkata bahawa dia amat kagum kerana mendapat balasan yang interaktif daripada pihak perkhidmatan pelanggan Zalora.

Dalam pada itu, Pengarah Urusan Zalora Malaysia, Giulio Xiloyannis berkata, pihaknya amat berbesar hati untuk melayan pelanggan seperti Radzi dan Nuzaimah di halaman Facebook mereka.




“Membeli-belah dalam talian adalah trend terkini yang  semakin popular di kalangan masyarakat Malaysia.

“Kami percaya bahawa kenyataan suami, isteri dalam laman media sosial itu adalah satu refleksi dari masyarakat kita yang sekarang ini mengamalkan gaya hidup ‘digital’,” katanya.

Mengulas lanut,   Xiloyannis berkata, tujuan pemberian hadiah tersebut adalah untuk meraikan pasangan tersebut yang bakal menimang cahaya mata tidak lama lagi.

“Oleh itu pihak kami, berasa amat gembira untuk menghadiahkan Radzi dan Nuzaimah dengan hadiah-hadiah yang dipilih khas untuk mereka. Dengan pemberian Zalora dan Zalia kami harap Nuzaimah mengalami pengalaman indah sepanjang kehamilan dia,” tambah Xiloyannis.

Nuzaimah telah menerima bekalan pakaian dan kasut selama setahun dari Zalora serta baucar bernilai RM400.

Pasangan ini mendapat perhatian apabila ‘post’ yang ditulis Radzi di laman Facebook Zalora yang melarang isterinya dari membeli-belah dalam laman web berkenaan pada hari Isnin lepas.


SH

02 Disember 2014

Gadis Cantik ditoreh muka dan hampir diperkosa

Nur Shafiqa dirawat HUSM, Kota Bharu kerana kecederaan di muka akibat ditoreh.

Pasir Puteh: Seorang gadis berusia 22 tahun menempuh detik getir apabila mukanya ditoreh dengan pisau dan hampir diperkosa apabila kediamannya dipecah masuk dua lelaki dalam kejadian di Wakaf Berangan, di sini, kelmarin.

Kejadian berlaku jam 2 petang ketika mangsa berada dalam bilik air manakala ibunya yang berusia 58 tahun berehat di dapur rumah. Turut berada dalam rumah itu adik mangsa berusia 18 tahun.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh Deputi Superintendan Abd Rozak Muhammad berkata, ketika kejadian semua mangsa tidak menyedari kemunculan dua suspek terbabit sehingga seorang daripadanya menendang pintu bilik air dan menarik mangsa keluar.

“Mangsa dibawa ke ruang tamu, namun dalam perjalanan ke situ, dia terserempak dengan ibunya sebelum diarah mencabut cincin emas pada jari ibunya.

“Suspek membawa mangsa ke dalam bilik manakala seorang lagi suspek memegang ibu mangsa. Di dalam bilik itu, suspek kemudian mengambil telefon bimbit pintar milik mangsa,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, mangsa turut melihat suspek membuka seluar dipercayai mahu merogolnya, namun dia ditumbuk di mata manakala pipi sebelah kiri ditoreh dengan pisau ketika bergelut dengan suspek.

Katanya, suspek keluar dari bilik apabila dipanggil rakannya dan kesempatan itu digunakan mangsa untuk mengunci pintu bilik sebelum menjerit ke arah luar tingkap meminta tolong.
“Kedua-dua suspek yang terkejut dengan jeritan itu melarikan diri disyaki menggunakan motosikal. Adik mangsa yang bersembunyi di bawah katil turut mendail talian kecemasan 999 untuk meminta bantuan,” katanya.

Abd Rozak berkata, akibat kejadian itu, mangsa cedera di muka manakala ibunya turut luka di dahi dan bibir. Mereka dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, dekat sini.

Menurutnya, antara barang yang dibawa lari suspek termasuk cincin, gelang tangan emas serta telefon bimbit pintar dengan jumlah kerugian dianggarkan berjumlah RM10,000.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

myMetro

21 November 2014

Wanita Dilanggar dan Terbunuh Gara -Gara 'Sampah'


GEORGE TOWN: Seorang wanita telah dilanggar dan terbunuh selepas berlaku satu pertengkaran berhubung masalah pembuangan sampah.

Pemandu kenderaan terbabit, 53, dilihat mengamuk dan melepaskan marah terhadap Lee Seok Pheng, 47, dan suaminya, 57, dengan menuduhnya membuang sampah berhampiran rumahnya.

Kejadian itu berlaku di tempat letak kereta di blok apartmen di Lebuhraya Thean Teik di sini.

Pemandu itu didakwa cuba merempuh Lee dan suaminya selepas bertengkar sekitar pukul 12.30 tengah malam Jumaat.


Lee rebah di atas jalan dan telah dilanggar manakala suaminya berjaya mengelak daripada dilanggar pemandu terbabit.

Pemandu terbabit cuba melarikan diri dari tempat kejadian tetapi gagal berbuat demikian apabila beberapa saksi tampil membantu.

Lee disahkan meninggal dunia pada pukul 1.17 pagi di Hospital Pulau Pinang.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Farid Alathrash dijadual mengadakan sidang akhbar mengenai kes ini.


mStar Online

13 November 2014

JPJ: Nombor plat bukan punca kemalangan


PUTRAJAYA – Faktor kemalangan bukan punca larangan saiz tertentu bagi nombor pendaftaran kenderaan dikuatkuasakan di negara ini.

Jelas Pengarah Bahagian Korporat dan Penyelidikan JPJ, Wan Ramli Wan Daud, kenyataan tersebut sebenarnya disalah tafsir oleh pengguna jalan raya.

“Dalam kajian yang dijalankan oleh pihak JPJ dan pihak polis, punca sebenar kemalangan kebanyakannya berpunca daripada sikap pemandu yang tidak mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya, menggunakan telefon bimbit semasa pemanduan dan mengambil alkohol ketika memandu.

“Patuhilah peraturan yang diguna pakai, kita kuat kuasakan undang-undang demi keselamatan dan keselamatan pengguna jalan raya,” katanya kepada Sinar Harian Online,  ketika sesi penyerahan memorandum bantahan terhadap operasi bersepadu cermin gelap, nombor pendaftaran kenderaan, strobe light dan HID oleh Pemuda Pas yang diketuai Suhaizan Kaiat dan Ketua Penerangan Pemuda Pas, Mohd Nasaie Ismail, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai dakwaan ukuran nombor plat menjadi punca kemalangan jalan raya yang disebar meluas melalui laman sosial dan media massa kebelakangan ini.

Pihak JPJ sebelum ini diminta mengemukakan bukti secara saintifik yang boleh mengaitkan peningkatan kadar kemalangan jalan raya dengan plat kenderaan tidak mengikut spesifikasi, cermin gelap dan aksesori kenderaan.

Exco Pemuda Umno, Mohd Iskandar Jaafar dalam satu laporan yang disiarkan Sinar Harian Online hari ini  berkata, bukti itu harus diumumkan kepada rakyat agar langkah jabatan itu menguatkuasakan undang-undang menggunakan alasan berkenaan, tidak lagi dipertikaikan.

“Tidak timbul faktor seperti itu (faktor kemalangan) bagi larangan tersebut,”

“... Saiz nombor plat bukan punca sebenar kemalangan berlaku,” tegasnya.


Sinar Harian

06 November 2014

Gambar gambar Banjir lumpur di Cameron Highlands


PENDUDUK Kampung Baru Ringlet bergotong-royong membersihkan rumah dan perabot yang berlumpur selepas banjir kilat melanda sekitar kawasan Cameron Highlands lewat petang semalam. - Foto Muhaizan Yahya





PENDUDUK menggunakan jengkaut untuk membersihkan laluan berhampiran kediaman mereka di Sungai Bertam selepas banjir kilat melanda sekitar kawasan Cameron Highlands lewat petang semalam. - Foto Supian Ahmad


SEBAHAGIAN daripada 181 mangsa banjir membabitkan 42 keluarga daripada Kampung Baru Ringlet, Pekan Ringlet dan Kampung Ulu Merah ditempatkan di Dewan Orang Ramai Ringlet. - Foto Muhaizan Yahya

KERETA dihanyutkan akibat banjir lumpur di Pekan Ringlet susulan hujan lebat di beberapa kawasan di sekitar Cameron Highlands. - Foto Muhaizan Yahya



KAWASAN sekitar Lembah Bertam dinaiki air selepas pintu empangan dibuka susulan hujan lebat di beberapa kawasan di sekitar Cameron Highlands. - Foto Muhaizan Yahya

SEKOLAH Jenis Kebangsaan Cina Bertam Valley dinaiki air selepas pintu empangan dibuka susulan hujan lebat di beberapa kawasan di sekitar Cameron Highlands sejak lewat petang semalam. - Foto Muhaizan Yahya

AIR Sungai Bertam yang melimpah selepas empangan dibuka bagi mengelakkan banjir yang lebih besar di Cameron Highlands. - Foto Supian Ahmad

PEMANDANGAN dari atas menunjukkan paras air Sungai Bertam tidak berubah selepas pintu empangan dibuka susulan hujan lebat di beberapa kawasan di sekitar Cameron Highlands sejak lewat petang semalam. - Foto Muhaizan Yahya



PENDUDUK Lembah Bertam melihat Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Bertam Valley dinaiki air selepas pintu empangan dibuka susulan hujan lebat di beberapa kawasan di sekitar Cameron Highlands sejak lewat petang semalam. - Foto Muhaizan Yahya

SEBAHAGIAN mangsa banjir menerima bantuan yang disediakan Jabatan Kebajikan Masyarakat di Dewan Orang Ramai Ringlet. - Foto Muhaizan Yahya

AIR Sungai Bertam yang melimpah selepas empangan dibuka bagi mengelakkan banjir yang lebih besar di Cameron Highlands. - Foto Supian Ahmad

Sumber BH Online

04 November 2014

Berhenti sebar gambar pontianak

Makhluk kononnya pontianak dikatakan sedang berlegar-legar di pintu Mula tersebar di laman sosial. keluar hospital.

BANTING - Imej lembaga kononnya didakwa menyerupai pontianak di Hospital Banting yang dirakamkan oleh pihak tertentu kini mula tersebar di laman sosial Facebook (FB) sekali gus menimbulkan tanda tanya dalam kalangan masyarakat.

Meskipun ada pihak menganggap ia sebagai tahyul, namun tanggapan ramai dalam kalangan masyarakat yang mempercayai kewujudan makhluk halus juga tidak boleh diketepikan.

Bekas Pegawai Khas Menteri Besar, Datuk Abd Samad Maharudin berkata, beliau percaya keadaan itu wujud. Namun katanya, masyarakat dinasihatkan agar tidak mudah terpengaruh sehingga menakut-nakutkan pelanggan hospital.

Beliau yang pernah menjadi Pegawai Khas kepada bekas Menteri Besar, Datuk Harun Idris memaklumkan, pada asalnya tapak kawasan Hospital Banting dan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat merupakan kawasan ladang getah dan kelapa sawit.

Justeru katanya, kewujudan makhluk halus di kawasan-kawasan berkenaan tidak dapat dinafikan. Bagaimanapun, beliau tetap menegaskan bahawa hal tersebut tidak wajar dijadikan isu utama kerana bimbang ia disalah tafsir, sedangkan yang Maha Berkuasa adalah ALLAH SWT.

Berhenti sebar gambar

“Masa tu, kawasan tersebut adalah milik sebuah syarikat swasta yang mengusahakan ladang getah dan kemudian di jadikan ladang kelapa sawit. Selepas pembinaan bangunan hospital dilakukan, tidak pula pernah dengar ada jelmaan makhluk halus. Cuma... jika betullah seperti yang kecoh sekarang ni, saya cuma anggap itu sebagai petunjuk dari ALLAH, untuk manusia beringat-ingat.

"Lagipun hospital... biasalah. Hospital kan tempat banyak berlaku insiden ngeri macam pesakit mati kemalangan, mati dibunuh, mati bunuh diri, atau pun mati sakit. Itu perkara biasa, tapi janganlah pula ia dijadikan satu kebimbangan yang tidak sepatutnya kepada masyarakat.

“Mengenai gambar-gambar (pontianak) tu, boleh jadi ia telah diedit. Bagi saya mudah saja, selagi ia tak kacau masyarakat biarkanlah. Tapi jika ada gangguan, pihak pengurusan hospital perlu ikhtiar melakukan sesuatu,” katanya yang mahukan masyarakat berhenti menyebarkan foto berkaitan makhluk halus berkenaan di laman sosial ataupun menerusi lain-lain medium.

Abd Samad berkata, beliau mahu masyarakat memanfaatkan kemudahan yang ada dengan baik dan tidak mencetuskan keadaan yang boleh mencetuskan kebimbangan dalam masyarakat.

"Saya yakin masyarakat boleh buat pertimbangan yang wajar akan situasi yang berlaku ini," katanya yang juga merupakan bekas Adun Morib sekitar tahun 1995.

Bukan rakaman CCTV hospital

Pengerusi Ahli Lembaga Pelawat Hospital Banting, Abdul Razak Khasbullah berkata, beliau belum pernah menerima aduan daripada pihak pengurusan hospital atau aduan awam mengenai sebaran gambar tersebut.

Bagaimanapun, beliau memaklumkan telah bertemu dengan pengarah hospital berhubung hal berkenaan dan merumuskan kejadian itu tidak pernah berlaku di dalam wad apatah lagi ia hanya sebuah rakaman melalui telefon bimbit dan bukannya melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) milik hospital.

“Bagi saya senang, dalam Islam kita tak boleh meragui kewujudan makhluk-makhluk berkenaan. Cuma, apa yang perlu diberi perhatian adalah pihak yang mengirimkan gambar-gambar berkenaan agar berhenti menyebarkannya jika hanya nak menakut-nakutkan orang ramai.

“Paling penting kejadian itu pun bukan boleh dilihat oleh semua orang... hanya insan-insan terpilih sahaja yang boleh nampak. Jadi tak perlulah nak sebarkan gambar-gambar seumpama itu. Ini penting bagi mengelakkan keraguan dan kebimbangan di kalangan masyarakat,” katanya yang turut memaklumkan hospital tersebut telah dibina sejak tahun 1974.

Simpan buat koleksi peribadi

Sementara itu, seorang orang awam, Adenan Yusop, 50, berkata, dia tidak pernah melihat atau terdengar khabar angin mengenai sebaran gambar menyerupai pontianak itu walaupun percaya kewujudan makhluk halus.

"Pihak yang dapat rakam gambar 'benda' tu tak payahlah nak sebar-sebarkannya... bagi takut orang ramai buat apa. Nanti orang yang sakit takut nak datang hospital, bukankah dah bagi masalah tu.

"Apa lebih elok, pihak tu simpan sendiri semua gambar pontianak tu jadi koleksi peribadi. Lagipun, kejadian makhluk halus ni tak boleh dibuat main-main... jika benarlah ada, hal ni perlu diambil serius... bukannya memutar belitkan maklumat,” katanya.


Sinar Harian

31 Oktober 2014

Budak diikat tangan, kaki di rumah pengasuh

Kanak-kanak lelaki yang ditemui ibunya di rumah pengasuh dalam keadaan kaki dan tangannya diikat, semalam.

KEPALA BATAS - Seorang ibu terkejut mendapati anak lelakinya yang berusia empat tahun terbaring di lantai rumah pengasuhnya di  Taman Seri Pinang, di sini, hari ini, dengan tangan dan kakinya diikat.

Kejadian itu disedari ketika wanita itu membuat 'pemeriksaan mengejut' di rumah pengasuh itu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Abdul Rahman Ibrahim berkata, polis menahan pengasuh berusia 39 tahun itu selepas menerima laporan wanita itu, seorang pekerja kilang.

Dia direman sehingga esok bagi membantu siasatan.

Ketika kejadian, hanya anak pengasuh berumur kira-kira 11 tahun berada di rumah itu.

Menurut sumber, kanak-kanak itu dijaga pengasuh tersebut sejak Jun tahun lalu.

“Sebelum ini, tiada masalah berlaku membabitkan anaknya.

“Namun, sejak akhir-akhir ini, ibu mangsa mendapati anaknya itu sentiasa dalam keadaan lapar dan mengambil keputusan untuk melihat sendiri keadaan anaknya ketika di rumah pengasuh tersebut,” katanya.

Menurut sumber itu lagi, kanak-kanak itu diikat kerana didakwa nakal.

SH

30 Oktober 2014

Kanak-Kanak Perempuan Mati Terjerut Tali Buaian


JEMPOL: Seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun ditemui mati terjerut tali buaian di rumah datuknya di Felda Lui Muda dekat sini, Khamis.

Kejadian kira-kira 3.40 petang itu berlaku ketika Isma Umairah Radzuan sedang bermain buaian itu seorang diri di bahagian dapur.

Ketua Polis Daerah Jempol Supt Hamzah Alias berkata kejadian itu disedari bapa saudaranya setelah mendapati kanak-kanak itu tiba-tiba senyap.

"Ketika bapa saudaranya pergi ke dapur, dia mendapati mangsa dalam keadaan tergantung dengan lehernya terjerut pada tali buaian. 


"Bapa saudara mangsa segera memotong tali buaian itu sebelum membawa kanak-kanak itu ke Klinik Kesihatan Lui Muda. Namun, doktor yang melakukan pemeriksaan mengesahkan kanak-kanak itu sudah meninggal dunia," katanya ketika dihubungi, Khamis.

Menurutnya mayat Isma Umairah dihantar ke Hospital Jempol dan kes itu diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.


Sumber

24 Oktober 2014

Muhdalena, wanita kes amuk lari dari hospital

Muhdalena Ahmad, 28, memakai topeng ketika meninggalkan perkarangan Mahkamah Sesyen Putrajaya di sini hari ini. -Foto Bernama

JOHOR BAHRU - Muhdalena Ahmad, wanita yang terlibat dengan kejadian amuk di depan Kompleks B, Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya dua tahun lepas, melarikan diri dari Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini, hari ini.
   
Muhdalena, 30, yang dimasukkan ke HSA pada Ahad lepas kerana bersalin, didapati hilang dari hospital itu pada kira-kira 9 pagi.
   
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor, Datuk Hasnan Hassan dalam kenyataan di sini berkata polis giat mencari Muhdalena, yang merupakan tahanan di Hospital Permai, Tampoi.
   
Suspek pernah dituduh di Mahkamah Putrajaya, Kuala Lumpur mengikut kesalahan Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 7 Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya.
   
Pada akhir perbicaraan, suspek dimasukkan ke Hospital Permai atas perintah Mahkamah Putrajaya mengikut Seksyen 348 Kanun Prosedur Jenayah (Akta 593) demi penjagaan selamat orang yang dibebaskan.
   
Hasnan berkata orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi pihak polis di talian 07-2212999. - Bernama


SH

23 Oktober 2014

Berpakaian tak sopan depan anak


Melaka: Seorang buruh binaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini tadi, atas pertuduhan berpakaian separuh bogel di hadapan anaknya, dua minggu lalu.

Tertuduh Johari Hasan, 56, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Norina Maludin selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja melanggar kesopanan terhadap seorang perempuan berusia 17 tahun dengan berpakaian separuh bogel iaitu hanya memakai baju T di sebuah rumah di Kilometer 12, Kampung Bukit Pegoh di sini, kira-kira jam 10.50 malam, 11 Oktober 2014.

Justeru tertuduh didakwa mengikut Seksyen 377 D Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Norshazwani Ishak yang mengendalikan kes menawarkan jaminan RM6,000 terhadap tertuduh bagi kesalahan itu.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam hanya memaklumkan tidak mampu membayar jaminan berkenaan tanpa memberikan sebarang alasan.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua pihak Norina kemudian membenarkan tertuduh dijamin RM6,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan tarikh lantikan peguam dan sebutan serahan dokumen pada 19 November ini.

Harian Metro

21 Oktober 2014

Kempen sentuh anjing, Mufti suruh taubat


KOTA BHARU - Penganjur program 'I Want To Touch A Dog' dan umat Islam yang menyentuh haiwan itu di majlis tersebut kelmarin wajib bertaubat.

Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata, ini kerana mereka secara jelas mempersendakan hukum ALLAH.   

Katanya, perbuatan sengaja menyentuh anjing adalah haram kerana ia najis mughalazoh (berat) dan bertentangan dengan mazhab Syafie.

“Jika dianjurkan oleh orang Islam, dia sebenarnya menghina hukum ALLAH dan boleh dianggap sebagai sindiran tajam terhadap kewibawaan umat Islam. Bertaubatlah," katanya.

“Memang sedih dengan gejala tidak sihat berlaku akhir-akhir ini. Lepas satu ada lagi yang lain ditimbulkan dengan sengaja dalam masyarakat kita,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Mohamad Shukri mengulas tentang program berkaitan sentuh anjing di taman rekreasi di Damansara, Selangor yang menunjukkan umat Islam membelai anjing.


SH

19 Oktober 2014

Belalai air gemparkan penduduk Bintulu

FENOMENA belalai air (dalam bulatan) yang sempat dirakamkan selama 20 minit berlaku di Pantai Kidurong, Bintulu semalam.

KUCHING – Penduduk tempatan gempar selepas menyaksikan satu fenomena puting beliung kecil atau dikenali sebagai belalai air berlaku selama 20 minit di sekitar pantai Tanjung Kidurong, di Bintulu pagi semalam.


Dalam kejadian kira-kira 10 pagi itu, orang ramai menyangkakan puting beliung yang ganas sedang berlaku apabila melihat putaran seolah-olah pusaran angin kencang menghampiri pantai tersebut.
KOSMO!

18 Oktober 2014

Minah saleh berkelakuan tidak senonoh

Empat wanita separuh bogel sedang bersantai di tepi Pantai Saujana Batu 4, kelmarin

PORT DICKSON – Tindakan empat wanita warga asing berehat di Pantai Saujana Batu 4, di sini dalam keadaan separuh bogel, tengah hari kelmarin, menimbulkan rasa kurang senang orang ramai.

Pengunjung yang enggan dikenali berkata, dia terkejut dengan perlakuan melampau wanita terbabit.

"Mereka pada awalnya hanya berbikini dan berenang di pantai. Selepas setengah jam kemudian, mereka naik semula ke pantai dan berjemur dengan hanya memakai seluar dalam sahaja.

"Tiga dari mereka berusia sekitar 20 hingga 30 tahun, sementara seorang lagi lebih berusia sekitar 50-an. Mungkin mereka anak beranak," katanya.

Sementara itu, penjaga tandas awam Pantai Saujana Batu 4, Latif Ahmad, 61, berkata, dia didatangi oleh empat wanita warga Eropah lengkap berpakaian sekitar jam 12 tengah hari yang ingin menyewa payung.

"Mungkin mereka menginap di salah sebuah hotel sekitar Batu 4 berikutan mereka hanya berjalan kaki ke pantai ini.

"Disebabkan saya tidak faham bahasa Inggeris, saya hanya berkomunikasi menggunakan bahasa isyarat dan dengan bantuan orang awam lain, dia dimaklumkan wanita berkenaan ingin menyewa payung dan meminjam kerusi," katanya.

Tambah Latif, dia tidak menyedari kejadian berkenaan sehinggalah diberitahu wartawan.

“Jarak antara tandas ini dan lokasi kejadian agak jauh, ditambah pula tempat ini dihalang oleh tandas," katanya.

Katanya, sekitar jam 4 petang, wanita berkenaan memulangkan semula kerusi dan sempat bertanya bagaimana hendak ke restoran segera di Port Dickson," jelasnya.

Latif berkata, sejak dia bertugas sebagai penjaga tandas hampir dua tahun lalu, ini kali pertama dia mendengar berita mengenai kejadian seperti itu.

“Memanglah tidak ramai pengunjung yang datang ke pantai ini semalam (kelmarin) kecuali pada hujung minggu atau cuti umum, memang pantai ini padat dengan pengunjung,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD), Datuk Ab Khalid Mat berkata, walaupun kes itu terpencil, namun pihaknya memandang serius perkara itu dan sedang menjalankan siasatan lanjut mengenainya.

“Mandi tanpa pakaian di tempat awam adalah satu kesalahan dan melanggar etika Malaysia sebagai sebuah negara Islam.

“Oleh itu, orang ramai diminta bekerjasama dalam hal ini. Sekiranya perkara sama berlaku, orang ramai diminta segera menghubungi MPPD atau pihak berkuasa untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Baharuddin Mustapha berkata, sehingga jam 6 petang semalam, pihaknya belum menerima sebarang laporan polis berkenaan perkara tersebut.

SH

Port Mak Ngah Skodeng !