23 Oktober 2014

Berpakaian tak sopan depan anak


Melaka: Seorang buruh binaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini tadi, atas pertuduhan berpakaian separuh bogel di hadapan anaknya, dua minggu lalu.

Tertuduh Johari Hasan, 56, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Norina Maludin selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja melanggar kesopanan terhadap seorang perempuan berusia 17 tahun dengan berpakaian separuh bogel iaitu hanya memakai baju T di sebuah rumah di Kilometer 12, Kampung Bukit Pegoh di sini, kira-kira jam 10.50 malam, 11 Oktober 2014.

Justeru tertuduh didakwa mengikut Seksyen 377 D Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Norshazwani Ishak yang mengendalikan kes menawarkan jaminan RM6,000 terhadap tertuduh bagi kesalahan itu.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam hanya memaklumkan tidak mampu membayar jaminan berkenaan tanpa memberikan sebarang alasan.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua pihak Norina kemudian membenarkan tertuduh dijamin RM6,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan tarikh lantikan peguam dan sebutan serahan dokumen pada 19 November ini.

Harian Metro

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Port Mak Ngah Skodeng !