13 November 2014

JPJ: Nombor plat bukan punca kemalangan


PUTRAJAYA – Faktor kemalangan bukan punca larangan saiz tertentu bagi nombor pendaftaran kenderaan dikuatkuasakan di negara ini.

Jelas Pengarah Bahagian Korporat dan Penyelidikan JPJ, Wan Ramli Wan Daud, kenyataan tersebut sebenarnya disalah tafsir oleh pengguna jalan raya.

“Dalam kajian yang dijalankan oleh pihak JPJ dan pihak polis, punca sebenar kemalangan kebanyakannya berpunca daripada sikap pemandu yang tidak mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya, menggunakan telefon bimbit semasa pemanduan dan mengambil alkohol ketika memandu.

“Patuhilah peraturan yang diguna pakai, kita kuat kuasakan undang-undang demi keselamatan dan keselamatan pengguna jalan raya,” katanya kepada Sinar Harian Online,  ketika sesi penyerahan memorandum bantahan terhadap operasi bersepadu cermin gelap, nombor pendaftaran kenderaan, strobe light dan HID oleh Pemuda Pas yang diketuai Suhaizan Kaiat dan Ketua Penerangan Pemuda Pas, Mohd Nasaie Ismail, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai dakwaan ukuran nombor plat menjadi punca kemalangan jalan raya yang disebar meluas melalui laman sosial dan media massa kebelakangan ini.

Pihak JPJ sebelum ini diminta mengemukakan bukti secara saintifik yang boleh mengaitkan peningkatan kadar kemalangan jalan raya dengan plat kenderaan tidak mengikut spesifikasi, cermin gelap dan aksesori kenderaan.

Exco Pemuda Umno, Mohd Iskandar Jaafar dalam satu laporan yang disiarkan Sinar Harian Online hari ini  berkata, bukti itu harus diumumkan kepada rakyat agar langkah jabatan itu menguatkuasakan undang-undang menggunakan alasan berkenaan, tidak lagi dipertikaikan.

“Tidak timbul faktor seperti itu (faktor kemalangan) bagi larangan tersebut,”

“... Saiz nombor plat bukan punca sebenar kemalangan berlaku,” tegasnya.


Sinar Harian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Port Mak Ngah Skodeng !