18 September 2014

Buat Perangai Pelik Gara gara Cinta Terlarang


IPOH - Akibat cinta tidak direstui, seorang lelaki sanggup menghalang kenderaan yang dinaiki sebuah keluarga untuk melarikan kekasihnya.
 
Malah, lelaki terbabit turut merayu kepada kekasihnya itu supaya jangan meninggalkannya dan mengajaknya berkahwin.
 
Lebih melucukan apabila lelaki berkenaan turut membuat upacara perkahwinan di dalam kereta dengan mengenakan tali di leher kekasihnya sebagai simbol mereka sudah berkahwin.
 
Dalam kejadian Isnin lalu jam 11 malam, semasa mangsa bersama ibu, abang dan kakak iparnya berada dalam kereta Perodua Viva melalui jalan di Desa Pinji, Lahat tiba-tiba muncul sebuah kereta Proton Persona warna hitam melanggar hadapan kereta yang dinaiki keluarga tersebut.
 
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, selepas pelanggaran itu berlaku, tiga lelaki keluar dari kereta tersebut dan seorang daripada mereka adalah teman lelaki mangsa berusia 25 tahun.
 
“Suspek yang bekerja sebagai pengawal keselamatan itu, bertindak memecahkan cermin kereta dan memukul abang mangsa sebelum menarik keluar mangsa dari kereta serta melarikannya menaiki keretanya.
 
“Abang mangsa mengalami kecederaan di tangan kanan dan kereta mereka rosak di bampar, bonet depan dan cermin kereta pecah dengan anggaran kerugian berjumlah RM1,000,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
 
Menurutnya, susulan kejadian itu, abang mangsa berusia 30 tahun yang bekerja sebagai operator kilang membuat laporan di Balai Polis Simpang Pulai, kelmarin.
 
Beliau berkata, siasatan awal mendapati pembantu tadbir berusia 22 tahun itu telah menjalinkan hubungan dengan suspek sejak empat tahun lalu.
 
“Bagaimanapun, keluarga mangsa menghalang hubungan mereka apabila mengetahui suspek terbabit dalam kegiatan dadah,” ujarnya.
 
Katanya, polis berjaya mengesan suspek bersama mangsa dalam keadaan selamat di Taiping dan suspek ditahan reman untuk siasatan lanjut.
 
“Lima rakan suspek turut ditahan bagi membantu siasatan. Selain itu, semakan kami mendapati suspek turut mempunyai satu rekod jenayah Seksyen 395 Kanun Keseksaan iaitu melakukan samun berkawan,” katanya.
 
Kes disiasat mengikut Seksyen 363, 427, 323 dan 448 Kanun Keseksaan.

Sinar Harian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Port Mak Ngah Skodeng !