08 Mac 2015

Ramai suka Khairy Jamaluddin jadi pelakon?


Video turut dikongsi Khairy dalam laman mikro Twitternya.


MENTERI Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin sekali lagi menarik perhatian di media sosial apabila muncul beberapa minit dalam sebuah video dari Vlogger terkenal, Mat Luthfi.

Video berjudul "Be Yourself in a Job Interview by Mat Luthfi " itu berkisarkan tips semasa temuduga kerja.

Video berdurasi 2 minit 41 saat yang diterbitkan oleh Ready4WorkMy itu kini ditonton lebih 22,800 pelayar YouTube sejak dimuatnaik pada Isnin.  

Aksi dan skrip bersahaja yang dilakonkan Khairy ternyata berjaya mencuit hati penonton.

“Oh..Mat Luthfi, 'please, have a seat' (silakan duduk).

“Mat Luthfi, kenapa you (awak) ni tak 'tall, dark and handsome ye?' (tinggi, gelap dan kacak),” ujar Khairy.

Tinjauan Sinar Online mendapati rata-rata pelayar menyifatkan video yang menyaksikan Khairy di akhir babak video berkenaan tersebut kelakar dan mencuit hati.

Antara komen-komen pelayar ialah, "sumpah, sportinglah KJ."

Ada juga komen berbunyi "OK, 'ending' tu memang terbaik..!!!!."

SH

04 Mac 2015

Bayi Paling Gemuk Ketagih makan Nasi Kari dan Capati


SEPASANG suami isteri di India terkejut dengan perkembangan anak mereka yang kini seberat 18 kilogram walaupun baru berusia 10 bulan.
Bayi bernama Aliya itu dilahirkan seberat 4 kilogram sebelum membesar dengan pantas sehingga menyebabkan ibu bapanya perlu membeli pakaian baharu setiap dua minggu.
Bapa bayi itu, Mohammad Saleem berkata, berat anaknya semakin bertambah apabila Aliya ketagih menjamah kari bersama nasi.
Jelasnya, anak perempuan mereka itu kini perlu menjamah sepinggan nasi serta dua keping capati yang sama seperti hidangan orang dewasa untuk menahan lapar.
Ibu Aliya, Shabana Parveen, 25, memberitahu, dia bimbang bayinya menghadapi penyakit yang menjadikanya sering lapar.
Menurutnya, Aliya kini hanya mampu diangkat oleh bapanya kerana berat bayi itu menyamai kanak-kanak berusia 6-7 tahun.
mStar Online

03 Mac 2015

MC Akibat Chicken Chop Jadi Viral dan bahan Jenaka


PETALING JAYA: Sebuah klinik di Sungai Buloh tersilap mengeluarkan sijil cuti sakit (MC) kepada salah seorang pelajar sehingga ianya dijadikan bahan jenaka di media sosial.

MC tersebut dikeluarkan sebuah klinik swasta bagi mengesahkan seorang pelajar perempuan di sebuah sekolah menengah di Sungai Buloh yang menghidap demam campak dan diberikan cuti sakit selama lima hari sehingga Jumaat ini.
Bagaimanapun, MC yang ditandatangani seorang doktor di klinik tersebut ditulis perkataan 'chicken chop' dan bukannya 'chicken pox' iaitu demam campak.

Kesilapan pada MC tersebut menjadi gurauan dan bualan hangat di media sosial.

Malah, gambar surat MC tersebut turut disebarkan menerusi aplikasi WhatsApp pada Isnin.

Namun, difahamkan kesilapan tersebut bukan dilakukan oleh doktor tetapi kakitangan di klinik tersebut yang ditugaskan untuk mengisi slip MC berkenaan.

Usaha untuk mendapatkan sebarang komen dari klinik tersebut tidak berjaya.

Bagaimanapun, kakitangan di klinik tersebut dilaporkan memberitahu sebuah portal berita bahawa ia adalah satu kesilapan yang tidak disengajakan oleh mereka.

"Ia adalah satu kesilapan yang tidak disengajakan oleh pihak kami. Bagi pihak klinik ini, kami memohon maaf di atas kesilapan tersebut dan mahu bangkit daripada kesilapan ini," katanya kepada portal tersebut.

Kakitangan klinik tersebut turut memberitahu klinik itu tidak berhenti dihujani panggilan telefon dari orang ramai yang bertanyakan tentang perkara tersebut.

mstar Online

01 Mac 2015

Gadis Rayu 'Ditidurkan' Selamanya kerana Penyakit Fibrosis sistik

Valentina sempat berselfie bersama Bachelet di hospital.
Presiden Chile bergegas ke hospital pada Sabtu untuk melawat remaja perempuan berusia 14 tahun yang merayu kepada pemimpin negara itu supaya membenarkan doktor 'menidurkannya' kerana terlalu bosan dengan penyakit fibrosis sistik yang dihidapinya.
Rakaman rayuannya itu dimuat naik ke YouTube pada Khamis.
Susulan itu, kerajaan negara itu bertindak segera mengatakan "tidak"  sebaik mesej yang disampaikan remaja itu mula tersebar dengan meluasnya.
Presiden, Michelle Bachelet menerusi kenyataan rasminya berkata, beliau bertemu Valentina Maureira dan bapanya lebih sejam di Hospital University Catholic di ibu negara itu.
Bagaimanapun, pihak berwajib tidak memaklumkan butiran perbincangan antara mereka, kecuali menyediakan gambar lawatan pemimpin negara itu termasuk selfie yang dirakamkan Valentina bersama Bachelet yang juga seorang pakar kanak-kanak.
Valentina menarik perhatian ramai apabila dia memuat baik video yang dirakamkan di katil hospital berkenaan.
"Saya memohon untuk segera bercakap dengan presiden kerana semakin penat kerana terpaksa hidup dengan penyakit yang dihidapi. Saya mahukan kebenarannya untuk mendapat suntikan bagi membolehkan saya tidur selama-lamanya," katanya.
Valentina mempunyai abang yang menghidap penyakit sama, bagaimanapun meninggal dunia pada usia enam tahun.
Fibrosis sistik boleh mengakibatkan organ dalaman rosak terutama paru-paru sekali gus menyebabkan jangkitan yang boleh merosakkan tisu.
Kata Valentina, dia kesal kerana kurangnya pilihan untuk mengubati penyakit itu dan kini ia memudaratkan dirinya hingga mengganggu kehidupan hariannya.
Pada Khamis, jurucakap presiden, Alvaro Elizalde bersimpati dengan rayuan Valentina dan menegaskan bahawa undang-undang di Chile tidak membenarkan eutanasia atau mempercepatkan kematian seseorang.
"Adalah mustahil untuk tidak tersentuh dengan kata-kata gadis itu dan pada masa sama adalah sesuatu yang mustahil untuk memenuhi hasratnya itu," katanya.
Menerusi temubual bersama AP pada Khamis, bapa remaja itu, Fredy Maureira berkata, beliau menyokong permintaan anaknya walaupun sedih apabila pertama kali mendengar rayuan itu.
"Ia sesuatu yang sukar tetapi saya perlu menghormati keputusannya kerana dia yang menanggung kesakitan itu selama ini," katanya.
mStar Online

24 Februari 2015

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein jadi jurugambar di Angkor Watt

Gambar tersebut dikongsi di laman Facebook beliau 22 Februari lalu.

GELAGAT Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengambil gambar pasangan warga Jerman di tempat pelancongan terkenal Angkor Wat mendapat perhatian pengguna laman sosial Facebook baru-baru ini.

Gambar tersebut dikongsi di laman Facebook beliau 22 Februari lalu.

Dalam entri tersebut Hishammudin menulis, "tidak menjangka permintaan dari pasangan warga Jerman yang meminta tolong merakamkan gambar mereka di Angkor Wat."

Aksi spontannya ini mendapat pujian pengguna laman sosial berkenaan. Antara komen-komen ialah, "terbaik Datuk Seri, kalau mereka tahu mereka dibantu oleh menteri Malaysia, alangkah hebatnya.

Ada juga komen berbunyi, "sangat merendah diri, semoga kekal dengan sikap sebegini."

Seorang lagi berkata, "mereka pasti berbangga bila mereka tahu anda adalah menteri. Mereka bertuah kerana anda menjadi satu minit jurugambar."

Hishammuddin ketika itu dalam rangka lawatan kerja ke Kemboja sempat meluangkan masa untuk melawat kompleks kuil terkemuka, Angkor Watt.

SH

20 Februari 2015

Pengantin Mogok Lapar depan Rumah Mentua

KUMARI mogok lapar di luar rumah mentuanya sejak beberapa hari lalu

Seorang pengantin baru di sini melancarkan mogok lapar di hadapan rumah mentuanya sejak tiga hari lalu bagi mendesak keluarga suaminya menerimanya sebagai menantu.

Wanita itu, Priti Kumari berkahwin dengan seorang guru, Dheeraj Kumar selepas lelaki itu diculik pada 21 April tahun lalu.

Bagaimanapun, Kumar mendakwa dia dipaksa berkahwin dengan Kumari dan dipukul apabila enggan berbuat demikian.

Selepas berkahwin Kumar dibebaskan dan dibenarkan pulang ke rumah, tetapi lelaki itu enggan menerima isterinya walaupun beberapa kali dirayu keluarga wanita berkenaan.

Kumari yang kecewa membuat satu majlis perkahwinan di luar rumah mentuanya di kampung Makdampur di negeri Bihar pada Hari Valentine lalu dengan harapan dia diterima sebagai menantu.
Usahanya sia-sia apabila keluarga mentuanya masih tidak membenarkan dia masuk ke rumah.

Sejak itu, Kumari berikrar melancarkan mogok lapar dan sanggup mati kebuluran daripada pulang ke rumah ibu bapanya.

Tindakan Kumari itu menyebabkan pihak berkuasa di negeri itu bingung dan menghantar sepasukan anggota polis untuk mengawasi keselamatan wanita itu serta pasukan perubatan bagi memantau kesihatannya.

“Saya sanggup mati daripada pulang ke rumah keluarga saya.

“Seorang gadis Hindu hanya berkahwin sekali dalam hidupnya,” kata Kumari yang menegaskan dia tidak akan menjamah sebarang makanan sehingga diterima keluarga mentuanya.

Keluarga Kumar berkata, mereka enggan mengiktiraf perkahwinan berkenaan kerana tidak mendapat restu kedua ibu bapa lelaki itu.

“Saya dipaksa berkahwin dengannya dan pihak polis juga sudah menahan tiga individu selepas saya membuat aduan, malah kes ini masih dibicarakan di mahkamah,” kata Kumar.

Perkahwinan paksa adalah perkara biasa di sebahagian negeri Bihar dan menurut polis, seramai 2,533 individu diculik untuk dikahwinkan sepanjang tahun lalu. 

- Agensi


19 Februari 2015

Padah minta duit, belasah isteri dapat balasan


KOTA BHARU - Penderitaan seorang wanita berakhir apabila suaminya dihukum penjara 10 bulan oleh Mahkamah Majistret Kota Bharu, hari ini selepas didapati bersalah memukulnya.

Hukuman diputuskan Majistret, Mohamad Nasrudin Mohamed ke atas pekerja pam minyak terbabit, Mohd Hasrul Omar, 30, selepas tertuduh mengaku bersalah.

Lelaki tersebut didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada isterinya seorang warga Indonesia, Rumisih Suwarno dengan menumbuk di kepala, dada dan bahu kanan di alamat Kampung Kuala Besar, Badang, di sini, pada jam 12 tengah hari, 13 Februari lalu.

Dalam kejadian itu, tertuduh menumbuk mangsa dengan tangan dan lutut serta turut menendang di badan dengan kaki hingga isterinya cedera lebam-lebam di badan.

Tertuduh pada mulanya meminta duit dengan mangsa, namun permintaan itu tidak dapat dipenuhi kerana tidak mempunyai wang menyebabkan berlaku pertengkaran mulut.

Tertuduh kemudian bertindak ganas dengan membelasah mangsa hingga ibu mertua mangsa datang meleraikannya.

Pada prosiding berkenaan, tertuduh yang diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kelantan memohon hukumannya diringankan, bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Kelantan, Nurliyana Md Zukri memohon hukuman setimpal bagi memberi pengajaran kepadanya.

“Saya mohon mahkamah mempertimbangkan rekod jenayah lampau tertuduh dan mengambil kira jenayah keganasan rumah tangga yang semakin berleluasa terutama di negeri ini,” katanya.

SH

15 Februari 2015

Pencuri hati budiman

GAMBAR rakaman kamera litar tertutup sebuah kedai menunjukkan Few memulangkan patung beruang yang dicurinya sebelum itu.

Sesekali, pencuri juga memiliki hati budiman.Sekurang-kurangnya itu dibuktikan Brodie Few, 26, selepas dia mencuri patung beruang gergasi dari sebuah kedai beberapa hari lalu.

Sejurus selepas melarikan patung beruang berkenaan, Few terkejut apabila menyedari ia hadiah untuk cabutan bertuah program amal untuk pekerja kedai berkenaan yang meninggal dunia tahun lalu akibat kanser payu dara.

Lebih menarik, tindakan Few memulangkan patung beruang itu dirakam kamera litar tertutup kedai itu.
Imejnya yang terakam memudahkan pihak berkuasa mencari dan menangkapnya selepas ia disebarkan secara meluas di media tempatan.

metro

13 Februari 2015

Gambar,Kanak-kanak tersepit celah dinding bangunan

AGENSI - GAMBAR menunjukkan dua orang kanak-kanak lelaki tersepit di celah dinding sebuah bangunan di perkampungan Guabo di wilayah Guangdong, China baru-baru ini.

Dua kanak-kanak lelaki berusia empat dan lima tahun berdepan situasi cemas apabila tersepit di celah dinding sebuah bangunan gara-gara mahu pulang ke rumah mengikut jalan pintas di sini baru-baru ini.

Jie Tai, 4, dan Ming Huang, 5, berjaya diselamatkan sekumpulan anggota bomba dalam satu operasi dramatik di perkampungan Gaobu yang terletak di selatan wilayah Guangdong selepas menerima panggilan daripada orang ramai yang gagal mengeluarkan mereka.
“Insiden itu mula disedari apabila beberapa orang yang lalu-lalang di sekitar kawasan tersebut mendengar tangisan dua kanak-kanak.
“Setelah diperiksa, mereka dapati terdapat dua kanak-kanak lelaki tersepit di celah dinding antara dua bangunan,” menurut jurucakap pihak bomba, Cheng Lin.
Jarak antara dua bangunan tersebut sekitar 15 sentimeter.
Tai dan Huang dipercayai mahu mengikut jalan pintas untuk pulang ke rumah yang terletak tidak jauh dari tempat insiden itu berlaku selepas keluar bermain.
“Kami perlu berhati-hati agar mereka tidak tercedera sewaktu memecahkan dinding dalam operasi menyelamat. Selepas lubang berjaya ditebuk, kami berjaya menarik mereka ke dalam bangunan,” katanya lagi.
Operasi menyelamat mengambil masa kira-kira 10 minit, manakala kedua-dua kanak itu tidak mengalami sebarang kecederaan tetapi trauma dengan kejadian yang menimpa mereka.
 – Agensi


11 Februari 2015

Pelajar Perempuan Jepun Habiskan 7 Jam Sehari Main Telefon

TOKYO: Pelajar perempuan sekolah menengah di Jepun menghabiskan sekurang-kurangnya tujuh jam sehari bermain-main dengan telefon bimbit mereka, demikian menurut kajian baru yang dikeluarkan pada Selasa.
Hasil kajian itu juga mendapati, hampir 10 peratus daripada mereka menghabiskan masa sehingga 15 jam sehari dengan telefon bimbit.
Sedangkan pelajar menengah lelaki hanya menghabiskan masa empat jam bersama telefon bimbit mereka.
Tinjauan itu yang dijalankan oleh firma sekuriti, Digital Arts, turut menyatakan para remaja menggunakan sebahagian masa mereka melayari media sosial menggunakan telefon bimbit.
Mereka juga menghabiskan banyak masa bermain permainan dalam aplikasi telefon pintar, malah melakukan rakaman video.
Hampir 96 peratus pelajar sekolah menengah Jepun memiliki telefon bimbit manakala 60 peratus pelajar sekolah rendah turut memiliki telefon bimbit sendiri.
Tinjauan itu juga mendapati, empat dari setiap 10 murid sekolah rendah yang berusia 10 tahun ke atas menggunakan telefon peribadi.
Sejumlah 618 pelajar sekolah terlibat dengan tinjauan tersebut.
mStar Online

Port Mak Ngah Skodeng !