25 September 2014

Bayi diserang biawak makin pulih

Nor Raudah Abdullah, 38, bersama bayinya, Nur Hidayah Abdul Rahman yang berusia lapan bulan yang semakin pulih ketika ditemui di Wad Kanak-Kanak Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Baharu di Jphpr Bahru hari ini. - Foto Bernama

JOHOR BAHRU - Nur Hidayah Abdul Rahman, bayi berusia lapan bulan yang menjadi mangsa serangan seekor biawak di kuarters sebuah resort di Kampung Tekek, Tioman, Pahang, Selasa lepas, menunjukkan tanda-tanda semakin pulih.
    
Pegawai Perubatan Pembedahan Plastik dan Rekonstruktif Hospital Sultanah Aminah (HSA), Dr Low Tzuemn Ling berkata, Nur Hidayah yang menerima 150 jahitan akibat cakaran biawak terbabit dijangka dibenarkan pulang ke rumah dalam masa terdekat, tetapi perlu menghadiri rawatan susulan di hospital berkenaan untuk memulihkan parut yang dialaminya.
    
"Buat masa ini kita sedang lihat proses penyembuhan luka dan dijangkakan jahitan itu akan dibuka seminggu lagi. Setakat ini, keadaan Nur Hidayah stabil cuma kita sedang memantaunya daripada sebarang jangkitan," kata beliau kepada pemberita di Wad Kanak-Kanak HSA, di sini hari ini.
    
Terdahulu, beliau mengiringi Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor Asiah Md Ariff yang melawat bayi berkenaan di wad kanak-kanak itu.
    
Dr Tzuemn Ling berkata, parut di muka Nur Hidayah kemungkinan sukar hilang, namun, rawatan susulan akan terus diberikan kepada bayi itu bagi meminimumkan kesan parut itu.
    
Meskipun pihaknya amat terkejut apabila melihat keadaan Nur Hidayah ketika tiba di hospital tempoh hari, beliau telah memastikan segala prosedur rawatan yang dilakukan terhadap bayi itu dilakukan dengan penuh teliti.
    
Sementara itu, Asiah berkata pihaknya menyediakan seorang pegawai kaunseling untuk membantu ibu bayi itu, Nor Raudah Abdullah, 38, sehingga pulih sepenuhnya daripada trauma yang dialaminya memandangkan wanita itu masih terbayang-bayang kejadian itu.
    
"Kita harap kaunseling ini sekurang-kurangnya dapat melegakan keadaan ibu bayi tersebut. Dia kelihatan biasa pada hari ini tetapi kita faham, untuk hilangkan trauma itu bukan perkara yang mudah," kata beliau yang turut menyampaikan sumbangan kepada ibu bapa bayi itu.
    
Sementara itu, bapa Nur Hidayah Abdul Rahman Ismail, 38, berkata kelibat biawak yang berkeliaran di sekitar rumah dan resort berkenaan biasa dilihat setiap hari, namun, tidak menyangka haiwan itu bertindak memasuki rumah.
    
Abdul Rahman yang merupakan pekerja penyelenggaraan di resort tersebut, turut berkata kawasan sekeliling resort itu amat bersih dengan dilengkapi landskap tanaman.
    
Beliau berkata ketika kejadian berlaku, dia sedang bekerja dan telah dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh pihak majikan.
    
"Saya rasa macam hendak mati bila dapat tahu perkara itu dan terus bergegas ke Klinik Kesihatan untuk melihat anak saya yang sudah dibawa ke sana. Setiap hari saya nampak biawak berkeliaran di kawasan rumah dan resort tetapi kejadian biawak memasuki rumah memang pertama kali terjadi," katanya yang tinggal di kuarters resort tersebut sejak setahun lalu. - Bernama

Pengguna merungut iPhone 6 Plus mudah bengkok

Imej iphone 6 Plus yang didakwa mudah bengkok - Sumber dari YouTube


KUALA LUMPUR: Beberapa pengguna iPhone 6 Plus merungut mendakwa bahawa peranti milik mereka itu telah bengkok, hanya beberapa hari sejak produk terbaharu keluaran Apple itu dilancarkan di pasaran.

Menurut laporan MacRumors, iPhone 6 Plus milik beberapa pengguna bengkok selepas diletakkan di dalam poket seluar mereka.

Salah seorang daripada pengguna telefon bimbit itu berkata ia bengkok selepas beliau membawa telefon itu seharian di dalam poketnya.

“Saya meninggalkan rumah pada pukul 10 pagi dengan iPhone saya di poket depan seluar sebelah kiri.

“Saya memandu empat jam ke sebuah majlis perkahwinan, di mana saya duduk lama dan menari untuk dua ke tiga jam. Saya kemudiannya meninggalkan majlis itu pada pukul 2 petang dan memandu pulang selama empat jam lagi.

“Secara keseluruhan, iPhone 6 Plus itu berada selama 18 jam di dalam poket saya, di mana dalam tempoh itu kebanyakkan masa saya habiskan dengan duduk.

“Semasa saya meletakkannya di atas meja, saya terlihat imbasan iPhone itu di cermin yang ia (kelihatan) sedikit bengkok,” kata pengguna itu.

Laporan itu turut berkata untuk mengelakkan peralatan itu daripada bengkok, pengguna digalakkan mengeluarkannya dari poket sebelum duduk atau membongkok.

Sumber

24 September 2014

Budak Terendam Sejam Dalam Mesin Basuh

Dejannah terpaksa menunggu sejam untuk dikeluarkan pasukan penyelamat.

Seorang kanak-kanak perempuan terpaksa ‘berendam’ selama lebih sejam dalam mesin basuh selepas tergelincir dan terperangkap dalam alat itu.

Dejannah Price, 10, berkata dia hilang keseimbangan ketika membongkok untuk menarik keluar hamparan kecil dari mesin berkenaan.

Sebaik saja kejadian itu disedari ibunya, Diana Brown, wanita terbabit cuba mengeluarkan Dejannah tetapi gagal.

“Saya mencuba pelbagai cara untuk mengeluarkan Dejannah tetapi tiada satu pun yang berhasil. Akhirnya saya mengalah dan menghubungi polis,” katanya.

Kata Diana, walaupun anaknya ketawa terbahak-bahak kerana tersangkut dalam mesin basuh, dia tidak menganggap kejadian itu lucu.

Sementara itu, jurucakap polis Long Island berkata, sepasukan penyelamat dikejarkan ke rumah Diana tetapi sebelum memulakan tugas mengeluarkan Dejannah, mereka sempat ketawa kehairanan.

“Kami tertanya-tanya bagaimana budak berkenaan boleh termasuk ke mesin basuh itu,” katanya.

Jurucakap polis itu berkata, pada peringkat awal mereka juga gagal mengeluarkan Dejannah dari mesin itu dan terpaksa memecahkan alat berkenaan.

Dejannah pula bernasib baik kerana tidak mengalami sebarang kecederaan serius.
Sumber

YouTube buat kanak-kanak lapan tahun dapat hasil AS1.3 juta setahun

Saluran YouTube Even turut mendapat jumlah tontonan sebanyak 750 juta dalam masa beberapa tahun.


Mungkin kita tidak pernah mendengar namanya, namun tanpa kita sedari Evan, 8 dari Amerika Syarikat adalah kanak-kanak paling popular di dunia.

Hanya dengan memuatnaik rebiu permainan kanak-kanak dan ‘video games’ kegemarannya di YouTube, Evan berjaya memperolehi  pendapatan sebanyak US 1.3 juta setahun.

Saluran YouTube Evan turut mendapat jumlah tontonan sebanyak 750 juta dalam masa beberapa tahun ia dimuatnaik.

Angka itu meletakkan Evan setanding dengan tontonan yang diperolehi artis antarabangsa yang lain seperti Katy Perry, Madonna serta saluran ESPN.

Namun Evan tidak melakukannya sendirian, kanak-kanak tersebut mendapat pertolongan bapanya, Jared dan kadangkala adik perempuan dan ibunya turut menyertai Evan melakukan rebiu.


Jared yang juga dikenali sebagai DaddyTube memiliki syarikat fotografi dan video produksi sendiri bertanggungjawab menyunting rakaman video Evan.

Menurut laporan Newsweek.com, projek keluarga tersebut dimulakan Jared tiga tahun lepas hanya sekadar suka-suka sehinggalah salah satu video mereka mencapai tontonan sehingga sejuta tontonan.

Semenjak itu, anaknya sering mendapat permintaan untuk membuat rebiu produk permainan kanak-kanak.

Pendapatan yang dimiliki Evan adalah hasil dari jualan iklan di laman YouTubenya.

Kata Jared yang masih bekerja, duit tersebut tidak digunakan untuk menampung keluarganya namun dimasukkan terus ke dalam bank simpanan untuk masa depan anak-anaknya.

Sehingga kini Evan telah memiliki tiga saluran YouTube iaitu EvanTubeHD, EvenTubeRAW dan EvenTube Gaming.

Astro Awani

23 September 2014

Akibat abaikan anak


SEPASANG suami isteri, Idle Gillian Hendry dan Craig Dick, masing-masing berusia 34 tahun hilang hak penjagaan anak selepas dituduh mengabaikan dua anak mereka di Teesdale Terrace, Britain.

Dalam kertas pertuduhan di bacakan di Mahkamah Crown, pasangan itu dikatakan mengabaikan dua anak mereka berusia 12 tahun dan dua tahun dengan meninggalkan mereka di dalam bilik kotor dan busuk.

Menurut Dailymail, lebih menyedihkan, seorang daripada anaknya dilaporkan buta mata kiri kerana  pasangan itu gagal membawa anak mereka untuk temu janji di hospital.

Tindakan pengabaian kanak-kanak itu terbongkar selepas sekumpulan pekerja sosial dari hospital berkenaan pergi ke rumah pasangan itu untuk mengetahui alasan mengapa mereka gagal menemui doktor bagi melakukan pembedahan mata berkenaan.

Ketika memasuki rumah terbabit, terdapat puluhan plastik sampah di ruang tamu dengan pakaian tidak berbasuh dan tandas kotor yang dipenuhi najis serta tilam berkulat.

Hakim Mahkamah Crown berkata, tindakan pasangan itu amat kejam kerana membiarkan anak-anak mereka hidup dalam keadaan mengerikan dan sangat kotor.

Bagaimanapun, peguam pasangan itu Peter Wishlade berkata, ibu kanak-kanak itu mengalami kemurungan hingga gagal melayan anak-anaknya manakala bapa mereka seorang yang pengotor.

"Dia adalah seorang lelaki yang tidak tahu menjaga kebersihan diri dan tertekan dengan masalah isterinya," katanya.

Keputusan penghakiman diakhiri dengan hakim memutuskan, kedua-dua pasangan itu hilang hak penjagaan terhadap anak-anak mereka dan pasangan itu ditahan di bawah penjagaan pakar sakit jiwa di hospital tempatan.


Sinar Harian

22 September 2014

Seluruh pasukan Bolasepak Cameroon peluk Islam

  • Benoit Assou-Ekotto (depan, kanan) antara pemain beragama Islam dalam skuad kebangsaan Cameroon.

MENURUT laporan Jabatan Hal Ehwal Islam dan Aktiviti Kebajikan Dubai (IACAD), Emiriyah Arab Bersatu, kesemua anggota pasukan bola sepak pelapis kebangsaan Cameroon termasuk jurulatih dan paderi mereka telah memeluk agama Islam.

Anggota pasukan Cameroon yang rata-rata dalam lingkungan 20-an mengucap dua kalimah syahadah beramai-ramai setelah menghadiri satu kem latihan yang dianjurkan jabatan tersebut di Dubai, baru-baru ini.

Menurut IACAD, keputusan itu diambil kerana mereka tertarik dengan layanan baik dari warga tempatan serta keamanan dan ketenangan yang dapat dirasakan di dalam Islam.

Pasukan Cameroon berasal dari akademi bola sepak yang ditubuhkan khas untuk anak-anak yatim, orang gelandangan dan orang miskin.

Ketua Pengarah IACAD, Dr Hamad Al Shaibani berkata, jabatan tersebut telah menyaksikan ramai penduduk dan pelancong dari pelbagai kewarganegaraan memeluk Islam.

“Kebanyakan mereka memeluk agama Islam kerana tertarik dengan nilai-nilai toleransi berperikemanusiaan dan prinsip Islam serta kebajikan yang ditunjukkan oleh orang Islam itu sendiri,” katanya.


Sinar Harian

21 September 2014

Pelajar IPTA BEROMEN dalam bas ditahan

KUANTAN - Polis menahan sepasang kekasih yang berkelakuan tidak senonoh di dalam sebuah bas ekspres yang dalam perjalanan dari Terengganu menuju Kuala Lumpur pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata pihaknya menerima aduan berhubung kejadian itu daripada pemandu bas berkenaan kira-kira 2.01 pagi.

"Dia mendapati pasangan itu yang berumur 20 tahun sedang melakukan perkara tidak senonoh di tempat duduk penumpang ketika di Chendor dekat sini.

"Berikutan itu pasangan tersebut yang merupakan pelajar jurusan Diploma Perakaunan sebuah insitusi pengajian tinggi awam di Terengganu ditahan untuk diambil keterangan," katanya.

Pasangan berkenaan yang sedang bercuti untuk mengulang kaji pelajaran, mengaku melakukan perbuatan itu. - Bernama

20 September 2014

Ibu terkejut anak bersalin dalam tandas


BERA - Sepasang suami isteri amat terkejut apabila anak perempuan mereka yang baru berusia 16 tahun melahirkan anak lelaki di dalam tandas rumah mereka di Felda Bandar 32 dekat sini awal pagi tadi.

Wanita tersebut mendapati anaknya itu berlumuran darah, ketika dia hendak bersolat Subuh kira-kira 5.45 pagi.

Ketua Polis Daerah Bera, Deputi Superintendan Zul Haizal Zainal Abidin berkata bapa pelajar berkenaan kemudiannya membawa anaknya ke klinik kesihatan, sebelum membuat laporan polis kira-kira pukul 7.10 pagi.

Pelajar berkenaan kemudiannya dihantar ke Hospital Sultan Ahmad Shah, Temerloh.

Remaja itu dikatakan sudah mengandung sembilan bulan, tetapi tidak menunjukkan sebarang tanda dia mengandung. - Bernama

19 September 2014

Anak lembu berwajah manusia?

MUKA anak lembu yang dikatakan seperti manusia.
Penduduk yang kehairanan bertumpu ke rumah keluarga Sebenzile di Afrika Selatan baru-baru ini untuk melihat sendiri anak lembu yang didakwa separuh manusia.
Ramai percaya lembu diberi nama Nyamazane itu ‘dirogol’ selepas ia melahirkan anak dengan wajah manusia dan dua organ seks berbeza. Sebenzile Mlangeni, 60, dari Kampung Emazizini, memberitahu akhbar tempatan, Daily Sun, lembu itu melahirkan anaknya Ahad lalu.
“Kira-kira jam 12 tengah hari, saya melihat kaki lembu keluar dari Nyamazane. Lembu itu mengalami kesakitan yang teruk. Proses melahirkan itu mengambil masa lebih lama berbanding biasa,” kata Sebenzile.
“Saya memanggil anak saya untuk membantu. Selepas menarik anak lembu yang sudah mati itu keluar, kami terkejut melihat mukanya seperti manusia.

“Beberapa penduduk berkata, lembu itu mungkin dicabul di padang ragut oleh orang yang tidak dikenali. “Kami tidak pasti bagaimana untuk mengebumikannya, sama ada seperti manusia atau menghantarnya kepada doktor untuk memeriksanya,” kata Sebenzile.
Berita mengenai kelahiran ganjil itu turut mengejutkan Datuk Bandar Ukhahlamba, Thulani Sibeko.
“Saya terkejut melihat gambar anak lembu itu. Saya menyangka gambar itu diubah suai,” kata Sibeko.
Seorang pegawai tempatan, Induna Malinga berkata, sepanjang hidupnya, ini kali pertama dia mendengar cerita lembu melahirkan manusia.
Keluarga Sebenzile berkata, mereka kini takut untuk menyembelih Nyamazane.
“Kami melihatnya seperti manusia kerana dia melahirkan seorang manusia. Mana boleh dagingnya kami makan,” kata Sebenzile. - Agensi

18 September 2014

Buat Perangai Pelik Gara gara Cinta Terlarang


IPOH - Akibat cinta tidak direstui, seorang lelaki sanggup menghalang kenderaan yang dinaiki sebuah keluarga untuk melarikan kekasihnya.
 
Malah, lelaki terbabit turut merayu kepada kekasihnya itu supaya jangan meninggalkannya dan mengajaknya berkahwin.
 
Lebih melucukan apabila lelaki berkenaan turut membuat upacara perkahwinan di dalam kereta dengan mengenakan tali di leher kekasihnya sebagai simbol mereka sudah berkahwin.
 
Dalam kejadian Isnin lalu jam 11 malam, semasa mangsa bersama ibu, abang dan kakak iparnya berada dalam kereta Perodua Viva melalui jalan di Desa Pinji, Lahat tiba-tiba muncul sebuah kereta Proton Persona warna hitam melanggar hadapan kereta yang dinaiki keluarga tersebut.
 
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, selepas pelanggaran itu berlaku, tiga lelaki keluar dari kereta tersebut dan seorang daripada mereka adalah teman lelaki mangsa berusia 25 tahun.
 
“Suspek yang bekerja sebagai pengawal keselamatan itu, bertindak memecahkan cermin kereta dan memukul abang mangsa sebelum menarik keluar mangsa dari kereta serta melarikannya menaiki keretanya.
 
“Abang mangsa mengalami kecederaan di tangan kanan dan kereta mereka rosak di bampar, bonet depan dan cermin kereta pecah dengan anggaran kerugian berjumlah RM1,000,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
 
Menurutnya, susulan kejadian itu, abang mangsa berusia 30 tahun yang bekerja sebagai operator kilang membuat laporan di Balai Polis Simpang Pulai, kelmarin.
 
Beliau berkata, siasatan awal mendapati pembantu tadbir berusia 22 tahun itu telah menjalinkan hubungan dengan suspek sejak empat tahun lalu.
 
“Bagaimanapun, keluarga mangsa menghalang hubungan mereka apabila mengetahui suspek terbabit dalam kegiatan dadah,” ujarnya.
 
Katanya, polis berjaya mengesan suspek bersama mangsa dalam keadaan selamat di Taiping dan suspek ditahan reman untuk siasatan lanjut.
 
“Lima rakan suspek turut ditahan bagi membantu siasatan. Selain itu, semakan kami mendapati suspek turut mempunyai satu rekod jenayah Seksyen 395 Kanun Keseksaan iaitu melakukan samun berkawan,” katanya.
 
Kes disiasat mengikut Seksyen 363, 427, 323 dan 448 Kanun Keseksaan.

Sinar Harian

Port Mak Ngah Skodeng !