15 Julai 2014

Sijil halal roti ditarik balik

Kilang roti berkenaan tidak lagi beroperasi selepas diarah tutup. Gambar kanan: Keadaan bahagian dalam kilang yang dikatakan milik sebuah syarikat roti di Ipoh.

IPOH - Sejak kelmarin, di media sosial termasuk sebuah laman blog, heboh memperkatakan keadaan jijik sebuah kilang membuat roti di sini.

Berdasarkan entri sebuah blog kelmarin, mendedahkan beberapa gambar dikatakan dimuat naik seorang pengguna Facebook keadaan kilang berkenaan yang kotor.

Bagaimanapun, hasil siasatan Sinar Harian mendapati isu berkenaan bukan baharu sebaliknya gambar yang tersiar merupakan gambar sebulan yang lalu.

Malah, tinjauan ke kilang berkenaan mendapati ia tidak lagi beroperasi seperti biasa dan hanya menempatkan beberapa lori syarikat terbabit.

Jaipk lawat kilang

Maklum balas yang diterima daripada Jabatan Agama Islam Perak (Jaipk) mengesahkan kilang yang dimaksudkan sudah diambil tindakan.

Operasi ke atas kilang terbabit dijalankan pada 12 Jun yang lalu melibatkan Jaipk, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Hasil pemeriksaan, kita mendapati kilang ini menggunakan logo Halal tanpa perakuan Jaipk malah sijil halal yang dimiliki tidak diperbaharui selama dua tahun.

“Sebanyak tiga lori roti disita dalam operasi itu. Syarikat terbabit didapati melakukan kesalahan di bawah Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 yang boleh dikenakan denda sehingga RM 250,000,” kata sumber Jaipk, semalam.

Kilang diarah tutup

Sementara itu, Exco Perak, Datuk Samsudin Abu Hassan berkata, tindakan lanjut telah diambil kilang roti yang beroperasi di Jalan Kuala Kangsar sebelum bulan Ramadan lagi selepas didapati kilang tersebut beroperasi dalam keadaan kebersihan yang tidak mengikut piawaian.

Beliau berkata, tindakan berkenaan telah diambil oleh pihak Jabatan Kesihatan dan MBI.

Menurutnya, lesen perniagaan premis tersebut dibatalkan dan tidak lagi beroperasi sehingga kini.

“Jika sesebuah premis itu terlibat dengan aktiviti pengeluaran makanan, jika mereka tidak berjaya menjaga aspek kebersihan dan piawaian yang telah ditetapkan, tindakan undang-undang sememangnya akan diambil,” katanya pada sidang media selepas mengadakan Lawatan Kerja ke Kilang Penapisan Minyak Kelapa Sawit Intergrated  Formation Sdn Bhd, di Kamunting, semalam.

Dalam perkembangan berkaitan, Samsudin berkata, sebelum ini lawatan ke kilang bihun di Kampar juga telah dilakukan pihaknya.

“Kita dapati semuanya dalam keadaan bersih dan terkawal, namun dari sudut pandangan pihak Jabatan Kesihatan operasi premis tersebut terpaksa ditutup selama tiga minggu,” katanya.

Samsudin berkata, perkara utama yang perlu diberikan perhatian oleh mana-mana premis yang menjalankan perniagaan berasaskan makanan, mereka seharusnya memenuhi standard dan juga piawaian kebersihan yang telah ditetapkan.

Ketika Sinar Harian mendapatkan maklum balas syarikat roti berkenaan, wakil syarikat itu ketika dihubungi mengakui kilang berkenaan sudah pun ditutup dan kini berpindah di tempat baharu.


Sinar Harian

14 Julai 2014

Lelaki Ugut Bunuh MB Kedah, Setiausaha Sulit Sultan Ditahan


PETALING JAYA: Polis telah menahan seorang lelaki berusia 37 tahun yang mengugut untuk membunuh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Setiausaha Sulit Sultan Kedah, Datuk Syed Unan Mashri Syed Abdullah.
Lelaki terbabit ditahan pada pukul 5.45 petang Ahad di Shah Alam selepas dia dikesan polis kerana memuatnaik status di laman sosial, Facebook yang mengugut untuk menembak Mukhriz dan Syed Unan Mashri.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Nashir Ya berkata, suspek akan dibawa ke Alor Setar untuk siasatan lanjut.
"Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah," ujarnya.
Pemuda Umno Bahagian Jerlun pada Sabtu telah membuat laporan polis berhubung ugutan yang dibuat lelaki itu.
mStar Online

13 Julai 2014

Bahana MERCUN buatan sendiri

MOHD Fahmi cedera akibat main mercun buatan sendiri.
Dungun: Dada seorang remaja lelaki berlubang akibat tertusuk serpihan botol plastik manakala pasangan kembarnya cedera di perut selepas mercun buatan sendiri menggunakan belerang dimampatkan di dalam botol plastik dihasilkan mereka meletup di Kampung Bukit Chatak, dekat sini, semalam.
Dalam kejadian jam 11 pagi, serpihan botol plastik di dada Mohd Fahmi Adri, 14, berjaya dikeluarkan sebelum bahagian berlubang dijahit dan keadaannya stabil, manakala kembarnya Mohd Fikri yang cedera di perut turut menerima beberapa jahitan. 
Mohd Fahmi pada mulanya dirawat di Hospital Dungun sebelum dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu untuk rawatan lanjut, manakala Mohd Fikri hanya dirawat di Hospital Dungun. 

Selain Mohd Fahmi dan Mohd Fikri, dua lagi rakan mereka, Ahmad Alfisyahrin Derasid, 14, dan Muhammad Faiz Izzuddin Ibrahim, 13, yang berada di tempat kejadian cedera ringan dan dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Dungun.
Abang pasangan kembar itu Mohd Hakim Adri, 19, berkata, seorang daripada kembar itu dikatakan cuba menebuk tudung botol plastik berisi belerang yang dijadikan mercun buatan sendiri untuk meletakkan sumbu sebelum berlaku letupan sehingga mencederakan empat sahabat terbabit.
Harian Metro

12 Julai 2014

VIDEO,Pemilik Lamborghini Gallardo Lihat Kereta Rempuh Tembok

SEORANG pemilik kereta sukan, Lamborghini Gallardo hanya mampu melihat keretanya yang sedang dipandu oleh pemandu kenderaan tetamu sebuah hotel merempuh simen konkrit sehingga menyebabkan kerosakan bernilai RM818,000.
Kejadian itu berlaku di hadapan lobi Hotel Le Meridien, New Delhi ketika pemiliknya, Nipun Miglani sedang menunggu keretanya untuk pulang.
Mengikut kemalangan yang berjaya dirakam oleh kamera litar tertutup (CCTV) hotel, kereta sukan itu gagal dikawal pemandu ketika kawasan tersebut sesak dengan kenderaan lain
Lamborghini Gallardo itu tiba-tiba bergerak laju melanggar belakang sebuah kereta sebelum merempuh tembok konkrit hotel hingga pecah.
Akibatnya, kereta mewah itu mengalami kerosakan teruk di bahagian depan.
Pemiliknya, Miglani memberitahu bahawa dia akan mengambil tindakan undang-undang terhadap hotel berikutan kerosakan kereta tersebut.
Harga sebuah kereta import dan kos mendapatkan alat ganti di India lebih mahal daripada negara lain kerana duti import.

10 Julai 2014

Kenduri nasi ambeng jika Jerman juara


Pontian: Penduduk Kampung Parit Jerman, Telok Kerang di sini akan menganjurkan majlis jamuan kenduri nasi ambeng jika pasukan Jerman muncul juara Piala Dunia 2014, Isnin ini.

Ketua Kampung Kawasan 1 Mukim Ayer Masin Kampung Rangkaian Parit Jerman, Mohd Asri Ali, 48, berkata kira-kira 500 penduduk kampung itu tumpang berbangga apabila Jerman layak ke final Piala Dunia di Brazil. 


Popularkan nama kampung 

Katanya, kejayaan Jerman bukan saja menjadi kebanggaan penduduk yang majoritinya penyokong pasukan itu berikutan mempunyai nama yang sama dengan kampung mereka, ia turut mempopularkan lagi nama kampung kepada masyarakat luar.

“Pasukan bola sepak Jerman disifatkan sebagai pasukan paling digeruni sememangnya menjadi pasukan pilihan penduduk Kampung Parit Jerman sejak lebih 40 tahun setiap kali Piala Dunia.

“Tahun ini, kami yakin Jerman akan menjuarai Piala Dunia 2014 dan jawatankuasa kampung kami bercadang mengadakan kenduri nasi ambeng besar-besaran bagi meraikan kejayaan ini. 

“Ini pastinya menjadi satu kegembiraan kepada penduduk kampung,” katanya kepada BH, semalam. 


BH

08 Julai 2014

Solat dua imam serentak di masjid

Kedudukan antara jemaah kumpulan 1 dan 2

RANTAU PANJANG – Ramadan yang mulia dicemari dengan insiden di mana berlaku solat membabitkan dua imam serentak di Masjid Pondok Banggol Stol, Meranti semalam.

Kejadian sejak 3 Julai lalu, menyebabkan jemaah terbahagi kepada dua kumpulan dan ia berlaku ketika solat fardu dan tarawih.

Kebiasaannya kes seumpama ini dikaitkan dengan fahaman politik tetapi lain pula yang berlaku di kampung ini, kerana kedua-dua pihak mendakwa ia berpunca daripada berbezaan fahaman agama Islam.

Perselisihan ini membawa kepada percanggahan pendapat seterusnya perebutan saf hadapan di dalam masjid ketika menunaikan solat.

Tinjauan mendapati, perpecahan itu bukan sahaja melibatkan jemaah lelaki, malah golongan wanita yang turut terbahagi kepada dua kumpulan dan dibezakan dengan pengadang.

Bagi kumpulan pertama ia diketuai oleh seorang imam dan hampir 30 jemaah menunaikan solat di saf hadapan manakala kumpulan kedua, imam lain menunaikan solat bersama hampir 50 hingga 100 jemaah lain di belakang saf pertama.
 
Pengakuan kumpulan satu

Pemilik tapak masjid berkenaan, Ustaz Yahya Zakaria berkata, selepas melanjutkan pelajaran di Mesir, dia pulang ke kampung ini dengan harapan dapat menyambung perjuangan bapa (Tok Guru Zakaria) sebelum ini.

Menurutnya, ketika itu tiada masalah berlaku sehinggalah pada tahun 2010 apabila penduduk tidak berpuas hati dia menjemput para ulama dari dalam dan luar negara ke kampung ini.

“Mungkin mereka tidak berpuas hati kerana kami tidak mengajak mereka bersama menganjurkan majlis meriah seumpama itu.

“Bagi saya, saya amat berbangga apabila ramai para ulama seluruh dunia berkumpul di kampung ini namun tidak pada penduduk, apabila terus menerus melempar fitnah kepada saya,” katanya.

Beliau yang juga guru di sekolah dekat sini berkata, tiada sebarang perbezaan dilakukan dalam berdakwah mengikut Tarekat Tarjani.

Menurutnya, selawat dan solatmengikut ajaran Islam yang sebenar tiada sebarang tokok tambah.

Namun katanya, penduduk tidak yakin sehingga sanggup membuat saf baharu meskipun saya bersiap mahu menunaikan solat di masjid ini.

“Saya paling kecewa pada 2012 lalu, apabila mereka melarang saya menunaikan solat di dalam masjid yang dibina arwah bapa saya biarpun tanah ini sudah pun diwarisi kepada kami tiga beradik,” katanya.

Menurutnya, tindakan penduduk kampung diibaratkan menidakkan hak mereka seterusnya sengaja menimbulkan huru-hara.

Disebabkan katanya, dia memfailkan saman di Mahkamah Tinggi agar tidak membenarkan penduduk menjejakkan kaki ke dalam masjid ini pada 12 Disember tahun lalu.

Kumpulan kedua beri penjelasan

Sementara itu, seorang penduduk, Mohd Nor Razali berkata, kejadian ini bermula pada 2010 lalu namun mula memuncak pada 2011 sehingga 2012 lalu.

Ketika itu katanya, penduduk dipelawa mengikut ajaran tarekat berkenaan namun kebanyakannya tidak yakin seterusnya tidak mengikut saranan yang dibawa oleh Ustaz Yahya Zakaria.

Beberapa lama selepas itu, Mohd Nor mendakwa Ustaz Yahya membuat perintah mahkamah agar tidak membenarkan 13 penduduk menunaikan solat di masjid ini bermula akhir tahun lalu.

Memandangkan masjid ini dibina di atas tanah hak milik tiga anak Allahyarham Tok Guru Zakaria, maka penduduk dilarang menjejakkan kaki di pekarangan masjid kerana didakwa boleh mencetuskan perselisihan.

Namun pada 1 Julai lalu, mahkamah membenarkan penduduk menunaikan solat terawih sepanjang Ramadan tahun ini.

Menurutnya, jemaah dari kumpulan Ustaz Yahya juga tidak menghalang penduduk memasuki masjid namun keengganan berganjak dari saf depan menyebabkan  kejadian solat dua imam serentak.

Katanya, penduduk sukar tunaikan solat Maghrib selepas majlis berbuka puasa kerana kumpulan pertama enggan berganjak dari saf hadapan.

Maka katanya, jemaah terpaksa membuat saf baharu, satu saf di belakang kumpulan pertama untuk solat Maghrib, Isyak dan solat tarawih.

“Mereka hanya duduk di hadapan saf tanpa tunai solat terlebih dahulu dan mendakwa sedang berselawat.

“Disebabkan waktu Isyak semakin menghampiri, maka kami terpaksa menunaikan solat di belakang saf mereka, tanpa menunggu mereka selesai berselawat,” katanya.

Keadaan ini katanya, turut berpanjangan sehingga ke solat tarawih membabitkan jemaah yang sama, mengikut dua imam berlainan.

Sementara itu, penduduk, Ismail Awang, 75, berkata, di masjid seramai 500 jemaah dapat menunaikan solat dalam satu-satu masa.

Namun katanya, insiden ini menyebabkan ramai tidak dapat menunaikan solat sekali gus menyukarkan penduduk untuk beribadah di bulan Ramadan.

Sementara itu, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) akan menyiasat punca berlakunya insiden solat dua imam serentak di masjid berkenaan.

Timbalan Yang Dipertua Maik, Datuk Ir Yusoff Ismail berkata, sebelum ini pihaknya tidak terima selaporan berhubung kejadian ini.

Namun katanya, Maik akan hantar pegawai untuk mengetahui masalah yang berlaku membabitkan dua pihak terbabit seterusnya mencari jalan penyelesaian kes berkenaan.

“Insiden ini tidak sepatutnya berlaku terutama ketika bulan Ramadan malah berlaku di dalam rumah ALLAH,"katanya.


Sinar Harian

07 Julai 2014

Info,Gigitan manusia mampu beri kesan buruk


PEMAIN bola sepak Uruguay, Luis Suarez  menggigit bahu pemain Itali, Giorgio Chiellini dalam perlawanan Piala Dunia di Brazil, baru-baru ini. Kesan gigitan manusia mampu menyebabkan kecederaan serius akibat jangkitan bakteria dalam mulut. - AGENSI


LONDON 6 Julai - Kontroversi pemain bola sepak Uruguay, Luis Suarez menggigit bahu pemain Itali, Giorgio Chiellini dalam perlawanan Piala Dunia di Brazil, baru-baru ini, mendapat perhatian dunia.

Namun hakikatnya, gigitan manusia bukan sahaja menyakitkan, malah boleh mengakibatkan kesan buruk terhadap kesihatan, lapor laman web, Mail Online.

Menurut Profesor Stanislav Dusko Ehrlich dari Kolej Institusi Diraja Pergigian London, gigitan manusia boleh menyebabkan luka yang berbahaya.

"Terdapat lebih 700 jenis bakteria dalam mulut dan selalunya manusia sihat mempunyai antara 100 hingga 200 jenis bakteria dalam satu masa.

"Sekiranya gigitan itu menembusi kulit, bakteria berkenaan boleh memasuki badan mangsa menerusi luka dan berpotensi memberi ancaman serius," katanya.

Hal itu dikuatkan lagi dengan kejadian yang menimpa seorang warga tua, Wendy Thomas, 67, apabila dia hampir kehilangan jarinya selepas digigit oleh cucu yang berusia dua tahun ketika dia sedang memandikan kanak-kanak itu.

"Kesan gigitan itu dilihat seperti dicucuk jarum, jadi saya menyangka tiada masalah ketika itu," katanya.
Jelas Thomas, bagaimanapun, jarinya mengeras beberapa hari kemudian.

"Saya terjaga dari tidur pada satu malam kerana saya berasa amat sakit. Saya mula berasa pening, muntah-muntah dan pengsan," katanya.

Pakar pembedahan plastik, Philip Geary dari Hospital Salisburi berkata, 40 peratus daripada laporan gigitan yang diterimanya adalah daripada manusia, melebihi gigitan haiwan.

"Manusia menyangka mulut mereka lebih bersih daripada haiwan, tetapi sebenarnya mereka salah," katanya.

UTUSAN

05 Julai 2014

Gunting tertusuk dekat mata

SEORANG ibu mendukung anaknya selepas sebilah gunting tertusuk dekat mata anaknya di sebuah hospital di Hangzhou, China kelmarin.

HANGZHOU - Seorang budak lelaki di China terpaksa dibedah untuk membuang sebilah gunting yang tertusuk dekat salah satu matanya, lapor sebuah akhbar kelmarin.

Insiden itu berlaku di sebuah kilang pakaian di bandar Cixi, dalam wilayah Henan, tengah China sekitar tengah hari kelmarin.
Ketika kejadian, ibunya sedang bekerja di kilang itu apabila mangsa yang berusia tiga tahun dan dikenali sebagai Ozawa datang berlari-lari sambil menangis kerana terdapat gunting tertusuk dekat mata kanannya.
Mangsa kemudian dibawa sebuah hospital awam di Cixi sebelum dihantar ke hospital di Hangzhou untuk menerima rawatan.
Menurut doktor, mangsa akan sembuh tetapi penglihatan mata kanannya dikhuatiri terjejas akibat kemalangan tersebut. 
- Agensi(kosmo!)


Biduanita negara,Datuk Sharifah Aini Meninggal Dunia

 Sharifah Aini

PETALING JAYA: Biduanita negara, Datuk Sharifah Aini Syed Jaafar meninggal dunia pada pukul 1.26 pagi Sabtu di Pusat Perubatan Pakar Damansara di sini.

Sharifah Aini, 61, meninggal dunia akibat fibrosis paru-paru atau 'paru-paru berparut'.

Berita kematian penyanyi lagu Seri Dewi Malam itu disahkan oleh rakan baik Allahyarham iaitu Aishah Ali.

Sharifah Aini dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) pusat perubatan itu pada Selasa lalu selepas mengalami kesukaran bernafas namun keadaan penyanyi itu dilaporkan stabil.

Biduanita itu dikesan menghidap fibrosis paru-paru dua tahun lalu.

Allahyarham meninggalkan seorang anak lelaki iaitu Aliff Omar Ali.

Dalam pada itu, jenazah Allahyarham dijangka dibawa ke Masjid Al Taqwa Taman Tun Dr Ismail Kuala Lumpur selepas solat Subuh sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, dekat sini pada Sabtu.

Terdahulu, Allahyarham menerusi status Facebook miliknya sebelum ini pernah meminta peminat-peminatnya mendoakan kesejahteraan beliau selain meminta mereka menghadiahkan Al-Fatihah sekiranya beliau meninggal dunia.

Tulisan di FB itu menggambarkan seolah-olah beliau sudah merasakan bakal pergi buat selama-lamanya.

Sumber

04 Julai 2014

Video wanita beli aiskrim jadi viral didunia maya


Sebuah video menjadi sensasi di dunia maya saat seorang wanita membeli aiskrim dengan cara yang aneh. Dalam video singkat yang hanya berdurasi 10 saat itu, tampak seorang wanita membeli aiskrim di sebuah restoran. 

Namun, ketika pekerja restoran itu menyerahkan aiskrim pesanan wanita tersebut, mereka bingung dan sedikit terkejut dengan apa yang dilihatnya. Pelanggan wanita itu memang membeli aiskrim, tapi hanya mengambil aiskrimnya saja. Dengan kata lain konnya tidak diambil. Aneh sekali bukan?

 Pekerja itu terpaku dan sedikit bingung dengan kon aiskrim di tangannya bersama seorang temannya yang juga melihat kejadian tersebut. Dalam semalaman saja video ini meledak dan kini sudah ditonton lebih dari sejuta kali sejak 20 Jun 2014 lalu.

Laporan dari Rocketnews24, rupanya kejadian tersebut adalah sebuah prank yang dibuat oleh Manner Production dari Macau. Mereka biasanya membuat filem pendek yang serius. Namun kali ini, mereka kerap membuat video mengenakan orang semacam ini.

Dengan cepat video ini booming di Facebook dan Weibo China. Share di facebook saja mencapai 52,900 kali. Bahkan, pekerja yang ada dalam video ini meningkat popularitinya. Menyedari bahawa videonya mungkin membuat privasi para pekerja ini sedikit terusik, Manner Production pun meminta maaf melalui Facebook. 


Port Mak Ngah Skodeng !