21 Jun 2014

Polis Yang Tertuduh Dalam Kes Altantuya Ditangkap Khalwat

Azilah Hadri ketika perbicaraan di Mahkamah Tinggi Shah Alam dalam kes Altantuya pada 2011.

KUALA LUMPUR: Seorang daripada tertuduh dalam kes pembunuhan wanita warga Mongolia Altantuya Shaariibuu pada 2006, Cif Inspektor Azilah Hadri, pada Khamis ditangkap khalwat bersama seorang anggota polis wanita. 

Mereka dikatakan ditangkap oleh suami wanita terbabit yang juga seorang anggota polis pada kira-kira pukul 2 pagi di perumahan polis Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang.

Ketua Polis Daerah Sepang Supt Mohd Yusoff Awang ketika dihubungi Bernama mengesahkan tangkapan khalwat itu.

Katanya, Azilah, anggota Unit Tindakan Khas dan wanita tersebut akan dirujuk kepada Jabatan Agama Islam Selangor atas pertuduhan khalwat dan polis juga telah membuka kertas siasatan untuk tindakan tatatertib terhadap mereka.


"Perkara ini masih dalam siasatan pihak polis," katanya.

Isnin ini, Azilah sepatutnya hadir ke Mahkamah Persekutuan bagi prosiding rayuan pihak pendakwaan terhadap pembebasan dan pelepasannya bersama seorang lagi tertuduh dalam kes itu, Koperal Sirul Azhar Umar, 43.

Kedua-dua mereka didakwa membunuh Altantuya, 28, di Mukim Bukit Raja, Shah Alam, antara 10 malam, 19 Oktober dan 1 pagi, 20 Oktober 2006.


mStar Online

20 Jun 2014

Tarikh Melihat Anak Bulan Ramadan 27 Jun


KUALA LUMPUR: Tarikh dan masa melihat anak bulan Ramadan untuk menetapkan permulaan puasa ialah pada petang Jumaat, 27 Jun bersamaan 29 Syaaban. 

Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja dalam kenyataan pada Jumaat berkata Majlis Raja-Raja telah mempersetujui bahawa cara menetapkan tarikh permulaan puasa adalah berdasarkan rukyah (melihat anak bulan) dan hisab (pengiraan secara matematik dan astronomi). 

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja akan mengisytiharkan pada malam itu juga tarikh permulaan Puasa melalui radio dan televisyen.

Menurut pejabat itu, jawatankuasa-jawatankuasa yang berkenaan akan melihat anak bulan Ramadan di Pontian Kecil, Johor; Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara, Melaka; Telok Kemang, Port Dickson, Negeri Sembilan; Bukit Melawati, Kuala Selangor, Selangor; Bukit Jugra, Banting, Kuala Langat, Selangor dan Balai Cerap Selangor, Sabak Bernam di Selangor; Pantai Pasir Panjang, Mukim Pengkalan Baru, Manjong, Perak dan Pusat Falak Sheikh Tahir, Pantai Aceh, Pulau Pinang.

Lokasi lain ialah Kampung Pulau Sayak, Kuala Muda; Pemandangan Indah, Pulau Langkawi dan Menara Alor Setar di Kedah; Bukit Besar, Kuala Terengganu; Bukit Geliga, Kemaman; Pulau Perhentian, Besut dan Balai Cerap KUSZA, Mukim Merang, Setiu di Terengganu; Bukit Peraksi, Pasir Puteh; Bukit Kampung Tembeling, Mukim Manjur, Daerah Olak Jeram, Kuala Krai dan Menara Bangunan SEDC, Jalan Tengku Putera Semerak, Kota Baharu di Kelantan.

Tempat lain pula ialah di Tanjong Lubang, Miri; Teluk Bandung, Kuching dan Tanjung Batu, Bintulu di Sarawak; Balai Cerap Al-Biruni, Tanjung Dumpil, Putatan, Sabah; Bukit Tanjung Batu, Nenasi; Gunung Berincang, Cameron Highlands dan Bukit Pelindong, Kuantan di Pahang; Tingkat 13, Menara Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan, Menara Kuala Lumpur, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya dan Kuala Sungai Baru, Simpang Empat, Perlis.

Sumber

18 Jun 2014

Peminat BOLASEPAK Piala Dunia mati kerana kurang tidur

REAKSI peminat sukan bola sepak China semasa menyaksikan perlawanan pembukaan Piala Dunia 2014 antara Brazil dan Crotia di Xuchang, utara wilayah Henan baru-baru ini.

SUZHOU, China - Seorang peminat bola sepak mati dipercayai akibat kurang tidur selepas berjaga beberapa malam untuk menonton siaran langsung Piala Dunia.

Lelaki yang berusia 25 tahun itu ditemui mati di hadapan televisyen di rumahnya di Suzhou berhampiran Shanghai.
Perbezaan waktu antara Suzhou dan Brazil adalah 11 jam.
Ini bermakna peminat bola sepak di China perlu berjaga sepanjang malam untuk mengikuti perlawanan Piala Dunia, lapor laman web Yahoo Sports.
Doktor berkata, kematian itu berkaitan dengan kurangnya tidur.
Bagaimanapun, masih tidak pasti sama ada ia disebabkan oleh keletihan atau kemungkinan serangan jantung, lapor agensi berita, Xinhua.
Kematian lelaki itu menunjukkan wujudnya peningkatan masalah obses terhadap internet dan televisyen di China.
Malah, hospital di China juga menyaksikan peningkatan bilangan pesakit yang dimasukkan dengan gejala keletihan semasa Piala Dunia 2006 dan 2010 yang berlangsung sebelum ini, lapor Xinhua.
Dalam Kejuaraan Bola Sepak Eropah (Euro) 2012, seorang penyokong bola sepak juga dilaporkan mati akibat keletihan selepas 11 malam tidak tidur untuk menonton setiap perlawanan kejohanan itu.
 - Agensi(KOSMO!)

17 Jun 2014

Gadis China bergayut setengah jam di luar tingkap tunggu bantuan

BULATAN menunjukkan gadis warga China bergayut di luar tingkap di tingkat 10, Kondominium Bam Villa di Taman Maluri, Cheras, Kuala Lumpur semalam.

KUALA LUMPUR – Seorang wanita warga China terpaksa berpaut kira-kira setengah jam di luar tingkap rumahnya yang terletak di tingkat 10 sebuah unit kondominium yang terbakar semalam.

Dalam kejadian pada pukul 3 petang di Kondominium Bam Villa di Taman Maluri, Cheras di sini, mangsa Zhouo Yan, 29, bernasib baik apabila pasukan penyelamat cepat bertindak untuk menyelamatkannya.
Difahamkan, api bermula di ruang tamu rumah yang didiami Zhouo Yan sebelum wanita itu panik lalu terus memanjat tingkap di biliknya menggunakan sebuah kerusi plastik.
Mangsa kemudian berpaut pada bingkai tingkap dan bergayut di situ sehingga dia diselamatkan oleh pasukan bomba dan penyelamat setengah jam kemudian.
Dua rakan mangsa yang turut berada di rumah itu sempat keluar mengikut pintu depan rumah sebaik kebakaran tersebut berlaku.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pudu, Azahar Yaacob berkata, semasa diselamatkan, mangsa berada dalam keadaan takut dan panik.
“Badan mangsa juga dipenuhi jelaga akibat asap tebal ekoran kebakaran di dalam rumah itu,” katanya di sini semalam.
KOSMO!

16 Jun 2014

Pokok kurma berbuah lebat jadi tarikan di Kota Bharu

ORANG ramai tertarik dengan pokok kurma yang lebat berbuah di Bulatan Tuan Padang, Kota Bharu semalam.

KOTA BHARU - Kawasan Bulatan Tuan Padang (Bulatan Jam Besar) di sini menjadi tarikan orang ramai sejak beberapa hari lalu apabila beberapa batang pokok kurma yang ditanam di kawasan tersebut mengeluarkan buah yang lebat.



Menurut Setiausaha Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI), Rosnazli Amin, pihaknya telah menanam sebanyak 37 batang pokok kurma sekitar bandar itu sejak tujuh tahun lalu.
"Antara lokasi pokok itu ditanam ialah di Bulatan Jam Besar iaitu sebagai suatu perlambangan kepada MPKB diisytiharkan sebagai Bandar Raya Islam," katanya ketika dihubungi semalam.
KOSMO!

14 Jun 2014

Remaja bawah umur kena cekup dating dalam TANDAS

Dua remaja yang dicekup

BANDAR SRI SENDAYAN - Dua remaja berusia 15 dan 13 tahun ditangkap ketika sedang asyik berdua-duaan dalam sebuah tandas di kawasan kedai makan Medan Nusari, dekat sini, semalam.

Difahamkan, perlakuan sumbang kedua-dua remaja terbabit disedari beberapa pelanggan kedai makan berkenaan kira-kira jam 10 pagi, semasa mahu menggunakan tandas tersebut yang terletak beberapa meter dari kedai dan berkeadaan sunyi.

Salah seorang pelanggan hanya mahu dikenali sebagai Rusydi, 35, berkata, pada mulanya, dia tidak mengesyaki apa-apa ketika melihat remaja lelaki dan perempuan menaiki motosikal bersama menuju ke kawasan tandas itu.

“Bagaimanapun, saya mula tidak sedap hati apabila mendapati motosikal dinaiki kedua-duanya masih berada di situ, sedangkan kelibat mereka langsung tidak kelihatan sejak 20 minit lalu.

“Pemeriksaan saya bersama rakan-rakan dalam tandas lelaki tidak menemui apa-apa. Namun, alangkah terkejutnya saya kerana ternampak dua pasang kaki dalam keadaan cukup rapat ketika menjengah dari bahagian bawah salah satu tandas wanita,” katanya.

Menurutnya, selepas dipaksa membuka pintu, mereka mendapati kedua-dua remaja terbabit sedang berada dalam tandas berkenaan dalam keadaan mencurigakan.

“Melalui penjelasan diberikan kedua-duanya, difahamkan remaja perempuan yang sedang menuntut dalam tingkatan satu itu berasal dari taman sekitar kawasan ini, manakala si lelaki pula datang dari Seremban Dua yang terletak lebih kurang 6.3 kilometer dari tempat kejadian.

“Mereka juga merayu agar tidak diserahkan kepada pihak berkuasa dan mengaku tidak akan mengulangi kesalahan sama pada masa akan datang,” katanya yang menjelaskan, ibu  remaja perempuan itu sampai di lokasi lebih kurang 45 minit kemudian selepas dihubungi anaknya.

Katanya lagi, si ibu langsung tidak menyangka akan berlaku demikian, memandangkan anaknya ada meminta izin untuk keluar dengan alasan mahu pergi bersiar-siar.

Kekecohan juga hampir berlaku apabila bapa kepada remaja lelaki terlibat yang tiba beberapa minit kemudian, naik angin dan mengugut mahu memukul Sinar Harian yang cuba mendapatkan maklumat.

“Kau siapa? Jangan kurang ajar! Aku belasah kau nanti,” demikian herdik lelaki dalam lingkungan 40-an itu kepada Sinar Harian, semalam yang kemudiannya meminta maaf dan mengaku tertekan dengan perbuatan anaknya.

Tinjauan Sinar Harian, semalam mendapati, kedua-dua remaja itu diserahkan kepada ibu bapa masing-masing dan tidak membabitkan pihak berkuasa.    

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Nusari Aman 2 (Natra), Terence Santhanam Beh, 41, berkata, beliau hanya mengetahui insiden itu selepas dimaklumkan oleh beberapa penduduk.

“Kita kesal dengan kejadian sebegini, lebih-lebih lagi berlaku pada hari Jumaat yang mulia. Kita harap, ibu bapa akan dapat mengawasi anak-anak mereka bagi mengelakkan kejadian seperti ini berulang,” katanya.

Sinar Harian

12 Jun 2014

Abby sangkal dakwaan cederakan bekas suami

Abby (kiri) ketika hadir ke mahkamah untuk kes perceraiannya dengan Muhammad Noor Farhan.

ABBY Abadi, dalam laman Twitternya semalam, menafikan dia mencederakan bekas suaminya itu dengan menggunakan kunci motosikal.

"Pegang kunci motosikal pun tidak pernah...kenapa macam tu?," katanya.

Abby berkata luka di muka Farhan sengaja dilakukan menggunakan pisau cukur.

"Nampak sangat menipunya...Dalam gambar misai berdarah-darah, tapi dalam gambar pegang report ada pulak misai," katanya.

Terdahulu, ketika ditemui di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur semalam, Abby, 37, berkata, dia reda.

“Saya tidak trauma. Bukan saya minta penceraian ini. Saya kuat hadapi ujian ini kerana yakin ALLAH bersama saya,” katanya.

Abby memberitahu, dia telah berusaha dan berdoa, namun tidak nampak jalan untuk menyelamatkan perkahwinan keduanya itu.

Katanya, dia tidak serik untuk kahwin demi anak-anak.

"Saya mahu hidup ada lelaki kerana tidak semua benda boleh buat sendiri,” katanya.

Sinar Harian

11 Jun 2014

Mayat lelaki berbungkus ditemui di Penang Science Par

imej google
BUKIT MERTAJAM - Mayat seorang lelaki dibungkus dalam cadar dipercayai warga asing ditemui di dalam longkang di tepi kawasan tapak pembinaan di Penang Science Park, Juru di sini semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Superintendan Baharom Abu berkata, mayat dibungkus cadar bercorak kotak-kotak warna biru muda ditemui oleh seorang lelaki yang melalui kawasan itu pada 11.44 pagi semalam.
"Ketika ditemui mayat itu dibungkus dengan cadar. Bahagian kepala dan kaki diikat. Keadaannya seperti sudah dikafankan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Katanya berdasarkan keadaan mayat itu, polis tidak menolak kemungkinan lelaki berkenaan mati di tempat lain sebelum mayatnya diletakkan di situ.
"Mayat itu masih dalam keadaan sempurna dan tidak berpakaian. Kita percaya mungkin lelaki yang dipercayai berusia lingkungan 30-an itu mati lebih 24 jam kerana telah berbau busuk,” katanya.
Baharom berkata, lelaki itu dipercayai pendatang tanpa izin kerana tiada sebarang dokumen perjalanan diri ditemui bersama mayat berkenaan.
Katanya, mayat itu dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk dibedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian.
"Siasatan awal polis tidak menemui sebarang kesan kecederaan pada badan mayat itu dan tiada unsur jenayah. Kes disiasat sebagai mati mengejut bagaimanapun siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya.
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung penemuan mayat itu agar menghubungi mana-mana balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.
 - Bernama


10 Jun 2014

Wanita mualaf hampir dikebumikan cara bukan Islam

Keranda yang menempatkan mayat Cheng Cheng dibawa ke Unit Forensik HPP sementara menunggu semua urusan selesai.

GEORGETOWN - Sebuah keluarga Cina terkejut apabila dimaklumkan ahli keluarga mereka yang meninggal dunia sebenarnya sudah memeluk agama Islam.

Hal itu terbongkar apabila wanita mualaf itu, meninggal Sabtu lalu dan keluarganya mahu mengebumikan mayatnya mengikut ajaran Taoist.

Sepupu si mati berkata, mayat Teoh Cheng Cheng, 38, sepatutnya dihantar ke tapak pengebumian pada jam 4 petang tadi namun terbantut apabila seorang pegawai polis tampil memaklumkan bahawa mangsa beragama Islam.

"Polis memaklumkan bahawa kami tidak dibenarkan meneruskan upacara itu kerana sepupu saya sudah memeluk Islam selepas berkahwin dengan seorang lelaki Melayu.

"Kami ada meminta pegawai polis itu menunjukkan dokumen pengesahan bahawa Cheng Cheng memeluk Islam namun gagal. 

Bagaimanapun, kemudian datang pegawai Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) menyatakan perkara sama," katanya ketika ditemui di Flat Pelangi, Lebuh Macallum, hari ini.

Buntu dengan keadaan yang mengejutkan itu, keluarga berkenaan kemudiannya meminta bantuan Adun Pengkalan Kota, Lau Keng Ee bagi menyemak perkara itu dengan JHEAIPP.

"Hasil semakan, JHEAIPP mengesahkan sepupu saya memeluk Islam ketika berusia 20 tahun iaitu 18 tahun lalu tanpa pengetahuan keluarga.

"Dia dipercayai bercinta dengan seorang lelaki Melayu ketika berusia 19 tahun sebelum mengambil keputusan berkahwin setahun kemudian dan memeluk Islam dengan nama Nora Teoh Abdullah," katanya.

Sementara itu, Pengarah JHEAIPP, Datuk Sazali Hussein berkata, mengikut rekod JHEAIPP, wanita itu memeluk agama Islam pada 1997.

"Kita sedang dalam proses mendapatkan perintah Mahkamah Syariah untuk menguruskan jenazah wanita itu mengikut hukum Islam dan dihantar ke Hospital Pulau  Pinang (HPP) untuk sementara waktu.

"JHEAIPP melakukan yang terbaik dalam rundingan dan memberi penjelasan kepada ahli keluarga wanita berkenaan.  Memang ada bantahan, kita sedang melakukan yang terbaik kerana ada  bukti dan rekodnya seorang Islam," katanya.

Sinar Harian

Mulut Murid Ditutup Pita Pelekat Kerana Tidak Henti Bercakap

Elise Smith (kiri) bersama ayahnya, Marc Smith. Foto Daily Mail
MULUT seorang pelajar yang 'mulut murai' telah ditutup dengan pita pelekat oleh seorang guru selama 15 minit sebagai hukuman akibat tidak berhenti bercakap.
Elise Smith, 11, yang ditutup mulutnya itu merupakan hukuman yang diterimanya di Sekolah William Allitt di Swadlincote, Derbyshire.
Ayahnya, Marc Smith, berang dengan tindakan guru berkenaan lalu membuat aduan di sekolah itu, termasuk pihak berkuasa pendidikan tempatan.
Guru besar sekolah itu menganggap tindakan guru tersebut sesuatu yang tidak sepatutnya dilakukan oleh seorang pendidik, dan guru tersebut memohon maaf kepada pelajar berkenaan dan keluarganya.
Bagaimanapun tiada tindakan disiplin yang diambil terhadap guru tersebut.
Bapa pelajar itu, Smith berkata, "Para pelajar sedang bercakap di dalam kelas dan diminta untuk diam, tetapi anak perempuan saya masih terus bercakap.
"Dia (guru) sepatutnya menyurut dia keluar (kelas). Anda tidak boleh menyentuh seseorang walaupun dengan hanya menggunakan jari.
"Saya sedang bekerja ketika kejadian berlaku, tetapi anak perempuan saya memberitahu saya apabila saya pulang ke rumah dan saya terus pergi ke sekolah membuat aduan keesokan hari. Saya betul-betul marah," katanya.
Kejadian itu menyebabkan bekas guru besar, Mike McCandless mendapatkan keterangan kedua-dua pihak, guru dan Elise Smith, serta keterangan bertulis daripada murid-murid lain di sekolah berkenaan.
Smith bagaimanapun kecewa apabila guru tersebut tidak dikenakan tindakan disiplin.
"Guru itu ada membuat permohonan maaf tetapi tidak dihukum secukupnya. Ini kerana dia tidak digantung tugas dan masih bertugas di sekolah itu.
"Saya dengar terdapat guru-guru di sekolah-sekolah lain yang melakukan perkara seumpama itu digantung tugas. Jadi, kenapa tidak berlaku di sekolah ini?"
Pengerusi Lembaga di Sekolah William Allitt, Jean Mead berkata, kebajikan murid-murid merupakan keutamaan sekolah itu.
"Ia merupakan satu tindakan yang silap berbanding berniat jahat.
"Ia berlaku pada Disember tahun lalu. Ia tidak sepatutnya berlaku dalam apa keadaan sekalipun, dan guru tersebut dengan segera menyesal dan memohon maaf.
"Kita bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa tempatan untuk meneliti siasatan dan tindakan sepatutnya diambil," katanya. - Daily Mail

Port Mak Ngah Skodeng !