30 Mei 2014

10 tahun pin, jarum dalam badan

Alatan Hsia bersama sekeping gambar ujian X-ray yang menunjukkan terdapat beberapa jarum di dalam paru-parunya.

ARUD BANNER, China - Seorang wanita yang mengalami sakit luar biasa sejak 10 tahun lalu mendapati dalam badannya mempunyai sembilan pin dan jarum selepas menjalani ujian X-ray, lapor akhbar MailOnline semalam.

Beberapa doktor yang memeriksa Alatan Hsia mendapati pin dan jarum berkenaan terdapat pada bahagian paru-paru, hati, kaki dan berhampiran dengan jantung.
Dalam pada itu, wanita itu yang merupakan penggembala lembu berkata, dia pernah melalui situasi perkahwinan yang teruk sebelum ini.
"Bekas suaminya saya, Chung Hsiao selalu memukul saya. Pada akhir tahun 2002, saya ke rumah ibu bapa saya untuk mengelak daripada dia.
"Pada suatu hari, apabila saya berada di sana dan kedua orang tua saya keluar, dia datang dan memukul saya. Dia menjerit: "Jika kamu tidak pulang ke rumah, saya akan membunuh kamu. Saya dipukul hingga koma," jelasnya.
Apabila Hsia tersedar daripada koma lima hari selepas itu, ibu bapanya memberitahu yang mereka menemui sembilan jarum di sisinya ketika kejadian berlaku.
"Saya percaya selepas memasukkan sedikit jarum ke dalam badan saya, dia kemudian melarikan diri dan membiarkan selebihnya di atas lantai," katanya lagi.
Bagaimanapun, wanita itu kini memerlukan kos sebanyak £17,000 (RM91,372) untuk menjalani pembedahan bagi mengeluarkan pin dan jarum-jarum tersebut.
- Agensi(KOSMO)


29 Mei 2014

Siapa juara Kilauan Emas 4?


Sumber dipetik dari Sinar Harian

SETELAH enam minggu bersiaran, program realiti nyanyian, Kilauan Emas 4 (KE 4) bakal menobatkan takhta juara pada malam ini.

Bertempat di Dewan Sri Putra, Bukit Jalil, KE 4 bakal membuka tirai pada jam 9.30 malam dan disiarkan secara langsung di kaca televisyen di saluran Astro Prima (105).

Usah diduga debaran di dada, lima finalis yang bakal berentap, Ben, Nas, Zain, Nordin dan Arip, pastinya sukar untuk meramal kehebatan lawan.

Mana tidaknya, mereka berlima bukanlah calang-calang orang, malah kesemuanya antara ‘otai’ yang sangat berbakat.

Jika sebelum ini kita menyaksikan konsert yang bertemakan Retro & Pop Yeh Yeh dan Balada, kali ini mereka bakal membawa lagu baru dan muzik genre pilihan masing-masing.

Malah ada juga yang sudah mula berteka teki siapakah yang bakal memikat hati juri tetap iaitu Datuk Ramli MS, Ziana Zain dan Datuk Hattan ini.

Selain sistem pemarkahan 70 peratus juri tetap, lima finalis ini turut diadili 30 peratus berdasarkan undian penonton menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS).

Sama-samalah kita nantikan debaran kemuncak KE 4 pada malam ini!


Nordin susah hafal lirik?

Berusia 53 tahun dan berasal dari Kelantan, Nordin Yusoff, membuktikan kehebatannya di pentas KE 4 apabila berjaya melayakkan diri ke final.

Walaupun kerjaya seninya sebelum ini lebih kepada nyanyian dikir barat, namun pendikir popular di Pantai Timur ini tidak dibayangi muzik dikir.

Malah, persembahannya agak konsisten dari minggu ke minggu tanpa mengecewakan peminat dan penonton walaupun tanpa iringan gendang dan rebana!

Pun begitu, akui Nordin, dia perlu berwaspada dengan empat rakan finalis lain yang juga tidak kurang hebatnya.

Mengakui finalis lain turut mempunyai kelebihan berbeza, pentas KE 4 merupakan bentuk cabaran dan persaingan sihat.
Namun, dalam usaha memberikan persembahan terbaik buat penonton, Nordin memberitahu, dia mempunyai kesukaran dalam menghafal lirik.

"Memandangkan kami mempunyai sedikit masa sahaja untuk berlatih irama baharu setiap minggu, hafalan lirik juga menjadi tekanan bagi saya setiap kali menjelang konsert.

"Namun, tidak bermakna saya harus mengecewakan peminat dan penonton. Saya akan terus berusaha untuk memuaskan hati peminat.

"Malah, bagi saya, pentas KE 4 bukanlah tempat untuk mengejar kejuaraan semata-mata. Namun lebih kepada menyediakan persembahan yang terbaik untuk peminat," katanya.

Ditanya mengenai persediaannya di pentas akhir KE 4, Nordin berkata, dia sudah bersedia dan sedang menghafal lirik bagi lagu baru yang bakal dinyanyikan nanti.

“Saya dalam proses menghayati lagu baharu yang diberikan. Pada konsert sebelum ini saya berdepan dengan masalah kurang 'familiar' dengan lagu-lagu tersebut. Tapi saya sahut cabaran itu.

“Alhamdulillah, saya akan terus berjuang di peringkat akhir ini dan memberikan persembahan yang terbaik nanti,” katanya.

Mempunyai perancangan tersendiri sekiranya berjaya dinobatkan sebagai juara, Nordin berhasrat untuk membawa ibunya ke Makkah untuk menunaikan haji.

"Kalah dan menang adalah adat pertandingan. Sekiranya saya berjaya, saya akan meneruskan perjuangan dalam industri ini.

"Selain itu, saya berhasrat membawa ibu ke Kota Suci. Disebalik kejayaan ada sokongan dan sokongan itu datangnya daripada keluarga dan peminat,” katanya yang turut berterima kasih kepada peminat yang mengundinya setiap kali konsert.


Zain belajar teknik nyanyian

Jika Nordin mempunyai pengalaman dalam dikir, Zain pula mempunyai pengalaman luas dalam bidang nyanyian ketika aktif dengan kumpulan Arrow.

Menggunakan nama Renggo ketika itu, Zain atau nama sebenarnya, Md Zain Ramli, 45, lebih sebati dengan genre pop rock sebagai alirannya.

Namun, sejak kembali aktif menerusi pentas KE 4, dia kini lebih selesa mendendangkan lagu-lagu yang lebih santai dan sederhana.

Menurutnya, walaupun sudah lama tidak beraksi, namun ia tidak mematahkan semangatnya untuk kembali menyanyi.

“Walaupun dah lama tinggalkan bidang ini dan mulakan perniagaan roti canai, tapi saya mendapat sokongan daripada keluarga.

“Alhamdulillah, tak sangka saya dapat peluang belajar teknik nyanyian yang betul. Berbeza dengan cara nyanyian yang dulu.

"Bagi saya cikgu di akademi banyak membantu kami untuk terus sehingga ke final ini,” katanya yang tidak menyangka masih mempunyai peminat tersendiri.

Mengakui finalis lain mempunyai keunikan tersendiri dalam mempersembahkan genre masing-masing, Zain berkata dia sedia mencabar empat lagi pesaingnya untuk terus memberikan persembahan terbaik mereka pada malam ini.

“Mereka ada kekuatan vokal masing-masing dan saya percaya kesemua finalis ini sebenarnya sudah berjaya.

"Mereka sudah menjejakkan kaki sehingga ke peringkat ini. Jadi bagi saya, saya akan terus mencabar mereka!,” katanya lagi.

Tambah Zain, sekiranya dia berjaya merangkul gelaran juara, dia akan meneruskan perjuangan dalam industri dan bercadang untuk membuka perniagaan bersama seorang lagi finalis, Arip.

Arip beri kejutan!

Siapa sangka, pemilik nama sebenar, Omar Sharif Mat Din, 42, sebelum ini adalah pembancuh minuman.

Tidak pernah terlibat dalam sebarang aktiviti nyanyian, namun percubaan dalam uji bakat terdahulu bakal membawa perubahan dalam hidupnya.

Tambahan pula, sokongan daripada keluarga dan rakan-rakan membuatkan Arip bersemangat untuk terus beraksi.

"Mereka tahu saya suka menyanyi dan mereka menyokong saya untuk mengubah nasib hidup.
"Walaupun saya tiada pengalaman, namun guru di akademi banyak mengajar saya dalam bidang seni suara.

"Kini, baharu saya tahu betapa sukarnya untuk menjadi penyanyi mengikut cara yang betul,” katanya.

Finalis yang berasal dari Pahang ini memberitahu, sekiranya berjaya menjadi juara, dia akan meneruskan kerjayanya dalam bidang ini.

"Saya lebih menumpukan perhatian pada konsert malam ini kerana ia adalah penentu sepanjang berada di pentas KE 4.

"Namun, yang pastinya saya akan memberikan kejutan dalam persembahan nanti dan membuat sehabis baik," jelasnya.


Ben mahu terbit album
Bagi Ben atau nama sebenarnya Benasil Kundong, 65, yang berasal dari Sabah ini, haluan muziknya lebih kepada genre 'country'.

Bersedia berentap dengan empat finalis lain, Ben mengharapkan agar persembahan pada malam ini adalah yang terbaik berbanding sebelum ini.

Malah, menurut penyanyi kelab ini, KE 4 merupakan platform terbaik untuk dirinya mengembangkan bakat dalam seni nyanyian.

"Dulu, saya menyanyi di kelab sahaja dan itulah mata pencarian saya. Namun, bila berjaya berada hingga ke tahap ini, saya ingin beraksi secara serius lagi. "Jika diberi peluang, saya mahu menjadikan laluan ini sebagai platform untuk saya berkarya dan menjadikan bidang nyanyian sepenuh masa,” katanya.

Tambah Ben, dia berhasrat menerbitkan album berentak Country Malaysia, sekiranya berjaya meraih gelaran juara.


Nas sakit?

Finalis lain mungkin lebih beruntung kerana sehingga kini, mereka belum diduga dengan tahap kesihatan.

Namun, bagi Nas, dia amat risau akan kesihatannya yang tidak menentu sejak akhir-akhir ini.
Menurut nas atau nama sebenarnya, Mohammad Nasiruddin Mohd Hashim, kerjaya sebagai ahli sukan tidak memberi jaminan dalam segi kesihatan.

"Saya mengalami gangguan kesihatan, mungkin kerana terlalu penat. Lagipun saya baru lepas pembedahan, jadi saya terasa tak sedap badan sikit.

"Tapi, tidak bermakna saya perlu berundur atau gentar. Saya terus mencabar diri saya untuk memastikan persembahan berjalan dengan lancar.

"Inilah saat yang ditunggu-tunggu selama ini dan saya tidak akan mensia-siakannya," katanya yang turut merancang untuk meneruskan kerjaya dalam industri sekiranya bergelar juara.

Sinar Harian

Ada lelaki sanggup tunggu saya 3 hingga 5 tahun - Maya Karin

Maya Karin 

KUALA LUMPUR: Aktres cantik, Maya Karin mengakui dia lebih selesa membiarkan identiti kekasihnya menjadi tanda tanya pelbagai pihak.

“Saya memang macam ini, tidak mahu berkongsi hal peribadi saya melainkan benda itu adalah penting.

“Malah kawan-kawan saya pun kadang-kadang tidak tahu siapa saya tengah berpacaran kerana saya senyap sahaja. Apatah lagi berkongsi secara umum di media sosial,” ujar penyanyi berusia 35 tahun itu.

Malah jelas pelakon kelahiran Bavaria, German itu mendedahkan ada lelaki yang sanggup menunggu dia untuk menerima cintanya.

“Ya, ada lelaki yang sanggup tunggu saya sehingga mungkin 3 hingga 5 tahun,” ujar Maya lagi.

Maya atau nama sebenarnya, Maya Karin Roelcke, 35 tahun sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga dengan jejaka Inggeris, Muhammad Ali atau Steven David Shorthose pada 2008 sebelum berpisah pada 2010. 


- Astro Gempak


28 Mei 2014

Sultan Perak Sultan Azlan Shah mangkat


KUALA LUMPUR: Sultan Perak, Sultan Azlan Shah, 86, mangkat pada pukul 1.30 tengah hari ini, dan jenazah baginda akan dimakamkan di Makam Diraja Kuala Kangsar selepas solat Asar esok, umum Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Baginda yang telah memerintah Perak selama tiga dekad sejak ditabalkan pada 3 Feb 1984, akan disemayamkan di Balairong Seri Istana Iskandariah, Kuala Kangsar untuk penghormatan terakhir.

Penghormatan terakhir  bagi pembesar negeri dan orang kenamaan adalah pada pukul 9 pagi esok manakala oleh orang ramai bermula 11 pagi hingga 2 petang, diikuti sultan-sultan, raja-raja dan pembesar negara asing mulai pukul 2  petang hingga 3 petang.

Zambry berkata bendera negeri Perak akan dikibar separuh tiang sepanjang tempoh perkabungan selama 100 hari mulai hari ini, sementara bendera Malaysia dikibar separuh tiang selama tujuh hari.

"Sepanjang tempoh perkabungan tujuh hari tersebut, semua bentuk hiburan, keramaian dan perayaan adalah dibatalkan," katanya dalam pengumuman secara langsung melalui RTM hari ini.

Zambry turut mengisytiharkan esok cuti umum bagi negeri Perak sebagai tanda penghormatan sempena pemakaman Almarhum.

"Seluruh rakyat jelata negeri Perak telah kehilangan Sultan yang dikasihi dan berjiwa rakyat.

"Saya Dr Zambry bin Abdul Kadir, Menteri Besar Perak Darul Ridzuan mewakili seluruh rakyat jelata negeri Perak Darul Ridzuan merafak sembah takziah dan mendoakan semoga roh Almarhum Tuanku dicucuri rahmat dan ditempatkan oleh Allah di kalangan para Anbiya, Syuhada dan Solihin," katanya dengan sebak.

Baginda meninggalkan Raja Permaisuri Perak Tuanku Bainun, seorang putera, Pemangku Raja Perak Raja Dr Nazrin Shah dan tiga puteri Raja Datuk Seri Azureen, Raja Datuk Seri Aleena dan Raja Datuk Seri Yong Sofia.

Anakanda ketiga baginda Raja Datuk Seri Ashman Shah mangkat pada 30 Mac 2012.


aStro Awani

Lelaki pernah digelar paling gemuk meninggal dunia

Manuel Uribe
MONTERREY, Mexico - Seorang lelaki Mexico, Manuel Uribe yang pernah digelar sebagai manusia paling gemuk di dunia meninggal dunia pada usia 48 tahun, kata beberapa pegawai kelmarin.
Berat Uribe pernah mencecah sehingga 587 kilogram (kg) sebelum dia menjalani diet untuk mengurangkan berat badannya kepada 394kg.
Seorang pegawai di Hospital Universiti, Monterrey berkata, laporan awal menunjukkan dia meninggal dunia disebabkan masalah kadar degupan jantungnya yang tidak teratur dan penyakit berkaitan dengan kehilangan cecair pada kedua-dua kakinya.
Dia dimasukkan ke hospital itu pada 2 Mei lalu.
Sebuah kren digunakan untuk mengangkut Uribe yang berada di atas katilnya di rumahnya di bandar San Nicolas de los Garza ke hospital tersebut dengan dibantu para pekerja perkhidmatan kecemasan dan pasukan pertahanan awam.
Uribe berkahwin pada tahun 2008 dengan Claudia Solis yang berusia 38 tahun.
Sebuah stesen penyiaran Amerika Syarikat membeli hak penyiaran majlis perkahwinannya yang dihadiri kira-kira 400 orang tetamu itu.
Dia diiktiraf sebagai lelaki paling gemuk di dunia oleh Guinness World Records pada tahun 2007.
Bagaimanapun, ekoran berat badannya semakin meningkat, hubungan baik dengan isterinya semakin merosot.
"Dia (Solis) meminta saya menceraikannya. Saya berasa amat murung," kata Uribe sebelum ini.
Uribe pada mulanya merupakan seorang remaja yang mempunyai berat hanya 113.39kg.
Namun, pada tahun 1992, berat badannya mula meningkat.
Pada tahun 2007, dia pernah memberitahu saluran televisyen ABC News: "Saya mempunyai masalah obesiti sejak bertahun-tahun lamanya. Berat badan saya bertambah dari semasa ke semasa."
Menurutnya, dia makan sama seperti penduduk Mexico yang lain.
Antara makanannya itu ialah hamburger, kentang goreng, piza, kacang, nasi dan makanan tradisi Mexico iaitu jagung tortilla.
Uribe ketika itu berkata, dia bekerja sebagai juruteknik, membaiki mesin taip, mesin pengira elektronik dan komputer yang menyebabkan dia hanya duduk di atas kerusi.
Sejak tahun 2002, Uribe mula terbaring di atas katil dan terpaksa bergantung kepada ibu dan rakan-rakannya untuk memberinya makanan dan membersihkan badannya.
Mayat Uribe kemudian dibakar di sebuah pusat pengurusan mayat di sini.
 - Agensi


27 Mei 2014

Mak nyah didakwa menyamar anak yatim

Mohd Suyadi dibawa keluar dari Mahkamah Majistret, Kuala Terengganu, semalam

KUALA TERENGGANU - Seorang mak nyah didakwa di Mahkamah Majistret di sini, semalam kerana menyamar sebagai anak yatim dan memperdayakan seorang peguam demi  mendapatkan wang pampasan insurans.

Tertuduh, Mohd Suyadi Othman, 28, yang beralamat di Kampung Tok Jamal, Wakaf Mempelam bagaimanapun mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan itu dibacakan di hadapan Majistret Rozianti Mohd Hanaphi.

Mahkamah kemudiannya memerintahkan dia diikat jamin RM10,000 oleh seorang penjamin dan menetapkan tarikh 16 Jun depan bagi sebutan semula kes.

Berdasarkan fakta kes, pada 30 Disember 2008, jam 10.25 malam hingga jam 1.24 petang pada 2 Januari 2009, dia didakwa perdaya pengadu, Ahmad Hilmi Abdul Majid di hadapan Bank Simpanan Nasional (BSN), di sini.

Mohd Suyadi memperdaya Ahmad Hilmi dengan mengaku sebagai Nurul Ali, seorang anak yatim piatu yang dalam keadaan memerlukan bantuan kewangan dan berjanji akan membayar balik wang kepada Ahmad Hilmi setelah mendapat wang pampasan insurans kedua ibu bapanya.

Akibat terpedaya dengan helah Mohd Suyadi, Ahmad Hilmi memutuskan untuk menyerahkan wang bernilai RM17,650 dengan memasukkan duit ke akaun BSN atas pemilik nama Ahmad Amir Aswadi Ahmad Ghani, 28.

Tertuduh ditahan oleh sepasukan polis dan dia didakwa di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih 10 tahun serta sebatan selain denda jika sabit kesalahan.

Pendakwaan kes itu dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor L Rathna.

Sinar Harian

26 Mei 2014

Kanak-kanak tersepit celah dinding

SEORANG kanak-kanak berusia lima tahun tersepit di celah dinding di antara dua buah bangunan di bandar Bijie dalam wilayah Guizhou, China.

GUIZHOU, China - Seorang kanak-kanak lelaki terperangkap di antara celahan dinding dua buah bangunan selepas terjatuh dari kediamannya ketika bermain di bandar Bijie baru-baru ini, lapor akhbar New York Daily kelmarin.

Ahli keluarga kanak-kanak yang berusia lima tahun itu terpaksa meminta pertolongan daripada anggota bomba ekoran gagal mencapainya melalui sebuah lubang.
Aksi kejadian terbabit telah dirakam oleh seorang penduduk setempat menggunakan telefon bimbit dan kemudiannya memuat naik rakaman terbabit ke laman perkongsian video YouTube.
Berdasarkan rakaman video, beberapa anggota bomba terpaksa menebuk dinding bilik air rumah seorang jiran bagi membentuk satu lubang untuk mencapai kanak-kanak terbabit.
Pasukan bomba mengambil masa hampir setengah jam untuk menyelamatkan kanak-kanak itu daripada terus tersekat pada celahan dinding seluas 20 sentimeter itu.
 - Agensi(KOSMO!)


25 Mei 2014

OKU jadi jutawan sekelip mata

VINOD bersama bintang terkenal Bollywood, Salman Khan dalam program India’s Got Talent, musim kedua pada 2010.

New Delhi: Vinod Thakur, jejaka kelainan upaya (OKU) yang masyhur dan menjadi jutawan sekelip mata selepas menyertai program realiti televisyen India, berkata tarian membantunya bertemu cinta, kekayaan dan kebahagiaan. 

Pertama kali kelibatnya di pentas, dia dilihat duduk bersilang kaki di atas lantai, beberapa saat kemudian, dengan menggunakan dua lengannya yang kuat dia berdiri di atas tangannya. Baharulah penonton menyedari, penari berusia 23 tahun ini rupanya tidak mempunyai kaki. “Saya masih tak percaya kehidupan saya kini,” kata warga Delhi itu selepas persembahan mengagumkan di ibu negara India. 


“Memang gila. Tak lama dulu, nak simpan Rs1,000 (RM18) pun susah. Sekarang saya seorang jutawan.” katanya yang kini memiliki rumah dua tingkat, berkahwin dengan cinta sejati, Raksha Rathore, 19, dan merantau ke seluruh dunia. 

BH

24 Mei 2014

Sekelip mata 5 beradik jadi yatim piatu

LIMA beradik kini dijaga ibu saudara mereka.
Kuala Lumpur: “Biasanya ayah selalu terus keluar bekerja, tapi semalam dia sempat beri nasihat supaya saya menjaga adik-adik,” kata Mohd Haikal Jefri, 16, anak sulung kepada pasangan suami isteri yang maut akibat digilis lori muatan tanah di Jalan Cheras di sini pagi, semalam.
Bagaimanapun, beliau berkata ibunya pula tidak banyak bercakap sejak seminggu lalu. 
Menurut Mohd Haikal, dia tidak menyangka ciuman tangan ibu dan bapanya pagi semalam adalah yang terakhir bagi mereka adik-beradik sebelum menjadi yatim piatu.
ANGGOTA polis menguruskan jenazah mangsa di tempat kejadian, semalam.

Bagaimanpun, dia reda dengan kejadian itu dan akan menjaga adik-adik yang masih kecil dengan bantuan ibu dan bapa saudara.
“Saya dan adik-adik tak akan berpisah, lagi pun ibu dan ayah saudara sudah beritahu akan jaga kami,” katanya yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Cheras.
myMetro

DNA babi dalam produk coklat susu dikesan


SHAH ALAM - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengesahkan penemuan DNA babi (porcine) dalam produk makanan Coklat Susu dengan Kacang Hazelnut dan Coklat Susu dengan Kacang Badam jenama Cadburry Dairy Milk.
 
Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, berdasarkan analisis yang diambil dari tiga sampel, dua daripadanya didapati mengandungi porcine manakala satu lagi produk iaitu Coklat Susu Cadburry Dairy Milk Chocolate dikesan tidak mengandungi DNA tersebut.
 
"Ini bertujuan untuk melindungi orang awam daripada bahayanya dari segi kesihatan dan penipuan pada penyediaan, penjualan dan penggunaan makanan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
 
Dalam pada itu, pihak pengeluar produk, Cadburry Confectionery Malaysia Sdn Bhd memberi jaminan untuk menarik balik produk terbabit dari pasaran dengan serta-merta.
 
"Kami ingin menasihatkan orang ramai supaya membaca nombor kelompok (batch no.) pada label produk sebelum membeli atau memakannya," jelasnya.
 
Orang ramai dan pengguna boleh merujuk laman web Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) di http://fsq.moh.gov.my atau www.facebook.com/bkkmhq untuk sebarang soalan dan pertanyaan.


Sumber


Port Mak Ngah Skodeng !