20 April 2014

Bayi maut tertelan skru

Yusmadi Yusof, 32, dan Nor Faizah Mat Deris, 23, menunjukkan imej bayi mereka yang maut tertelan skru.
BESUT: Seorang bayi berumur lapan bulan meninggal dunia akibat tertelan skru sepanjang dua sentimeter di rumahnya di Felda Selasih, dekat sini, semalam.
Ketika kejadian, Muhammad Adam Nazmi Yusmadi dikatakan sedang bermain di dalam rumah bersama dua abangnya berumur lima dan tiga tahun. 
Ketua Polis Daerah Besut Supritenden Kamaruddin Mohd Zakaria berkata, kejadian disedari oleh abang mangsa berumur 5 tahun yang memberitahu datuknya yang berada di luar rumah setelah melihat adiknya itu tidak sedarkan diri selepas muntah-muntah. 

Kamaruddin berkata, ketika kejadian ibu mangsa sedang mandi manakala datuk dan neneknya sedang membuat kerja masing-masing di sekitar rumah mereka.
“Apabila menyedarinya, mereka mengejarkan mangsa ke Hospital Daerah Besut tanpa mengetahui ia telah tertelan skru," kata Kamaruddin kepada pemberita di sini hari ini.
Menurutnya, mangsa meninggal dunia setibanya di hospital. 

Kamaruddin berkata, mangsa dan ibu bapanya tinggal bersama datuk dan neneknya sejak beberapa tahun lalu di Felda berkenaan. 

Pemeriksaan pihak hospital kemudiannya mengesan sebatang skru sepanjang dua sentimeter terlekat di kerongkong kanak-kanak berkenaan, yang kemudian berjaya dikeluarkan. 

Mengesahkan hal itu, Pegawai Perubatan hospital, Dr Nur afi’dah M. Zulkepli berkata, skru itu menyekat aliran udara (nafas) mangsa di kerongkong. 

Kamaruddin berkata, pemeriksaan mendapati tiada unsur jenayah dalam kejadian.

Mayat mangsa dituntut oleh datuknya kira-kira jam 6.30 petang semalam. - Bernama
Harian Metro

Budak cemerlang SPM tekad jual air

Nurfaizah (berdiri, tengah) bersama rakan lain.

SELAMA - Tiga pelajar perempuan yang mendapat keputusan 10A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) lalu terpaksa menjalankan perniagaan sampingan bagi membolehkan mereka mengumpul duit untuk melanjutkan pelajaran ke universiti.

Nurfaizah Jamaluddin, 17, dari Kampung Sungai Buluh berkata, selepas mendapat keputusan SPM, dia dan beberapa rakan lain ke Kulim dan kawasan Perindustrian Prai untuk mencari pekerjaan bagaimanapun dinasihatkan supaya menyambung pelajaran dan tidak bekerja.

Setelah gagal memperoleh sebarang pekerjaan, timbul keinginan untuk menjalankan perniagaan sendiri.


Walaupun secara kecil-kecilan, namun mendapat sambutan.

Menurutnya, semua ini dilakukan untuk membantu mengurangkan bebanan bapanya yang masih menyekolahkan beberapa adik beradik lain.

“Saya bersama dua rakan lain, Nurul Ashyikin Rosli dari Kampung Sungai Kasai dan Husna Nabillah Mohd Nor mengambil keputusan untuk menjual air, mi dan makanan ringan.

"Kami menjalankan perniagaan ini dengan menggunakan wang simpanan kami selama ini.

Walaupun perniagaan yang kami jalankan ini secara kecilan, ia tetap mendapat sambutan baik dalam kalangan pelanggan termasuk penduduk kampung.

"Kami berharap dengan cara ini, kami dapat mengumpul sedikit wang untuk membayar kos pembelajaran ketika mendaftarkan diri ke universiti nanti,” katanya.

Sinar Harian

Mudah naik angin jika gula rendah

Paras gula yang stabil amat penting bagi mengekalkan kebahagiaan di dalam perkahwinan. - Foto hiasan

Washington: Gejala gula rendah dalam darah tidak baik untuk perkahwinan kerana ia menyebabkan pasangan lebih cenderung untuk marah dan bertindak kasar, menurut kajian terbaharu yang diterbitkan pada Isnin lalu. 

Penemuan itu dilakukan ke atas 107 pasangan berkahwin yang diminta untuk memantau paras glukosa dalam darah sebelum sarapan pagi dan tidur, setiap hari selama 21 hari. 


Sebagai tambahan, penyelidik turut memberikan mereka patung vodoo mewakili kepentingan mereka bersama dengan 51 batang jarum. Mereka diarahkan untuk mencucuk patung menunjukkan perasaan marah mereka terhadap pasangan secara rahsia. 

Kajian mendapati pasangan dengan kandungan darah yang rendah mencucuk lebih banyak jarum terhadap patung pasangan mereka. 

“Apabila darah mereka mempunyai paras glukosa rendah, mereka berasa marah dan melepaskannya terhadap patung yang mewakili pasangan mereka,” kata ketua penulis penyelidikan, Brad Bushman dari Universiti Ohio State. 

“Sehinggakan mereka yang melaporkan hubungan baik dengan pasangan masing-masing turut cenderung melepaskan kemarahan jika paras glukosa mereka rendah,” katanya. 

Dibawa ke makmal 


Menerusi kajian itu, pasangan terbabit dibawa ke makmal dan diasingkan dalam bilik berlainan. Mereka diarahkan untuk bermain permainan komputer menentang pasangan masing-masing. 

Setiap kali mereka menang, mereka disuruh untuk membuat keputusan mengenai berapa kuat bunyi yang akan didengar pembesar suara pasangan mereka serta berapa lama. 

Ia sebenarnya tidak berlaku dan mereka juga tidak bermain menentang pasangan masing-masing tetapi menentang komputer yang membenarkan mereka menang 50 peratus pada setiap masa. 

Walaupun begitu, keputusan menunjukkan mereka dengan purata kandungan gula sebelah petang yang rendah ‘menghantar’ bunyi yang lebih kuat dan lebih panjang kepada pasangan masing-masing. 

Selain itu, analisa lanjut dilakukan bagi mendapati mereka yang lebih banyak mencucuk patung dengan jarum lebih cenderung menghantar suara lebih kuat dan lebih panjang. 

“Kami menemui kaitan jelas antara tindak balas agresif yang dapat dilihat pada anak patung dan kelakuan agresif realiti,” kata Bushman. 

Beliau menambah, glukosa bertindak sebagai tenaga kepada otak atau organ yang menggunapakai 20 peratus kalori walaupun ia hanya mewakili dua peratus berat badan. 

Kawalan diri sendiri diperlukan bagi menguruskan kemarahan dan tindak balas agresif memerlukan tenaga. Sebahagian daripada tenaga itu dibekalkan oleh glukosa, katanya.


 - AFP(BH)

Remaja perempuan maut disimbah asid lelaki misteri

Penampang: Seorang remaja perempuan berusia 19 tahun maut selepas dipercayai disimbah asid oleh seorang lelaki bertopeng di sebuah restoran di Towering, Jalan Penampang, di sini, kira-kira 4.30 pagi tadi.
Difahamkan, mangsa bersama dua rakannya sedang memesan makanan di sebuah restoran apabila tiba-tiba seorang lelaki yang memakai topeng terus menyimbah cecair dipercayai asid ke muka mangsa.
Mangsa yang menggelupur kesakitan dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) oleh dua rakannya dan disahkan meninggal dunia ketika dalam rawatan pada 11.20 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superintendan Ratan Kumar Singh ketika dihubungi, mengesahkan kejadian dan siasatan lanjut masih dijalankan.
Foto
MANGSA disimbah asid ketika sedang pesan makanan bersama rakannya.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana bunuh.

19 April 2014

SEMUT API HUKUM PENCURI

Ayopaya: Penduduk desa di kawasan hutan Amazon mengenakan hukuman yang kejam terhadap dua pencuri motor mengikat mereka pada pokok yang penuh dengan semut api.
Kedua-dua pencuri itu berusia 18 dan 19 tahun hampir mati digigit semut berbisa itu.
Kejadian itu berlaku di Ayopaya di hutan AmaPenyeksaan terhadap kedua-dua pencuri itu dilakukan selama tiga hari berturut-turut.
Mereka hanya dibebaskan Sabtu lalu apabila keluarga kedua-dua pemuda berkenaan membayar wang tebusan dan ganti rugi kepada pemilik motor berjumlah RM12 ribu, hampir empat kali ganda purata upah bekerja setahun di Bolivia.
Kedua-dua pencuri motor itu kritikal dan ginjal seorang daripada mereka dikatakan hancur.zon bahagian barat Bolivia.
“Keadaan mereka parah dan hampir mati kerana digigir semut yang beracun,” kata Dr. Roberto Paz yang bertugas di hospital Bolivia Cochabamba.
Semut ganas jenis seudomyrmex triplarinus itu mempunyai racun yang mampu membunuh mangsanya.
Tetapi dalam dos kecil, racun semut itu boleh digunakan sebagai penawar perubatan tradisional untuk penyakit artritis. 
- Agensi

18 April 2014

Mati tersedak mi segera

Kuala Nerang: “Selepas selesai solat Isyak dan makan malam kami minta izin pengetua untuk tidur awal kerana terlalu letih. Saya bersama lima lagi rakan termasuk arwah masuk ke bilik asrama. Arwah beritahu dia lapar dan hendak masak mi segera perisa kari.
“Ketika itu kami sempat bersembang sementara menunggu arwah selesai makan mi segera berkenaan. Tidak lama kemudian kami semua terlelap kerana terlalu mengantuk sebelum terjaga apabila terdengar bunyi dengkuran kuat mangsa,” kata Mohamad Hisham Zainol, 17. 
Mohamad Hisham rakan sebilik, Mohd Daud Shariff, 18, yang berasal dari Kampung Kuala Beris, Sik, maut dipercayai tersedak mi segera ketika tidur di asrama Sekolah Menengah Agama (SMA) As Siddiqiah Al Islamiah, Naka, dekat sini, kira-kira jam 10.30 malam kelmarin. 

Menurutnya, sebelum kejadian itu, mereka baru selesai solat Isyak dan menikmati makan malam kira-kira jam 9.30 malam di dewan makan asrama berkenaan.
Foto
MOHD Sidek menunjukkan tempat mangsa berbaring sebelum kejadian.
“Selepas makan malam kami berenam masuk ke bilik kerana terlalu letih berikutan bermain bola pada belah petangnya. Masa itu arwah tidak bermain bola dan dia mengikut kami ke bilik untuk tidur kerana keletihan.
“Arwah beritahu dia lapar dan hendak masak mi segera. Dia sempat panaskan air dalam cerek sebelum masak mi segera perisa kari. Sementara menunggu dia makan kami sempat berborak dan tidak lama kemudian kami semua terlelap termasuk mangsa kerana terlalu mengantuk. 

“Dalam beberapa minit kemudian kami terjaga apabila warden yang kebetulan lalu di depan bilik kami terdengar bunyi dengkuran yang kuat dari luar bilik kami. Masa itu kami tidak mengesyaki apa-apa kerana mungkin arwah berdengkur mungkin disebabkan dia terlalu letih. 
Harian Metro

17 April 2014

Papan luncur emas

New York: Ia papan luncur termahal di dunia, dijual dengan harga mengejutkan £9,000 (RM48,830).
Papan itu disalut dengan emas tulen dan boleh digunakan seperti biasa walaupun berdepan dengan kerumitan untuk menyiapkannya. 
Menurut pereka papan luncur berkenaan, pembeli bertuah harus memakai sarung tangan khas bagi mengelak permukaannya comot. 

Papan itu direka untuk kedai papan luncur New York, SHUT oleh pereka, Mathhew Willet.
Foto
PAPAN luncur termahal di dunia bernilai RM48,830.
Dia berkata, penting untuk papan luncur itu berfungsi sepenuhnya terutama kerana harganya.
Keenam-enam komponen papan berfungsi biasa, walaupun objek berkenaan disadur dengan emas dan berat 80 peratus lebih berbanding papan biasa.

Selepas setiap komponen disalut emas, ia digilap dengan tangan sebagai penyudahan.

Willet berkata: “Papan itu melalui banyak ujian, tetapi akhirnya ia hasil yang menakjubkan dan memberi pengalaman yang banyak.” - Agensi

16 April 2014

Kadar Cerai Di Selangor Tinggi

SHAH ALAM: Kadar perceraian dalam kalangan pasangan Islam di Selangor berada pada tahap tinggi setiap tahun sejak 2008, demikian diberitahu pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini pada Rabu.
Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali berkata terdapat 4,069 kes pada 2008, meningkat kepada 4,614 (2009), 5,352 kes (2010), 6,035 kes (2011), 6,098 kes (2012) dan pada 2013 merekodkan 6,028 kes.
Beliau berkata bagi pecahan kadar perceraian mengikut daerah, Gombak merekodkan jumlah tertinggi dengan 1,160 kes diikuti Klang (1,048 kes), Petaling (997 kes) dan Shah Alam (807 kes).
"Kadar perceraian yang tinggi ini memerlukan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) mengkaji semula punca sebenar berlakunya perceraian. Bagaimanapun berdasarkan maklumat, antara punca (kadar perceraian tinggi) ialah ada pasangan berkahwin di luar Selangor tetapi bercerai di negeri ini," katanya.
Halimah berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Yaakob Sapari (PKR-Kota Anggerik) yang ingin tahu jumlah perceraian mengikut tahun sejak 2008, pecahan kadar perceraian mengikut daerah serta langkah kerajaan negeri mengurangkan kadar perceraian di negeri itu.
Halimah turut menyenaraikan usaha untuk menangani kadar perceraian yang tinggi, termasuklah menilai semula modul kursus perkahwinan, memberi kaunseling kepada pasangan bermasalah serta membentuk jawatankuasa pendamaian.
mStar Online

Durian sebabkan pesakit dipindah keluar


MELBOURNE - AUSTRALIA. Bau durian menyebabkan para pesakit dipindahkan keluar dari sebuah hospital di sini.
   
Pasukan bomba di panggil ke Hospital swasta Mitcham di Doncaster East Road, Mitcham, kira-kira pukul 10 malam Isnin kerana bimbang berlaku kebocoran gas di sebuah daripada wad orang tua hospital itu.
    
Bagaimanapun Bomba Metropolitan (MFB) kemudian diberitahu bau pelik itu ialah daripada sebiji durian yang dipercayai dibawa sebagai buah tangan untuk seorang pesakit di situ.
   
"Terbit satu bau pelik di sini dan pihak hospital mulanya menganggap ia bagi sejenis gas lantas menelefon kami untuk bantuan, " kata seorang jurucakap MFB kepada Bernama.
   
"Pada mulanya kami tidak tahu namanya durian, tetapi seorang jurukamera tv yang tiba di tempat kejadian kenal akan jenis buah itu dan memberitahu kami mengenai bau yang menusuk itu. Kami biasa menerima aduan orang yang tersilap terbau sesuatu dan percaya ia bau gas," katanya.

Ketua Eksekutif Hospital Samantha Dodd enggan memberitahu sama ada pesakit itu seorang warga Malaysia atau Asia.
   
"Kami biasanya tidak mendedahkan maklumat seperti itu," katanya.
   
Julai lepas, semua kakitangan di lantai sebuah ofis di pusat perniagaan daerah Sydney dikosongkan selepas terbau sejenis durian import yang sedang diuji para pegawai pertanian Malaysia mengenai kesegarannya, yang meresap masuk ke ruang pengudaraan, menyebabkan kakitangan di pejabat-pejabat berjiran, melarikan diri bimbang akan berlaku kebocoran gas.
   
Beberapa tahun lepas, Lapangan Terbang Antarabangsa Brisbane diarah dikosongkan apabila seorang penumpang yang tiba dari Malaysia ditemui memiliki durian dalam bagasinya.

 - Bernama

15 April 2014

Isteri gila games tidak pernah berenggang dengan iPad,abaikan Suami

Amin makan hati isteri luangkan lebih banyak masa main game

“DISEBABKAN rasa sayang, saya masih lagi bersabar dengan kerenah isteri yang suka main online game,” kata seorang suami mengenai sikap isterinya.

Kakitangan swasta, Amin Budi (bukan nama sebenar), 30, berkata, dia menyedari sikap buruk isterinya selepas bulan madu pertama mereka apabila Dina, 27, tidak pernah berenggang dengan iPad yang merupakan salah satu barang hantaran perkahwinan yang dihadiahkannya dua tahun lalu.

Pada awalnya Amin berkata, isterinya yang juga seorang suri rumah sepenuh masa tidak menunjukkan ketagihan kerana tetap melayannya dengan baik, namun apabila menjelang setengah tahun perkahwinan, sikap isterinya itu kian menjadi-jadi.

“Isteri saya kadang kala tak beri respons ketika saya bercakap jika ketika itu dia sedang menghadap iPadnya, dan sanggup tidur lewat malam menyebabkan dia kadang-kadang tak melakukan kerja rumah, tetapi menghabiskan masa dengan tidur sahaja di siang hari sebab tak cukup tidur pada waktu malam.

“Apabila saya pulang ke rumah dalam keadaan bersepah, ini menyebabkan stress semakin bertambah. Tak cukup di tempat kerja, di rumah pula keadaan tunggang-langgang,” katanya.

Jelasnya, isterinya suka bermain game 'Candy Rrush' dan game lain melalui Facebook seperti 'Restoran City' dan sebagainya.

Apabila ditegur, isterinya memberitahu ia sekadar untuk mengisi masa terluang sedangkan ketika itu dia berada di rumah.

Lebih malang katanya, isterinya pernah keguguran Januari tahun lalu dan dia menganggap perkara itu berlaku disebabkan sikap isterinya yang suka bermain permainan online sehingga tidak menjaga pemakanan dan waktu tidur yang baik.

'Uninstall' semua permainan

Mengulas lanjut, Amin bagaimanapun tidak menyalahkan isterinya 100 peratus. Dia menganggap isterinya hanya mahu melepaskan tekanan akibat kesunyian di rumah kerana sentiasa ditinggalkan keseorangan.

Amin juga mengakui kadang kala terpaksa meninggalkan isterinya untuk beberapa hari kerana terpaksa keluar daerah atas urusan kerja. Tidak menolak keadaan itu juga turut menjadi penyebab hubungan mereka renggang, Amin kemudian tekad berbincang secara serius dengan isterinya.

Amin bagaimanapun bersyukur kerana keadaan itu membuka ruang yang lebih baik dalam perkahwinan mereka apabila keterbukaan kedua-duanya dalam menyuarakan isi hati masing-masing telah menyebabkan mereka cuba memperbaiki kelemahan yang ada.

“Sekarang ini, isteri saya juga sudah berubah selepas keguguran tahun lalu dan dia juga telah ‘uninstall’ semua permainan yang menjadi ketagihannya sebelum ini,” katanya.

Suami perlu bijak selesai masalah

Dalam masa sama, Amin menasihati mana-mana suami yang menghadapi masalah sama agar bersabar dan berbincang dengan isteri.

“Janganlah kerana online game, berlaku keretakan rumah tangga. Kalau kita ikhlas, ALLAH sudah tentu buka pintu hati isteri untuk terima nasihat kita. Masing-masing ada kelemahan, mungkin ia juga berpunca dari sikap kita, tetapi itulah cabaran perkahwinan,” katanya.

Sementara itu, Munir Ahmad, 32, memberitahu ketagihan terhadap permainan online menyebabkan hubungan sepupu dan suaminya menjadi renggang.

Kata Munir, sepupunya, Suriati, pernah memberitahu walaupun ketika Ramadan, suaminya lebih suka bermain game berbanding solat Tarawih dan kadang-kadang tidur pada jam 4 pagi kerana asyik bermain game.

Begitu juga dari urusan penjagaan anak-anak, jika salah satu dari dua anaknya jatuh sakit, Suriatilah yang menguruskan segalanya kerana suaminya lebih suka menghabiskan masa dengan permainan online.

“Walaupun ia tidaklah menyebabkan hubungan mereka sampai hendak bercerai tetapi melalui ceritanya, suaminya mengabaikan urusan penjagaan anak-anak sehinggakan semua dia yang perlu selesaikan walaupun dari segi nafkah, suaminya tak pernah ‘miss’.

“Apa yang membimbangkannya, anak sulung Suriati juga mengikut perangai ayahnya. Bangun sahaja tidur, dia akan menuju ke komputer untuk bermain game 'Angry Bird',” katanya.


Sinar Harian

Port Mak Ngah Skodeng !