22 Oktober 2014

Peminta sedekah potong kaki unta untuk raih simpati

SEEKOR unta yang kudung keempat-empat kakinya dibawa dua orang lelaki ketika sedang meminta sedekah di bandar Fuzhou di wilayah Fujian, China baru-baru ini.

Sekumpulan peminta sedekah di China didakwa sanggup memotong kaki seekor unta untuk menggunakan haiwan tersebut meraih simpati orang ramai, lapor MailOnline semalam.


Seorang aktivis hak asasi haiwan di China, Xiong Kung mendakwa, mereka mengesan dua lelaki membawa seekor unta yang kudung keempat-empat kaki untuk meminta sedekah di bandar Fuzhou, dalam wilayah Fujian.
“Kami mendapat maklumat mereka memperoleh banyak wang daripada orang ramai yang bersimpati dengan nasib haiwan ini.
“Peminta-peminta sedekah itu mendakwa, unta berkenaan cacat selepas dilanggar sebuah kereta api dan mereka meminta dana daripada orang ramai untuk menjaga haiwan berkenaan.
“Polis mengesahkan haiwan itu sengaja dicacatkan sebagai salah satu cara untuk meraih simpati orang ramai,” katanya.
Bagaimanapun, pihak berkuasa tidak boleh berbuat apa-apa terhadap individu berkenaan kerana di China tiada undang-undang berhubung penganiayaan terhadap haiwan,” katanya. 
– Agensi(KOSMO!)


LEMBU PAKAI LAMPIN


PERATURAN baja baharu yang dikuatkuasakan oleh Kesatuan Eropah (EU) menyebabkan lembu ternakan di negara rantau tersebut perlu memakai 'lampin'.

Memetik laporan The Mirror, di bawah peraturan tersebut, EU melarang penggunaan baja kompos di kawasan lereng bukit yang mempunyai kecerunan lebih 15 peratus.

Penternak haiwan yang melanggar arahan tersebut didakwa bakal kehilangan subsidi pertanian yang bernilai ribuan Euro pada setiap tahun.

Presiden Pertubuhan Peladang di Upper Bavaria, Anton Kreitmair berharap larangan itu dikecualikan di Jerman kerana ia didakwa memberi kesan besar kepada penternak di negara tersebut.

Menurut EU, peraturan tersebut sebenarnya adalah salah satu langkah penting untuk mengelakkan pencemaran air yang disebabkan oleh penyerapan baja asli di dalam tanah.


Sumber

21 Oktober 2014

Kempen sentuh anjing, Mufti suruh taubat


KOTA BHARU - Penganjur program 'I Want To Touch A Dog' dan umat Islam yang menyentuh haiwan itu di majlis tersebut kelmarin wajib bertaubat.

Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata, ini kerana mereka secara jelas mempersendakan hukum ALLAH.   

Katanya, perbuatan sengaja menyentuh anjing adalah haram kerana ia najis mughalazoh (berat) dan bertentangan dengan mazhab Syafie.

“Jika dianjurkan oleh orang Islam, dia sebenarnya menghina hukum ALLAH dan boleh dianggap sebagai sindiran tajam terhadap kewibawaan umat Islam. Bertaubatlah," katanya.

“Memang sedih dengan gejala tidak sihat berlaku akhir-akhir ini. Lepas satu ada lagi yang lain ditimbulkan dengan sengaja dalam masyarakat kita,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Mohamad Shukri mengulas tentang program berkaitan sentuh anjing di taman rekreasi di Damansara, Selangor yang menunjukkan umat Islam membelai anjing.


SH

20 Oktober 2014

Percaya atau tidak ? Garaj buruk ini bernilai RM2.8 juta

GARAJ yang terletak di Jalan King, Chelsea ini menjadi garaj paling mahal di Britain. - AGENSI

Sebuah garaj kereta yang terletak di Jalan King di Chelsea bakal menjadi garaj paling mahal di Britain apabila dilelong pada harga lebih £550,000 (RM2.8 juta), lapor MailOnline semalam.

Garaj yang hanya berkeluasan 3.35 meter panjang dan 2 meter lebar itu dibina menggunakan kayu serta batu-bata dan hanya boleh memuatkan sebuah kereta.
Sebelum ini garaj berkenaan yang terletak di antara deretan rumah teres dan bangunan lain digambarkan berada di lokasi yang tidak teratur dan tidak strategik.
Bagaimanapun, nilai hartanah di kawasan tersebut termasuk garaj berkenaan melambung tinggi selepas sebuah syarikat pemaju mendapat kelulusan untuk membina sebuah perumahan mewah di kawasan berkenaan.
Pemilik garaj berkenaan melelong tapak tersebut baru-baru ini dan ia dibeli oleh seorang pembida selepas mengetahui ia bakal menjadi lokasi eksklusif tidak lama lagi.
Sumber(KOSMO!)

Petani tanam labu seberat hampir satu tan

HAWKLEY bergambar bersama labu seberat hampir satu tan pada pertandingan labu terberat di California, Amerika Syarikat kelmarin.

Sebiji buah labu yang ditanam oleh seorang petani di Napa Valley dalam negeri California diisytiharkan sebagai buah labu paling besar yang pernah ditanam di Amerika Utara. Buah labu seberat 933 kilogram yang ditanam oleh petani itu, John Hawkley berjaya memenangi satu pertandingan buah labu terberat yang berlangsung di sini kelmarin.


Pegawai pertandingan itu, David Stelts berkata, pihak penganjur merancang untuk membawa buah labu berkenaan ke New York untuk dipamerkan dalam satu pameran botani tidak lama lagi.
“Buah labu yang ditanam Hawkley ini lebih berat daripada rekod sebelum ini yang juga dicatatkan di daerah Napa Valley.
“Sebagai johan pertandingan ini, Hawkley memenangi wang tunai berjumlah AS$13,348 (RM43,704),” katanya.
Rekod buah labu paling berat di dunia dicatatkan oleh seorang petani dari Switzerland yang berjaya menanam labu seberat 952 kilogram.
 – Reuters

Nurul Izzah Anwar mengucapkan tahniah kepada penganjur 'I Want To Touch A Dog'

Fathul Bari membalas status Nurul Izzah pada laman mikro Twitternya hari ini.

SHAH ALAM - Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar mengucapkan tahniah kepada penganjur dan orang ramai yang hadir pada satu acara yang membolehkan pengunjung, termasuk umat Islam, menyentuh anjing hari ini.

Dalam kemas kini status Twitternya, beliau menyindir Exco Pemuda Umno, Dr Fathul Bari Mat Jahaya yang sebelum ini pernah menyebut bahawa 'kempen sentuh anjing' itu sangat janggal.

“Islam juga mengenai belas kasihan. Tahniah (penganjur) Syed Azmi (Alhabshi) dan semua yang datang,” tulis Nurul Izzah, hari ini.

Namun, Fathul Bari membalas status itu dengan mengatakan: “YB Nurul Izzah, umat Islam sokong kempen ‘ihsan’ ke atas haiwan, termasuk anjing. Cuma kempen ‘touch (a) dog’ (sentuh anjing) sangat janggal,” katanya.

Melalui interaksi terkini, Ahli Parlimen Lembah Pantai itu menyindir Fathul Bari dengan berkongsi paparan skrin gambar surat, dipercayai daripada Majlis Agama Islam Selangor (Mais).

“Untuk ‘haters’ (mereka yang tidak suka) di luar sana, termasuk Ustaz Fathul Bari, acara termasuk tazkirah ringkas oleh ustaz (Mais),” katanya.

Kemudian Fathul Bari membalas: “YB Nurul Izzah, jangan emosi. Saya hanya sebut ‘sangat janggal’. Jangan bimbang OK. Saya tidak setuju konsep tersebut dan itu adalah hak saya memberikan pendapat.”

Hari ini berlangsung acara ‘I Want To Touch a Dog’ (Saya ingin sentuh anjing) di Central Park, Bandar Utama, yang bertujuan membantu orang ramai, terutamanya umat Islam, untuk mengatasi persepsi negatif terhadap anjing dan dilaporkan mendapat sambutan.

Memetik laporan sebuah portal, sebelum acara bermula, sebuah forum memberi peluang kepada orang ramai membangkitkan kemusykilan kepada seorang ustaz, seorang pemandu teksi berbangsa Melayu yang berpengalaman mengendalikan anjing serta doktor haiwan.

Orang ramai turut diberi taklimat dan diberi tunjuk ajar cara melakukan samak yang betul sekiranya ada yang was-was atau memegang anjing dalam keadaan basah.


SH

19 Oktober 2014

Belalai air gemparkan penduduk Bintulu

FENOMENA belalai air (dalam bulatan) yang sempat dirakamkan selama 20 minit berlaku di Pantai Kidurong, Bintulu semalam.

KUCHING – Penduduk tempatan gempar selepas menyaksikan satu fenomena puting beliung kecil atau dikenali sebagai belalai air berlaku selama 20 minit di sekitar pantai Tanjung Kidurong, di Bintulu pagi semalam.


Dalam kejadian kira-kira 10 pagi itu, orang ramai menyangkakan puting beliung yang ganas sedang berlaku apabila melihat putaran seolah-olah pusaran angin kencang menghampiri pantai tersebut.
KOSMO!

18 Oktober 2014

Minah saleh berkelakuan tidak senonoh

Empat wanita separuh bogel sedang bersantai di tepi Pantai Saujana Batu 4, kelmarin

PORT DICKSON – Tindakan empat wanita warga asing berehat di Pantai Saujana Batu 4, di sini dalam keadaan separuh bogel, tengah hari kelmarin, menimbulkan rasa kurang senang orang ramai.

Pengunjung yang enggan dikenali berkata, dia terkejut dengan perlakuan melampau wanita terbabit.

"Mereka pada awalnya hanya berbikini dan berenang di pantai. Selepas setengah jam kemudian, mereka naik semula ke pantai dan berjemur dengan hanya memakai seluar dalam sahaja.

"Tiga dari mereka berusia sekitar 20 hingga 30 tahun, sementara seorang lagi lebih berusia sekitar 50-an. Mungkin mereka anak beranak," katanya.

Sementara itu, penjaga tandas awam Pantai Saujana Batu 4, Latif Ahmad, 61, berkata, dia didatangi oleh empat wanita warga Eropah lengkap berpakaian sekitar jam 12 tengah hari yang ingin menyewa payung.

"Mungkin mereka menginap di salah sebuah hotel sekitar Batu 4 berikutan mereka hanya berjalan kaki ke pantai ini.

"Disebabkan saya tidak faham bahasa Inggeris, saya hanya berkomunikasi menggunakan bahasa isyarat dan dengan bantuan orang awam lain, dia dimaklumkan wanita berkenaan ingin menyewa payung dan meminjam kerusi," katanya.

Tambah Latif, dia tidak menyedari kejadian berkenaan sehinggalah diberitahu wartawan.

“Jarak antara tandas ini dan lokasi kejadian agak jauh, ditambah pula tempat ini dihalang oleh tandas," katanya.

Katanya, sekitar jam 4 petang, wanita berkenaan memulangkan semula kerusi dan sempat bertanya bagaimana hendak ke restoran segera di Port Dickson," jelasnya.

Latif berkata, sejak dia bertugas sebagai penjaga tandas hampir dua tahun lalu, ini kali pertama dia mendengar berita mengenai kejadian seperti itu.

“Memanglah tidak ramai pengunjung yang datang ke pantai ini semalam (kelmarin) kecuali pada hujung minggu atau cuti umum, memang pantai ini padat dengan pengunjung,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD), Datuk Ab Khalid Mat berkata, walaupun kes itu terpencil, namun pihaknya memandang serius perkara itu dan sedang menjalankan siasatan lanjut mengenainya.

“Mandi tanpa pakaian di tempat awam adalah satu kesalahan dan melanggar etika Malaysia sebagai sebuah negara Islam.

“Oleh itu, orang ramai diminta bekerjasama dalam hal ini. Sekiranya perkara sama berlaku, orang ramai diminta segera menghubungi MPPD atau pihak berkuasa untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Baharuddin Mustapha berkata, sehingga jam 6 petang semalam, pihaknya belum menerima sebarang laporan polis berkenaan perkara tersebut.

SH

Pendapatan RM3,600 dikira miskin di Malaysia


SHAH ALAM -  Bekas Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah menyeru agar rakyat Malaysia terutamanya Melayu/Bumiputera mengubah sikap supaya menjadi masyarakat yang lebih berjaya, bagi mengelak mereka daripada menjadi pengemis di negara sendiri.

Ku Li berkata, perubahan itu perlu dilakukan kerana standard dunia telah berubah, dan sekiranya masyarakat kita masih lena dibuai mimpi tidak mustahil kita senasib dengan masyarakat ‘Red Indian’ di Amerika Syarikat.

“Saya sebut dalam masalah yang dihadapi oleh orang kita, orang Melayu/Bumiputera adalah sikap kita… jadi selagi kita tidak ubah sikap selama inilah kita akan ketinggalan. Saya ingatkan orang kita supaya ubah sikap, letakkan nilai yang patut supaya kita tidak jadi pengemis di negara sendiri.

“Ingat nasib ‘Red Indian’… keadaan kini sudah berubah,  nilai ringgit sudah jatuh dan World Bank telah tetapkan ukuran yang baru kepada kita untuk tentukan kita sudah atasi kadar kemiskinan.

“Dikhabarkan sekarang untuk Malaysia, mereka yang berpendapatan kurang RM3,600 adalah golongan miskin,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan ucaptama di Forum Transformasi Barah Ali Baba di Bumi Merdeka anjuran Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEN) di Institusi Antarabangsa Tamadun dan Pemikiran Islam, semalam.

Justeru, Ku Li mengingatkan masyarakat kita supaya berpijak di bumi yang nyata, dan jangan bersikap seperti orang kaya.

“Kita berlagak,  tapi poket kita kosong, nilai ringgit sudah mengecil, inflasi kos hidup atasi kemampuan sikap tetapi  kita tetap tidak berubah… tetap  boros berbelanja,” katanya.


Sinar Harian

17 Oktober 2014

Muzik jazz redakan kesakitan selepas bedah ?


Muzik jazz membantu mengurang kadar denyutan jantung sekaligus mengurangkan rasa berdebar berdasarkan kajian yang dibentangkan dalam perjumpaan tahunan Anestesiologi 2014 baru-baru ini.

Pakar Anestesiologi Pusat Perubatan Penn State S. Hershey, Dr. Flower Austin berkata, kebimbangan pesakit untuk menghadapi pembedahan, ditambah dengan rasa takut terhadap anestesia mewujudkan tekanan emosi dan keresahan kepada kebanyakan pesakit.

Tambahnya, pakar bius akan menyediakan ubat bius kepada pesakit. Namun, terdapat sesetengah ubat bius boleh memberi kesan sampingan yang ketara kepada pesakit.

Austin berkata, kajian ini bertujuan mengetahui kaedah baru yang lebih efektif dari segi kos untuk diguna pakai bagi merawat pesakit.

Austin dan pasukannya telah membuat pemerhatian terhadap 56 pesakit yang menjalani prosedur histerektomi elektif dengan membahagikan seramai 28 pesakit untuk mendengar muzik jazz, dan selebihnya memakai fon kepala penebat bunyi  selepas pembedahan.

Bacaan pertama kadar denyutan jantung, tekanan darah serta tahap kesakitan dan keresahan selepas pembedahan dijadikan garis pengukur sebelum mengambil rekod bacaan selama 30 minit.

Bacaan rekod menunjukkan kadar denyutan jantung pesakit bagi kedua-dua kumpulan menurun dengan ketara. Bagi pesakit yang mendengar muzik jazz, kadar denyutan jantung mereka menurun selepas 20 minit berbanding pesakit yang menggunakan fon kepala. Namun, mereka mencatatkan tahap kesakitan yang lebih rendah selepas 10 minit.


SH

Port Mak Ngah Skodeng !