20 Oktober 2014

Petani tanam labu seberat hampir satu tan

HAWKLEY bergambar bersama labu seberat hampir satu tan pada pertandingan labu terberat di California, Amerika Syarikat kelmarin.

Sebiji buah labu yang ditanam oleh seorang petani di Napa Valley dalam negeri California diisytiharkan sebagai buah labu paling besar yang pernah ditanam di Amerika Utara. Buah labu seberat 933 kilogram yang ditanam oleh petani itu, John Hawkley berjaya memenangi satu pertandingan buah labu terberat yang berlangsung di sini kelmarin.


Pegawai pertandingan itu, David Stelts berkata, pihak penganjur merancang untuk membawa buah labu berkenaan ke New York untuk dipamerkan dalam satu pameran botani tidak lama lagi.
“Buah labu yang ditanam Hawkley ini lebih berat daripada rekod sebelum ini yang juga dicatatkan di daerah Napa Valley.
“Sebagai johan pertandingan ini, Hawkley memenangi wang tunai berjumlah AS$13,348 (RM43,704),” katanya.
Rekod buah labu paling berat di dunia dicatatkan oleh seorang petani dari Switzerland yang berjaya menanam labu seberat 952 kilogram.
 – Reuters

Nurul Izzah Anwar mengucapkan tahniah kepada penganjur 'I Want To Touch A Dog'

Fathul Bari membalas status Nurul Izzah pada laman mikro Twitternya hari ini.

SHAH ALAM - Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar mengucapkan tahniah kepada penganjur dan orang ramai yang hadir pada satu acara yang membolehkan pengunjung, termasuk umat Islam, menyentuh anjing hari ini.

Dalam kemas kini status Twitternya, beliau menyindir Exco Pemuda Umno, Dr Fathul Bari Mat Jahaya yang sebelum ini pernah menyebut bahawa 'kempen sentuh anjing' itu sangat janggal.

“Islam juga mengenai belas kasihan. Tahniah (penganjur) Syed Azmi (Alhabshi) dan semua yang datang,” tulis Nurul Izzah, hari ini.

Namun, Fathul Bari membalas status itu dengan mengatakan: “YB Nurul Izzah, umat Islam sokong kempen ‘ihsan’ ke atas haiwan, termasuk anjing. Cuma kempen ‘touch (a) dog’ (sentuh anjing) sangat janggal,” katanya.

Melalui interaksi terkini, Ahli Parlimen Lembah Pantai itu menyindir Fathul Bari dengan berkongsi paparan skrin gambar surat, dipercayai daripada Majlis Agama Islam Selangor (Mais).

“Untuk ‘haters’ (mereka yang tidak suka) di luar sana, termasuk Ustaz Fathul Bari, acara termasuk tazkirah ringkas oleh ustaz (Mais),” katanya.

Kemudian Fathul Bari membalas: “YB Nurul Izzah, jangan emosi. Saya hanya sebut ‘sangat janggal’. Jangan bimbang OK. Saya tidak setuju konsep tersebut dan itu adalah hak saya memberikan pendapat.”

Hari ini berlangsung acara ‘I Want To Touch a Dog’ (Saya ingin sentuh anjing) di Central Park, Bandar Utama, yang bertujuan membantu orang ramai, terutamanya umat Islam, untuk mengatasi persepsi negatif terhadap anjing dan dilaporkan mendapat sambutan.

Memetik laporan sebuah portal, sebelum acara bermula, sebuah forum memberi peluang kepada orang ramai membangkitkan kemusykilan kepada seorang ustaz, seorang pemandu teksi berbangsa Melayu yang berpengalaman mengendalikan anjing serta doktor haiwan.

Orang ramai turut diberi taklimat dan diberi tunjuk ajar cara melakukan samak yang betul sekiranya ada yang was-was atau memegang anjing dalam keadaan basah.


SH

19 Oktober 2014

Belalai air gemparkan penduduk Bintulu

FENOMENA belalai air (dalam bulatan) yang sempat dirakamkan selama 20 minit berlaku di Pantai Kidurong, Bintulu semalam.

KUCHING – Penduduk tempatan gempar selepas menyaksikan satu fenomena puting beliung kecil atau dikenali sebagai belalai air berlaku selama 20 minit di sekitar pantai Tanjung Kidurong, di Bintulu pagi semalam.


Dalam kejadian kira-kira 10 pagi itu, orang ramai menyangkakan puting beliung yang ganas sedang berlaku apabila melihat putaran seolah-olah pusaran angin kencang menghampiri pantai tersebut.
KOSMO!

18 Oktober 2014

Minah saleh berkelakuan tidak senonoh

Empat wanita separuh bogel sedang bersantai di tepi Pantai Saujana Batu 4, kelmarin

PORT DICKSON – Tindakan empat wanita warga asing berehat di Pantai Saujana Batu 4, di sini dalam keadaan separuh bogel, tengah hari kelmarin, menimbulkan rasa kurang senang orang ramai.

Pengunjung yang enggan dikenali berkata, dia terkejut dengan perlakuan melampau wanita terbabit.

"Mereka pada awalnya hanya berbikini dan berenang di pantai. Selepas setengah jam kemudian, mereka naik semula ke pantai dan berjemur dengan hanya memakai seluar dalam sahaja.

"Tiga dari mereka berusia sekitar 20 hingga 30 tahun, sementara seorang lagi lebih berusia sekitar 50-an. Mungkin mereka anak beranak," katanya.

Sementara itu, penjaga tandas awam Pantai Saujana Batu 4, Latif Ahmad, 61, berkata, dia didatangi oleh empat wanita warga Eropah lengkap berpakaian sekitar jam 12 tengah hari yang ingin menyewa payung.

"Mungkin mereka menginap di salah sebuah hotel sekitar Batu 4 berikutan mereka hanya berjalan kaki ke pantai ini.

"Disebabkan saya tidak faham bahasa Inggeris, saya hanya berkomunikasi menggunakan bahasa isyarat dan dengan bantuan orang awam lain, dia dimaklumkan wanita berkenaan ingin menyewa payung dan meminjam kerusi," katanya.

Tambah Latif, dia tidak menyedari kejadian berkenaan sehinggalah diberitahu wartawan.

“Jarak antara tandas ini dan lokasi kejadian agak jauh, ditambah pula tempat ini dihalang oleh tandas," katanya.

Katanya, sekitar jam 4 petang, wanita berkenaan memulangkan semula kerusi dan sempat bertanya bagaimana hendak ke restoran segera di Port Dickson," jelasnya.

Latif berkata, sejak dia bertugas sebagai penjaga tandas hampir dua tahun lalu, ini kali pertama dia mendengar berita mengenai kejadian seperti itu.

“Memanglah tidak ramai pengunjung yang datang ke pantai ini semalam (kelmarin) kecuali pada hujung minggu atau cuti umum, memang pantai ini padat dengan pengunjung,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD), Datuk Ab Khalid Mat berkata, walaupun kes itu terpencil, namun pihaknya memandang serius perkara itu dan sedang menjalankan siasatan lanjut mengenainya.

“Mandi tanpa pakaian di tempat awam adalah satu kesalahan dan melanggar etika Malaysia sebagai sebuah negara Islam.

“Oleh itu, orang ramai diminta bekerjasama dalam hal ini. Sekiranya perkara sama berlaku, orang ramai diminta segera menghubungi MPPD atau pihak berkuasa untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Baharuddin Mustapha berkata, sehingga jam 6 petang semalam, pihaknya belum menerima sebarang laporan polis berkenaan perkara tersebut.

SH

Pendapatan RM3,600 dikira miskin di Malaysia


SHAH ALAM -  Bekas Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah menyeru agar rakyat Malaysia terutamanya Melayu/Bumiputera mengubah sikap supaya menjadi masyarakat yang lebih berjaya, bagi mengelak mereka daripada menjadi pengemis di negara sendiri.

Ku Li berkata, perubahan itu perlu dilakukan kerana standard dunia telah berubah, dan sekiranya masyarakat kita masih lena dibuai mimpi tidak mustahil kita senasib dengan masyarakat ‘Red Indian’ di Amerika Syarikat.

“Saya sebut dalam masalah yang dihadapi oleh orang kita, orang Melayu/Bumiputera adalah sikap kita… jadi selagi kita tidak ubah sikap selama inilah kita akan ketinggalan. Saya ingatkan orang kita supaya ubah sikap, letakkan nilai yang patut supaya kita tidak jadi pengemis di negara sendiri.

“Ingat nasib ‘Red Indian’… keadaan kini sudah berubah,  nilai ringgit sudah jatuh dan World Bank telah tetapkan ukuran yang baru kepada kita untuk tentukan kita sudah atasi kadar kemiskinan.

“Dikhabarkan sekarang untuk Malaysia, mereka yang berpendapatan kurang RM3,600 adalah golongan miskin,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan ucaptama di Forum Transformasi Barah Ali Baba di Bumi Merdeka anjuran Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEN) di Institusi Antarabangsa Tamadun dan Pemikiran Islam, semalam.

Justeru, Ku Li mengingatkan masyarakat kita supaya berpijak di bumi yang nyata, dan jangan bersikap seperti orang kaya.

“Kita berlagak,  tapi poket kita kosong, nilai ringgit sudah mengecil, inflasi kos hidup atasi kemampuan sikap tetapi  kita tetap tidak berubah… tetap  boros berbelanja,” katanya.


Sinar Harian

17 Oktober 2014

Muzik jazz redakan kesakitan selepas bedah ?


Muzik jazz membantu mengurang kadar denyutan jantung sekaligus mengurangkan rasa berdebar berdasarkan kajian yang dibentangkan dalam perjumpaan tahunan Anestesiologi 2014 baru-baru ini.

Pakar Anestesiologi Pusat Perubatan Penn State S. Hershey, Dr. Flower Austin berkata, kebimbangan pesakit untuk menghadapi pembedahan, ditambah dengan rasa takut terhadap anestesia mewujudkan tekanan emosi dan keresahan kepada kebanyakan pesakit.

Tambahnya, pakar bius akan menyediakan ubat bius kepada pesakit. Namun, terdapat sesetengah ubat bius boleh memberi kesan sampingan yang ketara kepada pesakit.

Austin berkata, kajian ini bertujuan mengetahui kaedah baru yang lebih efektif dari segi kos untuk diguna pakai bagi merawat pesakit.

Austin dan pasukannya telah membuat pemerhatian terhadap 56 pesakit yang menjalani prosedur histerektomi elektif dengan membahagikan seramai 28 pesakit untuk mendengar muzik jazz, dan selebihnya memakai fon kepala penebat bunyi  selepas pembedahan.

Bacaan pertama kadar denyutan jantung, tekanan darah serta tahap kesakitan dan keresahan selepas pembedahan dijadikan garis pengukur sebelum mengambil rekod bacaan selama 30 minit.

Bacaan rekod menunjukkan kadar denyutan jantung pesakit bagi kedua-dua kumpulan menurun dengan ketara. Bagi pesakit yang mendengar muzik jazz, kadar denyutan jantung mereka menurun selepas 20 minit berbanding pesakit yang menggunakan fon kepala. Namun, mereka mencatatkan tahap kesakitan yang lebih rendah selepas 10 minit.


SH

Labah Labah bersarang dalam perut Lelaki ini

Dylan Thomas berada di Bali, Indonesia untuk percutian apabila serangga kecil itu memasuki tubuhnya menerusi parut apendiks kecil
Seekor labah-labah dikeluarkan daripada perut seorang lelaki Australia selepas ia memasuki tubuh lelaki berkenaan dan hidup selama tiga hari.
Dylan Thomas berada di Bali, Indonesia untuk percutian apabila serangga kecil itu memasuki tubuhnya menerusi parut apendiks kecil, menyebabkan wujud bekas kemerah-merahan dari pusat ke dada.
Thomas menarik bajunya untuk menunjukkan kesan di mana serangga itu berada di dalam tubuhnya.
Ketika di Bali, beliau ke pusat perubatan tempatan dan diberikan 'antihistamin', iaitu ubat untuk menahan gatal bagi gigitan serangga.
"Selepas menjalani pemeriksaan dan memasukkan sesuatu ke dalam perut saya, mereka akhirnya menjumpai seekor labah-labah tropika yang hidup di dalam tubuh saya selama tiga hari," katanya dalam laman Facebooknya.
Selepas kembali ke Australia awal minggu ini, doktor mengeluarkan labah-labah itu.
"Mereka berjaya menarik keluar labah-labah itu, meletakkannya ke dalam bekas ujian dan membawanya pergi," kata Thomas yang kini digelar oleh rakannya sebagai 'Spider Man'.
 - Reuters

16 Oktober 2014

Video: Kepala Dengan Serangan Kutu Terburuk


APA yang dilihat mungkin boleh menjadi kepala yang mengalami serangan kutu terburuk yang pernah disaksikan.

Sebuah video yang disiarkan di YouTube menunjukkan seseorang, mungkin ibu bapa menyikat rambut seorang kanak-kanak.

Orang itu kemudian mengangkat dan menunjukkan sikat ke lensa kamera dan telur kutu serta berpuluh-puluh ekor kutu  dilihat merangkak-rangkak di atas sikat.

Kutu, serangga kecil juga dikenali sebagai pediculosis capitis, menghisap darah dengan cara menggigit kulit kepala manusia.

Dr Alejandra Perotti, pensyarah di Sekolah Sains Biologi, Universiti Reading mengesahkan makhluk itu adalah kutu. 

Beliau menambah, jumlah yang banyak dengan hanya beberapa kali sikat menunjukkan ini sebagai kes yang teruk.

"Serangan kutu sangat biasa di UK dan di Eropah, tetapi tidak sampai ke tahap ini," katanya kepada MailOnline.

"Saya bekerja dalam bidang sains forensik dan kes ini ditemui dalam kes-kes pengabaian kanak-kanak atau orang tua. 

"Anda juga melihatnya dalam kes-kes orang yang tiada tempat tinggal."

mStar Online

15 Oktober 2014

4 jam tersekat dalam lubang tandas

PASUKAN penyelamat berusaha membantu Zhang

Seorang nenek berusia 85 tahun menderita empat jam apabila tangannya tersekat di dalam lubang tandas selepas cuba mengambil gigi palsunya yang terjatuh ke dalam lubang berkenaan.

Gigi itu terjatuh ketika dia membasuhnya lalu masuk ke dalam lubang tandas cangkung di kamar mandinya.
Zhang yang dapat melihat gigi itu cuba mencapainya.

Tetapi ketika cuba berbuat demikian, tangannya tersekat di dalam lubang itu.

Usahanya menarik keluar tangannya gagal hingga memaksa dia menanti anggota keluarganya pulang.
Menantunya terkejut melihat Zhang dalam keadaan tertiarap dalam bilik air di rumah mereka di Guangyun, wilayah Sichuan, tengah China.

Selepas gagal membantu ibu mentuanya, dia meminta bantuan bomba.

Mereka menggunakan air sabun sebagai pelincir pada lengan Zhang sebelum berjaya menyelamatkannya.
Wanita itu tidak cedera tetapi nasib gigi palsunya tidak diketahui. 

- Agensi

14 Oktober 2014

Lelaki Cuba Curi Peralatan TNB Melecur Hampir Seluruh Badan

Seorang lelaki melecur hampir 80 peratus anggota badannya selepas terkena renjatan elektrik dipercayai ketika cuba mencuri kabel dan peralatan di sebuah pencawang milik TNB di Bachang, Batu Berendam Melaka, kira-kira pukul 1 tengah hari Isnin.

MELAKA: Seorang lelaki melecur hampir seluruh badan selepas terkena renjatan elektrik ketika cuba mencuri peralatan di sebuah pencawang Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Bachang di sini, Isnin. 

Pengurus Besar TNB Melaka Datuk Baderul Sham Saad berkata tindakan lelaki berusia 39 tahun itu mengakibatkan dirinya terkena renjatan elektrik dan berlaku letupan serta menyebabkan berlaku gangguan elektrik hampir satu jam di kawasan sekitar Bachang. 

Beliau berkata kejadian kira-kira pukul 1 petang tadi menyebabkan gangguan terhadap 12 pencawang elektrik di kawasan itu dan TNB turut mengalami kerugian kira-kira RM200,000 bagi menggantikan peralatan serta suis pencawang yang rosak.
 
"Lelaki berkenaan dipercayai menceroboh masuk ke pencawang tersebut dengan memecahkan kunci mangga pada pintu untuk mencuri peralatan milik TNB," katanya menerusi kenyataan di sini hari ini. 

Beliau berkata sehubungan itu, pihaknya telah membuat laporan polis di Balai Polis Malim di sini dan meminta orang awam menyalurkan maklumat ke talian 15454 sekiranya melihat individu atau kumpulan mencurigakan di kawasan pencawang TNB.

Sementara itu Ketua Operasi Pegawai Bomba Kanan II Jabatan Bomba dan Penyelamat Jalan Kubu, Low Liang Seong berkata pihaknya menerima panggilan pada 1.16 petang dan sembilan anggota dengan satu jentera serta Perkhidmatan Respons Perubatan Kecemasan (EMRS) kemudian bergegas ke lokasi. 

Beliau berkata ketika tiba lokasi kejadian kira-kira lapan minit kemudian, lelaki berkenaan terbaring di sebuah warung berhampiran dalam keadaan 80 peratus badannya melecur akibat renjatan eletrik berkenaan. 
 
"Mangsa dilaporkan keluar sendiri dari kawasan pencawang dan kemudian dibantu orang awam yang berada di kawasan berhampiran," katanya. 

Beliau berkata pasukan EMRS telah memberi rawatan awal kepada lelaki itu sebelum dibawa ke Hospital Melaka menggunakan jentera EMRS untuk mendapatkan rawatan lanjut. 


mStar Online

Port Mak Ngah Skodeng !