12 Julai 2014

VIDEO,Pemilik Lamborghini Gallardo Lihat Kereta Rempuh Tembok

SEORANG pemilik kereta sukan, Lamborghini Gallardo hanya mampu melihat keretanya yang sedang dipandu oleh pemandu kenderaan tetamu sebuah hotel merempuh simen konkrit sehingga menyebabkan kerosakan bernilai RM818,000.
Kejadian itu berlaku di hadapan lobi Hotel Le Meridien, New Delhi ketika pemiliknya, Nipun Miglani sedang menunggu keretanya untuk pulang.
Mengikut kemalangan yang berjaya dirakam oleh kamera litar tertutup (CCTV) hotel, kereta sukan itu gagal dikawal pemandu ketika kawasan tersebut sesak dengan kenderaan lain
Lamborghini Gallardo itu tiba-tiba bergerak laju melanggar belakang sebuah kereta sebelum merempuh tembok konkrit hotel hingga pecah.
Akibatnya, kereta mewah itu mengalami kerosakan teruk di bahagian depan.
Pemiliknya, Miglani memberitahu bahawa dia akan mengambil tindakan undang-undang terhadap hotel berikutan kerosakan kereta tersebut.
Harga sebuah kereta import dan kos mendapatkan alat ganti di India lebih mahal daripada negara lain kerana duti import.

10 Julai 2014

Kenduri nasi ambeng jika Jerman juara


Pontian: Penduduk Kampung Parit Jerman, Telok Kerang di sini akan menganjurkan majlis jamuan kenduri nasi ambeng jika pasukan Jerman muncul juara Piala Dunia 2014, Isnin ini.

Ketua Kampung Kawasan 1 Mukim Ayer Masin Kampung Rangkaian Parit Jerman, Mohd Asri Ali, 48, berkata kira-kira 500 penduduk kampung itu tumpang berbangga apabila Jerman layak ke final Piala Dunia di Brazil. 


Popularkan nama kampung 

Katanya, kejayaan Jerman bukan saja menjadi kebanggaan penduduk yang majoritinya penyokong pasukan itu berikutan mempunyai nama yang sama dengan kampung mereka, ia turut mempopularkan lagi nama kampung kepada masyarakat luar.

“Pasukan bola sepak Jerman disifatkan sebagai pasukan paling digeruni sememangnya menjadi pasukan pilihan penduduk Kampung Parit Jerman sejak lebih 40 tahun setiap kali Piala Dunia.

“Tahun ini, kami yakin Jerman akan menjuarai Piala Dunia 2014 dan jawatankuasa kampung kami bercadang mengadakan kenduri nasi ambeng besar-besaran bagi meraikan kejayaan ini. 

“Ini pastinya menjadi satu kegembiraan kepada penduduk kampung,” katanya kepada BH, semalam. 


BH

08 Julai 2014

Solat dua imam serentak di masjid

Kedudukan antara jemaah kumpulan 1 dan 2

RANTAU PANJANG – Ramadan yang mulia dicemari dengan insiden di mana berlaku solat membabitkan dua imam serentak di Masjid Pondok Banggol Stol, Meranti semalam.

Kejadian sejak 3 Julai lalu, menyebabkan jemaah terbahagi kepada dua kumpulan dan ia berlaku ketika solat fardu dan tarawih.

Kebiasaannya kes seumpama ini dikaitkan dengan fahaman politik tetapi lain pula yang berlaku di kampung ini, kerana kedua-dua pihak mendakwa ia berpunca daripada berbezaan fahaman agama Islam.

Perselisihan ini membawa kepada percanggahan pendapat seterusnya perebutan saf hadapan di dalam masjid ketika menunaikan solat.

Tinjauan mendapati, perpecahan itu bukan sahaja melibatkan jemaah lelaki, malah golongan wanita yang turut terbahagi kepada dua kumpulan dan dibezakan dengan pengadang.

Bagi kumpulan pertama ia diketuai oleh seorang imam dan hampir 30 jemaah menunaikan solat di saf hadapan manakala kumpulan kedua, imam lain menunaikan solat bersama hampir 50 hingga 100 jemaah lain di belakang saf pertama.
 
Pengakuan kumpulan satu

Pemilik tapak masjid berkenaan, Ustaz Yahya Zakaria berkata, selepas melanjutkan pelajaran di Mesir, dia pulang ke kampung ini dengan harapan dapat menyambung perjuangan bapa (Tok Guru Zakaria) sebelum ini.

Menurutnya, ketika itu tiada masalah berlaku sehinggalah pada tahun 2010 apabila penduduk tidak berpuas hati dia menjemput para ulama dari dalam dan luar negara ke kampung ini.

“Mungkin mereka tidak berpuas hati kerana kami tidak mengajak mereka bersama menganjurkan majlis meriah seumpama itu.

“Bagi saya, saya amat berbangga apabila ramai para ulama seluruh dunia berkumpul di kampung ini namun tidak pada penduduk, apabila terus menerus melempar fitnah kepada saya,” katanya.

Beliau yang juga guru di sekolah dekat sini berkata, tiada sebarang perbezaan dilakukan dalam berdakwah mengikut Tarekat Tarjani.

Menurutnya, selawat dan solatmengikut ajaran Islam yang sebenar tiada sebarang tokok tambah.

Namun katanya, penduduk tidak yakin sehingga sanggup membuat saf baharu meskipun saya bersiap mahu menunaikan solat di masjid ini.

“Saya paling kecewa pada 2012 lalu, apabila mereka melarang saya menunaikan solat di dalam masjid yang dibina arwah bapa saya biarpun tanah ini sudah pun diwarisi kepada kami tiga beradik,” katanya.

Menurutnya, tindakan penduduk kampung diibaratkan menidakkan hak mereka seterusnya sengaja menimbulkan huru-hara.

Disebabkan katanya, dia memfailkan saman di Mahkamah Tinggi agar tidak membenarkan penduduk menjejakkan kaki ke dalam masjid ini pada 12 Disember tahun lalu.

Kumpulan kedua beri penjelasan

Sementara itu, seorang penduduk, Mohd Nor Razali berkata, kejadian ini bermula pada 2010 lalu namun mula memuncak pada 2011 sehingga 2012 lalu.

Ketika itu katanya, penduduk dipelawa mengikut ajaran tarekat berkenaan namun kebanyakannya tidak yakin seterusnya tidak mengikut saranan yang dibawa oleh Ustaz Yahya Zakaria.

Beberapa lama selepas itu, Mohd Nor mendakwa Ustaz Yahya membuat perintah mahkamah agar tidak membenarkan 13 penduduk menunaikan solat di masjid ini bermula akhir tahun lalu.

Memandangkan masjid ini dibina di atas tanah hak milik tiga anak Allahyarham Tok Guru Zakaria, maka penduduk dilarang menjejakkan kaki di pekarangan masjid kerana didakwa boleh mencetuskan perselisihan.

Namun pada 1 Julai lalu, mahkamah membenarkan penduduk menunaikan solat terawih sepanjang Ramadan tahun ini.

Menurutnya, jemaah dari kumpulan Ustaz Yahya juga tidak menghalang penduduk memasuki masjid namun keengganan berganjak dari saf depan menyebabkan  kejadian solat dua imam serentak.

Katanya, penduduk sukar tunaikan solat Maghrib selepas majlis berbuka puasa kerana kumpulan pertama enggan berganjak dari saf hadapan.

Maka katanya, jemaah terpaksa membuat saf baharu, satu saf di belakang kumpulan pertama untuk solat Maghrib, Isyak dan solat tarawih.

“Mereka hanya duduk di hadapan saf tanpa tunai solat terlebih dahulu dan mendakwa sedang berselawat.

“Disebabkan waktu Isyak semakin menghampiri, maka kami terpaksa menunaikan solat di belakang saf mereka, tanpa menunggu mereka selesai berselawat,” katanya.

Keadaan ini katanya, turut berpanjangan sehingga ke solat tarawih membabitkan jemaah yang sama, mengikut dua imam berlainan.

Sementara itu, penduduk, Ismail Awang, 75, berkata, di masjid seramai 500 jemaah dapat menunaikan solat dalam satu-satu masa.

Namun katanya, insiden ini menyebabkan ramai tidak dapat menunaikan solat sekali gus menyukarkan penduduk untuk beribadah di bulan Ramadan.

Sementara itu, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) akan menyiasat punca berlakunya insiden solat dua imam serentak di masjid berkenaan.

Timbalan Yang Dipertua Maik, Datuk Ir Yusoff Ismail berkata, sebelum ini pihaknya tidak terima selaporan berhubung kejadian ini.

Namun katanya, Maik akan hantar pegawai untuk mengetahui masalah yang berlaku membabitkan dua pihak terbabit seterusnya mencari jalan penyelesaian kes berkenaan.

“Insiden ini tidak sepatutnya berlaku terutama ketika bulan Ramadan malah berlaku di dalam rumah ALLAH,"katanya.


Sinar Harian

07 Julai 2014

Info,Gigitan manusia mampu beri kesan buruk


PEMAIN bola sepak Uruguay, Luis Suarez  menggigit bahu pemain Itali, Giorgio Chiellini dalam perlawanan Piala Dunia di Brazil, baru-baru ini. Kesan gigitan manusia mampu menyebabkan kecederaan serius akibat jangkitan bakteria dalam mulut. - AGENSI


LONDON 6 Julai - Kontroversi pemain bola sepak Uruguay, Luis Suarez menggigit bahu pemain Itali, Giorgio Chiellini dalam perlawanan Piala Dunia di Brazil, baru-baru ini, mendapat perhatian dunia.

Namun hakikatnya, gigitan manusia bukan sahaja menyakitkan, malah boleh mengakibatkan kesan buruk terhadap kesihatan, lapor laman web, Mail Online.

Menurut Profesor Stanislav Dusko Ehrlich dari Kolej Institusi Diraja Pergigian London, gigitan manusia boleh menyebabkan luka yang berbahaya.

"Terdapat lebih 700 jenis bakteria dalam mulut dan selalunya manusia sihat mempunyai antara 100 hingga 200 jenis bakteria dalam satu masa.

"Sekiranya gigitan itu menembusi kulit, bakteria berkenaan boleh memasuki badan mangsa menerusi luka dan berpotensi memberi ancaman serius," katanya.

Hal itu dikuatkan lagi dengan kejadian yang menimpa seorang warga tua, Wendy Thomas, 67, apabila dia hampir kehilangan jarinya selepas digigit oleh cucu yang berusia dua tahun ketika dia sedang memandikan kanak-kanak itu.

"Kesan gigitan itu dilihat seperti dicucuk jarum, jadi saya menyangka tiada masalah ketika itu," katanya.
Jelas Thomas, bagaimanapun, jarinya mengeras beberapa hari kemudian.

"Saya terjaga dari tidur pada satu malam kerana saya berasa amat sakit. Saya mula berasa pening, muntah-muntah dan pengsan," katanya.

Pakar pembedahan plastik, Philip Geary dari Hospital Salisburi berkata, 40 peratus daripada laporan gigitan yang diterimanya adalah daripada manusia, melebihi gigitan haiwan.

"Manusia menyangka mulut mereka lebih bersih daripada haiwan, tetapi sebenarnya mereka salah," katanya.

UTUSAN

05 Julai 2014

Gunting tertusuk dekat mata

SEORANG ibu mendukung anaknya selepas sebilah gunting tertusuk dekat mata anaknya di sebuah hospital di Hangzhou, China kelmarin.

HANGZHOU - Seorang budak lelaki di China terpaksa dibedah untuk membuang sebilah gunting yang tertusuk dekat salah satu matanya, lapor sebuah akhbar kelmarin.

Insiden itu berlaku di sebuah kilang pakaian di bandar Cixi, dalam wilayah Henan, tengah China sekitar tengah hari kelmarin.
Ketika kejadian, ibunya sedang bekerja di kilang itu apabila mangsa yang berusia tiga tahun dan dikenali sebagai Ozawa datang berlari-lari sambil menangis kerana terdapat gunting tertusuk dekat mata kanannya.
Mangsa kemudian dibawa sebuah hospital awam di Cixi sebelum dihantar ke hospital di Hangzhou untuk menerima rawatan.
Menurut doktor, mangsa akan sembuh tetapi penglihatan mata kanannya dikhuatiri terjejas akibat kemalangan tersebut. 
- Agensi(kosmo!)


Biduanita negara,Datuk Sharifah Aini Meninggal Dunia

 Sharifah Aini

PETALING JAYA: Biduanita negara, Datuk Sharifah Aini Syed Jaafar meninggal dunia pada pukul 1.26 pagi Sabtu di Pusat Perubatan Pakar Damansara di sini.

Sharifah Aini, 61, meninggal dunia akibat fibrosis paru-paru atau 'paru-paru berparut'.

Berita kematian penyanyi lagu Seri Dewi Malam itu disahkan oleh rakan baik Allahyarham iaitu Aishah Ali.

Sharifah Aini dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) pusat perubatan itu pada Selasa lalu selepas mengalami kesukaran bernafas namun keadaan penyanyi itu dilaporkan stabil.

Biduanita itu dikesan menghidap fibrosis paru-paru dua tahun lalu.

Allahyarham meninggalkan seorang anak lelaki iaitu Aliff Omar Ali.

Dalam pada itu, jenazah Allahyarham dijangka dibawa ke Masjid Al Taqwa Taman Tun Dr Ismail Kuala Lumpur selepas solat Subuh sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, dekat sini pada Sabtu.

Terdahulu, Allahyarham menerusi status Facebook miliknya sebelum ini pernah meminta peminat-peminatnya mendoakan kesejahteraan beliau selain meminta mereka menghadiahkan Al-Fatihah sekiranya beliau meninggal dunia.

Tulisan di FB itu menggambarkan seolah-olah beliau sudah merasakan bakal pergi buat selama-lamanya.

Sumber

04 Julai 2014

Video wanita beli aiskrim jadi viral didunia maya


Sebuah video menjadi sensasi di dunia maya saat seorang wanita membeli aiskrim dengan cara yang aneh. Dalam video singkat yang hanya berdurasi 10 saat itu, tampak seorang wanita membeli aiskrim di sebuah restoran. 

Namun, ketika pekerja restoran itu menyerahkan aiskrim pesanan wanita tersebut, mereka bingung dan sedikit terkejut dengan apa yang dilihatnya. Pelanggan wanita itu memang membeli aiskrim, tapi hanya mengambil aiskrimnya saja. Dengan kata lain konnya tidak diambil. Aneh sekali bukan?

 Pekerja itu terpaku dan sedikit bingung dengan kon aiskrim di tangannya bersama seorang temannya yang juga melihat kejadian tersebut. Dalam semalaman saja video ini meledak dan kini sudah ditonton lebih dari sejuta kali sejak 20 Jun 2014 lalu.

Laporan dari Rocketnews24, rupanya kejadian tersebut adalah sebuah prank yang dibuat oleh Manner Production dari Macau. Mereka biasanya membuat filem pendek yang serius. Namun kali ini, mereka kerap membuat video mengenakan orang semacam ini.

Dengan cepat video ini booming di Facebook dan Weibo China. Share di facebook saja mencapai 52,900 kali. Bahkan, pekerja yang ada dalam video ini meningkat popularitinya. Menyedari bahawa videonya mungkin membuat privasi para pekerja ini sedikit terusik, Manner Production pun meminta maaf melalui Facebook. 


03 Julai 2014

Budak 5 Tahun Hafaz 29 Juzuk al-Quran

Juri, Abi Amir mengucup tangan Musa kerana kagum dengan kebolehannya pada usia muda.

JAKARTA: Seorang juri program hafaz al-Quran, Hafiz Indonesia sebak dan kagum melihat bakat seorang kanak-kanak berusia lima tahun yang mampu menghafaz 29 juzuk kitab suci itu.

Mengakui keistimewaan kanak-kanak lelaki itu, juri berkenaan, Abi Amir Faisol Fath pergi kepada peserta yang dikenali sebagai Musa itu dan mencium tangan kanak-kanak berkenaan bagi mengambil keberkatan mukjizat Al-Quran yang dihafalnya.
Musa yang berasal dari Bangka membuat penonton rancangan itu menitiskan air mata apabila mampu menjawab soalan yang diberikan juri serta penonton.

Program itu disiarkan di stesen televisyen RCTI, malah turut dimuat naik ke YouTube, manakala episod membabitkan Musa dimuat naik pada 29 Jun lalu.

Ketika ditemui, Abi Amir berkata, kanak-kanak itu membuatnya kagum kerana menganggap Allah sendiri memuliakannya walaupun usianya masih muda.

“Tiada perkataan yang boleh saya ucapkan... Subhanallah. Ayah bonda semua, inilah buktinya bahawa sekali pun anak kecil masih sangat lemah kemahuannya, namun kita tunduk dengan kemuliaannya kerana al-Quran maka kerana Allah memuliakannya,” katanya.

Menurutnya, wang kertas tetap bernilai biarpun dipijak kerana manusia telah menetapkan nilai untuk wang kertas.

“Bagi Musa, Allah menetapkan nilai yang mulia ke atasnya kerana dia sudah pun menghafaz Al-Quran pada usia muda,” katanya.
mStar Online

02 Julai 2014

Pencuri Hantar £100 Dan Mohon Maaf Kerana Pecah Masuk Pub 22 Tahun Lalu

Frances Cunningham menunjukkan surat yang diterima oleh seorang wanita yang mengaku pernah memecah masuk ke pubnya lebih 20 tahun lalu.
SEORANG pemilik pub menerima £100 (RM549.92) daripada seorang wanita yang "malu" kerana pernah mencuri di premisnya lebih 20 tahun lalu.
Frances Cunningham menerima sekeping cek dan sepucuk surat dengan tulisan tangan yang menyatakan: "Saya amat memohon maaf."
Surat itu turut menyatakan: "Saya tidak menyedari betapa seriusnya tindakan saya ketika itu. Saya telah melalui banyak perkara. Saya begitu malu dan sedih kerana kebimbangan yang mungkin berlaku."
Wanita itu yang namanya tidak didedahkan oleh Frances memberitahu bahawa dia bukan dalang kepada insiden pecah masuk ke pub berkenaan pada 1992 di mana mesin menjual rokok telah dipecahkan.
Dia bagaimanapun mengakui berada di tempat kejadian kerana memasuki pub tersebut.
Frances yang merupakan ibu kepada tiga anak berkata, dia tidak begitu ingat mengenai kejadian pecah masuk di pub Swettenham Arms di Congleton, Cheshire.
Dia yang memaafkan wanita itu berkata: "Apa yang berlaku benar-benar menghantuinya, ia amat menyedihkan."
Frances mendermakan £100 kepada sebuah gereja dengan menyertakan sepucuk surat yang menyatakan "dengan tulus ikhlas".
Dia berkata: "Sekiranya semua melakukan perkara seperti ini (dilakukan oleh wanita yang memecah masuk pubnya), dunia akan menjadi lebih baik." - mirror.co.uk 
mStar Online

Felixia Yeap nafi umum nama Islam


MODEL dan personaliti media, Felixia Yeap menafikan dakwaan bahawa dia telah mengumumkan nama Islamnya.

Menurutnya, dia hanya mendedahkan nama akhir yang bakal dipilihnya iaitu “Rania” melalui sebuah program televisyen tempatan baru-baru ini.

“Saya tahu kalian semua tidak sabar menunggu nama Islam saya diumumkan.

“Sepertimana yang dijanjikan, saya sendiri akan mengumumkan nama Islam saya selepas saya mengucap syahadah nanti dan bila waktunya telah tiba, iaitu pada atau selepas 3 Julai (5 Ramadan),” jelasnya

Dalam pada itu, Felixia juga sempat membidas khabar angin yang menyebarkan spekulasi berkenaan dengan pemilihan nama Islamnya.

“Buat masa sekarang, saya menyeru agar anda semua jangan percaya pada mana-mana sumber media yang sengaja membuat cerita tentang nama saya bagi melariskan atau mempopularkan berita mereka.

 “Bulan Ramadan ni, nak mengaut untung dan jual berita pun buatlah dengan halal,” katanya lagi.

Sinar Harian

Port Mak Ngah Skodeng !