12 Mei 2014

Gambar,Pencuri Lembu dibelasah

Suspek terbaring lemah di tepi jalan

PADANG SERAI - Gara-gara mencuri lembu, seorang lelaki ditahan orang ramai di Bukit Selarung kira-kira jam 1.30 pagi.

Pengerusi Pertubuhan Prihatin Kebaktian Masyarakat Kulim (PPKM), Chng Seng Ang berkata, orang awam yang ternampak kenderaan dipandu suspek melaporkan kejadian itu kepada PPKM sebelum semua ahli bertugas menjalankan rondaan mencegah jenayah sampai ke tempat kejadian.

Menurutnya, dalam kejadian itu tiga lelaki berusia 30-an dipercayai mencuri lembu dan diletakkan di bahagian kerusi belakang kereta jenis Proton Wira.

Suspek cuba melarikan diri dengan memecut kereta dipandu mereka ke arah Lebuh raya Kulim -Baling bagaimanapun hilang kawalan sebelum terbabas ke bahu jalan.

Katanya, dua suspek berjaya melarikan diri ke dalam semak berhampiran manakala seorang lagi suspek berjaya ditahan.

Kerana tidak berpuas hati dengan sikap dan perlakuan suspek, orang ramai telah membelasah suspek selain menghiris telinga sebelah kirinya.

“Ketika Ahli PPKM sampai di tempat kejadian, kami dapati suspek terlibat hampir pengsan dan terbaring di atas rumput di tepi jalan dalam keadaan berlumuran darah.

Kami kemudiannya memaklumkan kejadian itu kepada polis dan meminta bantuan ambulans.

"Mangsa kemudiannya dibawa ke Unit Kecemasan Hospital Kulim dengan ambulans Hospital Kulim dan mangsa dilaporkan berada dalam keadaan stabil, bagaimanapun orang yang bertanggungjawab mencederakan suspek masih gagal menyerahkan diri kepada polis,” katanya.


Sinar Harian

11 Mei 2014

Kematian penumpang AirAsia X akibat serangan jantung, bukan MERS-CoV


KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan hari ini mengesahkan kematian seorang jemaah umrah dalam pesawat D7 171 AirAsia X semasa dalam perjalanan dari Jeddah ke Kuala Lumpur pada Jumaat malam bukan disebabkan jangkitan 'Sindrom Pernafasan Timur Tengah-Virus Korona (MERS-CoV). 

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata hasil pemeriksaan bedah siasat dijalankan terhadap mayat lelaki warganegara Indonesia berumur 64 tahun itu mendapati punca kematian akibat serangan jantung. 


"Jenazah kes kematian telah dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat dan sampel telah dihantar ke makmal Hospital Sungai Buloh untuk menentukan penyebab kematian. 

"Memandangkan kes baru pulang daripada mengerjakan umrah, sampel juga telah diambil untuk ujian saringan bagi jangkitan MERS-CoV dan didapati negatif untuk MERS-CoV," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini. 

Beliau berkata, hasil maklumat diperolehi mendapati lelaki warga emas berkenaan sebelum itu mengalami gejala demam, batuk, sukar bernafas dan kurang selera makan selama beberapa hari semasa berada di Tanah Suci dan pernah mendapatkan rawatan di sebuah klinik di sana. 

"Semasa dalam penerbangan dari Jeddah ke Kuala Lumpur, beliau telah mengalami kesukaran untuk bernafas dan kemudiannya meninggal dunia," katanya. 

Sehubungan itu, Dr Noor Hisham berkata Kementerian Kesihatan melaksanakan aktiviti pencegahan serta kawalan MERS-CoV mengikut pelan tindakan yang ditetapkan sebagai langkah berjaga-jaga. 
Antaranya mendapatkan maklumat lengkap tentang kesemua kontak rapat kepada kes dan menjalankan disinfeksi pesawat mengikut prosedur operasi standard ditetapkan. 

Selain itu, kementerian turut menjalankan saringan demam terhadap kesemua 244 penumpang dan 12 anak kapal yang menaiki pesawat sama serta mengedarkan 'Home Assessment Tool' dan 'Health Alert Card' kepada penumpang bergejala dan kontak rapat kepada kes. 

- BERNAMA

10 Mei 2014

Isu Persenda Hudud, Harith Iskander Mohon Maaf

Harith Iskander tidak bermaksud menghina Hudud.
PETALING JAYA: Pelakon dan pelawak Harith Iskander memohon maaf apabila status yang dimuat naik di Twitter miliknya mengenai hukum Hudud bertujuan untuk berjenaka mendapat kritikan ramai.

Harith, 43, berkata, dia tidak berniat mahu mempertikaikan peraturan  dalam agama Islam itu tetapi ia telah disalah ertikan oleh segelintir pihak.

"Saya ingin memohon maaf sekiranya status di Twitter itu mengundang rasa tidak senang hati mana-mana pihak.

"Jujurnya saya tidak berniat mahu mempermainkan agama sendiri. Kalau boleh saya tidak ingin membesarkan isu ini kerana ia hanya perkara kecil yang telah disalah ertikan.
harith iskander twit
Inilah status mengenai Hudud pada Twitter Harith yang mengundang kemarahan orang ramai.
"Mungkin ada pihak yang mempunyai masa mahu membesarkan sesuatu (isu Hudud) itu," katanya kepada mStar Online menerusi mesej aplikasi WhatsApp di sini pada Jumaat.

Pada Khamis lalu, Harith dalam satu status Twitter miliknya telah berjenaka mengenai hukum Hudud.

Hal tersebut secara tidak langsung menyebabkan beberapa pengikut laman Twitter  itu menegurnya kerana perbuatan itu dilihat seperti mempersendakan agama Islam.

Hudud merupakan satu bentuk hukuman terhadap umat Islam yang melanggar tuntutan agama dan ia ditetapkan Allah sebagaimana tertulis dalam Al-Quran dan hadis.

Dalam pada itu, Harith berkata, perkara itu juga membuatkan ada beberapa peminatnya bertindak tidak mengikut akaun Twitter miliknya lagi.

"Dalam dunia media sosial ini kita diberi pilihan. Ada beberapa follower saya yang mengumumkan mereka nak unfollow  dan saya hormat keputusan itu sebab ia pilihan mereka.

"Bagi saya kalau ada seseorang yang bercakap sesuatu yang saya tak suka, saya juga akan melakukan perkara sama (unfollow)," ujarnya.

mStar Online

09 Mei 2014

Penulis blog kena 1,000 sebatan, penjara 10 tahun

Raef Badawi

RIYADH - ARAB SAUDI. Sebuah mahkamah di Arab Saudi, kelmarin menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan 1,000 sebatan ke atas seorang penulis blog yang didakwa murtad selepas didapati bersalah kerana mewujudkan rangkaian liberal secara dalam talian serta menghina Islam.

Sebelum ini, Raef Badawi yang diberkas pada Jun 2012 dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun dan 600 sebatan, namun mahkamah rayuan mengarahkan tertuduh dibicarakan semula.

Hakim turut mengarahkan Raef membayar denda AS$266,000 (RM862,000).

Difahamkan, rangkaian kontroversi diasaskan bersama aktivis, Suad al-Shammari mengisytiharkan 7 Mei 2012 sebagai Hari Liberal dan menggesa menghentikan penguasaan agama dalam kehidupan masyarakat di negara.

Laman blog tersebut juga didakwa melemparkan kritikan pedas terhadap beberapa ulama, Suruhanjaya Amar Ma’ruf Nahi Munkar dan fatwa yang kononnya didakwa berbahaya kepada Islam, laporan dipetik dari Al-Jazeera.


Sumber

08 Mei 2014

Beg tangan dicuri ketika sedang solat,hilang RM10,000

Seorang kakitangan Masjid Razaleigh tunjuk tempat mangsa menunaikan solat Zuhur berjemaah sebelum beg dicuri.

GUA MUSANG - Seorang wanita berusia 50 tahun kerugian hampir RM10,000 apabila wang tunai bersama barang berharga yang disimpan dalam beg tangannya dicuri ketika sedang solat Zuhur berjemaah di Masjid Razaleigh di bandar ini, petang kelmarin.

Mangsa yang merupakan kakitangan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) ternampak kelibat lelaki yang menceroboh masuk dalam ruang solat wanita lalu merampas beg tangannya sebelum berlari keluar menerusi pintu kanan yang sudah dibuka.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Saiful Bahri Abdullah berkata, kejadian itu berlaku kira-kira jam 1.45 petang ketika mangsa berada di barisan hadapan bersolat Zuhur berjemaah bersama lapan wanita yang lain sebelum beg tangannya diletakkan di depan tempat sujud.

Menurutnya, ketika sujud akhir pada rakaat ke empat mangsa mendapati beg tangannya yang diletak didepan hilang, tetapi semasa itu dia tidak boleh berbuat apa-apa kerana masih bersolat.

“Mangsa memberitahu kepada jemaah yang lain sebaik selesai berdoa dan selepas itu mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Gua Musang jam 2.20 petang," katanya.

Saiful Bahri berkata, beg mangsa menyimpan pelbagai barang kemas, dua telefon bimbit, kunci kereta, pasport antarabangsa, buku akaun Tabung Haji bersama wang tunai RM5,000.

Katanya, lelaki yang mencuri begnya itu dipercayai lari keluar menerusi pintu masjid sebelah kanan di ruang solat wanita kerana sebelum itu pintu berkenaan tertutup.

“Kes itu kini disiasat dibawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan dan setakat ini kita belum membuat sebarang tangkapan,” katanya kepada Sinar Harian.


Sinar Harian

07 Mei 2014

Bekas pembantu akaun syarikat tudung Fareeda didakwa

Bekas Pembantu Akaun syarikat Fareeda Global Resources Sdn Bhd, Normala Mohd Ali, 25, (depan, kiri) bersama enam yang lain dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kajang atas pertuduhan memperdayakan pengarah urusan syarikat itu yang membabitkan kerugian berjumlah RM57,414.74 di Kajang, hari ini. - Foto Bernama

KAJANG - Seorang bekas pembantu akaun syarikat pengeluaran tudung terkenal Fareeda mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini terhadap 20 pertuduhan menipu pengarah urusan syarikat itu berhubung pembayaran gaji pekerja membabitkan kerugian berjumlah RM57,414.74 antara November 2013 hingga Januari lepas.
   
Normala Mohd Ali, 25, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Aina Azahra Arifin.
   
Bagi tiga pertuduhan pertama, Normala didakwa menipu Pengarah Urusan syarikat Fareeda Global Resources Sdn Bhd, Aminuddin Basirron, 44, untuk mempercayai representasi satu akaun Maybank milik Noradibah Mohd Razib, 25, adalah pekerja syarikat itu sehingga mendorong Aminuddin membuat pengesahan pembayaran gaji ke dalam akaun Nur Adibah.
   
Bagi 13 pertuduhan lagi, Normala bersama enam rakannya termasuk seorang wanita didakwa dengan niat bersama menipu Aminuddin untuk mempercayai representasi enam akaun Maybank adalah milik enam pekerja syarikat Fareeda Global Resources sehingga mendorong Aminuddin membuat pengesahan pembayaran gaji ke dalam semua akaun tersebut.
   
Rakannya itu ialah Intan Suria Abdul Rahman, 33, Mohamad Azuwad Mohd Nor, 26, Mohd Fakrul Razib Mohd Ali, 35, Muhammad Alif Farhan Johari, 25, Mohd Amirul Bedoh Lahata, 21, dan Khairul Azimi, 27, masing-masing mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu.

Normala turut didakwa terhadap empat pertuduhan bersubahat dengan bekas kerani syarikat, Mohamed Nazreen Shah Yem, 21, untuk menipu Aminuddin bagi tujuan sama membabitkan Muhammad Alif Farhan dan Mohd Amirul.
   
Mohamed Nazreen, yang juga didakwa atas kesalahan bersubahat itu, bagaimanapun mengaku bersalah bagi pertuduhan pertama dan mengaku tidak bersalah bagi tiga pertuduhan lain.
   
Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan dalam tiga kejadian berasingan iaitu pada 28 Nov 2013, 30 Dis 2013 dan 29 Jan 2014 di pejabat syarikat itu beralamat No. 69A-71A, Jalan 8/1, Seksyen 8, Bandar Baru Bangi di sini.
   
Bagi kesalahan menipu, Normala dan enam tertuduh lain didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun, denda dan sebatan.
   
Normala dan Mohamad Nazreen juga berdepan hukuman sama apabila didakwa mengikut seksyen sama yang dibaca bersama Seksyen 109 kerana bersubahat.

Aina Azahra membenarkan Normala diikat jamin sebanyak RM122,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan manakala Mohamad Nazreen dibenarkan diikat jamin RM25,000 dengan seorang penjamin.
   
Enam tertuduh lain dibenarkan diikat jamin antara RM6,000 dan RM20,000 dengan seorang penjamin bagi setiap seorang.
   
Mahkamah menetapkan 17 Jun depan untuk sebutan semula kes.
   
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya R.Siamalah manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam. 


 - Bernama

06 Mei 2014

Sewa RAHIM beri pulangan Lumayan


SIAPA sangka perkhidmatan ibu tumpang kini menjadi industri komersial paling menguntungkan di India walaupun dikritik banyak pihak kerana dianggap sebagai kegiatan mengeksploitasi wanita miskin di negara itu.

Semakin ramai pasangan dari luar India terutamanya dari Barat tertarik dengan ‘perkhidmatan’ tersebut kerana kosnya  jauh lebih murah selain peraturan dan undang-undang yang longgar di negara terbabit.

Bayaran dikenakan untuk melakukan proses persenyawaan in-vitro (IVF) itu adalah kira-kira AS$20,000 (RM65,300) berbanding AS$50,000 (RM163,300) jika dilakukan di Amerika Syarikat (AS).

Isu besar membabitkan soal etika mula timbul selepas golongan kaya didakwa mengambil kesempatan terhadap wanita miskin di India bagi mendapatkan zuriat untuk mereka hingga menyebabkan negara itu digelar sebagai ‘kilang bayi’ pada masa ini.

Tahun lalu, New Delhi bertindak mengenakan peraturan melarang pasangan homoseksual dan individu belum berkahwin mendapatkan perkhidmatan tersebut selepas undang-undang negara itu membenarkan prosedur itu pada 2002.

Sehingga kini, tiada angka rasmi berhubung jumlah sebenar hasil diperoleh daripada industri itu.

Bagaimanapun, hasil laporan kajian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendapati, perkhidmatan ibu tumpang di India mampu menjana hasil keuntungan secara anggaran AS$2.5 bilion (RM8 bilion) pada setiap tahun.

Pada masa ini, lebih 3,000 pusat ibu tumpang sedang beroperasi dan ribuan bayi telah dilahirkan hasil daripada prosedur persenyawaan in-vitro (IVF) yang semakin popular di India.

Kesemua pusat terbabit turut menyediakan penjagaan kesihatan sepanjang tempoh kehamilan tersebut selain memberi panduan untuk persediaan mental selepas bersalin.


Sinar Harian

05 Mei 2014

Ramai rakyat hidap sakit mental

SESEORANG pesakit skizofrenia cenderung untuk mengalami halusinasi seperti mendengar suara-suara ghaib. - Gambar hiasan

BANGI – Persatuan Psikiatri Malaysia (MPA) mendedahkan bilangan rakyat negara ini yang menghidap penyakit mental yang serius kini berada pada tahap membimbangkan apabila secara purata tujuh orang daripada mereka didiagnos mengalami skizofrenia setiap hari.


Presiden MPA, Dr. Abdul Kadir Abu Bakar berkata, ketika ini sebanyak 2,500 kes baharu dilaporkan pada setiap tahun tetapi beliau yakin masih ramai pesakit skizofrenia yang tidak dirujuk kepada doktor untuk mendapat rawatan sewajarnya.
“Dijangkakan menjelang 2020, penyakit mental akan menjadi penyakit kedua terbanyak dalam kalangan masyarakat di negara selepas penyakit jantung.
“Dianggarkan lebih 25,000 pesakit tersebut tidak mendapat rawatan dan jumlahnya dijangka terus meningkat setiap tahun berikutan skizofrenia merupakan pesakit mental yang paling banyak mendapat rawatan di wad serta rawatan pesakit luar di hospital,” katanya.
Beliau ditemui pada Program Hari Kesedaran Skizofrenia 2014 yang dirasmikan Pengarah Bahagian Perkembangan Perubatan Kementerian Kesihatan, Datuk Dr. Azman Abu Bakar di Bangi Gateway di sini semalam.
KOSMO!

04 Mei 2014

Kembar 78 tahun berpisah akhirnya bertemu semula

ELIZABETH (kiri) teruja kerana bertemu semula dengan Ann selepas terpisah.
Hampshire: Sepasang kembar dipertemukan semula selepas terpisah sejak mereka masih bayi 78 tahun lalu.
Pasangan Ann Hunt dan Elizabeth Hamel dilahirkan di Aldershot, Hampshire pada 1936 dan dianggap Buku Rekod Dunia Guinness sebagai kembar paling lama terpisah sebelum bertemu semula.
Adik-beradik itu dilahirkan tukang masak, Alice Lamb yang menjalin hubungan tanpa kahwin dengan seorang askar.

Lelaki terbabit tidak pernah bertemu dengan Ann dan Elizabeth kerana selepas dilahirkan Alice cuba memberi anaknya kepada orang lain bagi mengelakkan dipulau masyarakat.
Bagaimanapun, sedikit kecacatan pada tulang belakang Elizabeth menyebabkan tiada siapa mahu menjadikannya anak angkat.
Keadaan itu menyebabkan Alice terpaksa menjaga sendiri Elizabeth.

Elizabeth kemudian berkahwin dengan lelaki AS dan berpindah ke Portland, Oregon.

Elizabeth berkata, dia memang tahu mempunyai saudara kembar yang lama terpisah tetapi sebaliknya Ann dimaklumkan perkara itu selepas “menggali” semula sejarah keluarganya dengan bantuan anak bongsunya, Samantha Stacey.
Selepas menghabiskan banyak masa mengkaji sejarah hidupnya, Ann mengetahui dia mempunyai kakak di AS dua tahun lalu.

Samantha berkata, dia dan Ann berjaya mengesan Elizabeth.

“Apa yang menarik, saya bukan saja menemui kakak ibu, tetapi Ann ialah kembarnya,” katanya.

Pasangan kembar itu bertemu 1 Mei lalu di Los Angeles, setahun selepas pertama kali bercakap melalui telefon.

Sementara itu Ann berkata dia sangat terharu kerana dapat menemui kembarnya semula. 

“Tiada perkataan dapat menggambarkan perasaan saya kini. Ia bagaikan mimpi,” katanya. 

Pasangan kembar itu dijemput ke Los Angeles oleh seorang pakar psikologi, Dr Nancy Segal yang akan menjalankan ujian bagi mencari persamaan dan perbezaan mereka dalam sesi selama dua hari itu.

“Kami ingin mendapatkan gambaran menyeluruh mengenai kehidupan, kebolehan, minat mereka dan mengumpulkannya sebagai satu kajian kes yang penting kerana ia adalah rekod perpisahan pasangan kembar paling lama di dunia,” katanya.
- Agensi

2,100 penduduk 'ditelan' bumi

PENDUDUK perkampungan Abi-Barik di wilayah Badakhshan di timur laut Afghanistan mencari anggota keluarga yang tertimbus di dalam kejadian tanah runtuh semalam. -Foto AP

Polis Afghanistan dan penduduk kampung memulakan usaha bahaya mencari sekurang- kurangnya 2,100 mangsa yang tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di wilayah pergunungan terpencil di timur laut negara itu, ketika kebimbangan kaki bukit yang tidak stabil mungkin runtuh lagi. 

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata, sekurangkurangnya 350 maut tetapi pegawai bimbang angka mungkin meningkat mendadak kerana kampung di wilayah Badakhshan, bersempadan dengan Tajikistan, ditimbus lumpur sehingga setinggi 100 meter. 


Mula pencarian 

Penduduk kampung dan berpuluhpuluh anggota polis, dilengkapi dengan cuma peralatan menggali asas, memulakan pencarian sebaik hari cerah semalam.



“Penduduk dari daerah sekitar Badakhshan dan Takhar bergegas ke kawasan berkenaan untuk membantu usaha pencarian. 

Setakat hari ini, tiada mayat ditemui,” kata timbalan ketua polis Badakshan, Kolonel Abdul Qadeer Sayad.

Beratus-ratus pondok musnah kelmarin apabila dua kejadian tanah runtuh, berpunca daripada hujan lebat, melanda kampung Argo. 


Ada juga kebimbangan sebahagian lagi kawasan kaki gunung akan runtuh ketika penyelamat berusaha menyelamatkan mangsa yang tertimbus.


BH

Port Mak Ngah Skodeng !