16 April 2014

Durian sebabkan pesakit dipindah keluar


MELBOURNE - AUSTRALIA. Bau durian menyebabkan para pesakit dipindahkan keluar dari sebuah hospital di sini.
   
Pasukan bomba di panggil ke Hospital swasta Mitcham di Doncaster East Road, Mitcham, kira-kira pukul 10 malam Isnin kerana bimbang berlaku kebocoran gas di sebuah daripada wad orang tua hospital itu.
    
Bagaimanapun Bomba Metropolitan (MFB) kemudian diberitahu bau pelik itu ialah daripada sebiji durian yang dipercayai dibawa sebagai buah tangan untuk seorang pesakit di situ.
   
"Terbit satu bau pelik di sini dan pihak hospital mulanya menganggap ia bagi sejenis gas lantas menelefon kami untuk bantuan, " kata seorang jurucakap MFB kepada Bernama.
   
"Pada mulanya kami tidak tahu namanya durian, tetapi seorang jurukamera tv yang tiba di tempat kejadian kenal akan jenis buah itu dan memberitahu kami mengenai bau yang menusuk itu. Kami biasa menerima aduan orang yang tersilap terbau sesuatu dan percaya ia bau gas," katanya.

Ketua Eksekutif Hospital Samantha Dodd enggan memberitahu sama ada pesakit itu seorang warga Malaysia atau Asia.
   
"Kami biasanya tidak mendedahkan maklumat seperti itu," katanya.
   
Julai lepas, semua kakitangan di lantai sebuah ofis di pusat perniagaan daerah Sydney dikosongkan selepas terbau sejenis durian import yang sedang diuji para pegawai pertanian Malaysia mengenai kesegarannya, yang meresap masuk ke ruang pengudaraan, menyebabkan kakitangan di pejabat-pejabat berjiran, melarikan diri bimbang akan berlaku kebocoran gas.
   
Beberapa tahun lepas, Lapangan Terbang Antarabangsa Brisbane diarah dikosongkan apabila seorang penumpang yang tiba dari Malaysia ditemui memiliki durian dalam bagasinya.

 - Bernama

15 April 2014

Isteri gila games tidak pernah berenggang dengan iPad,abaikan Suami

Amin makan hati isteri luangkan lebih banyak masa main game

“DISEBABKAN rasa sayang, saya masih lagi bersabar dengan kerenah isteri yang suka main online game,” kata seorang suami mengenai sikap isterinya.

Kakitangan swasta, Amin Budi (bukan nama sebenar), 30, berkata, dia menyedari sikap buruk isterinya selepas bulan madu pertama mereka apabila Dina, 27, tidak pernah berenggang dengan iPad yang merupakan salah satu barang hantaran perkahwinan yang dihadiahkannya dua tahun lalu.

Pada awalnya Amin berkata, isterinya yang juga seorang suri rumah sepenuh masa tidak menunjukkan ketagihan kerana tetap melayannya dengan baik, namun apabila menjelang setengah tahun perkahwinan, sikap isterinya itu kian menjadi-jadi.

“Isteri saya kadang kala tak beri respons ketika saya bercakap jika ketika itu dia sedang menghadap iPadnya, dan sanggup tidur lewat malam menyebabkan dia kadang-kadang tak melakukan kerja rumah, tetapi menghabiskan masa dengan tidur sahaja di siang hari sebab tak cukup tidur pada waktu malam.

“Apabila saya pulang ke rumah dalam keadaan bersepah, ini menyebabkan stress semakin bertambah. Tak cukup di tempat kerja, di rumah pula keadaan tunggang-langgang,” katanya.

Jelasnya, isterinya suka bermain game 'Candy Rrush' dan game lain melalui Facebook seperti 'Restoran City' dan sebagainya.

Apabila ditegur, isterinya memberitahu ia sekadar untuk mengisi masa terluang sedangkan ketika itu dia berada di rumah.

Lebih malang katanya, isterinya pernah keguguran Januari tahun lalu dan dia menganggap perkara itu berlaku disebabkan sikap isterinya yang suka bermain permainan online sehingga tidak menjaga pemakanan dan waktu tidur yang baik.

'Uninstall' semua permainan

Mengulas lanjut, Amin bagaimanapun tidak menyalahkan isterinya 100 peratus. Dia menganggap isterinya hanya mahu melepaskan tekanan akibat kesunyian di rumah kerana sentiasa ditinggalkan keseorangan.

Amin juga mengakui kadang kala terpaksa meninggalkan isterinya untuk beberapa hari kerana terpaksa keluar daerah atas urusan kerja. Tidak menolak keadaan itu juga turut menjadi penyebab hubungan mereka renggang, Amin kemudian tekad berbincang secara serius dengan isterinya.

Amin bagaimanapun bersyukur kerana keadaan itu membuka ruang yang lebih baik dalam perkahwinan mereka apabila keterbukaan kedua-duanya dalam menyuarakan isi hati masing-masing telah menyebabkan mereka cuba memperbaiki kelemahan yang ada.

“Sekarang ini, isteri saya juga sudah berubah selepas keguguran tahun lalu dan dia juga telah ‘uninstall’ semua permainan yang menjadi ketagihannya sebelum ini,” katanya.

Suami perlu bijak selesai masalah

Dalam masa sama, Amin menasihati mana-mana suami yang menghadapi masalah sama agar bersabar dan berbincang dengan isteri.

“Janganlah kerana online game, berlaku keretakan rumah tangga. Kalau kita ikhlas, ALLAH sudah tentu buka pintu hati isteri untuk terima nasihat kita. Masing-masing ada kelemahan, mungkin ia juga berpunca dari sikap kita, tetapi itulah cabaran perkahwinan,” katanya.

Sementara itu, Munir Ahmad, 32, memberitahu ketagihan terhadap permainan online menyebabkan hubungan sepupu dan suaminya menjadi renggang.

Kata Munir, sepupunya, Suriati, pernah memberitahu walaupun ketika Ramadan, suaminya lebih suka bermain game berbanding solat Tarawih dan kadang-kadang tidur pada jam 4 pagi kerana asyik bermain game.

Begitu juga dari urusan penjagaan anak-anak, jika salah satu dari dua anaknya jatuh sakit, Suriatilah yang menguruskan segalanya kerana suaminya lebih suka menghabiskan masa dengan permainan online.

“Walaupun ia tidaklah menyebabkan hubungan mereka sampai hendak bercerai tetapi melalui ceritanya, suaminya mengabaikan urusan penjagaan anak-anak sehinggakan semua dia yang perlu selesaikan walaupun dari segi nafkah, suaminya tak pernah ‘miss’.

“Apa yang membimbangkannya, anak sulung Suriati juga mengikut perangai ayahnya. Bangun sahaja tidur, dia akan menuju ke komputer untuk bermain game 'Angry Bird',” katanya.


Sinar Harian

MH370: CIA tahu hal sebenar ?

Seorang tentera Australia melakukan misi pencarian melalui udara menggunakan helikopter Tiger 75, S-70B-2 Seahawk. Foto EPA

WASHINGTON - Seorang penulis berasal dari Amerika Syarikat (AS) yang juga penyiar radio tempatan, Dr Kevin Barrett mempercayai bahawa Agensi Perisikan Pusat (CIA) AS mengetahui perihal sebenar apa yang terjadi kepada pesawat MH370.

Dr Kevin, pemegang Doktor Falsafah Arab-Islamoligi dan pengkritik Perang dan Keganasan terkenal Amerika menyatakan pendapat itu menerusi saluran Press TV, semalam.

“Kehilangan pesawat itu tidak masuk akal. Ia tidak mungkin hilang begitu saja,” katanya.

Menurutnya, beberapa individu di pangkalan CIA di Alice Springs, Australia tahu mengenai perihal sebenar mengenai pesawat itu.

“Maka itu kerajaan Malaysia meminta mereka untuk membantu, namun sehingga kini Malaysia tidak mendapat sebarang respons,” katanya.

Beliau juga bertegas bahawa terdapat individu yang menutup perkara sebenar dalam kejadian ini.

“Sesuatu tidak logik apabila timbul maklumat mengenai pesawat terbabit mengubah haluan, terbang ke arah yang salah dengan beberapa penduduk terlihat ianya terbang rendah di sekitar Kepulauan Maldives lalu menuju ke Diego Garcia dan hilang begitu sahaja.

“Perkara ini sangat aneh dan tidak masuk akal,” katanya menurut laporan Mirror.

Sinar Harian

Lelaki rogol, liwat remaja OKU

MUHAMMAD HUNAIN (kanan) dibawa ke Mahkamah Sesyen George Town, Pulau Pinang semalam untuk didakwa atas tuduhan merogol seorang remaja OKU bawah umur.

GEORGE TOWN – Seorang lelaki mungkin berhadapan dengan hukuman penjara 60 tahun dan sebatan selepas dia didakwa di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas dua pertuduhan merogol dan satu pertuduhan melakukan seks luar tabii terhadap seorang remaja orang kelainan upaya (OKU) bawah umur.


Tertuduh, Muhammad Hunain Shah Sufi, 24, yang hadir ke mahkamah bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu dan minta dibicarakan.
Mengikut kertas pertuduhan, bagi pertuduhan pertama, dia didakwa telah merogol mangsa yang berusia 14 tahun 10 bulan di sebuah rumah beralamat di Paya Terubong di sini kira- kira pukul 3 petang pada 24 Mac lalu.
Bagi pertuduhan kedua pula, dia yang mengenali mangsa didakwa mengulangi perbuatan terkutuk itu di lokasi yang sama kira-kira pukul 2 petang pada 26 Mac lalu.
Muhammad Hunain turut dituduh melakukan persetubuhan di luar tabii dengan mangsa di lokasi yang sama pada pukul 3 petang pada 27 Mac lepas.
KOSMO!


14 April 2014

Neelofa merajuk dengan industri seni ?

Neelofa

KELIBAT gadis bertubuh genit ini di dalam industri seni sememangnya tidak perlu diperkenalkan lagi.

Sejak berkecimpung dalam industri seni pada 2010, setelah memenangi pertandingan Dewi Remaja 2010/2011, nama Neelofa atau nama penuhnya, Noor Neelofa Mohd Noor terus menjadi sebutan ramai.

Namun, jika diselak lembaran diari anak kelahiran Pasir Mas, Kelantan ini, pelbagai onak ranjau sudah dilalui meskipun tempoh perjalanan tersebut masih belum jauh.

Bermula dengan gosip cinta bersama VIP, seterusnya pelakon filem Azura ini dikaitkan dengan hero filem sama, Shahz Jaszle sehingga menjadi punca perpisahan aktor itu dengan bekas kekasihnya, Maria Farida.

Bukan itu sahaja Neelofa turut dikaitkan dengan Fazura mengenai isu rampas kekasih sehinggalah dikatakan tidak bertuah selepas filem lakonannya tidak mendapat sambutan, isu tangkapan khalwat dan terbaharu, isu baju yang tidak sesuai dikenakan, mula menerjah kerjaya pelakon dan pengacara jelita ini.

Kontroversi demi kontroversi yang berlaku tanpa sedar mencalarkan imej gadis yang baru menginjak ke usia 25 tahun ini.

Tentu sahaja pasti ada yang berkata, artis baharu dan kontroversi sememangnya tidak dapat dipisahkan.

Namun bagi Neelofa sendiri, dia mengambil sikap yang positif, biarpun empunya badan sendiri sedar akan hakikat itu.

"Secara peribadi, saya sedar saya antara artis yang sentiasa terkait dengan kontroversi dan ada kalanya yang besar dan teruk-teruk. Malah saya juga pernah melalui jalan yang sukar untuk menghadapi kontroversi berkaitan diri saya.

"Apatah lagi ada kalanya kontroversi yang berlaku bukan datang dari diri sendiri sebaliknya khabar angin dan juga fitnah semata-mata, namun saya tiada kesempatan untuk memperbetulkan keadaan dalam masa yang singkat.

"Tetapi berkat kesabaran dan sikap konsisten untuk terus maju ke hadapan secara positif, lama-kelamaan orang luar akan lebih mudah mengenali diri kita," katanya yang kini bercuti bersama keluarga di London, Britain.

Neelofa berkata, biarpun ada di antara kontroversi yang dilaluinya itu begitu memalukan, namun dia percaya setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya.

Tidak mahu membebankan diri dengan kontroversi yang berlaku, Neelofa sentiasa memperbaiki diri jika ada perkara yang tidak kena dengannya.

"Saya akui, bukan semua orang suka kita tapi manusia sentiasa berubah, kalau hari ini dia benci sangat, tak mustahil satu hari nanti dia akan suka kita. Orang lain tidak boleh ubah diri kita melainkan kita sendiri yang melakukannya.

"Walaupun kita cuba elak kontroversi, ia tetap akan datang, Jalan terbaik, bila ada kontroversi yang timbul, lihat semula pada diri kita, ambil masa untuk melihat kesalahan itu dan betulkan ia, kemudian kita melangkah terus ke hadapan," katanya.

Justeru bagi mengembangkan lagi karier, Neelofa bukan sahaja memberi fokus terhadap bidang seni, bahkan kini mula berjinak-jinak dengan dunia perniagaan sebagai jaminan untuk masa depannya.

Selepas memasarkan tudung Bokitta yang di ambil dari Lubnan, Neelofa berkata, dia baru sahaja melancarkan jualan jubah menerusi jenama Naelofar Abaya yang dijual menerusi laman Instagram miliknya, @naelofar.

"Untuk perniagaan ini, saya bekerjasama dengan seorang rakan yang sememangnya ada latar belakang dalam bidang fesyen. Alhamdulillah untuk malam pertama selepas tiga jam dilancarkan, kami terima pesanan lebih daripada 100 helai.

"Sambutan itu sahaja sudah membuatkan kami sangat-sangat bersyukur," katanya.

Bukan itu sahaja, Neelofa berkata dia kini sedang sibuk membuat persiapan akhir sebelum melancarkan produk Lofalens (LF Lens) iaitu kanta lekap di bawah jenamanya, Mei ini.

"Ini adalah projek terbesar saya untuk tahun ini dan saya sudah mula merangka projek ini sejak November tahun lalu dan Alhamdulillah segalanya berjalan lancar.

"Insya-ALLAH Mei ini ia akan mula berada di pasaran. Memandangkan ia adalah projek terbesar, maka yang terlibat 100 peratus dalam proses pemilihan pembekal, rekaan, konsep produk, pembungkusan, warna kanta lekap dan juga pemasaran.

"Antara sebab utama saya memilih untuk menjual kanta lekap adalah kerana permintaan tinggi di Malaysia tetapi sayangnya di sini kurang pilihan," katanya.

Namun dalam kesibukannya menguruskan perniagaan, ada beberapa kata-kata nakal yang mengatakan 'kehilangan' Neelofa dari bidang seni akhir-akhir ini kerana isu bajunya yang diperkatakan beberapa bulan lalu.

"Saya tidak menghilang atau senyap, mungkin kerana insiden MH370 membuatkan saya nampak tidak aktif di media sosial. Namun sebenarnya dalam masa sama, saya turut sibuk menghadiri kelas 'kickboxing' dan pilates.

"Jadi tiada istilah merajuk dan sebagainya kerana saya memang sibuk," katanya.

Masih hos Nona

Berkongsi mengenai perkembangan kariernya, Neelofa berkata, dia masih aktif dalam industri seni namun, dek kerana insiden kehilangan MH370, banyak program dibatalkan dan dia mempunyai banyak masa terluang kini.

"Sebaik pulang dari London, saya akan terlibat dengan penggambaran filem pendek yang masih dirahsiakan tajuknya," katanya.

Bagaimanapun Neelofa mengakui dia kini lebih banyak menerima tawaran mengacara berbanding berlakon kerana mengacara tidak memerlukan komitmen masa yang panjang.
"Bagi saya mengacara lebih fleksibel dengan masa yang saya ada. Jadi senang untuk saya fokus kepada karier seni dan juga perniagaan.

"Dalam masa masa, ada dua lagi filem saya yang masih belum ditayangkan," katanya yang kini merancang untuk mengacara satu lagi program baharu yang masih lagi dalam perbincangan.

Ditebak mengenai kehilangannya daripada program Nona, Neelofa berkata : "Saya masih mengacarakan program tersebut dan baru saja memperbaharui kontrak untuk tahun ini.

"Cuma disebabkan konsep baharu iaitu setiap bulan kita ada pengacara jemputan membuatkan orang keliru dan menganggap saya tidak lagi bersama Nona," jelasnya yang belum ada sebarang perancangan untuk terus bersama Nona tahun depan.

Putus dengan Hans?

Bagai tidak lengkap andai tidak mengusik pelakon yang pernah membintangi filem Azura ini mengenai kisah percintaan dengan aktor dan pengarah kacak Hans Isaac, Neelofa bagaimanapun menolak lembut untuk memperkatakan mengenai perkara itu.

"Buat masa ini, saya sangat menyukai kerjaya saya, perniagaan saya. Cinta dengan kerja paling menyeronokkan kerana bangun pagi dan sebelum tidur asyik fikir hal kerja saya. Lagi-lagi bila perniagaan baru bermula, banyak benda yang perlu saya lakukan.

"Untuk berkahwin, tipulah kalau saya cakap akan terjadi dalam masa yang terdekat.

"Kalau boleh saya tak mahu tersilap langkah. Saya betul-betul mahu menguatkan empayar perniagaan kerana impian saya, saya tidak mahu bergantung dengan suami bila berkahwin nanti.

"Memang perkahwinan adalah tentang sesuatu yang boleh dikongsikan tapi sebelum itu saya mahu ada kehidupan sendiri dan saya sedang melaluinya sekarang.

"Lebih indah selepas itu baharulah dapat dikongsi dengan orang yang dicintai.

"Cuma kini saya harap semua khasnya peminat doakan yang terbaik untuk saya bersama dengan pasangan yang sentiasa mendapat berkata dan rahmat di sisi ALLAH SWT," akhirinya.

Sinar Harian

13 April 2014

Engku Emran pujuk Erra Fazira guna Instagram

Erra dan Engku Aleesya - Gambar Instagram Erra Fazira

KUALA LUMPUR: Engku Emran Engku Zainal Abidin memujuk kembali bekas isterinya iaitu pelakon dan penyanyi, Erra Fazira, dengan memuatnaik gambar anaknya, Engku Aleesya, 5, yang memakai baju bertulisan #prayformomandayah di akaun Instagram miliknya.

Emran turut menulis mengenai hasratnya yang ingin memenangi hati dan merujuk Erra semula.

Emran juga mengakui bahawa dia masih mempunyai perasaan cinta terhadap bekas isterinya itu yang dipanggilnya sebagai Syurga Aleesya (SA).

Sebelum ini, Emran ada memuatnaik beberapa gambar menerusi akaunnya @iamkumbre bagai mengimbas semula kenangan mereka berdua.

Beberapa peminat memberikan reaksi yang positif terhadap perkara tersebut dan memulakan hashtag #prayformomandayah untuk mendoakan hubungan mereka agar terjalin kembali.

Walau bagaimanapun, tiada apa-apa kenyataan dikeluarkan dari pihak Erra mengenai perkara ini.

Emran dan Erra telah bercerai pada 18 Februari yang lalu dengan talak satu setelah mendirikan rumah tangga selama tujuh tahun.


Akaun instagram Engku Emran

"Salam ALL...ok this wil be my last pix for tday and id like to dedicate this posting to ALL of u who hv doa-ed fr the best for this innocent girl's parents...tq fr giving me the idea to create the hashtag on her baju...we were in KLCC last nite to look fr a place that can do as such but failed...but Alhamdulillah tday Aleesya n I managed to find a shop that wud do it...last nite Aleesya n I had an intimate chat again...i asked her if she wud help me win back Mom...and she replied YES!!! wtout hesitating followed by a looooong giggle...Aleesya only giggles when shes v excited

aStro Awani

Bayi 9 bulan bebas tuduhan cubaan bunuh

Musa Khan
Lahore: Hakim mahkamah di sini semalam menggugurkan pertuduhan cubaan membunuh yang dikenakan ke atas seorang bayi berusia sembilan bulan.
Kes berkenaan mendapat perhatian umum yang menjelaskan kegagalan sistem kehakiman negara itu. 
Bayi berkenaan, Musa Khan dilihat duduk di riba datuknya bersama sebotol susu ketika perbicaraan berlangsung di mahkamah beberapa hari lalu. 
Berita sebelum ( Bayi dituduh merancang pembunuhan )

Dia dan ahli keluarganya dituduh cuba membunuh seorang anggota polis selepas pertengkaran berlaku antara keluarga itu dengan polis berkenaan dan pekerja syarikat gas yang cuba mengutip bayaran tertunggak daripada mereka.
Musa duduk di pangkuan ayahnya sambil memegang botol susu ketika didakwa.
Polis bagaimanapun mendakwa keseluruhan ahli keluarga berkenaan.
“Polis memberitahu mahkamah, pendakwaan yang dikenakan ke atas Musa berhubung kes berkenaan adalah satu kesilapan yang tidak disengajakan dan bayi itu sama sekali tidak terbabit,” kata peguam, Irfan Sadiq. 

Datuk bayi berkenaan, Muhammad Yasin bersama tiga lagi anak lelakinya masih berdepan tuduhan. 

Gambar Musa menangis ketika diambil cap jari sewaktu perbicaraan awal mencetuskan kemarahan orang ramai. 
- Reuters

MH370: Hishammuddin Nafi Pembantu Juruterbang Buat Panggilan Telefon

Hishammuddin Tun Hussein

KLUANG: Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menafikan laporan muka depan sebuah akhbar tempatan yang mendakwa pembantu juruterbang pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH370 membuat panggilan telefon ketika pesawat itu terbang rendah berhampiran Pulau Pinang.

Beliau berkata jika dakwaan akhbar itu benar, beliau sepatutnya mengetahui perkara itu daripada awal lagi.

"Saya tidak boleh komen (mengenai laporan akhbar itu) kerana jika betul, kita (pasti) tahu mengenainya daripada awal lagi," katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat hajat di Masjid Taman Sri Lambak di sini, Sabtu.

Fariq buat panggilan sebelum MH370 hilang ?

Menurutnya sejak insiden kehilangan pesawat itu, pihaknya mengambil pendekatan tidak mengesahkan sesuatu tanpa sebarang kerjasama atau pengesahan dengan pihak lain.
Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan berkata adalah tidak bertanggungjawab bagi mana-mana pihak untuk mengambil kesempatan dengan membuat liputan atau laporan yang tidak berasas.
Hishammuddin berkata pasukan penyiasat menerima pelbagai petunjuk di Laut China Selatan termasuk mengenai imej satelit oleh China, penemuan jaket dan bot keselamatan serta tumpahan minyak yang kononnya berkaitan dengan MH370 menyebabkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) diperluas dari Laut China Selatan ke Laut Andaman dan kini di Lautan Hindi.
"Kita terima macam-macam petunjuk dan kita mengikutinya tetapi malang ia adalah hanya 'roller coaster ride', di mana kita terima maklumat dan siasat tetapi ia tidak berasas," jelasnya.
Beliau berharap orang ramai memahami apa yang pihaknya sedang lalui kerana maklumat tidak berasas bukan sahaja menjejaskan operasi tetapi juga memberi ksan kepada keluarga penumpang dan anak kapal pesawat itu.
Pesawat Boeing 777-22ER itu hilang daripada radar kira-kira sejam berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam 8 Mac.
Pesawat itu yang membawa 239 penumpang dan anak kapal sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari sama.
Terdahulu, Hishammuddin yang juga Anggota Parlimen Semberong mengetuai kira-kira 500 jemaah menunaikan solat hajat bagi keselamatan penumpang dan anak kapal pesawat MH370.
Beliau berkata penganut Buddha dan Hindu di Parlimen Semberong turut mengadakan upacara keagamaan masing-masing bagi mendoakan keselamatan penumpang pesawat itu.
Anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) Kahang R.Vidyanathan dan anggota DU NPaloh Teoh Yap Kun mengetuai upacara itu bagi penganut agama masing-masing.
mStar Online

12 April 2014

Fariq buat panggilan sebelum MH370 hilang ?

Fariq

SHAH ALAM - Hasil siasatan dari pasukan siasatan telah mendedahkan satu maklumat terbaru berhubung insiden kehilangan MH370 sejak 8 Mac lalu.

Menurut laporan ekslusif yang dikeluarkan oleh New Straits Times hari ini, pihak berkuasa telah mendedahkan satu maklumat berhubung pembantu juruterbang, Fariq Ab Hamid yang membuat satu panggilan telefon ketika pesawat tersebut terbang pada ketinggian 5,000 kaki semasa melalui Pulau Pinang.

Menurut laporan itu lagi, panggilan telefon tersebut berjaya dilakukan berikutan pesawat tersebut yang terbang cukup rendah sehingga membolehkan menara kawalan telekomunikasi mengesan panggilan telefon yang dibuat.

Namun panggilan telefon tersebut disahkan terputus secara tiba-tiba sebelum kapal terbang tersebut hilang dari radar dan pasukan penyiasat masih melakukan siasatan terperinci ke atas maklumat tersebut.

Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menyatakan seramai 205 orang saksi telah dipanggil untuk memberi keterangan dalam membantu siasatan pihak polis.

Menurut beliau, pihak polisakan memanggil lebih ramai individu untuk membantu pihak polis menyelesaikan siasatan ke atas insiden kehilangan pesawat tersebut.


Sumber

Tiga minggu hilang disyaki ikut tomboy

Abd Razak yang enggan mukanya disiarkan memegang sekeping gambar Nor Haleeda.

TEMERLOH – Sepasang suami isteri dari Taman Temerloh Makmur, dekat sini merayu anak gadisnya pulang selepas tiga minggu keluar rumah dipercayai mengikut seorang tomboi.

Abd Razak Wahab 50, berkata, anak gadisnya seolah-olah dipukau dan mengikut sahaja kemahuan tomboi itu termasuklah menyerahkan rantai emas dan barangan peribadinya sepanjang setahun mengenali tomboi itu.

Menurutnya, sebelum ini anak gadisnya, Nor Haleeda 22, adalah seorang anak yang mendengar kata tetapi semua itu berubah sejak dia mengenali tomboi terbabit.

“Saya bimbang anak gadis saya diperdagangkan pihak tertentu dan merayu sesiapa sahaja yang menjumpainya supaya dapat menghantarnya pulang kerana kami sekeluarga sangat merinduinya.

“Saya juga merayu dengan pihak berkuasa menyiasat dan mencari ke mana hilangnya anak gadis saya ini,” katanya kepada Sinar Harian di rumahnya, semalam.

Sementara itu ibu gadis terbabit Zainon Muda, 43, berkata, dia dan suami melakukan pelbagai ikhtiar untuk membawa pulang anak gadisnya termasuk bertemu dengan seorang ustaz pengamal perubatan Islam.

Menurutnya, kali pertama anak gadisnya mengikut tomboi itu dan tidak pulang ke rumah selama lapan bulan sebelum berjaya dibawa pulang dan dihantar berubat.

“Dia hanya sempat tinggal semula dengan kami hanya dalam tempoh sebulan, selepas berubat nampak ada perubahan dan dia kembali ke pangkuan keluarga, tetapi pada satu malam tomboi itu datang ke rumah ikut pintu belakang dan bawa anak saya pergi.

“Sudah tiga minggu anak saya tidak pulang ke rumah, suami saya pernah pergi mencari anak gadis saya di rumah keluarga tomboi itu tetapi anak saya tidak ada.

“Menurut tomboi itu, anak saya ke Terengganu mengikut seorang kenalannya tetapi saya yakin anak saya masih bersamanya dan berada di daerah ini,” katanya.

Zainon merayu anak gadisnya itu pulang ke pangkuan keluarga selain meminta bantuan polis untuk membawa anaknya pulang.


Sinar Harian

Port Mak Ngah Skodeng !