31 Mac 2014

Kapal kesan kotak hitam sertai misi cari MH370

KAPAL milik Australia, Ocean Shield berlabuh di sebuah pelabuhan di Perth semalam.

PERTH - Sebuah kapal perang Australia yang dilengkapi dengan alat pengesan kotak hitam menyertai misi mencari sebuah pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) yang terhempas di Lautan Hindi.

Penghantaran kapal tersebut dibuat semalam iaitu sehari selepas beberapa kapal lagi mengambil beberapa objek di Lautan Hindi bagi mengenal pasti sama ada ia mempunyai kaitan dengan pesawat yang hilang itu.
Bagaimanapun, tiada satu pun objek mempunyai kaitan dengan pesawat MH370 tersebut menyebabkan pasukan mencari masih belum mengetahui lokasi sebenar kapal terbang itu terhempas selepas lebih tiga minggu hilang.
Seramai 29 ahli keluarga penumpang pesawat berkenaan tiba di Kuala Lumpur, Malaysia semalam bagi mencari jawapan berhubung kehilangan saudara-mara mereka.
Pesawat yang dalam penerbangan dari Kuala Lumpur menuju ke Beijing dan membawa seramai 239 penumpang itu hilang pada 8 Mac lalu.
Seramai 153 penumpang pesawat jenis Boeing 777-200 tersebut adalah warga China.
Kotak hitam yang perlu dicari itu mengandungi maklumat penerbangan dan rakaman perbualan di kokpit. Kapal Ocean Shield milik Australia itu dijadualkan sampai dilokasi carian yang seluas hampir menyamai keluasan Poland dalam tempoh empat hari.
Pihak Berkuasa Keselamatan Maritim Australia (AMSA) yang menyelaras misi mencari itu berkata, kapal Ocean Shield dilengkapi dengan sebuah alat pengesap kotak hitam yang dikenali sebagai towed pinger locator.
Selain alat pengesan yang dipinjam dari tentera Amerika Syarikat itu, kapal berkenaan turut membawa sebuah kapal selam kawalan jauh.
Seorang jurucakap AMSA berkata, kapal dari China dan Australia telah mengambil beberapa objek di kawasan carian tetapi mendapati ia hanya sampah.
Ketika ini tiada objek yang diambil itu disahkan mempunyai kaitan dengan MH370. 
- AP(KOSMO!)

30 Mac 2014

Pasangan Suami Isteri Ditemui Mati Dengan Kesan Kelar, Anjing Peliharaan Dibunuh

Selvam (kiri) bersama isterinya Anita

KUALA LUMPUR: Pasangan suami isteri ditemui mati dengan leher dikelar di flat mereka di Kampung Muhibbah pada Sabtu.

Difahamkan, dalam kejadian pukul 11 malam di Blok C Projek Perumahan Rakyat Muhibbah, suami kepada wanita terbabit telah mengelar leher isterinya selepas berlaku pertengkaran sebelum mengambil nyawanya sendiri.

Mayat pasangan itu yang berlumuran darah ditemui bergelimpangan di atas lantai di dalam bilik dengan dua ekor anjing peliharaan mereka turut dibunuh.

Pisau yang dipercayai telah digunakan oleh lelaki terbabit untuk membunuh dirinya, ditemui di sebelah mayatnya.

Siasatan awal mendapati tanda kelar dengan ukuran antara 10 dan 15cm di leher wanita itu.

Terdapat juga tanda kelar pada leher anjing peliharaan mereka.

Seorang jiran, yang enggan namanya disiarkan berkata dia telah mendengar bunyi dari unit pasangan itu kira-kira jam 10 malam.

"Kedengarannya seperti mereka sedang bertengkar antara satu sama lain. Tidak lama selepas itu, seluruh blok dikejutkan dengan penemuan mayat mereka," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Dia menambah, pasangan itu yang dikenali sebagai Selvam dan Anita tidak mempunyai anak dan telah tinggal di situ selama beberapa tahun.

"Selvam mempunyai perniagaan pengangkutan manakala Anita bekerja sebagai jurusolek sambilan," katanya.

Seorang lagi jiran, yang juga enggan dikenali mengakui bahawa ini adalah kali pertama dia mendengar pasangan itu bertengkar.

"Saya tidak pernah melihat atau mendengar mereka bergaduh. Mereka begitu penyayang," katanya.

Ketua Polis Daerah Cheras Komisioner Mohan Singh mengesahkan menerima laporan itu dan berkata kes itu diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

Beliau menambah siasatan sedang dijalankan dan tidak ada unsur-unsur jenayah dalam kejadian itu.

Mayat-mayat telah dihantar ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia untuk bedah siasat.

mStar Online

29 Mac 2014

Penjenayah dibebas kerana badan besar ?

Devon (England): Seorang penjenayah setinggi dua meter dibebaskan dari tahanan selepas hakim menyatakan katil dan pakaian seragam penjara terlalu kecil untuknya.
Jude Medcalf, 23, dari Newton Abbot melakukan jenayah selepas dia disahkan menghidap sindrom Klinefelter.
Penyakit itu mengganggu sistem tumbesarannya, menyebabkan dia terus membesar. 
Dalam satu kejadian terbaru, dia menakutkan seorang wanita dengan melepaskan tembakan menggunakan pistol tiruan melalui sebuah tingkap sebelum melarikan hadiah Krismas bernilai £30 (RM163) dan sejumlah wang daripada pejabat Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan England (NHS), lapor mahkamah Exeter Crown.
Foto
Mahkamah diberitahu yang Medcalf kemudiannya ditemui dengan makanan yang dicuri dari kelab The Sloop ketika kakitangannya leka.
Dia dibebaskan dari penjara selepas mahkamah mendapati dia sudah 75 hari ditahan.

Ketika dalam tahanan, dia berdepan masalah untuk menyesuaikan diri kerana tiada katil atau pakaian penjara yang muat dengannya.

Medcalf yang turut menghidap masalah kecelaruan kromosom hingga menyebabkan dia bersikap keanak-anakan dikenakan hukuman enam bulan tahanan rumah dan 12 bulan khidmat komuniti.

Pendakwa raya, Brian Fitzherbert memberitahu mahkamah Medcalf menembak teman wanitanya selepas mendapati wanita itu menghubungi polis kerana dia menyerang kereta rakannya di Torquay.

Tembakan itu bagaimanapun terkena cermin tingkap. 

“Wanita itu ketakutan. Dia tidak mengetahui pistol yang digunakan tiruan,” kata Brian.

Medcalf mengaku bersalah memiliki pistol tiruan dan melakukan jenayah dengan senjata itu ketika dia mula dibicarakan. - AFP

#MH370 : Masih ada harapan temui serpihan selepas 30 hari

Imej daripada Jabatan Pertahanan Australia semalam menyebabkan seluruh perhatian daripada kapal laut tentera Australia yang membuat rondaan menumpu kepada objek yang timbul di sekitar kawasan carian MH370. Foto EPA

SHAH ALAM - Sekiranya operasi mencari dan menyelamat (SAR) pesawat MH370 melebihi 30 hari, masih ada harapan untuk menemui mana-mana bahagian pesawat yang masih kukuh.

Pensyarah di Jabatan Kejuruteraan Aeroangkasa, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Leftenan Kolonel (B) Mohd Ramly Mohd Ajir berkata, kecanggihan teknologi dan peralatan yang ada masa kini tidak mustahil untuk membolehkan serpihan pesawat berkenaan ditemui.

“Walaupun hanya serpihan kecil, pakar-pakar yang telah ditugaskan mampu mengenal pasti adakah itu milik MH370 atau bukan contohnya dari segi warna dan stukrturnya,” katanya kepada Sinar Harian.

Kelmarin operasi SAR, di Selatan Lautan Hindi dihentikan berikutan cuaca buruk yang boleh membahayakan pasukan mencari itu.

Malah keduduknya yang jauh juga menyebabkan, pasukan mencari dan menyelamat mengambil masa selama empat jam perjalanan pergi dan dua jam bagi menyelesaikan operasi sebelum kembali semula ke pengkalan.

Ditanya kemungkinan pesawat itu terbakar dahulu sebelum terhempas di lautan, adakah masih ada harapan untuk menemui serpihan pesawat itu, Mohd Ramly berkata, agak mustahil untuk sebuah pesawat Boeing 777-200ER terbakar secara keseluruhan.

“Pesawat ini besar, mustahil untuk terbakar semua, akan ada mana-mana serpihan yang mungkin mendap di dasar laut. Selain itu kesan manusia juga masih boleh ditemui walaupun dalam tempoh yang lama,” katanya.

Mengulas mengenai kotak hitam, beliau berkata, kotak hitam yang dipasang pada pesawat itu mampu bertahan lama dan boleh dikesan pihak berkuasa tidak lama lagi.

"Walaupun keadaan di Lautan Hindi itu berlurah dan berombak kuat, namun kotak hitam yang itu mampu bertahan 3,400 kali hentakan daripada berat jisimnya," katanya.

Sinar Harian

28 Mac 2014

Pasangan Malaysia yang dituduh mendera anak-anak mereka di Sweden dijatuhi hukuman penjara

Shalwati dan Azizul

PETALING JAYA: Pasangan Malaysia yang dituduh mendera anak-anak mereka di Sweden didapati bersalah dan dijatuhi hukuman penjara oleh Mahkamah Daerah Solna pada Jumaat.

Mahkamah juga menetapkan bahawa pasangan itu perlu membayar ganti rugi terhadap anak-anak mereka.
Ibu kepada empat orang anak, Shalwati Norshal dijatuhi hukuman penjara selama 14 bulan kerana perlakuan kasar terhadap anak perempuannya dan anak lelaki sulungnya serta atas kesalahan menyakiti dua lagi anak lelakinya.
Sementara itu bapa mereka, Azizul Raheem Awalluddin dikenakan hukuman penjara 10 bulan kerana dia didapati bersalah mengasari tiga anak anaknya.
Azizul bagaimanapun dibebaskan daripada apa-apa kesalahan terhadap anak bongsunya.
mStar Online

MH370 : FBI tak jumpa bukti

Kuala Lumpur: Biro Siasatan Persekutuan (FBI) tidak menemui sebarang bukti yang boleh mengaitkan juruterbang MH370 dengan kehilangan pesawat itu, lapor New York Times.
Perkara itu didedahkan dua pegawai penyiasatnya selepas FBI menyiasat cakera keras dan simulator penerbangan yang diambil dari rumah kedua-dua juruterbang MH370 di Malaysia. 
Menurut jurucakap FBI Michael Kortan, buat masa ini biro berkenaan tidak akan berkongsi maklumat kerana siasatan lanjut masih dijalankan. 

Walaupun pasukan penyiasat tertumpu kepada juruterbang pesawat MH370, namun tiada bukti menunjukkan bahawa mereka yang terlibat dalam kes kehilangan pesawat MH370.
Foto
Seorang bekas pegawai penguatkuasa undang-undang kanan berkata, sekalipun maklumat dari cakera keras milik juruterbang MH370 yang diperolehi FBI mungkin sedikit, namun informasi sedemikian mungkin dapat membantu kerajaan Malaysia dalam merungkai misteri kehilangan MH370. - NYT

27 Mac 2014

Datuk Ali Mamak meninggal dunia

Ali Mamak

PELAWAK terkenal era 80an, Datuk Ali Mamak atau nama sebenarnya Osman Jantan meninggal dunia jam 4.20 pagi tadi.

Memetik laporan sebuah portal hiburan, Allahyarham yang dikenali melalui sitkom ‘Santan Berlada’ meninggal dunia di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) kerana kanser tahap kedua.

Perkara ini juga disahkan oleh anak lelakinya, Shahrul Nizam melalui akaun Facebook (FB) peribadinya.

Allahyarham yang merupakan anak kelahiran Kampung Pulau, Masjid Tanah, Melaka sudah berkecimpung dalam bidang seni selama kira-kira 25 tahun, dan telah dianugerahkan gelaran Darjah Seri Melaka (DSM) oleh Kerajaan Negeri Melaka pada tahun 2008 yang membawa gelaran Datuk.

Jenazah akan dibawa ke rumahnya di Batu 14, Hulu Langat sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Dusun Tua Batu 16, Hulu Langat, Selangor untuk dikebumikan sebelum Zohor.


Al-Fatihah.

26 Mac 2014

Anzalna bikin isteri Izzue Islam cemburu?

Anzalna Nasir

“SAYA tidak nafikan laporan akhbar sebelum ini, tapi apa yang saya mahu katakan, perkara itu bukan berpunca daripada saya,” jelas aktres cantik, Anzalna Nasir yang mengulas mengenai kontroversi yang mendakwa dirinya bermasam muka dengan aktor, Izzue Islam ketika menjalani penggambaran drama bersiri Aku Isterinya seperti yang dilaporkan media sebelum ini.

Menerusi drama itu, Anzalna dan Izzue ditugaskan memegang watak suami isteri.

Tidak tahu di mana silapnya, selepas beberapa minggu menjalani penggambaran drama itu timbul pula cerita kurang enak yang mendakwa Anzalna ‘lebih-lebih’ menghayati babak intim terhadap Izzue sehingga isterinya, Awin Nurin cemburu.

Anzalna memberitahu dirinya juga pelik bagaimana perkara seperti itu boleh timbul sedangkan sebagai seorang pelakon dia hanya menjalankan tugasnya.

“Saya bukannya kali pertama berlakon. Lagi pun sebelum ini banyak kali saya digandingkan dengan suami orang seperti Aaron Aziz dan Adi Putra.

“Tapi tidak pula timbul isu sebegini. Tapi apa pun, sebagai seorang pelakon saya perlu bersikap profesional untuk menjayakan watak ini walaupun kurang selesa bila cerita seperti ini keluar,” kata Anzalna ketika ditemui pada sidang media drama terbaharu di slot Akasia di TV3 berjudul Aku Isterinya, kelmarin.

Izzue bagaimanapun tidak hadir pada majlis pelancaran tersebut.

Enggan bersemuka

Mengulas lebih lanjut mengenai perkara itu, Anzalna turut akui pada awal memulakan penggambaran dia mengalami kesukaran tambahan pula ada beberapa babak menuntutnya untuk melakonkan adegan intim.

“Memang pada awal-awal penggambaran, saya sudah rasa susah untuk berlakon dengan Izzue lebih-lebih lagi bila adanya adegan intim.

“Walaupun hanya lakonan, saya faham dan sangat menghormati Izzue dan isterinya. Sebab itu saya tidak lakukannya secara berlebihan malah berhati-hati bila lakonkan babak berpegangan.

“Saya juga ada keluarga dan teman lelaki dan memang dari awal saya cuba jaga batas,” katanya.

Ditanya sama ada dia akan bersemuka dengan pasangan itu untuk menyelesaikan salah faham yang timbul, Anzalna bagaimanapun menjelaskan dirinya tidak berhasrat untuk melakukannya.

“Sebenarnya tidak ada sebab pun saya perlu bersemuka dengan mereka.

“Lagi pun saya tidak mahu melayan perkara yang kebudak-budakan tambahan pula ini isu kecil saja,” katanya mengakhiri perbualan.

Selain Anzalna dan Izzue, barisan pelakon lain yang terlibat dalam Aku Isterinya adalah Syazwan Zulkifly, Shakilla Khoriri, Marissa Yasmin dan Syatila Melvin.

Ia bakal bersiaran menerusi slot Akasia di TV3 bermula 31 Mac ini pada setiap Isnin hingga Khamis, pada jam 7 malam.

Sinar Harian

Kekasih penumpang MH370 enggan terima berita kematian

BAJC dan kekasihnya, Woods.
NEW YORK - Seorang teman wanita seorang penumpang sebuah pesawat Penerbangan Malaysia (MAS), Phillip Woods menyatakan dia enggan menerima berita kematian kekasihnya, lapor akhbar New York Daily News kelmarin.
"Saya hanya akan menerima realiti Woods sudah tiada apabila bangkai pesawat hilang ini ditemui," kata wanita berkenaan, Sarah Bajc.
"Saya memerlukan sesuatu yang konkrit untuk menutup episod sedih ini (kehilangan MH370)," tambah Bajc yang bekerja sebagai seorang guru perniagaan di China.
Menurut wanita tersebut, Woods menaiki penerbangan menuju ke Beijing itu pada 8 Mac lalu untuk membantunya berpindah.
"Malangnya, misi kami tidak kesampaian," kata Bajc.
"Kini keluarga Woods dan saya memerlukan masa untuk berkabung," tambahnya.
 - Agensi(KOSMO!)


25 Mac 2014

MH370,Kru rakam gambar dua objek terapung Lautan Hindi

GAMBAR yang diperoleh semalam menunjukkan anggota tentera melihat menerusi binokular bagi mencari pesawat MH370 dari atas kapal HMAS Success di Lautan Hindi.

SYDNEY - Kru sebuah pesawat peninjau Australia berjaya merakamkan gambar dua objek di Lautan Hindi semalam yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kehilangan penerbangan MH370 dalam misi mencari pesawat itu yang memasuki hari kelima.

"Kru pesawat Orion melaporkan melihat dua objek dengan yang pertama berbentuk bulat dan berwarna hijau manakala objek kedua berwarna oren dan berbentuk segi empat," kata Lembaga Keselamatan Maritim Australia dalam satu kenyataan.
Kedua-dua objek tersebut dilihat berada di kawasan sekitar 2,500 kilometer ke barat daya Perth yang menjadi lokasi berpotensi pesawat berkenaan jatuh selepas kehabisan bahan api berdasarkan pengiraan komputer.
"Saya memberi nasihat bahawa kami tidak pasti bahawa objek itu berasal daripada MH370, ia mungkin benda lain yang terapung," kata Perdana Menteri Australia, Tony Abbott.
"Namun, kami berharap agar dapat mengambil dua objek itu dengan segera dan ia akan dapat membantu untuk menemui sekali gus menyelesaikan kehilangan MH370," tambahnya.
Sebuah kapal milik Tentera Diraja Australia, HMAS Success dijangka sampai pada hari ini ke satu lokasi yang dikatakan beberapa objek yang dipercayai mempunyai kaitan dengan pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) itu.
Pesawat berkenaan yang dalam penerbangan ke Beijing dengan membawa 239 orang, hilang dari radar 8 Mac lalu selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Dalam perkembangan berkaitan, Perancis membekalkan set imej satelit baharu untuk membantu pencarian MH370 manakala semua imej tersebut telah diserahkan kepada pihak berkuasa Australia.
Namun, objek yang dikesan satelit Perancis itu terletak di luar kawasan pencarian di Lautan Hindi.
Dalam pada itu, pihak berkuasa Australia semalam menyuarakan kelegaan selepas ribut tropika Gillian didapati tidak akan melanda kawasan pencarian pesawat MH370.
BEBERAPA jurukamera dan wartawan menunggu perkembangan terkini misi pencarian pesawat MH370 di Pangkalan Tentera Udara Diraja Australia di Perth semalam.


Sehingga kini, terdapat 10 buah pesawat meninjau di kawasan laut seluas 59,000 kilometer persegi itu yang terletak di antara Australia dan Antartika untuk mencari petunjuk bagi mengesan pesawat hilang itu.
Terdahulu, sebuah pesawat Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) gagal mengesan beberapa objek lain yang ditemui oleh sebuah pesawat China.
Agensi berita Xinhua memetik seorang wartawan yang berada dalam pesawat jenis Ilyushin-76 melaporkan pada hari yang sama bahawa dua objek besar yang terapung bersama sejumlah objek lebih kecil dilihat bertaburan dalam lingkungan beberapa kilometer.
"Objek-objek tersebut berwarna putih dan berbentuk segi empat," lapor agensi berita Xinhua.
Pada sidang akhbar khas yang diadakan pada pukul 10 malam semalam, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan bahawa penerbangan pesawat MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi dengan 227 penumpang dan 12 anak kapal terkorban.
Pesawat tersebut disahkan hilang dan terhempas di lokasi tersebut yang terletak sekitar 2,500 kilometer ke barat daya Perth berdasarkan maklumat dan analisis data terbaharu satelit Inmarsat milik United Kingdom. 
- Agensi(KOSMO!)


Port Mak Ngah Skodeng !