Memaparkan catatan dengan label Info. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Info. Papar semua catatan

23 November 2014

Wanita Tunisia Dinobat Ratu Cantik Muslimah Sedunia

Keanggunan dan keikhlasan Fatma Ben menyuarakan mengenai penderitaan rakyat Palestin menarik perhatian juri.
YOGYAKARTA: Mesej pembebasan Palestin yang disuarakan peserta Tunisia membawa tuah apabila berjaya menewaskan 17 wakil negara lain, sekali gus memenangi pertandingan ratu cantik khusus untuk wanita Muslimah di Indonesia, Sabtu.
Berbeza dengan pertandingan ratu cantik barat, semua peserta pertandingan itu wajib memakai tudung dan mereka bukan sahaja dinilai berdasarkan penampilan, malah pengadil menilai kebolehan mereka membaca al-Quran dan pandangan mengenai Islam dalam dunia moden.
Penyertaan 18 finalis, termasuk yang bekerjaya sebagai doktor dan saintis komputer itu menampilkan gaya sopan dan sedap mata memandang.
Kali ini, Fatma Ben Guefrache yang juga saintis komputer diumumkan sebagai pemenang dan berjaya membawa pulang hadiah seperti jam tangan emas, dinar emas dan pakej umrah.
"Semoga Allah membantu saya dalam misi ini dan membebaskan Palestin. Tolonglah untuk sama-sama membebaskan rakyat Palestin dan Syria," kata wanita berusia 25 tahun itu dalam nada sebak.

Acara peringkat akhir ratu cantik Muslimah itu diadakan dengan latar belakang tapak Warisan Dunia UNESCO iaitu Kuil Prambanan di sini, bagi menandakan bahawa umat Islam menghormati penganut agama lain.
Pada awal pertandingan ini, beberapa cabaran dilalui termasuk membabitkan peserta Singapura yang terpaksa berhenti kerja kerana majikan tidak membenarkan dia menyertai pertandingan tersebut serta masalah visa yang menyebabkan tujuh finalis terpaksa membatalkan penyertaan.
"Kami mahu mereka memahami segalanya mengenai cara hidup Islam, termasuk pemakanan, pakaian dan cara menjalani kehidupan," kata seorang penganjur, Jameyah Sheriff.
Anugerah Muslimah Sedunia kali pertama dijayakan padda 2013 apabila penganjurannya bagi membantah acara Ratu Cantik Dunia yang berlangsung pada masa sama di Bali.
mStar Online

18 November 2014

Pemilik bingung nombor plat kereta sama

Gambar yang menjadi Viral media Sosial semalam

TELUK INTAN - Entah di mana silap, siapa yang melakukan kesalahan menjadi tanda tanya.

Semua persoalan itu pastinya mengundang kebingungan bukan sahaja kepada pemilik dua kenderaan, malah menjadi perhatian orang ramai yang mempersoalkan kenapa nombor pendaftaran sama boleh didaftarkan untuk dua kenderaan berbeza.

Itu yang yang berlaku kepada seorang ejen insurans yang tertanya-tanya bagaimana nombor pendaftaran AJK8033 yang didaftarkan ke kereta jenis Volkswagen Golf miliknya dikongsi bersama pemilik lain. 

Dalam kejadian di Jalan Speedy di sini, Sabtu lalu, dua kereta jenis Volkswagen yang mempunyai nombor pendaftaran sama mengejutkan orang ramai dan mula menjadi viral di laman sosial sejak semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, kes kini dalam siasatan termasuk mencari punca sebenar persamaan nombor pendaftaran tersebut setelah pengadu (ejen insurans) membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Teluk Intan, pada hari yang sama.

Katanya, berdasarkan keterangan pengadu berusia 34 tahun (ejen insurans) terbabit, dia memberitahu menerima maklumat menerusi aplikasi sosial WhatsApp dari rakan-rakannya yang mengatakan terlihat sebuah kereta jenis Volkswagen Golf menggunakan nombor pendaftaran yang sama dengannya.

Mohd Suhaily berkata, apabila pengadu sampai Jalan Speedy, dia mendapati ada sebuah kereta jenis dan nombor pendaftaran sama namun dimiliki oleh orang lain.

“Pihak polis dihubungi dan bergegas ke tempat kejadian. Pihak kami juga menahan seorang lelaki berusia 47 tahun yang mengaku menggunakan kereta bernombor pendaftaran sama di tempat kejadian dan kereta dirampas,” katanya.

Mohd Shuhaily berkata, polis turut menahan seorang lagi lelaki berusia 29 tahun yang merupakan pemilik asal kereta sebelum dibeli pemilik sedia ada.

Bagaimanapun, pengadu iaitu ejen insurans berkenaan tidak ditahan dan hanya diambil keterangan.

Sinar Harian

16 November 2014

Doktor saran makan tahi hidung masin boleh jaga kesihatan ?


VIENNA: Mengorek hidung dan memakan sisanya ialah salah satu cara terbaik menjaga kesihatan tubuh badan, dakwa seorang doktor terkenal Austria. Pakar paru-paru yang beribu pejabat di Innsbruck, Prof Dr Friedrich Bischinger, berkata golongan yang mengorek hidung dengan jari mereka lebih sihat, lebih gembira dan mungkin lebih sensitif kepada perubahan tubuh mereka. Dia berkata, masyarakat perlu menerima pendekatan baru untuk mengorek hidung dan menggalakkan kanak-kanak mengguna pakai kaedah itu.

"Dengan menggunakan jari, anda dapat sampai ke tempat yang selama tidak dapat dicapai dengan sapu tangan, ia menjadikan hidung anda lebih bersih. Memakan sisanya pula ialah cara hebat untuk mengukuhkan sistem imunisasi tubuh. Secara perubatan, ia memang baik dan perkara semula jadi sempurna untuk dilakukan" katanya.

Dalam kes sistem imunisasi, hidung ialah penapis yang memerangkap bakteria dan apabila gabungan ini sampai ke usus, ia boleh menjadi seperti ubat, katanya. "Perubatan moden cuba melakukan perkara yang sama melalui kaedah lebih rumit, sesiapa yang mengorek hidung dan memakanya dapat meningkatkan sistem imunisasi tubuh secara semula jadi dengan percuma, " katanya. Dia memberi contoh kanak-kanak gembira mengorek hidung mereka tetapi menghentikan perbuatan itu apabila dewasa disebabkan tekanan masyarakat yang menganggap ia menjijikan dan anti sosial.

"Saya suka mencadangkan pendekaran baru dengan kanak-kanak digalakkan mengorek hidung mereka. ia tidak balas secara semula jadi sepenuhnya dan secara perubatan, ia idea yang baik" katanya. Prof Bischinger juga menyatakan, jika seseorang bimbang mengenai anggapan jiran, mereka masih boleh mengorek hidung di tempat sulit. 

-Agensi

13 November 2014

JPJ: Nombor plat bukan punca kemalangan


PUTRAJAYA – Faktor kemalangan bukan punca larangan saiz tertentu bagi nombor pendaftaran kenderaan dikuatkuasakan di negara ini.

Jelas Pengarah Bahagian Korporat dan Penyelidikan JPJ, Wan Ramli Wan Daud, kenyataan tersebut sebenarnya disalah tafsir oleh pengguna jalan raya.

“Dalam kajian yang dijalankan oleh pihak JPJ dan pihak polis, punca sebenar kemalangan kebanyakannya berpunca daripada sikap pemandu yang tidak mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya, menggunakan telefon bimbit semasa pemanduan dan mengambil alkohol ketika memandu.

“Patuhilah peraturan yang diguna pakai, kita kuat kuasakan undang-undang demi keselamatan dan keselamatan pengguna jalan raya,” katanya kepada Sinar Harian Online,  ketika sesi penyerahan memorandum bantahan terhadap operasi bersepadu cermin gelap, nombor pendaftaran kenderaan, strobe light dan HID oleh Pemuda Pas yang diketuai Suhaizan Kaiat dan Ketua Penerangan Pemuda Pas, Mohd Nasaie Ismail, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai dakwaan ukuran nombor plat menjadi punca kemalangan jalan raya yang disebar meluas melalui laman sosial dan media massa kebelakangan ini.

Pihak JPJ sebelum ini diminta mengemukakan bukti secara saintifik yang boleh mengaitkan peningkatan kadar kemalangan jalan raya dengan plat kenderaan tidak mengikut spesifikasi, cermin gelap dan aksesori kenderaan.

Exco Pemuda Umno, Mohd Iskandar Jaafar dalam satu laporan yang disiarkan Sinar Harian Online hari ini  berkata, bukti itu harus diumumkan kepada rakyat agar langkah jabatan itu menguatkuasakan undang-undang menggunakan alasan berkenaan, tidak lagi dipertikaikan.

“Tidak timbul faktor seperti itu (faktor kemalangan) bagi larangan tersebut,”

“... Saiz nombor plat bukan punca sebenar kemalangan berlaku,” tegasnya.


Sinar Harian

12 November 2014

Bayar saman RM49,151 guna duit syiling berbau ikan


BEBERAPA beg plastik yang mengandungi wang syiling yang diberikan Boon Lin kepada syarikat Exotic Motor. - Agensi

SINGAPURA – Seorang pelanggan yang berang selepas kalah dalam satu tuntutan saman berjumlah S$19,000 (RM49,151) terhadap sebuah syarikat pengedar kereta mewah membayar dengan wang syiling yang dicampur dengan ikan busuk.


Lelaki tersebut, Ong Boon Lin, 34, masuk ke syarikat Exotic Motor pada minggu lalu sebelum melambakkan sejumlah duit syiling yang berbau ikan busuk di lantai.
Boon Lin sebelum ini kalah dalam satu tuntutan saman terhadap syarikat itu yang didakwanya masih berhutang dengannya selepas dia membeli sebuah kereta mewah jenis Aston Martin V8 Vantage.
Mahkamah sebaliknya mengarahkan lelaki itu membayar cukai dan insurans kereta tersebut termasuk yuran guaman kepada Exotic Motor berjumlah S$19,000 (RM 49,151).
Pemilik syarikat itu, Tang Siu Tong berkata, para pekerjanya memasukkan wang syiling berkenaan ke dalam 10 beg plastik dan merancang untuk memulangkan semula wang berkenaan.
“Saya meminta peguam saya menyerahkan wang ini semula kerana saya tidak mahu menerimanya,” katanya. – Agensi
KOSMO!

11 November 2014

Misteri mayat tanpa pakaian mati dengan lembu

Anggota polis mengangkat mayat mangsa untuk dibawa ke Hospital Tanah Merah bagi bedah siasat

TANAH MERAH - Seorang bekas anggota tentera ditemui mati dalam keadaan misteri bersama bangkai seekor lembu di sebuah kandang di Kampung Panglima Bayu, dekat sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang, mayat Mohd Azhar Abdul Halim, 44, ditemui pemilik lembu dalam keadaan tanpa pakaian bersama seekor lembu yang sudah mati dalam kandang berkenaan.

Pemilik lembu terbabit, Mohamad Husin, 61, berkata, dia bersama seorang rakan mencari lembunya yang hilang, kemudian ditemui mati itu tidak jauh dari kandang tersebut sejak awal pagi.

"Kami cari di tempat biasa lembu ini ditambat tetapi tidak ada, kemudian saya cuba cari di kawasan lain dan ketika melalui kandang, saya ternampak ada lembu mati dan mayat mangsa.
"Saya terus panggil rakan untuk lihat sendiri kejadian sebelum buat laporan di Balai Polis Batu Gajah kira-kira jam 4.15 petang," katanya ketika ditemui di tempat kejadian, kelmarin.

Sementara itu, adik mangsa, Mohd Abdul Halim, 30, memberitahu, abangnya menghidap beberapa penyakit seperti jantung, paru-paru berair dan asma serta pernah dimasukkan ke hospital sebelum ini.

"Saya dapat tahu dia meninggal dunia dalam kandang lembu selepas dimaklumkan seorang jiran. Arwah tidak ada di rumah sejak jam 10 malam semalam dan isterinya cuba cari dengan menghubungi rakan arwah tapi gagal," katanya.

Sementara itu Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim mengesahkan kejadian dan mengklasifikasikan  kes sebagai mati mengejut.

SH

09 November 2014

Lelaki makan muka, biji mata teman wanita

Pihak polis bergegas ke tempat kejadian di mana seorang wanita berusia 22 tahun dibunuh teman lelakinya

Seorang lelaki menggemparkan penduduk Britain apabila membunuh kemudian memakan muka serta biji mata teman wanitanya dalam satu kejadian di Cardiff, semalam.

Suspek dikenali sebagai Matthew Williams, 34, membunuh mangsa di sebuah asrama yang menempatkan golongan gelandangan di Argoed, 34 kilometer di utara Cardiff.

Memetik laporan Mirror, perbuatan suspek disedari oleh pengawal keselamatan asrama terbabit apabila melakukan pemeriksaan mengejut pada bilik hotel suspek.

Pihak polis segera bergegas ke tempat kejadian setelah menerima panggilan daripada kakitangan asrama tersebut dan mematahkan serangan  Williams menggunakan senjata renjatan elektrik.

Bagaimanapun, suspek tidak memberi sebarang tindak balas selepas ditangkap. Pihak paramedik yang tiba memberitahu suspek mati selepas terkena renjatan elektrik oleh pihak polis.

Difahamkan, Williams memiliki rekod jenayah dan baru sahaja dilepaskan dari penjara dua minggu lalu gara-gara menyerang teman wanitanya.

Kejadian itu hampir sama dengan serangan ke atas seorang warga emas di Miami, Amerika Syarikat dua tahun lalu.

Dalam serangan itu, Ronald Popo, 65, kehilangan hampir tiga suku wajahnya kerana dimakan penyerang berbogel, Rudi Eugene.

BH

07 November 2014

Wanita lahir bayi beruban

BAYI yang didakwa beruban sejurus selepas dilahirkan.

Kelahiran seorang bayi dengan rambut beruban di kem pelarian Syria di Lubnan menjadi viral di negara itu. Ramai pengguna laman sosial menyifatkannya sebagai lambang kepada krisis yang berlaku di Syria.

Akhbar di Lubnan melaporkan, bayi lelaki itu dilahirkan oleh seorang pelarian Syria di Lubnan tetap tidak menyebut di mana.

Gambar bayi berkenaan dimuat naik di beberapa laman sosial negara itu.

Ada yang berkata, ia berpunca daripada penyakit sementara yang lain mendakwa, ia petanda hari kiamat sudah hampir.

“Keadaan bayi itu menggambarkan keadaan di Syria. Semoga Allah membantu ibu dan keluarganya. Ibunya melahirkannya selepas dia mengharungi tragedi. Semoga Allah membantu rakyat Syria,” komen seorang pembaca. 

- Agensi


04 November 2014

Berhenti sebar gambar pontianak

Makhluk kononnya pontianak dikatakan sedang berlegar-legar di pintu Mula tersebar di laman sosial. keluar hospital.

BANTING - Imej lembaga kononnya didakwa menyerupai pontianak di Hospital Banting yang dirakamkan oleh pihak tertentu kini mula tersebar di laman sosial Facebook (FB) sekali gus menimbulkan tanda tanya dalam kalangan masyarakat.

Meskipun ada pihak menganggap ia sebagai tahyul, namun tanggapan ramai dalam kalangan masyarakat yang mempercayai kewujudan makhluk halus juga tidak boleh diketepikan.

Bekas Pegawai Khas Menteri Besar, Datuk Abd Samad Maharudin berkata, beliau percaya keadaan itu wujud. Namun katanya, masyarakat dinasihatkan agar tidak mudah terpengaruh sehingga menakut-nakutkan pelanggan hospital.

Beliau yang pernah menjadi Pegawai Khas kepada bekas Menteri Besar, Datuk Harun Idris memaklumkan, pada asalnya tapak kawasan Hospital Banting dan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat merupakan kawasan ladang getah dan kelapa sawit.

Justeru katanya, kewujudan makhluk halus di kawasan-kawasan berkenaan tidak dapat dinafikan. Bagaimanapun, beliau tetap menegaskan bahawa hal tersebut tidak wajar dijadikan isu utama kerana bimbang ia disalah tafsir, sedangkan yang Maha Berkuasa adalah ALLAH SWT.

Berhenti sebar gambar

“Masa tu, kawasan tersebut adalah milik sebuah syarikat swasta yang mengusahakan ladang getah dan kemudian di jadikan ladang kelapa sawit. Selepas pembinaan bangunan hospital dilakukan, tidak pula pernah dengar ada jelmaan makhluk halus. Cuma... jika betullah seperti yang kecoh sekarang ni, saya cuma anggap itu sebagai petunjuk dari ALLAH, untuk manusia beringat-ingat.

"Lagipun hospital... biasalah. Hospital kan tempat banyak berlaku insiden ngeri macam pesakit mati kemalangan, mati dibunuh, mati bunuh diri, atau pun mati sakit. Itu perkara biasa, tapi janganlah pula ia dijadikan satu kebimbangan yang tidak sepatutnya kepada masyarakat.

“Mengenai gambar-gambar (pontianak) tu, boleh jadi ia telah diedit. Bagi saya mudah saja, selagi ia tak kacau masyarakat biarkanlah. Tapi jika ada gangguan, pihak pengurusan hospital perlu ikhtiar melakukan sesuatu,” katanya yang mahukan masyarakat berhenti menyebarkan foto berkaitan makhluk halus berkenaan di laman sosial ataupun menerusi lain-lain medium.

Abd Samad berkata, beliau mahu masyarakat memanfaatkan kemudahan yang ada dengan baik dan tidak mencetuskan keadaan yang boleh mencetuskan kebimbangan dalam masyarakat.

"Saya yakin masyarakat boleh buat pertimbangan yang wajar akan situasi yang berlaku ini," katanya yang juga merupakan bekas Adun Morib sekitar tahun 1995.

Bukan rakaman CCTV hospital

Pengerusi Ahli Lembaga Pelawat Hospital Banting, Abdul Razak Khasbullah berkata, beliau belum pernah menerima aduan daripada pihak pengurusan hospital atau aduan awam mengenai sebaran gambar tersebut.

Bagaimanapun, beliau memaklumkan telah bertemu dengan pengarah hospital berhubung hal berkenaan dan merumuskan kejadian itu tidak pernah berlaku di dalam wad apatah lagi ia hanya sebuah rakaman melalui telefon bimbit dan bukannya melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) milik hospital.

“Bagi saya senang, dalam Islam kita tak boleh meragui kewujudan makhluk-makhluk berkenaan. Cuma, apa yang perlu diberi perhatian adalah pihak yang mengirimkan gambar-gambar berkenaan agar berhenti menyebarkannya jika hanya nak menakut-nakutkan orang ramai.

“Paling penting kejadian itu pun bukan boleh dilihat oleh semua orang... hanya insan-insan terpilih sahaja yang boleh nampak. Jadi tak perlulah nak sebarkan gambar-gambar seumpama itu. Ini penting bagi mengelakkan keraguan dan kebimbangan di kalangan masyarakat,” katanya yang turut memaklumkan hospital tersebut telah dibina sejak tahun 1974.

Simpan buat koleksi peribadi

Sementara itu, seorang orang awam, Adenan Yusop, 50, berkata, dia tidak pernah melihat atau terdengar khabar angin mengenai sebaran gambar menyerupai pontianak itu walaupun percaya kewujudan makhluk halus.

"Pihak yang dapat rakam gambar 'benda' tu tak payahlah nak sebar-sebarkannya... bagi takut orang ramai buat apa. Nanti orang yang sakit takut nak datang hospital, bukankah dah bagi masalah tu.

"Apa lebih elok, pihak tu simpan sendiri semua gambar pontianak tu jadi koleksi peribadi. Lagipun, kejadian makhluk halus ni tak boleh dibuat main-main... jika benarlah ada, hal ni perlu diambil serius... bukannya memutar belitkan maklumat,” katanya.


Sinar Harian

31 Oktober 2014

Budak diikat tangan, kaki di rumah pengasuh

Kanak-kanak lelaki yang ditemui ibunya di rumah pengasuh dalam keadaan kaki dan tangannya diikat, semalam.

KEPALA BATAS - Seorang ibu terkejut mendapati anak lelakinya yang berusia empat tahun terbaring di lantai rumah pengasuhnya di  Taman Seri Pinang, di sini, hari ini, dengan tangan dan kakinya diikat.

Kejadian itu disedari ketika wanita itu membuat 'pemeriksaan mengejut' di rumah pengasuh itu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Abdul Rahman Ibrahim berkata, polis menahan pengasuh berusia 39 tahun itu selepas menerima laporan wanita itu, seorang pekerja kilang.

Dia direman sehingga esok bagi membantu siasatan.

Ketika kejadian, hanya anak pengasuh berumur kira-kira 11 tahun berada di rumah itu.

Menurut sumber, kanak-kanak itu dijaga pengasuh tersebut sejak Jun tahun lalu.

“Sebelum ini, tiada masalah berlaku membabitkan anaknya.

“Namun, sejak akhir-akhir ini, ibu mangsa mendapati anaknya itu sentiasa dalam keadaan lapar dan mengambil keputusan untuk melihat sendiri keadaan anaknya ketika di rumah pengasuh tersebut,” katanya.

Menurut sumber itu lagi, kanak-kanak itu diikat kerana didakwa nakal.

SH

29 Oktober 2014

Wanita mati dipukul kerana amal sihir

  • Aktiviti memburu ahli sihir yang mensasarkan golongan wanita menjadi kebiasaan di beberapa bahagian di India. - Foto AFP

Seorang wanita dibunuh olah saudara-mara kerana disyaki mengamalkan ilmu sihir di daerah Weragama, di sini.

Menurut laporan polis, Dukalheen Bai mati selepas dibogel, dipukul dan diseksa selama beberapa jam oleh abang iparnya, Nakul Patel dan beberapa lagi ahli keluarga mangsa.

Patel menuduh mangsa mengamalkan sihir yang menyebabkan anak lelakinya jatuh sakit.

Dia kemudian ditahan bersama 10 orang lagi ahli keluarga termasuk lima orang wanita yang terlibat dalam pembunuhan tersebut, lapor AFP.

Menurut anak mangsa, Ashok Patel, ibunya dipukul dengan teruk di hadapan orang kampung, numun tiada seorang pun tampil membantu wanita tersebut.

“Ibu saya menjerit tapi orang kampung hanya melihat. Saya cuba menghalang namun tidak dapat menyelamatkannya,” katanya.

Tradisi memburu ahli sihir ini menjadi amalan kaum tertentu di India yang masih memegang kepercayaan terhadap kuasa sihir dan mistik.

Namun terdapat juga yang mengambil kesempatan dengan mensasarkan golongan janda untuk mendapatkan harta dan tanah mereka.

Awal bulan ini, bekas atlet lontar lembing India, Debjani Bora turut diikat dan dipukul dengan teruk setelah dituduh mengamalkan sihir di kampungnya di sebelah utara-timur Assam.

SH

28 Oktober 2014

'Saya sedia dipanggil sotong' - Sharnaaz Ahmad

Sharnaaz Ahmad

PELAKON kacak, Sharnaaz Ahmad, meminta agar peminat melupakan 'Jebat' seketika untuk memberi peluang kepada Farish menerusi drama terbaharunya, Suamiku Encik Sotong yang mula bersiaran sejak semalam.

Mengakui bukan mudah membawa watak lelaki lembut, Sharnaaz menganggap ia adalah pengorbanan dalam karier lakonan demi tuntutan watak.

"Ini adalah kali pertama saya mencabar diri untuk membawa watak seumpama ini. Malah saya mengambil masa sehingga dua bulan untuk menerima tawaran ini memandangkan watak ini jauh berbeza dengan diri saya. Namun, jalan cerita sangat menarik!

"Menerusi drama ini, saya turut mengorbankan imej dengan membiarkan perut sedikit buncit walaupun mempunyai pusat gimnasium sendiri. Terlebih dahulu, saya ingin meminta maaf kepada penonton sekiranya lakonan kali ini tidak menjadi.

"Sehingga kini, saya tidak berani  menonton 'playback' takut timbul rasa tidak puas hati. Sejujurnya saya sudah mencuba sebaik mungkin. Kalau dulu orang panggil saya Jebat, sekarang saya bersedia dipanggil 'sotong'," katanya sambil ketawa.

Jelas Sharnaaz, drama ini bukanlah bertujuan mengeksploitasi golongan lelaki lembut, namun lebih kepada situasi di mana golongan ini sering dipergunakan orang lain.

"Dalam drama ini, saya sering menjadi mangsa Erica lakonan Amyra Rosli yang juga isteri saya sendiri. Namun, saya berkawan baik dengan Dhia (Hanis Zalikha) namun saya merahsiakan status saya daripadanya.

"Untuk mendalami watak ini, saya banyak melihat golongan ini bercakap termasuk kawan-kawan mekap artis dan memerhatikan cara berbual serta sikap mereka. Walaupun ia drama komedi, namun saya tetap memastikan hasil kerja saya terbaik dan buat betul-betul," katanya yang turut tampil bersama Nelydia menerusi drama, Setitis Kasih Darmia di TV9.

Drama arahan Eoon Shuhaini ini disiarkan setiap Isnin, 10 malam, di saluran Astro Ria dan Maya HD.

Selain kerjaya, Sharnaaz turut diheret dalam kancah kontroversi apabila dia menempelak wartawan akhbar (bukan Sinar Harian) berhubung artikel yang dikaitkan dengan kemalangan ngeri motosikal berkuasa tinggi di Lebuhraya Karak hingga menyebabkan dua penunggang maut.

Tegas Sharnaaz, dia menyifatkan  penulis itu tidak menghormati keluarga si mati dan tidak berfikir panjang sebelum menulis.

"Arwah Zali (Hazalli Khalid, 32,) adalah sahabat saya dan saya juga dari golongan 'rider'. Jangan sesekali menulis tanpa asas yang kukuh sekiranya anda bukan dari golongan ini kerana anda tidak akan faham.

"Cuba anda berada di tempat itu, bagaimana rasanya? Jangan sesekali cuba guna bahasa 'double standard' yang boleh membawa kepada pemahaman negatif!," katanya lagi.


Sinar Harian

25 Oktober 2014

Penganjur Program 'I Want To Touch A Dog' Mohon Maaf

Syed Azmi Alhabshi

PETALING JAYA: Selepas dikritik pelbagai pihak, penganjur program 'I Want To Touch A Dog',  Syed Azmi Alhabshi pada Sabtu membuat permohonan maaf secara terbuka.

Beliau meminta ampun daripada semua pihak di atas perkara berbangkit dalam acara yang dianjurkannya minggu lalu.

Syed Azmi mengakui, walaupun acara itu dianjurkan dengan niat ikhlas, ia juga mempunyai kelemahan tersendiri.
"Saya ingin memohon maaf di atas sebarang tidaksenangan yang berbangkit dan tindak balas yang berlaku selepas program I Want To Touch A Dog.

"Terus-terang dengan hati yang ikhlas niat saya menganjurkan program ini adalah kerana Allah dan bukan untuk memesongkan akidah, menukar hukum hakam agama, mempersendakan ulama atau menggalakkan liberalisme...saya akui program ini mempunyai kelemahan tersendiri," katanya pada sidang media di Kelab Golf Selangor di sini, Sabtu.

Hadir sama peguam beliau, dan penganjur bersama Norhayati Ismail.

Menurut Syed Azmi, beliau menerima semua komen yang diterima dan menganggapnya sebagai proses pembelajaran.

"Terima kasih atas komen-komen yang diterima.

"Ini adalah proses pembelajaran bagi saya juga. Saya sejujurnya tidak mempunyai mana-mana niat untuk mengguris sensitiviti rakyat Malaysia," katanya.

Syed Azmi dalam pada itu juga sempat menegaskan bahawa  program yang dianjurkannya tidak sama-sekali menggalakkan anjing sebagai binatang peliharaan.

Sebaliknya beliau berkata program itu diadakan bertujuan mengatasi rasa takut terhadap anjing, cara membantu anjing yang berada dalam kesulitan dan batasan bersama anjing dalam konteks Islam.

"Segala pencerahan mengenai hukum-hakam pengendalian anjing telah diterangkan semasa program tersebut.

"Ingin saya tekankan sekali lagi program ini adalah proses pembelajaran. Kaedah sertu juga telah diterangkan dan amali dikendalikan," katanya.

Sementara itu, menjawab soalan media Norhayati berkata pihaknya telah mengikuti semua prosedur dan garis panduan yang ditetapkan oleh Jabatan Mufti, Majlis Agama Islam Selangor (Mais).

Bagaimanapun katanya, timbul beberapa kelemahan dalam dari segi kawalan dan penganjuran acara tersebut yang tidak dijangka pihak penganjur.

"Kami mengedarkan sebanyak 500 risalah tentang pandangan Islam terhadap anjing tetapi tidak cukup kerana kita jangka 500 orang yang akan hadir tetapi yang datang hampir seribu orang.

"Kita akui kelemahan kita kita tak dapat kawal pengunjung yang datang ke situ," katanya.

Katanya, kelemahan-kelemahan tersebut telah menyebabkan ada di kalangan pengunjung yang memegang anjing bukan untuk tujuan belajar tetapi untuk tujuan suka-suka seperti yang dilaporkan di media sosial.
mStar Online

Penjaga kunci Kaabah meninggal dunia

SHEIKH ABDUL QADIR

MAKKAH - ARAB SAUDI. Penjaga kunci tradisional pintu Kaabah, Sheikh Abdul Qadir Taha Al-Shaibi meninggal dunia di Hospital Raja Khaled, di sini pada usia 74 tahun.

Memetik laporan Aran News, beliau dinamakan sebagai penjaga kanan kunci pintu Kaabah selepas kematian bapa saudaranya, Abdul Aziz Al-Shaibi kira-kira empat tahun lalu.  

Difahamkan, Dr Saleh bin Taha Al-Shaibi akan mengambil alih tanggungjawab itu berikutan ia telah diamanahkan kepada anggota  keluarga tertua Al-Shaibi sejak zaman pra-Islam. 

Sinar Harian

24 Oktober 2014

Polis siasat panggilan kecemasan bantu siapkan kerja sekolah

TWITTER - DUA anggota polis di Stockholm, Sweden membantu seorang budak lelaki menyiapkan kerja sekolahnya baru-baru ini.

Dua anggota polis yang menyiasat satu panggilan kecemasan yang dibuat oleh seorang budak lelaki akhirnya membantu kanak-kanak tersebut membuat kerja sekolah.


Budak lelaki berusia 11 tahun itu tinggal seorang diri di sebuah rumah di bandar ini selepas ibu bapanya keluar bekerja sebelum terdengar bunyi bising di luar rumahnya.
Bimbang rumahnya dimasuki pencuri, budak itu telah menghubungi pihak polis yang kemudian menghantar dua anggota untuk menyiasat aduan berkenaan.
Bagaimanapun, selepas mendapati keadaan di rumah itu selamat, dua anggota polis berkenaan mengambil keputusan menemani budak tersebut kerana bimbang dengan keselamatannya.
Gambar dua anggota polis itu yang sedang membantu kanak-kanak berkenaan membuat kerja sekolah kemudiannya telah dimuat naik di laman Twitter jabatan polis bandar tersebut.
Gambar berkenaan dikongsi ramai pengguna dan turut menerima pujian orang ramai yang terharu dengan keprihatinan kedua-dua pegawai polis tersebut. – Agensi
KOSMO!

21 Oktober 2014

Kempen sentuh anjing, Mufti suruh taubat


KOTA BHARU - Penganjur program 'I Want To Touch A Dog' dan umat Islam yang menyentuh haiwan itu di majlis tersebut kelmarin wajib bertaubat.

Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata, ini kerana mereka secara jelas mempersendakan hukum ALLAH.   

Katanya, perbuatan sengaja menyentuh anjing adalah haram kerana ia najis mughalazoh (berat) dan bertentangan dengan mazhab Syafie.

“Jika dianjurkan oleh orang Islam, dia sebenarnya menghina hukum ALLAH dan boleh dianggap sebagai sindiran tajam terhadap kewibawaan umat Islam. Bertaubatlah," katanya.

“Memang sedih dengan gejala tidak sihat berlaku akhir-akhir ini. Lepas satu ada lagi yang lain ditimbulkan dengan sengaja dalam masyarakat kita,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Mohamad Shukri mengulas tentang program berkaitan sentuh anjing di taman rekreasi di Damansara, Selangor yang menunjukkan umat Islam membelai anjing.


SH

20 Oktober 2014

Percaya atau tidak ? Garaj buruk ini bernilai RM2.8 juta

GARAJ yang terletak di Jalan King, Chelsea ini menjadi garaj paling mahal di Britain. - AGENSI

Sebuah garaj kereta yang terletak di Jalan King di Chelsea bakal menjadi garaj paling mahal di Britain apabila dilelong pada harga lebih £550,000 (RM2.8 juta), lapor MailOnline semalam.

Garaj yang hanya berkeluasan 3.35 meter panjang dan 2 meter lebar itu dibina menggunakan kayu serta batu-bata dan hanya boleh memuatkan sebuah kereta.
Sebelum ini garaj berkenaan yang terletak di antara deretan rumah teres dan bangunan lain digambarkan berada di lokasi yang tidak teratur dan tidak strategik.
Bagaimanapun, nilai hartanah di kawasan tersebut termasuk garaj berkenaan melambung tinggi selepas sebuah syarikat pemaju mendapat kelulusan untuk membina sebuah perumahan mewah di kawasan berkenaan.
Pemilik garaj berkenaan melelong tapak tersebut baru-baru ini dan ia dibeli oleh seorang pembida selepas mengetahui ia bakal menjadi lokasi eksklusif tidak lama lagi.
Sumber(KOSMO!)

Petani tanam labu seberat hampir satu tan

HAWKLEY bergambar bersama labu seberat hampir satu tan pada pertandingan labu terberat di California, Amerika Syarikat kelmarin.

Sebiji buah labu yang ditanam oleh seorang petani di Napa Valley dalam negeri California diisytiharkan sebagai buah labu paling besar yang pernah ditanam di Amerika Utara. Buah labu seberat 933 kilogram yang ditanam oleh petani itu, John Hawkley berjaya memenangi satu pertandingan buah labu terberat yang berlangsung di sini kelmarin.


Pegawai pertandingan itu, David Stelts berkata, pihak penganjur merancang untuk membawa buah labu berkenaan ke New York untuk dipamerkan dalam satu pameran botani tidak lama lagi.
“Buah labu yang ditanam Hawkley ini lebih berat daripada rekod sebelum ini yang juga dicatatkan di daerah Napa Valley.
“Sebagai johan pertandingan ini, Hawkley memenangi wang tunai berjumlah AS$13,348 (RM43,704),” katanya.
Rekod buah labu paling berat di dunia dicatatkan oleh seorang petani dari Switzerland yang berjaya menanam labu seberat 952 kilogram.
 – Reuters

Nurul Izzah Anwar mengucapkan tahniah kepada penganjur 'I Want To Touch A Dog'

Fathul Bari membalas status Nurul Izzah pada laman mikro Twitternya hari ini.

SHAH ALAM - Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar mengucapkan tahniah kepada penganjur dan orang ramai yang hadir pada satu acara yang membolehkan pengunjung, termasuk umat Islam, menyentuh anjing hari ini.

Dalam kemas kini status Twitternya, beliau menyindir Exco Pemuda Umno, Dr Fathul Bari Mat Jahaya yang sebelum ini pernah menyebut bahawa 'kempen sentuh anjing' itu sangat janggal.

“Islam juga mengenai belas kasihan. Tahniah (penganjur) Syed Azmi (Alhabshi) dan semua yang datang,” tulis Nurul Izzah, hari ini.

Namun, Fathul Bari membalas status itu dengan mengatakan: “YB Nurul Izzah, umat Islam sokong kempen ‘ihsan’ ke atas haiwan, termasuk anjing. Cuma kempen ‘touch (a) dog’ (sentuh anjing) sangat janggal,” katanya.

Melalui interaksi terkini, Ahli Parlimen Lembah Pantai itu menyindir Fathul Bari dengan berkongsi paparan skrin gambar surat, dipercayai daripada Majlis Agama Islam Selangor (Mais).

“Untuk ‘haters’ (mereka yang tidak suka) di luar sana, termasuk Ustaz Fathul Bari, acara termasuk tazkirah ringkas oleh ustaz (Mais),” katanya.

Kemudian Fathul Bari membalas: “YB Nurul Izzah, jangan emosi. Saya hanya sebut ‘sangat janggal’. Jangan bimbang OK. Saya tidak setuju konsep tersebut dan itu adalah hak saya memberikan pendapat.”

Hari ini berlangsung acara ‘I Want To Touch a Dog’ (Saya ingin sentuh anjing) di Central Park, Bandar Utama, yang bertujuan membantu orang ramai, terutamanya umat Islam, untuk mengatasi persepsi negatif terhadap anjing dan dilaporkan mendapat sambutan.

Memetik laporan sebuah portal, sebelum acara bermula, sebuah forum memberi peluang kepada orang ramai membangkitkan kemusykilan kepada seorang ustaz, seorang pemandu teksi berbangsa Melayu yang berpengalaman mengendalikan anjing serta doktor haiwan.

Orang ramai turut diberi taklimat dan diberi tunjuk ajar cara melakukan samak yang betul sekiranya ada yang was-was atau memegang anjing dalam keadaan basah.


SH

18 Oktober 2014

Minah saleh berkelakuan tidak senonoh

Empat wanita separuh bogel sedang bersantai di tepi Pantai Saujana Batu 4, kelmarin

PORT DICKSON – Tindakan empat wanita warga asing berehat di Pantai Saujana Batu 4, di sini dalam keadaan separuh bogel, tengah hari kelmarin, menimbulkan rasa kurang senang orang ramai.

Pengunjung yang enggan dikenali berkata, dia terkejut dengan perlakuan melampau wanita terbabit.

"Mereka pada awalnya hanya berbikini dan berenang di pantai. Selepas setengah jam kemudian, mereka naik semula ke pantai dan berjemur dengan hanya memakai seluar dalam sahaja.

"Tiga dari mereka berusia sekitar 20 hingga 30 tahun, sementara seorang lagi lebih berusia sekitar 50-an. Mungkin mereka anak beranak," katanya.

Sementara itu, penjaga tandas awam Pantai Saujana Batu 4, Latif Ahmad, 61, berkata, dia didatangi oleh empat wanita warga Eropah lengkap berpakaian sekitar jam 12 tengah hari yang ingin menyewa payung.

"Mungkin mereka menginap di salah sebuah hotel sekitar Batu 4 berikutan mereka hanya berjalan kaki ke pantai ini.

"Disebabkan saya tidak faham bahasa Inggeris, saya hanya berkomunikasi menggunakan bahasa isyarat dan dengan bantuan orang awam lain, dia dimaklumkan wanita berkenaan ingin menyewa payung dan meminjam kerusi," katanya.

Tambah Latif, dia tidak menyedari kejadian berkenaan sehinggalah diberitahu wartawan.

“Jarak antara tandas ini dan lokasi kejadian agak jauh, ditambah pula tempat ini dihalang oleh tandas," katanya.

Katanya, sekitar jam 4 petang, wanita berkenaan memulangkan semula kerusi dan sempat bertanya bagaimana hendak ke restoran segera di Port Dickson," jelasnya.

Latif berkata, sejak dia bertugas sebagai penjaga tandas hampir dua tahun lalu, ini kali pertama dia mendengar berita mengenai kejadian seperti itu.

“Memanglah tidak ramai pengunjung yang datang ke pantai ini semalam (kelmarin) kecuali pada hujung minggu atau cuti umum, memang pantai ini padat dengan pengunjung,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD), Datuk Ab Khalid Mat berkata, walaupun kes itu terpencil, namun pihaknya memandang serius perkara itu dan sedang menjalankan siasatan lanjut mengenainya.

“Mandi tanpa pakaian di tempat awam adalah satu kesalahan dan melanggar etika Malaysia sebagai sebuah negara Islam.

“Oleh itu, orang ramai diminta bekerjasama dalam hal ini. Sekiranya perkara sama berlaku, orang ramai diminta segera menghubungi MPPD atau pihak berkuasa untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Baharuddin Mustapha berkata, sehingga jam 6 petang semalam, pihaknya belum menerima sebarang laporan polis berkenaan perkara tersebut.

SH

Port Mak Ngah Skodeng !