Memaparkan catatan dengan label Artis. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Artis. Papar semua catatan

18 Februari 2014

ERRA FAZIRA DAN ENGKU EMRAN CERAI TALAK SATU


SHAH ALAM: Desas-desus mengenai keretakan rumah tangga pelakon Erra Fazira dan suaminya Engku Emran Engku Zainal Abdin terjawab apabila pasangan berkenaan bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah di sini pada Selasa.
Lafaz cerai dilakukan Engku Emran di hadapan Hakim Syarie, Mohammad Adib Husain kira-kira pukul 12.50 tengah hari.
Erra atau nama sebenarnya Fazira Wan Chik, 40, kelihatan tenang manakala Engku Emran, 39, sebak ketika melakukan lafaz tersebut.
Pasangan itu terdahulu tiba di mahkamah secara berasingan kira-kira pukul 11.45 pagi.
Erra ditemani pelakon Erma Fatima dan Datin Umie Aida.
Erra dan Emran berkahwin pada 2007 dan dikurniakan seorang anak perempuan Engku Aleesya yang kini berusia lima tahun.
Sebelum mengahwini Engku Emran, Erra juga pernah berkahwin dengan penyanyi Yusry Abdul Halim.
Berita penuh akan dilaporkan kemudian.


mStar Online

16 Februari 2014

Rabecca Islam jual semua baju Seksi

Rabecca Nur Al Islam

SIAPA sangka, sebelum ini pelakon sensasi, Rabecca Nur Al Islam, sememangnya terkenal dengan imej seksi dan menggoda.

Namun, pemergiannya ke kota suci bagi menunaikan umrah buat kali pertama bersama keluarga, akhirnya memberi kejutan apabila pelakon ini pulang dengan berita penghijrahan.

Walaupun hanya 12 hari berada di kota Makkah, namun ternyata pelakon drama, Jangan Tegur Lagi, ini, mendapat hidayah ALLAH SWT.

Bukan hanya cuba-cuba, Rabecca nekad dengan keputusannya itu apabila dia turut menjual kesemua koleksi pakaiannya sebelum ini.

Menurut Rabecca, tindakan ini adalah perlu kerana dia tidak mungkin akan memakainya lagi di masa akan datang.

Sejujurnya, saya tiada koleksi baju-baju yang menutup aurat. Almari pakaian saya dipenuhi dengan pakaian seksi.

"Jadi, setelah fikir masak-masak, saya membuat keputusan untuk menjual kesemua koleksi itu kepada orang ramai dan turut menguar-uarkannya menerusi laman sosial.

"Sesiapa yang mahukan baju saya mahupun peminat, bolehlah berurusan dengan pembantu peribadi saya," katanya yang kini telah mengosongkan kesemua almari pakaiannya.

Tambah Rabecca, tidak semua koleksi itu dijual kerana ada sebahagian daripadanya hanya diberikan secara percuma.

"Untuk pakaian yang bernilai RM700 ke bawah, saya hanya beri percuma sahaja kerana niat saya juga adalah untuk bersedekah.

"Namun, bagi koleksi yang mencecah ribuan ringgit serta direka khas pereka terkenal, saya akan jual dengan potongan harga sehingga 70 peratus," katanya.



Rabecca bersama suami tercinta.

Suami terkejut

Bercerita mengenai penghijrahan itu, Rabecca mengakui, dia tidak merancang untuk bertudung setelah pulang dari menunaikan umrah.

Malah, hidayah itu datang dengan sendiri dan akui Rabecca, suaminya, Nor Azam Datuk Sulaiman, juga turut terkejut dengan perubahan dirinya.

"Kami tiba di Kuala Lumpur pada malam Isnin lalu setelah 12 hari di sana (Makkah). Pagi Selasa, saya bersiap untuk menemui seseorang.

"Namun, hati saya tidak berpuas hati dengan penampilan ketika itu lalu saya menunaikan solat Zohor sebelum keluar rumah. Selepas itu, saya cuba mengenakan tudung, barulah lega.

"Ketika itu, saya tidak memiliki pin. Saya minta daripada pembantu rumah, dia berikan pin lain kerana dia sendiri tak sangka saya mahu pin tudung," katanya yang meminjam pin daripada ibu yang ketika itu berada di rumahnya.

Tambah Rabecca, ibunya terkejut dengan perubahan itu namun turut menyokong penghijrahannya.

"Sehingga hari ini, saya masih memakai pin ibu saya kerana tidak sempat untuk membelinya lagi.

"Suami saya, lagilah terkejut kerana dia sendiri tidak tahu yang saya akan berhijrah secepat itu.

"Buat masa ini, saya lebih selesa mengenakan selendang kerana saya mempunyai banyak koleksi selendang yang disediakan untuk majlis amal," katanya



Rabecca bersama anak tirinya.

Khatam al-Quran

Berkongsi kisah sepanjang berada di kota suci, Rabecca mengakui penghijrahan itu sedikit sebanyak dipengaruhi penampilannya ketika berada di sana.

Katanya, ketika menunaikan umrah, dia memakai jubah dan bertudung. Malah, setiap waktu solat tidak pernah diabaikan.

"Apabila masuk sahaja waktu solat, kami akan sembahyang dan perkara itu menjadi rutin apabila saya pulang ke rumah.

"Malah, ketika berada di sana, saya turut memasang niat untuk khatam al-Quran. Namun, ada beberapa juzuk lagi yang belum habis.

"Jadi, saya berhasrat untuk menghabiskannya di rumah. Bila fikirkan tentang itu, mungkin ia adalah salah satu sebab kenapa saya nekad dengan penampilan ini," katanya yang kini sedang mempelajari ilmu agama menerusi bahan bacaan dan sumber internet.

Walaupun tampil dengan imej berbeza, namun dia tidak menolak sekiranya ada tawaran dalam bidang lakonan.

"Saya cintakan dunia seni dan tidak mungkin tinggalkan begitu sahaja. Saya akan mempertimbangkan setiap tawaran.

"Malah, saya juga tidak akan tolak sekiranya perlu bawa watak jahat. Namun, ianya haruslah bersesuaian dan menutup aurat," katanya yang turut terlibat dalam bidang perniagaan perancang majlis perkahwinan.

Katanya, perniagaan itu akan diperkenalkan pada Jun ini dan ianya melibatkan perkhidmatan pelamin dan pengurusan majlis perkahwinan.


Sinar Harian

14 Februari 2014

Kini Nabila Huda Mahu Hidup Tenang Tanpa Glamor

Nabila Huda
PETALING JAYA: Pelakon Nabila Huda mengakui populariti bukan lagi perkara penting dalam karier seninya ketika ini tetapi dan ingin menjalani kehidupan normal serta hidup lebih tenang seperti orang lain.
Nabila atau nama sebenarnya Nabila Huda Suhaimi, 30, bagaimanapun berkata, dia tidak pernah berniat untuk meninggalkan dunia lakonan kerana bidang itu adalah minatnya sejak dahulu lagi.
"Sejak kecil saya sudah hidup dalam dunia glamor kerana pengaruh bapa dan kini ia bukan lagi tumpuan saya kerana saya ingin menjalani kehidupan normal seperti orang lain tanpa sebarang gangguan," katanya kepada mStar Online.
Pun begitu, Nabila mengakui, kehidupannya kini lebih tenang dan bahagia di samping anaknya, Keisha Laila yang kini berusia empat tahun.
Dalam pada itu, Nabil berkata, dia mengambil keputusan untuk tidak lagi bercakap mengenai soal peribadi dan cinta secara terbuka seperti mana sebelum ini.
Dia bukan serik untuk berbicara soal tersebut tetapi sudag letih untuk menjawab segala pertanyaan soal cinta selain bimbang ia mungkin akan disalah erti oleh sesetengah pihak.
"Pada tahap ini saya sudah letih untuk berkongsi cerita peribadi terutama soal cinta kerana ia tiada kena mengena dengan kerjaya saya sebagai pelakon.
"Kadang-kadang jika kita terlalu berfikiran terbuka juga ia mungkin menyebabkan sesetengah pihak akan memandang serong dengan kenyataan yang diberikan," katanya.
Dalam perkembangan lain, Nabila berkata, dia kini sedang sibuk dengan penggambaran drama arahan Erma Fatimah berjudul Kau Laksana Bulan dan Di Atas Kertas.
mStar Online

Fizo Omar Larang Isteri Berlakon

Fizo Omar dan isterinya Mawar
PETALING JAYA: Pelakon Fizo Omar mengakui memberi galakan kepada isterinya Mawar Abdul Karim, 25, untuk menceburi bidang penyiaran sebagai seorang pengacara.
Fizo atau nama sebenarnya Wan Hafizol Wan Omar, 29, berkata, penglibatan tersebut secara tidak langsung dapat membantu mempromosikan lagi perniagaan tudung milik isterinya iaitu jenama Fareeda.
"Kami ditawarkan jadi pengacara selepas berkahwin untuk sebuah program kesihatan berjudul Cergas Jelita di RTM yang akan bersiaran tidak lama lagi.
"Saya menggalakkan dia menceburi bidang ini kerana ia satu bonus untuk dia mempromosikan perniagaan tudungnya. Dia juga ada mendapat beberapa tawaran pengacara di sebuah stesen televisyen," katanya kepada mStar Online.
Tambah Fizo, Mawar juga ada mengambil kelas untuk mempelajari bidang pengacaraan secara profesional.
Bagaimanapun, Fizo berkata, dia tidak membenarkan isterinya itu menceburi bidang lakonan.
"Kalau jadi pengacara sahaja saya galakkan kerana ada kepentingan tetapi berlakon mungkin tidak.
"Mawar sendiri sibuk dengan perniagaannya dan tidak mempunyai masa untuk berlakon. Dia setuju untuk jadi pengacara pun kerana dipujuk," katanya.
Sementara itu, mengulas tentang kehidupan berumah tangga, Fizo berkata sejak bergelar suami hidupnya lebih bahagia dan terurus.
Namun, pasangan ini mengakui masih lagi menunggu rezeki untuk mendapatkan cahaya mata.
"Alhamdulillah, rezeki selepas berkahwin perniagaan kami semakin berkembang dan Hot Burger saya sudah bertambah cawangan, begitu juga tudung Fareeda.
"Cuma buat masa ini belum lagi ada rezeki untuk menambah ahli keluarga baru sahaja," ujarnya.
Fizo berkahwin dengan anak kepada pengasas tudung jenama Fareeda itu pada 10 November tahun lalu.
mStar Online

13 Februari 2014

Liyana Jasmy takut bersalin ?

Liyana Jasmy
PETALING JAYA: Pelakon dan penyanyi Liyana Jasmay mengakui semakin berdebar dan takut untuk melalui hari kelahiran cahaya mata pertama yang dijadualkan Mei depan.
Liyana, 26, berkata, dia sering melakukan senaman yoga dan menonton video yang dapat membantu memudahkan proses melahirkan bayi.
"Perasaan semakin berdebar dan semakin takut kerana kalau boleh saya ingin melahirkan bayi ini dengan cara normal.
"Pada usia kandungan yang sudah mencapai tujuh bulan ini, saya sering buat senaman yoga bagi mendapatkan pernafasan yang betul dan ada juga menonton YouTube tentang cara-cara orang bersalin," katanya ketika ditemui pada sidang media pelancaran single nyanyiannya bersama Shaheizy di Talent Lounge, Damansara Perdana, di sini, Rabu.
Single berjudul Bangun itu dihasilkan untuk kempen Nescafe On Sam.
Dalam pada itu, Liyana bersyukur proses kandungannya berjalan lancar dan tidak menerima sebarang alahan yang teruk.
Tambahnya, segala persiapan untuk menyambut kelahiran bayi tersebut sudah dilakukan.
"Barang-barang bayi semua sudah ada, malah mungkin terlebih dari cukup sebab saya sering membeli secara online.
"Baju dan barang-barang bayi sama mahalnya dengan barang orang dewasa tapi sekarang saya sudah tidak fikir belanja untuk diri sendiri sebaliknya banyak untuk anak yang bakal lahir ini," katanya yang enggan berkongsi jantina bayi tersebut.
Tambah Liyana, dia akan mengadakan kenduri doa selamat sebelum bersalin.
Sementara itu, bercakap tentang kerjaya, Liyana berkata, dia akan kembali aktif dalam bidang lakonan dan nyanyian selepas bersalin kelak.
"Selepas bersalin saya akan kembali berlakon dan sibuk dengan promosi dua filem yang akan keluar iaitu Sindiket dan Isyarat Cinta, yang mana masa untuk menghabiskan kerja yang tertangguh sepanjang mengandung ini.
"Selepas semuanya selesai barulah saya berehat untuk seketika bagi memberi perhatian sepenuhnya kepada bayi untuk membolehkan dia membesar dahulu," katanya.
Liyana berkata, suaminya, Fathuddin Mazlan tidak pernah menghalang apa juga keputusannya terhadap kerjayanya.
mStar Online

12 Februari 2014

Keguguran Tidak Buat Dira Serik Untuk Mengandung

Dira Abu Zahar
PETALING JAYA: Pelakon Dira Abu Zahar menyifatkan kandungannya gugur pada November tahun lalu sebagai pengajaran untuk dia lebih berhati-hati pada masa hadapan.
Dira atau nama sebenarnya Khaidhirah Abu Zahar, 30, berkata, dia juga tidak serik untuk melalui proses sebagai wanita mengandung semula kerana terlalu menginginkan anak bersama suaminya Mohd Helmi Mohd Yusof.
"Saya memang dah berniat mahu anak pada tahun ini. Wanita mana yang tak kecewa apabila terpaksa melalui proses keguguran.
"Tetapi saya tak serik kerana ia mengajar saya untuk lebih berhati-hati mengenai perubahan yang dialami," katanya kepada mStar Online.
November tahun lalu, Dira disahkan keguguran di mana dia sendiri tidak sedar mengalami masalah itu memandangkan proses kitaran haidnya berjalan seperti biasa setiap bulan.
Kejadian berlaku ketika Dira menjalani penggambaran program Terengganu ku bersama Zizan Razak.
Tambah Dira, dia juga menambah bilangan anak kerana berasa puteri sulungnya iaitu Anggun, 7, yang merupakan anak hasil perkahwinan terdahulunya dengan Tengku Shafiz-Rullah Tengku Mohd Shahid (bercerai pada 8 April 2010) sudah perlu mempunyai seorang adik sebagai peneman.
"Saya lihat Anggun makin selesa sendiri dan itu sangat merisaukan saya kerana dia tidak suka berkongsi.
"Malah apabila ditanya adakah dia mahukan seorang adik, dia langsung tidak berminat. Keadaan itu membuatkan saya lagi mahukan anak agar Anggun dapat belajar erti berkongsi tidak kira dalam segala hal," ujarnya.
Dira bernikah dengan Mohd. Helmi yang juga pengarah fotografi pada11 November 2011 di Merlimau, Melaka.
Sementara itu, mengenai perkembangan terbaharu, Dira bersama peminatnya, Azura akan tampil menerusi program Fear Factor Malaysia bersama 15 pasangan peserta lain.
Rancangan itu akan mula bersiaran pada setiap Sabtu, pukul 9 malam bermula 15 Februari ini menerusi saluran Astro Ria (104).
mStar Online

11 Februari 2014

Isteri Muda Ashraf Muslim,Wan Sakinah jelas isu tayang perut

Wan Sakinah

AWAL minggu lalu, isu tayang perut atau ‘baby bump’ oleh isteri kedua pelakon Ashraf Muslim telah menarik perhatian ramai.

Tindakan Wan Sakinah memuat naik sekeping gambar ‘baby bump’ itu ke laman Instagram milikinya, nyata mengundang pelbagai reaksi daripada orang ramai.

Lebih mengejutkan ada di kalangan mereka menyifatkan tindakan Sakinah itu keterlaluan kerana gambar perut yang ditayangkan itu agak kurang manis dan mungkin menyinggung perasaan madunya, Dayana.

Melihatkan keadaan itu, Sakinah tidak berdiam diri malah tampil menjelaskan perkara yang sebenar di mana bukanlah niatnya untuk menayang sebaliknya sekadar berkongsi rasa teruja dengan kehamilannya itu.

“Salam untuk sahabat, stalkers & haters. Maaf pasal gambar 'tayang perut' saya ini.

Terlalu teruja tengok perut boyot sebab itu upload.

"Bukannya nak show off kerana orang lain juga mengandung.

"Sebelum ini, pantang perut buncit saya akan ke gym, jogging, senaman.

"Tapi sekarang rasa lain, bila tahu hamil seronok tengok perut membesar," antara katakatanya menerusi laman sosial tersebut.

Sebagai insan biasa, kita seharusnya mendoakan kebahagiaan mereka dan bukannya meruntuhkan masjid yang telah terbina.

Senang cerita, buang yang keruh dan ambil yang jernih.

sinarharian

10 Februari 2014

Isteri Black Hanafiah Hidap Demam Denggi


Black dan isterinya, Naquia ketika menghadiri majlis resepsi perkahwinan penyanyi Farawahida minggu lalu.
PETALING JAYA: Penyanyi Black Hanafiah tidak menyangka keadaan isterinya, Naquia Yasirah yang mengalami demam panas dan muntah-muntah sejak beberapa hari lalu adalah disebabkan demam denggi sehingga terpaksa ditahan di Columbia Asia Hospital, Setapak, dekat sini sejak Sabtu lalu.
Black atau nama sebenarnya, Hanifah Hanafiah, 27, berkata, pada mulanya dia menyangka keadaan yang dialami isterinya itu adalah simptom wanita mengandung selepas disahkan doktor ketika membuat pemeriksaan kehamilan di sebuah klinik.
"Pada mulanya saya sangka isteri mengandung kerana sebelum itu doktor memberitahu terdapat simptom Naquia hamil tetapi kami perlu tunggu sebulan lagi untuk mendapatkan kepastian.
"Bagaimanapun keadaannya semakin buruk sejak dua hari lalu apabila demamnya tidak kebah dan sentiasa muntah-muntah membuatkan saya cemas dan membawanya ke hospital," katanya kepada mStar Online ketika dihubungi di sini pada Isnin.
Tambah Black, dia bernasib baik kerana bertindak cepat untuk mendapatkan rawatan apabila diberitahu isterinya itu menghidap dengki, iaitu penyakit yang boleh membawa maut.
Gambar Naquia yang mendapat rawatan di hospital.
Dalam pada itu, Black berkata, keadaan isterinya kini tidak membimbangkan malah pihak hospital membenarkan Naquia untuk berehat di rumah.
"Doktor membenarkan di keluar tetapi saya minta dia berehat di hospital bagi memastikan dia betul-betul sihat tambahan pula dalam masa dua hari ini dia perlu hadir untuk membuat pemeriksaan susulan," katanya.
Black dan Naquia bernikah pada 13 September 2013.
Sementara itu, menurut laporan Bernama pada 6 Februari lalu, sebanyak 17 kes kematian akibat denggi dilaporkan di seluruh negara bagi tempoh Januari hingga 2 Februari tahun ini, meningkat 240 peratus atau 12 kematian berbanding hanya lima kes untuk tempoh sama tahun lepas.
Sepanjang tempoh itu juga sebanyak 9,453 kes demam denggi dilaporkan di seluruh negara, meningkat 269 peratus atau 6,894 kes, berbanding 2,559 bagi tempoh sama tahun lalu.
mStar Online

Zizan Razak Selar 'Jiran' Tuduh Bersekedudukan

Zizan Razak berjaya menggondol empat trofi pada Anugerah Meletop yang diadakan di Stadium Putra Bukit Jalil di sini pada malam Sabtu. Foto SHAARI CHEMAT / THE STAR
KUALA LUMPUR: Pelawak Zizan Razak menyelar individu yang mendakwa jirannya apabila menuduh dia dan aktres Emma Maembong bersekedudukan sejak enam bulan lalu.
Zizan atau nama sebenarnya Razizan Abdul Razak, 30, berkata, individu tersebut sepatutnya berjumpa dengannya sendiri untuk mendapatkan penjelasan tentang dakwaan tidak berasas itu kerana ia memberikan impak negatif kepada kerjaya seninya.
"Kalau betul saya ada melakukan sebarang kesalahan lebih elok individu tersebut datang berjumpa saya sendiri dan minta penjelasan dan bukannya menyebarkan fitnah.
"Dalam Islam sendiri menegah kita membuka aib seseorang kepada orang lain apatah lagi dengan membuat fitnah seperti itu," katanya kepada mStar Online.
Zizan ditemui selepas Anugerah Meletop yang diadakan di Stadium Putra Bukit Jalil di sini pada malam Sabtu lalu.
Pada acara itu Zizan membolot empat anugerah selain menerima wang tunai keseluruhan berjumlah RM35,000.
Emma dan Zizan masih berteka-teki tentang hubungan mereka.
Dalam perkembangan sama, Zizan mengakui Emma ada bertandang ke rumahnya tetapi ketika ibu dan ahli keluarga lain berada di rumah.
Jelas Zizan, dia bukan tinggal bersendirian di rumah tersebut sebaliknya abang dan pembantu peribadinya turut tinggal bersama.
"Ibu saya sering berada di rumah berkenaan dan Emma hanya akan datang sekiranya ibu saya ada di sana untuk melawat dan bertanya khabar.
"Tidak masuk akal mengatakan kami tinggal bersama," katanya.
Jelas Zizan, walaupun dituduh dengan pelbagai tohmahan namun dia tidak cepat melatah kerana ibunya lebih mengenali siapa diri dia yang sebenar.
"Ibu tahu segala-galanya mengenai saya dan dia sering menasihati saya supaya bersabar menempuh dugaa.
"Ibu lebih percayakan saya sebab saya tak pernah sorok apa-apa pun daripadanya," kata Zizan.
Dalam perkembangan lain, Zizan berkata, dia terkejut apabila diumumkan sebagai pemenang kategori Fesyen Meletop kerana tidak merasakan dirinya sebagai seorang yang pandai berfesyen.
Jelas Zizan, dia yang lebih gemar berpakaian ringkas tidak akan mengubah cita rasa fesyen secara mendadak hanya kerana memenangi anugerah berkenaan selepas ini.
"Saya sebenarnya tidak menyangka akan menang dalam kategori Fesyen Meletop kerana saya bukan seorang yang terlalu mengikuti perkembangan fesyen sebaliknya lebih selesa dengan gaya ringkas tetapi kemas.
"Saya selesa dengan fesyen sekarang kerana ini adalah diri saya yang sebenar," ujarnya.
mStar Online

07 Februari 2014

Justin Bieber, rakan hisap ganja dalam pesawat

Los Angeles: Juruterbang Justin Bieber terpaksa memakai topeng oksigen ketika penerbangan dari Kanada ke New Jersey kerana bintang remaja itu dan rombongannya menghisap ganja.
Menurut laporan NBC News dan media Amerika Syarikat lain, jet peribadi penyanyi berkenaan dipenuhi dengan asap ganja.
Bieber, bapanya dan 10 lagi ahli rombongannya juga dikatakan bertindak di luar kawalan apabila mengganggu kru dan tidak menghiraukan teguran juruterbang hingga anak kapal terpaksa berlindung di kokpit. Juruterbang berkenaan kemudian mengenakan topeng oksigen untuk mengelak daripada asap ganja kerana bimbang gagal melepasi ujian dadah.
Menurut laporan berkenaan, pihak berkuasa kastam dan pentadbiran penguatkuasaan dadah AS memeriksa pesawat itu di Teterboro, New Jersey ketika kabinnya masih dipenuhi asap ganja.
Bagaimanapun, tiada ganja ditemui dalam pesawat itu atau dalam bagasi Bieber.
Ketika disoal pihak berkuasa, Bieber mengaku menghisap ganja di dalam pesawat tetapi dia, bapa dan beberapa rakannya dibebaskan kerana kru pesawat enggan membuat laporan untuk mendakwa mereka.
Insiden itu berlaku Jumaat lalu apabila bintang remaja itu dan rakannya dalam penerbangan ke New York untuk menyaksikan perlawanan akhir bola sepak Amerika Super Bowl. 
- Agensi

06 Februari 2014

Sharifah Sakinah yang selalu buat kontroversi akan berubah

Sharifah Sakinah

LAKONANNYA mungkin tidak seberapa, namun aksinya di laman sosial mampu mengejutkan sesiapa saja yang mengikutinya.

Sering mencetuskan kontroversi di alam maya, pemilik nama Sharifah Sakinah, 25, ini sekali lagi menjadi tumpuan apabila sengaja menayang badannya dengan mendedahkan perut dan pusat menerusi akaun peribadi Instagram miliknya.

Meskipun ramai yang menyedari sikapnya yang terlalu terbuka dan 'gila-gila' itu, namun aksinya itu kali ini dikatakan agak sensitif dan melanggar adat ketimuran sehingga mengundang kemarahan masyarakat.

Menurut Sakinah, dia bukannya sengaja mahu mencipta kontroversi, sebaliknya hanya untuk berkongsi perihal kesihatan bersama peminatnya.

“Gambar itu dimuat naik buat peminat saya yang bersama-sama ikut untuk bergiat bagi aktiviti kesihatan. Tidak pernah terlintas nak pamerkan badan saya. Itu adalah diri saya yang sebenarnya. Setiap kali perkara yang terlintas di fikiran dan perlakuan saya, akan kongsikan bersama mereka," katanya.

Menurutnya, walaupun dirinya masih menerima cemuhan daripada segelintir pihak, namun dia mengambilnya sebagai iktibar dan pengajaran. Malah, adik kepada Sharifah Shahira ini mengakui, dia sedia berubah dan cuba memperbaiki dirinya ke arah lebih baik.

"Saya akan lebih berhati-hati selepas ini dan saya tidak akan ulangi perkara itu lagi. Tentang bab agama saya tak nak sentuh sebab saya bukan arif mengenainya. Tetapi Insya-ALLAH, sampai masanya saya akan berubah.

"Saya juga tak melatah dan kecil hati terhadap setiap kritikan yang saya terima dan sangat berterima kasih kepada semua yang menasihati saya,” katanya.

Sakinah berkata, beginilah asam garam kehidupan artis kerana jika dia melakukan sesuatu perkara sama ada baik atau buruk, orang tetap akan memerhati dan akan buat persepsi mereka sendiri.

“Menjadi selebriti, setiap perkara yang dilakukan itu akan dilihat dan ada yang memandang dengan pandangan negatif, maka segala tanggapan buruk itu terpaksa diterima.

“Jadi saya tak mahu mempedulikan kata-kata orang. Saya juga tidak hadapi sebarang tekanan hanya dengan perkara ini,” katanya.

Mengulas mengenai pergaduhan antara peminat dan pengkritiknya menerusi laman Instagramnya, Sakinah berharap ia tidak akan berulang dan mahu masing-masing berfikiran lebih terbuka dan profesional.

“Saya tak mahu semua orang bergaduh dan menjadikan medan sosial ini sebagai tempat mengutuk sesama sendiri. Ia tidak berfaedah malah merugikan kedua-dua belah pihak kerana salah faham dan sakit hati,” katanya.
Hobi jadi ikutan

Berkongsi mengenai pengalamannya yang mengadakan kelas senaman di KLCC bersama peminat, Sakinah berkata, pada awalnya perkara itu berlaku secara kebetulan.

Selepas itu, ia menjadi ikutan apabila ramai peminat mahu melakukan aktiviti itu bersama.

“Alhamdulillah, hobi ini dapat dikongsi bersama peminat dan orang ramai. Malah, bilangan pengikut di akaun Instagram @fitnessakinah juga sudah semakin ramai. Mungkin pendekatan cara bersenam yang saya gunakan juga lebih mudah dan lebih santai serta boleh dilakukan di rumah. Disebabkan itulah mereka mahu menyertai aktiviti itu bersama saya,” katanya.

Ditanya mengenai perkembangan terbaharunya, heroin drama Bunga Merah Punya ini baharu sahaja tamat penggambaran telemovie berjudul Tesis Terakhir dan bakal menjalani sitkom berjudul Yan Merempit.

“Saya sengaja memilih sitkom kerana ia lebih ringan, santai dan berunsurkan komedi, di mana saya dapat seimbangkan jadual untuk menjalani kelas kesihatan bersama peminat,” katanya yang bakal membuka pusat kesihatan di kawasan Damansara.

SH


04 Februari 2014

Sharifah Sakinah anggap Seksi biasa buatnya

KATA Sakinah, dia hanya mahu menjadi dirinya sendiri.

JIKA dunia glamor dipilih untuk dijadikan kerjaya, setiap individu itu perlu bersedia untuk diperhatikan oleh orang awam, khususnya para peminat yang tidak pernah lekang dengan seribu satu soalan dan bermacam kritikan. Lebih-lebih lagi apabila kritikan itu mudah disalurkan secara terus melalui laman media sosial seperti Twitter, Facebook dan Instagram.

Tidak terlepas daripada situasi ini, pelakon Sharifah Sakinah, 25, dikatakan sengaja mengundang kontroversi apabila beberapa keping gambarnya berpakaian baju renang dimuat naik menerusi akaun peribadi Instagram miliknya.
Tidak kurang juga sekeping gambar yang diambil oleh jurulatih peribadinya yang menampakkan Sakinah mengenakan pakaian renang jenis two-piece sewaktu bercuti di Dubai beberapa bulan lalu. Selain itu, pelakon yang pernah membintangi telemovie Biar Mimpi Sampai Ke Bintang ini sering mempamerkan bentuk tubuh baharunya selepas bergiat aktif dalam bidang kesihatan.
Sewaktu berkesempatan bertemu dengannya pada majlis pelancaran Royal Slim Lishuo Magic yang berlangsung di N’dah Catering, Shah Alam, Selangor, pelakon yang lebih mesra disapa Sakinah itu mengaku bahawa dia masih ingat hukum hakam agama dan bukan sengaja memuat naik gambar tersebut untuk meraih sebarang publisiti. Ikuti temu bual selanjutnya bersama adik kepada pelakon Sharifah Shahirah itu.
Kosmo!: Gambar anda mengenakan pakaian renang jenis two-piece dimuat naik oleh jurulatih anda di akaun peribadi miliknya ketika berada di Dubai. Adakah anda tidak sensitif dengan agama?
SAKINAH: Sebagai seorang Islam, saya masih tahu tentang hukum agama. Saya turut sedar mengenai larangan mendedahkan aurat. Tetapi, saya hanya menjadi diri saya. Saya tidak memuat naik gambar-gambar tersebut kerana mahukan publisiti. Saya langsung tidak meletakkan sebarang kapsyen provokasi pada setiap gambar.
Adakah anda sedar bahawa anda sering diperhatikan, terutamanya oleh para peminat yang sering mengikuti perkembangan anda?
Seperti yang saya katakan tadi, saya hanya menjadi diri saya sendiri. Saya berlakon kerana minat dan saya bergiat aktif dalam bidang kesihatan juga kerana minat. Bagi saya, jika setiap benda yang dilakukan itu dipandang positif, maka tiada sebarang tanggapan buruk yang akan dikeluarkan.
SEDAR dirinya seksi, Sharifah Sakinah memberitahu dia cuba memperbaiki dirinya dari semasa ke semasa.

Pernah berasa menyesal kerana kehidupan peribadi sering dijadikan bahan bualan sejak anda bergelar selebriti?

Kontroversi telah melanda saya sejak sebelum saya bergelar seorang pelakon lagi. Ketika itu, saya dikenali sebagai adik kepada Sharifah Shahirah. Bayangkan, sebelum saya dikenali ramai, gambar-gambar saya bersosial bersama rakan-rakan telah tersebar di internet dan orang telah mula bercakap mengenai saya. Jadi, apabila benda-benda seperti itu berlaku sekarang, saya hanya berdiam diri.
Apakah tindakan anda seterusnya?
Saya akan meneruskan apa yang saya lakukan sekarang dan cuba menjadi diri sendiri. Sejujurnya, saya akan memperbaiki diri saya berperingkat dan lebih berhati-hati dengan apa yang saya kongsikan.
Bercakap mengenai kesihatan, bagaimana anda boleh terjebak dengan mengadakan kelas bersenam di KLCC bersama para peminat?
(Sambil tertawa) Oh, ia bermula secara kebetulan. Ketika itu, saya hanya mengajak peminat secara suka-suka untuk mengikuti saya bersenam di KLCC. Lama-kelamaan, banyak permintaan yang diterima setiap hari. Bilangan pengikut di akaun Instagram @fitnessakinah turut naik dengan mendadak. Alhamdulillah, hobi yang dahulu saya lakukan sendirian dapat dikongsi bersama orang lain.
Adakah anda cuba untuk menjadi Kevin Zahri versi wanita?
Tidak sama sekali. Kevin Zahri merupakan seorang yang profesional dalam bidangnya. Saya hanyalah seorang individu biasa yang cuba berkongsi cara saya menjaga kesihatan dengan para peminat. Pendekatan saya adalah lebih santai dengan menggunakan cara bersenam yang boleh dilakukan di rumah.
Pelakon dan pelawak Didie Alias pernah menyebut nama anda sebagai penggantinya. Boleh komen sedikit mengenai kenyataan tersebut?
Saya tidaklah menganggap diri saya sebagai pengganti tetapi lebih kepada pelapis. Kak Didie dahulu turut menjadi pelapis kepada pelakon-pelakon komedi veteran yang lain dan saya turut tidak terkecuali. Pelakon-pelakon seangkatan dengan saya seperti Neelofa, Izzara Aisyah dan Anzalna kesemuanya bukan ke arah komedi. Jadi, mungkin senang bagi peminat untuk mengingati saya.
Apakah perkembangan terbaharu anda?
Saya baru tamat penggambaran telemovie berjudul Tesis Terakhir dan akan menyertai sebuah sitkom bertajuk Yan Merempit. Saya sengaja memilih sitkom kerana ia lebih santai, berbentuk komedi dan saya dapat mengimbangi jadual untuk meneruskan kelas kesihatan bersama peminat dengan lebih mudah.
KOSMO!


LUNA MAYA GELI LIHAT DARAH

Luna Maya
Jakarta: Luna Maya mengakui dia sangat gembira terbabit dalam penggambaran filem seram ganas Killers walaupun terpaksa berdepan dengan pengalaman baru.
Kata selebriti kontroversi itu, Killers memberi peluang kepadanya memegang watak Dina Aditya isteri seorang wartawan Bayu Aditya (lakonan Oka Antara) yang terlalu memberi perhatian kepada kerjayanya membongkar skandal seorang ahli politik.
Kesungguhan Bayu menyebabkan hubungannya dengan Dina renggang.
Killers adalah filem usaha sama antara Indonesia dan Jepun dan diarah bersama Kimo Stamboel serta Timo Tjahjanto.
Ia turut dibintangi aktor Jepun, Kazuki Kitamura.
Dalam satu babak daripada filem yang sarat dengan adegan ngeri dan pembunuhan itu, Luna menceritakan dia perlu berbaring di atas katil dalam keadaan berlumuran darah.
Kata Luna, dia tidak keberatan melakonkan adegan sebegitu.
“Cuma kadang-kadang saya berasa geli,” katanya. “Saya amat berpuas hati dengan lakonan dalam Killers,” katanya. Katanya, tayangan perdana filem itu di Festival Filem Sundance 2014 Utah, AS mendapat sambutan hangat daripada penonton. 
- Agensi

03 Februari 2014

Cameron Diaz kongsi petua jaga badan

Cameron Diaz
DIKENALI sebagai salah seorang aktres yang mempunyai bentuk tubuh badan yang cantik, Cameron Diaz telah berkongsi petua menerusi rencana yang disiarkan di majalah Self Magazine terbitan bulan Februari 2014.
Dalam rencana tersebut, aktres berkenaan mendedahkan bahawa dia mula melakukan senaman dan menjaga pemakanan harian ketika dipilih membintangi filem Charlie's Angels pada tahun 2000.
"Sebenarnya saya rajin melakukan senaman semata-mata mahu menjayakan filem tersebut, tetapi kini ia sudah menjadi satu kebiasaan. Kalau tidak melakukan senaman, saya akan menjadi cepat murung," dedahnya.
Menurut Diaz, sebelum memulakan penggambaran, dia terpaksa menguatkan stamina dengan rajin bersenam memandangkan perlu mengadakan latihan yang berat untuk sebuah filem aksi seperti Charlie's Angels.
Ujarnya, bagi menjayakan watak sebagai Natalie Cook dalam filem berkenaan, dia perlu berlatih selama lapan jam sehari dan tujuh hari seminggu dalam tempoh tiga bulan.
KOSMO!

Isu aibkan Luna Maya,Nabil Kesal Dengan Sikap Peminat

Ternyata bukan mudah menjadi anak seni, lebih-lebih lagi apabila bergelar seorang pelawak yang bertanggungjawab menghiburkan hati penonton. Perkara yang sepatutnya hanya menjadi modal bahan lawak telah diperbesarkan tanpa menggunakan alasan yang relevan.
Baru-baru ini, Nabil telah dikecam hebat oleh peminat apabila menjadikan Luna Maya sebagai salah satu ‘punchline’ dalam lawaknya. Lawak ‘double meaning’ yang dilakukan oleh Nabil pada masa itu mengundang kontroversi dan dia didakwa telah memburukkan nama aktres Indonesia itu.
Tindakan Nabil menggunakan Luna Maya sebagai ‘punchline‘ telah mendapat kritikan ramai
“Saya tak tahu dan sangat pelik kenapa peminat nak marah sangat. Sepatutnya mereka bersikap lebih terbuka dan saya tiada cakap sebarang perkara yang mengaibkan Luna Maya. Saya cuma cakap, saya Google nama Luna Maya, saya jumpa gambar.
Saya bukan nak hina dia sebab saya tahu itu masa silam dia. Saya pun pernah buat benda itu dan saya dah pernah kena dan sudah berubah pun. Tapi bila orang masih bercakap hal itu, saya tak kisah pun. Jadi, kenapa orang Malaysia ini nak kutuk saya semata-mata nak bela orang Indonesia yang mereka tak kenal pun siapa.”
Nabil turut memberitahu bahawa pihaknya tiada sebarang masalah dengan Luna Maya dan tidak akan membuat permohonan maaf kerana baginya dia tidak melakukan apa-apa kesalahan terhadap pelakon tersebut.
“Saya dan Luna Maya tidak pernah bercakap langsung. Saya hanya jumpa dia semasa dalam pertandingan, dia bagi komen saya dengar. Peminat mereka ini yang lebih sudu dari kuah sebenarnya.
Orang yang membenci ini memang selalu ada. Saya tak peduli lah pasal hal ini sebab saya yakin yang undi saya bukan dari kalangan mereka, peminat saya yang undi. Haters will still hate, lovers will still love.”
Dalam perkembangan lain, Nabil turut memaklumkan bahawa cawangan pusat gimnasium kesihatannya yang terletak di Seksyen 13, Shah Alam akan mula beroperasi pada bulan Jun hadapan.
Kredit : ohbulan.com

Lisa Surihani Terasa Hati Disindir Soal Anak

Lisa mengakui terasa hati apabila pertanyaan bersifat peribadi tentang soal anak ditanya kepadanya.
PETALING JAYA: Pelakon Lisa Surihani mengakui terasa hati apabila disindir dengan pertanyaan bersifat peribadi mengenai zuriat tanpa memikirkan perasaannya sebagai seorang wanita.
Lisa atau nama sebenarnya Lisa Surihani Mohamed, 28, berkata, dia tidak kisah menjawab pertanyaan mengenai perkara itu tetapi terguris apabila isu lebih sensitif dan peribadi ditanya kepadanya.
"Siapa yang tidak mahukan zuriat tetapi ini soal rezeki dan terletak di tangan Allah untuk menentukannya dan sebagai manusia saya dan suami hanya mampu berusaha ke arah itu.
"Saya tidak kisah ditanya mengenai tentang anak tetapi yang membuatkan saya rasa kecil hati apabila ada yang menyentuh soal peribadi," katanya kepada mStar Online.
Lisa dan suaminya, Yusry Abdul Halim berkahwin pada 23 Februari 2012.
Bahagia...Yusry dan Lisa berkahwin pada 2012.
Dalam perkembangan sama, Lisa berkata, dia juga tidak perlu berkongsi secara terperinci tentang usahanya dan suami untuk mendapatkan zuriat kepada orang ramai.
Jelas Lisa, cukup sekadar mereka berdua mengetahui kerana ia sangat peribadi dan berharap masyarakat dapat menghormati perasaannya sebagai wanita.
Dalam perkembangan lain, Lisa berkata, dia tidak mempunyai masalah bekerja dengan suaminya dalam filem Cicakman 3 yang sedang menjalani penggambaran.
Kata Lisa, yusry seorang yang profesional ketika berada di set penggambaran dan tidak bersikap pilih kasih walaupun mereka pasangan suami isteri.
"Semuanya berjalan lancar dan ini bukan kali pertama saya bekerjasama dengannya dan Yusry sangat profesional dalam melakukan tugasnya di set penggambaran," katanya.
Kredit : mStar Online

Penyanyi Aisyah disamun

Aisyah 

MALANG tidak berbau, itulah yang boleh dikatakan mengenai nasib penyanyi yang terkenal dengan lagu Janji Manismu, Aisyah apabila dia dilaporkan menjadi mangsa samun baru-baru ini.

Kejadian itu berlaku semasa Aisyah sedang dalam perjalanan pulang ke rumah bersama anaknya kira-kira jam 9.15 malam.

Akibat daripada kejadian itu Aisyah dilaporkan telah kehilangan wang tunai sebanyak RM1,000, kad pengenalan dan kad kredit.

Bagaimanapun dia dan anaknya bernasib baik kerana tidak mengalami sebarang kecederaan.

Oleh kerana tidak dapat mengecam wajah penjenayah terbabit dan pada masa yang sama CCTV di kawasan tersebut juga rosak, sehingga kini penjenayah terbabit masih bebas.

Diharap orang ramai akan mengambil iktibar daripada kejadian ini.

Kredit : Sinarharian

02 Februari 2014

Heidi Klum Yakin Dengan Kecantikan Tubuh Di Usia 40

Heidi Klum
SUPERMODEL Heidi Klum mengakui sangat yakin dan bangga dengan kecantikan tubuhnya biarpun kini sudah menjangkau usia 40 tahun.
Bagaimanapun, wanita itu juga mengakui terpaksa bekerja keras untuk mendapatkan bentuk tubuh seperti itu.
"Buat masa ini saya masih yakin dengan keadaan tubuh saya. Namun menjangkau usia yang semakin meningkat ini, saya perlu bekerja keras untuk memastikan keadaan ini tidak berubah," katanya.
Tambahnya, dia sedar kadar metabolisma dalam badan semakin menurun yang boleh menjejaskan bentuk badan yang dimilikinya kini.
mStar Online

Aiswarya Rai Wanita Kedua Tercantik Dunia

Aiswarya Rai
PELAKON Bollywood Aiswarya Rai diumumkan sebagai wanita kedua tercantik di dunia selepas pelakon Angelina Jolie.
Penyenaraian itu hasil sebuah kajian yang dibuat oleh Hollywood Buzz dengan mengambil nama wanita tercantik daripada beberapa buah negara.
Kajian berfokus kepada wanita yang dianggap paling cantik di seluruh dunia oleh para pembaca dan mengambil 30 senarai teratas.
Biarpun di India kini lebih popular dengan Katrina Kaif, namun pelakon itu hanya menduduki nombor 22.
Dalam senarai itu juga terkandung beberapa nama selebriti lain seperti Kim Kardashian, Charlize Theron, Mila Kunis dan Keira Knightley.
mStar Online

Port Mak Ngah Skodeng !